A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Penjagaan Di Rumah Selepas Prosedur Pembedahan Oral

Penjagaan pesakit merupakan aspek penting di dalam pembedahan mulut. Prosedur seperti cabutan gigi, pembedahan pembuangan gigi terimpak, pembedahan pergigian preprostetik, dan implan pergigian selalunya dianggap sebagai pembedahan kecil oral, manakala kes kecederaan maksilofasial, ortognatik, pembedahan kecacatan kongenital, dan patologi merupakan contoh kes major. Kesemua pesakit yang telah dibedah akan mengalami kesulitan bergantung kepada jenis pembedahan yang dilalui. Adalah menjadi tanggungjawab perawat untuk mengenal pasti masalah yang akan dihadapi oleh pesakit dengan teliti sebelum pesakit dibenarkan pulang. Penjagaan kebersihan mulut dan arahan penjagaan kesihatan selepas pembedahan boleh mengurangkan kadar komplikasi dan mempercepatkan proses penyembuhan.

Di antara kesan-kesan yang dialami oleh pesakit selepas pembedahan ialah:

  1. Sakit dan ketidakselesaan: Kesakitan dan ketidakselesaan merupakan kesan yang paling kerap berlaku kepada pesakit selepas pembedahan. Kesakitan akibat kesan pembedahan dapat dikurangkan melalui pengambilan ubat penahan sakit. Pemberian ubat penahan sakit adalah berdasarkan kepada jenis prosedur rawatan, contohnya kesakitan selepas cabutan gigi biasanya boleh diatasi melalui pengambilan ubat jenis acetaminophen (paracetamol) manakala ubat jenis anti-inflamasi bukan steroid (non-steroidal anti inflammatory (NSAIDs)) kerap diberi kepada pesakit yang menjalani pembedahan mulut minor.
  2. Kebengkakan : Bengkak kerap kali berlaku pada pesakit selepas pembedahan. Bengkak selalunya bermula selepas hari pertama pembedahan dan berkurangan secara beransur-ansur pada hari keempat atau kelima. Pengunaan tuala suam pada hari ketiga secara perlahan-lahan dapat memberikan keselesaan dan kelegaan kepada pesakit. Penularan bengkak selepas hari ketiga pembedahan disertai dengan demam dan penghasilan nanah menandakan kehadiran jangkitan kuman dan memerlukan perhatian segera daripada perawat.
  3. Perdarahan: Perdarahan selepas rawatan dihentikan secara tekanan setempat atau dengan menjahit kawasan luka pembedahan. Perdarahan yang sedikit merupakan kejadian biasa yang senang dihentikan melalui gigitan kapas. Kapas pergigian boleh ditukar apabila telah dipenuhi air liur dan kesan darah beku manakala pesakit tidak digalakkan meludah kerana dibimbangi boleh menyebabkan perdarahan kembali. Kumuran ais disertai dengan rehat sambil meninggikan sedikit kepala daripada kaki boleh membantu menghentikan perdarahan.
  4. Kesukaran untuk bertutur, makan dan menelan: Bengkak yang berlaku pada kawasan pembedahan mulut akan menyebabkan pesakit mengalami kesukaran untuk bertutur, makan dan menelan. Pesakit dinasihatkan supaya banyak minum air bagi mengelakkan dehidrasi dan mengambil makanan lembut supaya memudahkan proses menelan.
  5. Kesukaran untuk membuka mulut dengan luas: Bengkak dan sakit akibat pembedahan selalunya mengurangkan saiz bukaan mulut. Bukaan mulut akan kembali normal apabila kesakitan dan bengkak berkurangan.

Contoh kes pembedahan mulut.


Gambar 1: Gigi geraham bongsu untuk dibedah

alt
Gambar 2: Gigi geraham terimpak yang telah dibedah.


Gambar 3: Lidah lekat (ankyloglossia)

alt
Gambar 4: Lidah selepas dibedah.

alt
Gambar 5: Implan pergigian pada rahang atas

alt
Gambar 6: Implan sama yang telah dipasangkan korona.

Tip penjagaan di rumah bagi pesakit yang menjalani pembedahan mulut.

  1. Ubat : Pesakit akan dibekalkan dengan beberapa jenis ubat, bergantung kepada jenis dan tahap pembedahan yang dilakukan. Ubat penahan sakit diberikan bagi kawalan kesakitan manakala antibiotik hanya diberikan dalam kes tertentu sahaja. Ubat yang diberikan boleh mempunyai kesan interaksi dengan ubat lain yang sedang diambil pesakit. Penting bagi pesakit memaklumkan kepada perawat berkenaan ubat yang sedang diambil bagi tujuan lain terutama dari segi dos , kekerapan dan tujuan preskripsi tersebut.
  2. Kebersihan mulut : Pesakit perlu memastikan kebersihan mulut berada dalam keadaan baik sepanjang proses penyembuhan berlaku. Mulut yang kotor boleh mengundang jangkitan kuman kepada kawasan yang baru menjalani pembedahan dan boleh menjejaskan proses penyembuhan. Pembersihan rongga mulut boleh dilakukan dengan cara memberus gigi seperti biasa. Elakkan terkena kawasan yang baru dibedah. Penggunaan cecair kumuran dapat membantu mempercepatkan proses penyembuhan. Memberus gigi dan penggunaan flos boleh dilakukan seperti biasa pada hari kedua selepas pembedahan.
  3. Sajian makanan : Makanan keras perlu dielakkan pada hari pertama dan kedua selepas pembedahan. Diet cecair berkalori tinggi dalam kuantiti yang mencukupi amat sesuai diamalkan pada hari pertama selepas pembedahan. Makanan yang sejuk dan lembut contohnya aiskrim dapat membantu memudahkan proses pengunyahan dan penelanan.
  4. Aktiviti harian : Pesakit mesti berehat dan mengelakkan dari melakukan aktiviti berat selepas pembedahan. Dua hari rehat yang mencukupi di rumah dapat mengembalikan kekuatan fizikal dan mental sebelum dapat meneruskan aktiviti rutin harian.
  5. Merokok: Merokok dilarang sama sekali kerana boleh mengganggu proses penyembuhan.
  6. Lawatan dan temu janji berikut: Temu janji untuk pemeriksaan seterusnya akan diberikan bagi membolehkan perawat memeriksa dan menilai kesihatan pesakit secara keseluruhan. Penyembuhan kawasan pembedahan dan lawatan susulan selepas seminggu biasanya mencukupi untuk kes pembedahan kecil manakala temu janji yang lebih kerap biasanya diberikan kepada pesakit yang menjalani kes yang lebih rumit.

Rujukan.

  • Peterson LJ, Ellis E, Hupp JR, Tucker MR (2004) Oral and maxillofacial Surgery Fourth edition,Elsevier.
  • Balaji SM (2007) Textbook of Oral and Maxillofacial Surgery, Elsevier.
  • Perry M (2006) Head,Neck,and Dental Emergencies ,Oxford University Press.
Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis / Penterjemah : Dr. Mohammed Amin b. Mohammed Jelani
Akreditor : Dr. Ma Bee Chai
Penyemak : Dr. Kok Tuck Choon

 

Artikel Berkaitan

Karies Gigi

Karies gigi lebih dikenali sebagai ‘gigi berlubang’ di kalangan masyarakat kita. Masalah ini boleh dialami oleh semua golongan masyarakat tidak kira kanak-kanak atau dewasa.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,233,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia