A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Penglibatan Pegawai Kerja Sosial...

Penglibatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Dalam Kerja Komuniti

Pengenalan

Perkhidmatan kerja sosial perubatan di Malaysia telah berkembang selari dengan kepesatan pembangunan negara. Tuntutan hidup yang semakin mencabar dan aktiviti kehidupan yang sentiasa berubah, telah menjadikan perkhidmatan kerja sosial perubatan satu keperluan dalam institusi penjagaan kesihatan dalam komuniti. Penglibatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan dalam kerja komuniti telah bermula pada awalnya di hospital. Kini terdapat Pegawai Kerja Sosial Perubatan klinik yang melaksanakan kerja komuniti di perkhidmatan klinik kesihatan bermula November 2010.

Definisi kerja komuniti sebagai satu kaedah dalam kerja sosial yang menekankan kepada penglibatan komuniti secara aktif, penggunaan sumber yang sedia ada dalam komuniti, penglibatan dalam perancangan, pembuatan keputusan dan tindakan serta hasil yang akhirnya akan membawa perubahan kepada kehidupan komuniti tersebut.

Bagi memberi perkhidmatan berkualiti, Pegawai Kerja Sosial Perubatan perlu mempunyai kemahiran kerja komuniti untuk membantu komuniti mengubah taraf hidup melalui penglibatan dalam program-program yang dilaksanakan. Sepuluh kemahiran yang dipraktikan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan iaitu kemahiran mendengar dan memahami klien, kemahiran mentafsir informasi, kemahiran mengekalkan hubungan profesional dengan klien, kemahiran memerhati dan dan mentafsir tingkahlaku verbal dan bukan verbal, kemahiran menyelesaikan masalah dan membina kepercayaan klien, kemahiran berbincang isu-isu sensitif dan emosional, kemahiran menyediakan penyelesaian yang inovatif, kemahiran memberhentikan hubungan yang diwujudkan dengan klien dan kemahiran menjadi orang tengah untuk menyelesaikan konflik.

Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Dalam Kerja Komuniti

Di dalam kerja komuniti terdapat beberapa peranan yang perlu dimainkan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan, iaitu peranan sebagai enabler yang memerlukan Pegawai Kerja Sosial Perubatan memberi nasihat dan membantu komuniti menyelesaikan masalah. Manakala peranan sebagai advocate adalah menjadi suara komuniti, memastikan komuniti di beri akses kepada sumber-sumber komuniti dan memperjuangkan hak-hak komuniti melalui aplikasi undang-undang. Peranan sebagai mediator memerlukan Pegawai Kerja Sosial Perubatan berpengetahuan tentang masyarakat setempat, menjadi broker budaya antara klien dan sistem perkhidmatan yang ditawarkan dan menghubungkan komuniti dengan agensi perkhidmatan.

Tujuan Pelaksanaan Perkhidmatan Komuniti Adalah:

  1. Untuk menggalakkan dan menggerakkan penglibatan komuniti kumpulan sasaran jabatan dan masyarakat umum dalam bidang penjagaan kesihatan dan isu-isu psikososial yang dialami.
  2. Meningkatkan kualiti hidup komuniti melalui penglibatan proaktif dan berkesan dalam aktiviti penjagaan kesihatan dan masalah psikososial yang dikenalpasti.
  3. Memaksimumkan penggunaan sumber tempatan dalam mewujudkan komuniti sasar yang berdikari.

Objektif Perkhidmatan Komuniti Adalah:

  1. Mempromosikan penjagaan kesihatan dan pencegahan isu-isu psikososial dalam komuniti.
  2. Membantu meningkatkan taraf rawatan, pemulihan, pencegahan dan penyelidikan dalam bidang penjagaan kesihatan dan isu-isu psikososial.
  3. Menyokong program-program untuk pesakit, pasangan, penjaga dan komuniti.
  4. Untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan sikap tentang kesihatan di kalangan komuniti.
  5. Untuk meningkatkan kemahiran penjagaan dikalangan penjaga, sukarelawan, anggota kesihatan dan komuniti.
  6. Untuk menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti kesihatan dan isu-isu psikososial.

Penglibatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Dalam Kerja Komuniti

Masalah kesihatan sering dikaitkan dengan kemiskinan dan kebanyakan mereka tidak mampu mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Kebanyakkan masalah penjagaan kesihatan dan sosial dalam komuniti disebabkan oleh penyakit yang dialami. Justeru itu, perkhidmatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan dalam komuniti lebih tertumpu kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan isu-isu masalah psikososial.

Pegawai Kerja Sosial Perubatan di dalam komuniti memberi perkhidmatan promosi, pendidikan kesihatan, bantuan terapi sokongan, bantuan praktik, aktiviti-aktiviti sosial, fizikal dan kebajikan. Strategi perkhidmatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan terhadap komuniti adalah seperti berikut:

  • Pemberian perkhidmatan yang komprehensif merangkumi promotif, preventif, kuratif dan rehabilitasi serta paliatif. Aktiviti yang boleh dilaksanakan ialah:
  • Promotif: memperkembangkan perkhidmatan kesihatan komuniti dengan mengenalpasti keperluan penduduk setempat berdasarkan data penduduk dan saringan di klinik kesihatan dan komuniti bagi membentuk kumpulan sokongan untuk mengadakan aktiviti promosi kesihatan seperti aktiviti fizikal, seminar, latihan penjagaan kesihatan bagi penjaga dan institusi.
  • Preventif: aktiviti pengesanan awal masalah kesihatan dan masalah psikososial juga boleh dilaksanakan melalui penyaringan kesihatan di klinik kesihatan, institusi dan komuniti.
  • Kuratif: lawatan di rumah dan institusi seperti pusat jagaan harian, rumah penjagaan dan penglibatan dalam pasukan domisiliari serta bekerjasama dengan sukarelawan dalam program National Blue Ocean Strategy 7 (NBOS7).
  • Paliatif: memberi perkhidmatan paliatif kepada pesakit di rumah dan komuniti.

Pembentukan bahan-bahan promosi dan pendidikan kesihatan serta isu-isu masalah psikososial untuk disalurkan melalui pelbagai pendekatan kepada komuniti:

  • Menyediakan bahan promosi dan pendidikan kesihatan serta isu-isu masalah psikososial
  • Komunikasi massa
  • Media elektronik-radio tempatan, television, iklan, klip video, dokumentari, laman web, papan iklan.
  • Media cetak-akhbar, majalah, buku kecil, risalah, poster, pelekat, bunting, banner dan kit promosi penjagaan kesihatan.
  • Penglibatan Sambutan Hari Khas dengan komuniti seperti Hari Warga Emas Sedunia, Hari Tanpa Aids, Hari Orang Kurang Upaya.
  • Seterusnya memberi dan mengelola aktiviti komunikasi interpersonal seperti khidmat nasihat kepada komuniti, sokongan sosial dan bimbingan, forum, ceramah seminar /kolokium, roadshow dan permainan kuiz, roda impian dan lain-lain.
  • Penglibatan dan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, bukan kerajaan dan swasta
  • Melalui aktiviti ceramah/latihan/tunjuk ajar kepada penjaga dirumah, institusi dan sukarelawan.
  • Integrasi program bersama unit, bahagian dan jabatan lain seperti Unit Penyakit Berjangkit, Bahagian Kawalan Penyakit, Unit Sekolah, Unit Penyakit Tidak Berjangkit, KOSPEN, COMBI, PROSTAR, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Lembaga Penduduk Perancang Keluarga Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Daerah dan Jawatankuasa bukan kerajaan yang mengendalikan program komuniti serta badan korporat.
  • Advokasi aktiviti promosi penjagaan kesihatan warga emas, kanak-kanak, remaja, dan penyakit kronik oleh agensi lain seperti Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Penerangan, Kementerian Pelajaran dan badan-badan korporat.

Peningkatan pengetahuan kemahiran untuk mengendalikan kesihatan dan pencegahan masalah psikososial dalam komuniti.

  • Latihan penjagaan kesihatan dan masalah psikososial penyakit peringkat klinik, komuniti dan daerah
  • Latihan penjagaan kesihatan dan pencegahan masalah psikososial melalui Outreach Program:
  • Sekolah
  • Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK)
  • Masjid/surau
  • Melalui pemimpin masyarakat
  • Penempatan Felda dan Felcra
  • Kuil
  • Tokong
  • Gereja

Pengurusan Geran/Dana

  • Menguruskan permohonan geran/dana daripada jabatan/agensi luar/Badan Bukan Kerajaan/korporat
  • Menyediakan dokumen permohonan geran/dan untuk pertimbangan geran /dana dari pelbagai agensi
  • Memantau agihan geran/dana
  • Menyediakan laporan aktiviti yang telah dijalankan

Pengurusan Sukarelawan Klinik Kesihatan

  • Menguruskan keahlian sukarelawan klinik kesihatan
  • Membangunkan pengkalan data sukarelawan klinik kesihatan
  • Merancang, menggubal, melaksana dan memantau garis panduan pengurusan sukarelawan klinik kesihatan
  • Merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan program pembangunan sukarelawan dalam komuniti

Kesimpulan

Kerja komuniti merupakan isu yang menjadi agenda utama kebanyakan negara yang sedang membangun justeru itu penglibatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan amat diperlukan dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan. Pelbagai pihak yang bertanggungjawab terutamanya kerajaan dan komuniti terlibat telah berusaha melaksanakan pelbagai program dan perancangan untuk mengatasi masalah penjagaan kesihatan dan isu-isu psikososial yang melanda masyarakat.

Penglibatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan dalam kerja komuniti telah menjadi fokus di dalam perbincangan ini mampu meningkatkan kualiti hidup dan kefungsian sosial dalam komuniti. Seterusnya perkhidmatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan melalui program yang dilaksanakan mampu untuk membantu mengurangkan masalah penjagaan kesihatan dan isu-isu psikososial komuniti sekaligus mencapai matlamat masing-masing. Oleh yang demikian usaha kerajaan untuk memberi kesihatan terbaik mungkin akan dapat dicapai menjelang tahun 2020.

Rujukan

  1. Haris Abd. Wahab. (2010) Kesejahteraan Sosial dan Pembangunan Komuniti: Pendekatan dan Indikator. Jabatan Pentadbiran dan keadilan Sosial Universiti Malaya. Diambil pada 6 September 2015 dari
  2. www.eprints.um.edu.my/3124/
  3. Mohammad Shatar Sabran. (2003). Model Pembangunan Komuniti. UPM Press ISSN 0128-7702 Pertanika J.Soc.Sci. & Hum. 11(2):135-145
  4. Office of Disease Preventions Health Promotion, United States Department of Health and Human Services (USDHHS). (2001). Healthy people in healthy communities planning guide. Rockville, MD: Auther.
  5. Payne, M.1985. Social Care in the Community Work. Basingstoke: Macmillan.
  6. Public Health Foundation. (2002). Healthy People 2010 toolkit: A Field guide to planning. Waldorf, MD: Author. Diambil pada 6 Jun 2015. Dari
  7. http://www.healthpeople.gov/state/toolkit/default.htm
  8. Samir Muhazzab Amin & Sara Shakilla Mohd Salim (2012). Pembasmian Kemiskinan di Malaysia: Keperluan Kemahiran Pekerja Komuniti. Akademika 82 (1) 2012:81-89.Diambil pada 6 Jun 2015.
  9. www.ejournal.ukm.my/akademika/article/view/842
  10. Shulman,L. 1999. The Skills of Helping Individuals, Families, Group and Communites. 4th edition. Ilinois:Peacock Publisher.
  11. Social Work in Illness Prevention and Health Promotion. Diambil pada 6 September 2015 dari
  12. https://us.sagepub.com/default/files/upm-binaries/44223-6.pdf
  13. Thomas, D. 1983. The Making of Comminity Work. London: George Allen and Unwin.
  14. Victoria M. Rizzo & Jessica Seidman. Health promotion & Aging. The role of Social work in promoting Health. Diambil pada 6 September 2015 dari
  15. www.healthyagingprograms.org
Semakan Akhir : 31 Januari 2017
Penulis : Pn. Mumtaz Jehan Binti Abdul Rashid
Akreditor : YM Ku Abdul Halip Bin Hj Ku Yaakob

Artikel Berkaitan

PEMERIKSAAN CT KARDIAK

CT Kardiak ialah pemeriksaan jantung untuk mengetahui risiko penyakit jantung menggunakan imbasan CT. Pemeriksaan CT Kardiak dijalankan bagi melihat dan mengkaji salur darah ke jantung.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,231,022

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia