A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Warga Emas
  4. /
  5. Kecergasan & Anda
  6. /
  7. Pemandu Berusia
  8. /
  9. Penilaian Perubatan Warga Emas...

Penilaian Perubatan Warga Emas yang Memandu

Penting untuk menilai pemandu warga emas dan mencadangkan kepada mereka agar tidak lagi memandu jika mereka didapati tidak sihat daripada segi perubatan.

Pengenalan

Memandu merupakan satu kemahiran yang perlu bagi kebanyakan pemandu warga emas agar mereka boleh terus berdikari. Kebolehan memandu adalah penting untuk mereka menjalankan aktiviti seharian, contohnya menghadiri temu janji dengan doktor dan pergaulan sosial. Walau bagaimanapun, sesetengah warga emas mungkin terus memandu seperti biasa dan menafikan kecacatan mereka yang diakibatkan oleh masalah perubatan atau kecacatan fungsi, di mana mungkin boleh menjejaskan keselamatan mereka semasa memandu. Oleh itu, adalah penting untuk menilai pemandu warga emas dan mencadangkan kepada mereka agar tidak lagi memandu jika mereka didapati tidak sihat daripada segi perubatan.

Tanda dan Gejala

Kepentingan penilaian perubatan bagi pemandu warga emas

Bagi golongan warga emas, banyak penyakit dan perubahan fizikal dan kognitif yang berpunca daripada proses penuaan yang boleh menjejaskan kebolehan untuk memandu. Untuk memastikan warga emas memandu dengan selamat, mereka perlu mempunyai keupayaan fizikal, penglihatan dan fungsi kognitif. Mereka mesti juga sihat daripada segi perubatan untuk terus memandu. Ramai pemandu warga emas boleh mengatasi kelemahan tersebut dengan memandu dengan lebih perlahan atau mengelakkan jalan sesak. Walau bagaimanapun, sesetengah warga emas mungkin terus memandu walaupun mempunyai kelemahan yang ketara disebabkan oleh sikap abai diri, nyanyuk atau keinginan untuk terus berdikari. Oleh itu, adalah penting bagi anggota kesihatan untuk menjalankan penilaian yang teliti pada pemandu warga emas dan memberi cadangan yang bersesuaian.

Peranan anggota kesihatan

Peranan anggota kesihatan adalah untuk membuat penilaian daripada segi fungsi dan perubatan yang berkaitan dengan keselamatan memandu dan menyampaikan cadangan secara berkesan kepada pemandu warga emas dan keluarga mereka.

Anggota kesihatan mungkin mengesan kelemahan semasa pemeriksaan perubatan rutin atau apabila ahli keluarga mereka memohon nasihat untuk memastikan warga emas selamat untuk memandu. Anggota kesihatan perlu memberi kaunseling kepada pemandu warga emas dan keluarga mereka mengenai sebarang kelemahan fungsi atau masalah perubatan yang boleh menjejaskan keupayaan pemandu warga emas untuk memandu dengan selamat atau mencadangkan pengubahsuaian yang bersesuaian ke atas kenderaan mereka untuk memastikan keselamatan pemandu warga emas dan orang awam.

Anggota kesihatan mesti melaporkan hasil penilaian klinikal dan cadangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan raya (JPJ) sekiranya status perubatan dan kelemahan fungsi pemandu warga emas memerlukan warga emas untuk berhenti memandu. Sekiranya keupayaan pemandu warga emas meragukan, anggota kesihatan perlu memohon secara rasmi agar JPJ boleh menjalankan penilaian semasa warga emas memandu di jalan raya.

Bagi warga emas yang tidak sihat untuk memandu, pengangkutan pilihan lain perlu diatur dan ia biasanya melibatkan pergantungan kepada ahli keluarga yang lain, kawan atau penggunaan pengangkutan awam.

Penilaian perubatan pada pemandu warga emas

Langkah utama dalam penilaian keupayaan warga emas untuk memandu ialah dengan menjalankan penilaian yang teliti, termasuklah pengambilan sejarah perubatan yang menyeluruh, pemeriksaan fizikal dengan memberi fokus yang spesifik terhadap masalah perubatan yang sedia ada dan pengambilan ubat-ubatan yang boleh menjejaskan keupayaan warga emas untuk memandu. Sejarah memandu perlu disemak, termasuklah tabiat memandu, kemalangan lampau atau tersesat jalan mungkin boleh mendedahkan kelemahan yang sedia ada pada warga emas.

Penilaian perubatan melibatkan penyemakan masalah perubatan dan ubat-ubatan yang boleh menjejaskan keupayaan untuk memandu, sebagai contoh:

  • Terjatuh
    Sejarah jatuh pada warga emas pada tahun lepas menunjukkan peningkatan risiko untuk kemalangan jalan raya. Terjatuh dan kemalangan jalan raya mempunyai faktor penyebab yang sama, seperti masalah penglihatan, kekuatan otot dan fungsi kognitif. Oleh itu, pemandu warga emas dengan sejarah jatuh memerlukan penilaian lanjut pada keupayaan fungsi.

  • Masalah jantung
    Masalah jantung mungkin meningkatkan risiko memandu. Pada amnya, pemandu warga emas sepatutnya tidak dibenarkan untuk memandu untuk sekurang-kurangnya sebulan selepas serangan jantung atau pembedahan jantung. Pemandu warga emas dengan kegagalan jantung yang serius, contohnya, sesak nafas semasa rehat atau semasa memandu perlu dilarang untuk terus memandu sehingga penilaian lanjut ke atas jantung dilakukan.

  • Masalah saraf
    Masalah saraf boleh meningkatkan risiko kemalangan semasa memandu, sebagai contoh:

    1. Angin ahmar
      Pemandu warga emas dengan angin ahmar ringan pada kali pertama perlu menunggu sekurang-kurangnya sebulan sebelum memandu semula; warga emas dengan angin ahmar ringan yang berulang atau angin ahmar serius perlu menunggu sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum memandu semula. Pemeriksaan fizikal yang teliti perlu dilakukan untuk menilai sekiranya masih lagi terdapat kelemahan akibat daripada angin ahmar yang boleh mempengaruhi keupayaan untuk memandu.

    2. Sawan
      Pemandu warga emas dengan sejarah sawan dalam masa 2 tahun dengan atau tanpa ubat sepatutnya tidak boleh memandu.

    3. Masalah neurologi yang lain, contohnya penyakit Parkinson boleh mengakibatkan fungsi warga emas terjejas dan pesakit dengan penyakit ini perlu melalui penilaian fungsi yang teliti.

  • Penyakit diabetes
    Pemandu warga emas dengan penyakit diabetes mungkin menghadapi keadaan di mana gula di dalam darah rendah semasa memandu dan ini boleh mengancam keselamatan mereka. Warga emas dengan sejarah gula di dalam darah rendah sehingga menjejaskan kesedaran mereka dalam masa terdekat sepatutnya tidak dibenarkan untuk memandu sehingga faktor penyumbang dapat dikenal pasti, contohnya pengambilan makanan yang tidak sesuai atau tidak cukup, aktiviti fizikal yang berlebihan, ubat suntikan insulin yang salah waktu atau dos. Pemandu warga emas dengan kekurangan deria rasa kulit pada tapak kaki dan tangan disebabkan oleh penyakit diabetes boleh menjejaskan keupayaan untuk memandu dan perlu dinilai. Selain daripada ini penyakit diabetes juga boleh menimbulkan masalah penglihatan akibat daripada “cataract” (kanta mata menjadi pudar) atau kerosakan pada retina.

  • Masalah tidur
    Warga emas dengan masalah tidur, contohnya, obstructive sleep apnea syndrome boleh mengakibatkan warga emas mengantuk pada waktu siang dan meningkatkan risiko semasa memandu. Mereka perlu dihentikan daripada memandu sehingga penilaian dan rawatan dilakukan.

  • Ubat-ubatan
    Pemandu warga emas perlu dihentikan daripada memandu untuk sekurang-kurangnya beberapa hari apabila dimulakan dengan ubat baru yang mungkin mempengaruhi penglihatan, keupayaan fizikal atau fungsi kognitif, untuk memastikan bahawa tiada kesan sampingan terjadi. Sesetengah ubat boleh meningkatkan risiko memandu kerana ia boleh menyebabkan kesan mengantuk atau tekanan darah rendah. Pesakit warga emas sepatutnya dinasihatkan untuk membawa semua ubat-ubatan mereka ke klinik untuk mengenal pasti ubat mana yang boleh meningkatkan risiko memandu.

  • Pengambilan alkohol
    Pemandu warga emas jarang terlibat dengan kemalangan jalan raya serius yang berkaitan dengan pengambilan arak. Walau bagaimanapun, penggunaan alkohol dan ubat-ubatan yang lain untuk penyakit lain boleh menjejaskan fungsi kognitif dan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Pada amnya, sebarang masalah perubatan atau ubat yang boleh mempengaruhi tahap kesedaran atau menjejas keupayaan fungsi perlu diberi perhatian tentang keselamatan warga emas yang memandu dan memerlukan penilaian yang lebih lanjut.

Komplikasi

Kesan berhenti memandu

Ramai pemandu warga emas mungkin dicadangkan agar tidak memandu demi keselamatan mereka. Berhenti memandu boleh mengakibatkan kesan negatif terhadap warga emas, contohnya pengasingan sosial atau kemurungan dan boleh menjejaskan kualiti hidup mereka. Oleh itu, pemandu warga emas perlu diberi kaunseling dan pengangkutan lain perlu diatur untuk mencegah kemerosotan fungsi mereka.

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau
Akreditor : Dr. Lee Fatt Soon

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,241,090

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia