A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Pengurusan Kes Pesakit Geriatrik...

Pengurusan Kes Pesakit Geriatrik Terlantar

Pengenalan

Warga emas di Malaysia akan berganda daripada 7% kepada 14% dalam masa 28 tahun sahaja berbanding negara Sweden yang telah mengambil masa selama 112 tahun untuk perubahan yang sama (Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), 2007). Warga emas adalah individu yang berumur 60 tahun dan ke atas.  United Nations World Assembly on Ageing di Vienna (PBB, 1982) Isu warga emas ini dibincangkan melalui pelbagai aspek terutamanya aspek kesihatan. Masalah kesihatan warga tua akan berlaku bila jika keperluan untuk hidup sihat tiada / tidak dapat dipenuhi atau dicapai. Implikasi ini jika dibiarkan boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit itu seterusnya mengalami ketidakfungsian sosial. Salah satu contoh adalah apabila keadaan pesakit menjadi terlantar. Pesakit warga emas terlantar bukan sahaja mengalami perubahan fizikal, malah mengalami perubahan dari aspek sosial, ekonomi dan emosi. Bagi ahli keluarga pula, mereka turut merasai cabaran dalam soal penjagaan dan pengurusan pesakit terlantar ini. Di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jumlah kes pesakit warga emas terlantar yang dirujuk ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan pada tahun 2014 adalah sebanyak 83 kes. Jumlah kes ini meningkat sebanyak 19% berbanding tahun 2013. Faktor-faktor yang mempengaruhi kes warga tua terlantar ini adalah penyakit strok, penyakit kanser, insiden terjatuh (fall incident) dan faktor menua. Bidang dalam perubatan yang menjurus kepada penyakit berkaitan warga tua dan rawatannya dikenali sebagai Geriatrik.

Bantuan Untuk Pesakit Warga Tua Terlantar

ASPEK SOSIAL

Pengurusan kes pesakit geriatrik terlantar adalah merangkumi proses rawatan dan  pemulihan ketika pesakit berada di hospital malah selepas discaj dari wad. Ia adalah keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan terhadap penjagaan pesakit geriatrik terlantar bagi mengelakkan peningkatan kemasukan mereka ke pusat jagaan.

Penglibatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) dalam pasukan multidisiplinari Geriatrik khususnya, dilihat dapat memberi rawatan yang komprehensif kepada pesakit melalui dua perkhidmatan utama iaitu terapi sokongan (kaunseling individu / berkelompok / rundingcara / intervensi krisis / khidmat nasihat) dan bantuan praktik (peralatan perubatan / bantuan segera / mengesan waris / penempatan institusi). PKSP mendapatkan maklumat asas kesihatan pesakit warga tua sebaik kes rujukan diterima. Selain mendapat maklumat asas demografi pesakit, pemahaman yang jelas mengenai keupayaan pesakit terutama bagi pesakit yang terlantar untuk melakukan aktiviti dan fungsi harian (ADL’s) adalah penting. Keupayaan melakukan harian (ADL’s) termasuklah berpakaian, mandi, makan minum, dandanan, mobiliti ke tandas, pengurusan ubat-ubatan dan sebagainya. Tahap ADL’s ini amat berbeza bagi pesakit warga tua yang terlantar kerana mobiliti yang terjejas teruk.

Perbincangan antara pasukan multidisiplinari dengan ahli keluarga pesakit yang dikenali sebagai Family Conference perlu diadakan. Pasukan multidisiplinari ini terdiri daripada Pegawai Perubatan, Jururawat, Pegawai Pemulihan CaraKerja, Pegawai Jurupulih Anggota, Pegawai Dietetik, Pegawai Farmasi dan PKSP itu sendiri. Ini bertujuan untuk mengenalpasti sistem sokongan sosial pesakit yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan pesakit kerana sokongan sosial menjadi elemen penting dalam penjagaan pesakit geriatrik terlantar terutama selepas dicaj daripada wad. 

PKSP membuat lawatan ke rumah mengikut keperluan kes pesakit. Ini bertujuan untuk:

  1. Mengenalpasti disfungsi pesakit dan ahli keluarga yang terlibat
  2. Mendapatkan pengesahan maklumat bagi membolehkan pesakit mendapatkan bantuan
  3. Mengetahui keadaan fizikal rumah pesakit bagi mendapatkan kesesuaian bantuan yang berkaitan
  4. Mewujudkan hubungan rapport yang baik pesakit dan keluarga
  5. Mengenalpasti masalah terbitan

Selain itu, PKSP juga berperanan dalam menghubungkan pihak pesakit dengan sumber-sumber komuniti yang sedia ada seperti program Home Help, Hospic dan sebagainya. Manakala di peringkat primer, PKSP terlibat dalam perkhidmatan sebagai ahli pasukan domisiliari, iaitu pasukan perawatan di rumah.

ASPEK EKONOMI

Salah satu cabaran dalam berhadapan dengan pesakit warga tua terlantar ialah aspek ekonomi. Tambahan pula, jika penjaga kepada pesakit itu adalah merupakan penyara utama keluarga. Keadaan pesakit yang hilang upaya untuk berambulasi amat memerlukan penjagaan dan pemerhatian sepanjang masa daripada ahli keluarga/ penjaga bagi mengelakkan komplikasi yang lebih serius. Selain itu, sebagai sebahagian daripada proses pemulihan, pesakit warga tua terlantar ini turut memerlukan peralatan perubatan seperti ripple mattress, ryles tube, susu khas, infusion pump, oxygen concentrator dan sebagainya. Kos peralatan perubatan ini menjadi beban dan masalah kepada mereka yang tidak berkemampuan.

PKSP membuat penilaian sosioekonomi untuk mengenalpasti kekuatan kewangan pesakit selain mengambil kira dari aspek sosial. Maklumat daripada hasil temubual dengan penjaga atau ahli keluarga, perbincangan pasukan intermultidisiplin dan lawatan ke rumah akan digunapakai dalam penyediaan laporan sosioekonomi untuk dirujuk ke agensi pemberi bantuan.

ASPEK EMOSI

Dalam aspek pengurusan pesakit geriatrik terlantar, penjaga atau ahli keluarga perlu bersedia dengan apa juga kemungkinan bagi mengurangkan risiko kesihatan pesakit yang lebih serius. Mereka perlu sedar bahawa pesakit geriatrik terlantar akan mengalami masalah depresi dan kemurungan kerana gagal menyesuaikan diri akibat perubahan gaya hidup, tidak boleh menguruskan diri sendiri dan ketidakupayaan meneruskan kehidupan sosial seperti biasa. Mereka akan berasa sunyi, tidak berguna dan cepat berputus asa. Keadaan emosi pesakit warga tua yang terlantar ini jika dibiarkan boleh menyebabkan mereka mengalami gangguan tidur (imsomnia) malah sering berfikir untuk membunuh diri. Di sinilah letaknya peranan seseorang Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP), untuk membantu penjaga atau ahli keluarga melalui terapi sokongan. Terapi sokongan bertujuan untuk:

  1. Mengurangkan sedih, perasaan cemas, marah dan tekanan pesakit malah penjaga/ ahli keluarga
  2. Memberi maklumat yang tepat mengenai status penyakit, komplikasi dan rawatan yang disyorkan kepada penjaga/ ahli keluarga pesakit
  3. Mendengar luahan dan keperluan penjaga/ ahli keluarga pesakit tanpa menghukum
  4. Memberi maklumat mengenai sumber-sumber komuniti yang sedia ada yang dapat membantu sepanjang proses rawatan dan pemulihan kepada penjaga/ ahli keluarga
  5. Memberi dorongan dan galakan kepada penjaga/ ahli keluarga supaya mereka faham dan membantu pesakit untuk komplian dengan rawatan yang disyorkan
  6. Bincang dengan penjaga/ ahli keluarga mengenai masalah penjagaan pesakit yang membawa kesan kepada kualiti penjagaan terhadap pesakit (care giver’s stress). Contoh:
    1. Adakah anda stress? Bimbang?

    2. Adakah terdapat orang lain yang membantu anda dalam menjaga pesakit?

    3. Anda sendiri ada masalah kesihatan?

    4. Adakah sesiapa yang mempengaruhi kebolehan anda untuk menjaga pesakit?

Kesimpulan

PKSP membantu mengurus kes geriatrik terlantar melalui dua (2) perkhidmatan iaitu memberi bantuan praktik dan terapi sokongan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pesakit dan penjaga atau ahli keluarga. Menempatkan pesakit geriatrik terlantar di pusat jagaan adalah langkah terakhir yang diambil oleh PKSP selepas penjaha dan keluarga tidak dapat dikesan.

Rujukan

  1. Alan M. Adelman & Mel P. Daly (2003). 20 Common Problems Geriatrics. McGraw Hill International Edition. Health Professions Series.
  2. Barbara Berkman & Linda Harootyan (2003). Social Work and Helath Care in an Aging Society. Springer Publishing Company.
  3. Giselda Quintana Marques & Ivani Bueno de Almeida Freitas (2009). Pilot-experience in Home Care: Bedridden Aged Patients of a Basic Health Unit, Porto Alegre, Brazil.
  4. Siti Marziah Zakaria, Khadijah Alavi & Nasrudin Subhi (2013). Risiko Kesunyian Dalam Kalangan Warga Tua Di Rumah Seri Kembangan. Journal of Psychology & Human Development.
Semakan Akhir : 17 Oktober 2016
Penulis : En. Khairul Naim Bin Azis
Akreditor : En. Zulhan Bin Ambi

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,425

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia