A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Penglihatan Terhad

Penglihatan terhad ialah keadaan di mana penglihatan menjadi kabur dan/atau keluasan medan penglihatan mengecil dan tidak dapat dibantu melalui rawatan perubatan, pembedahan, penggunaan cermin mata ataupun kanta sentuh pada kedua-dua mata. Mereka yang mempunyai penglihatan terhad adalah tidak sama dengan mereka yang mengalami kebutaan, dimana mereka dengan penglihatan terhad masih mempunyai sedikit tahap penglihatan yang berguna. Walaubagaimanapun penglihatan terhad biasanya akan mengganggu kelancaran perjalanan aktiviti harian seseorang seperti memandu atau membaca.

Di Malaysia, Kajian Mata Kebangsaan 1996 menganggarkan terdapat seramai 540,000 orang berpenglihatan terhad dan kira-kira 50,000 orang buta. Prevalen masalah penglihatan terhad meliputi 2.44% dan buta ialah 0.3%.

Apakah definasi penglihatan terhad?

Penglihatan terhad adalah keadaan di mana individu mempunyai tahap penglihatan kurang daripada 6/18 hingga 3/60 atau medan penglihatan kurang daripada 20 darjah pada kedua-dua mata dengan pembetulan terbaik.

Apabila tahap penglihatan kurang daripada 3/60, keadaan ini dikenali sebagai buta. Buta didefinasikan sebagai tahap penglihatan kurang dari 3/60 atau keluasan medan penglihatan seluas 10 darjah atau kurang pada kedua-dua mata dengan pembetulan terbaik.

Seseorang dengan tahap penglihatan 6/18 bermaksud individu berpenglihatan terhad hanya mampu melihat objek dari jarak 6 meter manakala individu normal boleh melihat objek yang sama dari jarak 18 meter.

Apakah penyebab utama penglihatan terhad?

Penyebab utama penglihatan terhad ialah:

Apakah tanda-tanda saya mengalami penglihatan terhad?

  • Kesukaran untuk mengenalpasti pada jarak jauh
  • Kesukaran untuk membezakan warna dalam tona yang sama
  • Kesukaran untuk melihat dekat (membaca atau memasak)
  • Keluasan medan penglihatan semakin mengecil
  • Kombinasi tahap penglihatan yang rendah dan medan penglihatan yang mengecil

Pandangan individu berpenglihatan normal

Pandangan individu berpenglihatan terhad akibat rabun yang tidak dibetulkan

Pandangan individu berpenglihatan terhad akibat retinopati diabetik

Pandangan individu berpenglihatan terhad akibat katarak

Pandangan individu berpenglihatan terhad akibat ARMD

Pandangan individu berpenglihatan terhad akibat glaukoma

Bagaimanakah mengesan sekiranya saya mengalami penglihatan terhad?

Pengesanan boleh dilakukan melalui:

  • Saringan penglihatan
  • Pemeriksaan penglihatan berkala dan komprehensif
  • Pemeriksaan penglihatan berkala kepada pesakit kronik seperti diabetes mellitus dan hipertensi

Apakah bantuan yang boleh dicadangkan sekiranya saya mengalami penglihatan terhad?

Bantuan yang boleh dicadangkan ialah rehabilitasi penglihatan terhad iaitu melibatkan:

  • Peralatan optikal contoh: kanta pembesar, teleskop
  • Peralatan bukan optikal contoh: penggunaan cahaya tambah, tiposkop, buku bercetakan besar, panduan menulis, jam bernombor besar, keyboard berhuruf besar
  • Peralatan elektronik contoh: television litar tertutup (CCTV), alat elektronik mudah alih
  • Modifikasi persekitaran
  • Latihan Orientasi dan Mobiliti
  • Kaunseling


Contoh pelbagai peralatan optikal kanta pembesar untuk membaca dan teleskop bagi melihat objek jauh

Contoh pelbagai peralatan bukan optikal :
a) buku bercetakan besar
b) panduan menulis
c) jam bernombor besar
d) keyboard berhuruf besar


Contoh menggunakan peralatan elektronik CCTV


Contoh modifikasi persekitaran yang boleh dilakukan


Contoh penggunaan cahaya tambah dan tiposkop


Contoh menggunakan peralatan elektronik mudahalih

Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya saya mengalami penglihatan terhad?

Sekiranya dirasakan anda mengalami penglihatan terhad, sila dapatkan rehabilitasi penglihatan terhad dari Hospital Negeri, Hospital Daerah dengan pakar, Hospital Universiti, sesetengah Hospital swasta dan Klinik Penglihatan Terhad di Jabatan Optometri, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang mempunyai perkhidmatan rehabilitasi penglihatan terhad.

Apakan agensi-agensi lain yang boleh membantu?

Agensi-agensi lain yang boleh membantu:

  • Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat
  • Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia
  • Lain-lain Pertubuhan Bukan Kerajaan
    • Persatuan Bagi Orang-orang Buta Malaysia (MAB)
    • Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM)
    • St. Nicholas Homes Centre
    • Pertubuhan Bagi Orang-Orang Buta Sabah (SSB)
    • Pertubuhan Bagi Orang-Orang Buta Sarawak (SKSB)

Rujukan :

  1. Arthur S., 1999. A Review of Current Research on the Effect of Diabetes Mellitus on the Eye. Cli & Exp Optom. 82(3): 84-97.
  2. Barry L.C., 1999. Optometry, Public Health and Diabetes. Cli & Exp Optom. 82(3) 40-42.
  3. Chaudhry, M., 2006. Low Visions Aids. New Delhi: Jaypee Brothers Medical Publishers (P) Ltd.
  4. Colenbrander, A., 2003Aspects of vision loss – visual functions and functional vision. Vis Imp Res, 5(3): 115-136.
  5. Dickinson, C., 1993. A step-by step guide to low vision practice. Optician 5424(206):26-33.
  6. Grosvenor T., 2007. Primary Care Optometry: Care of the Vision-impaired Patient Chapter 19. Ed ke-5. Butterworth Heinemann Elsevier. China: 435-455.
  7. Leat, S.J. & Karadsheh, S., 1991. Use and non-use of low vision aids by visually impaired children. Ophthal. Physiol. Opt. 11(1): 10-15.
  8. Keeffe, J., Vision Assessment and Prescription of Low Vision Devices. Community Eye Health. 17(49): 3-5.
  9. Omar, R., Knight, V.F., & Mohammed, Z., 2009. Effectiveness of Low Vision Devices in a Special Education School. Sains Malaysiana 38(5): 799–804.
  10. Omar, R., Knight, V.F., & Mohammed, Z., 2008. The Causes of Low Vision and Pattern of Prescribing at UKM Low Vision Clinic. Jurnal Sains Kesihatan Malaysia. 6(2): 55-64.
  11. Pararajasegaram, R., 2004. Low Vision Care: The Need to Maximise Visual Potential. Community Eye Health. 17(49): 1-3.
  12. Robyn, G., 2003. Review the Genetics of Age-related Macular Degeneration Cli & Exp Optom. 84(4):182-190.
  13. WHO. 2001. Classification, Assessment, Surveys, and Terminology Team. ICIDH-2: International Classification of Functioning, Disability and Health: Final Draft, Full Version, 10th revision. Geneva, Switzerland: World Health organization.
  14. Zainal, M., Ismail, S.M., Ropilah, A. R., Elias, H., Arumugam, G., Alias, D., Fathilah, J., Lim, T. O., Ding, L. M. & Goh, P. P., 2002. Prevalence of Blindness and Low vision in Malaysian Population: Results from the National Eye Survey 1996. Br J Ophthalmol. 86: 951–956.
  15. Omar, R. 2010. Low vision rehabilitation can improve quality of life. Jurnal Kebajikan Masyarakat Vol.36 Edisi Jun 2010 (in press)

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Prof. Madya Dr. Rokiah Omar
Akreditor : Hjh. Che Ruhani Che Jaafar
Penyemak : Dr. Rosniza Ab. Razak

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,204,536

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia