A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radiasi
  6. /
  7. Pengkomputeran awan dalam pengimejan...

Pengkomputeran awan dalam pengimejan perubatan

Pengenalan

Konsep pengkomputeran awan telah diperkenalkan pada tahun 1960-an oleh J.C.R. Licklider. Walaupun beliau tidak menggunakan istilah “cloud” tetapi beliau menganggapnya sebagai “interconnected grid of computers”. Secara umumnya, pengkomputeran awan adalah aktiviti menyimpan dan memproses data atau maklumat dalam pelayan (server) yang membenarkan perkongsian melalui Internet. Pemilihan komponen, jenis dan model pengkomputeran awan yang bersesuaian akan mewujudkan sistem pengkomputeran awan yang selamat, kukuh, fleksibel dan menjimatkan kos.

Penggunaan pengkomputeran awan dalam pengimejan perubatan akan memudahkan pengurusan rekod kesihatan pesakit dan imej perubatan daripada pelbagai jenis modaliti pengimejan yang ada di sesebuah hospital atau pusat perubatan pada kos yang lebih murah untuk jangka masa panjang.

Pengkomputeran awan terdiri daripada aplikasi (application), pelanggan (client), infrastruktur (infrastructure), perkhidmatan (service), ruangan storan (storage) dan kuasa pemprosesan (processing power). Terdapat beberapa jenis pengkomputeran awan yang biasa digunakan antaranya awan awam (public cloud), awan persendirian (private cloud), awan hibrid (hybrid cloud) dan awan komuniti (community cloud).

Disamping itu, terdapat juga pelbagai jenis kategori model pengkomputeran awan yang ditawarkan termasuklah Infrastruktur sebagai Perkhidmatan (Infrastructure as a Service-IaaS), Platform sebagai Perkhidmatan (Platform as a Service-PaaS), Perisian sebagai Perkhidmatan (Software as a Service-SaaS) dan beberapa jenis model yang lain.

komputer1

Gambarajah 1: Istilah “awan” merujuk bagaimana Internet digambarkan di dalam rangkaian komputer dengan infrastruktur dan aplikasi yang kompleks.

Komponen pengkomputeran awan

Komponen utama pengkomputeran awan termasuklah:

  1. Aplikasi merupakan komponen utama dalam pengkomputeran awan. Digunakan oleh pakar radiologi bagi tujuan ulasan dan laporan imej perubatan.
  2. Pelanggan merupakan pelayar web. Digunakan sebagai medium untuk mengakses sistem pengkomputeran awan melalui Internet dengan menggunakan komputer atau telefon pintar.
  3. Infrastruktur terdiri daripada perkakasan komputer (hardware) dan pelayan (server) yang menjalankan perisian (software) dan menyimpan data atau maklumat dalam peranti storan (storage device).
  4. Perkhidmatan adalah dalam format web-based Picture Archiving and Communication System (PACS) atau dalam format web-based arkib filem.
  5. Penstoran data atau maklumat adalah dalam bentuk dokumen dan imej Digital Imaging and Communications in Medicine (DICOM).
  6. Pengkomputeran awan berpotensi menyediakan kuasa pemprosesan yang lebih baik pada kos yang rendah.

Jenis pengkomputeran awan

Perkomputeran awan terbahagi kepada empat jenis iaitu:

  1. Awan awam: Perkhidmatan ini adalah untuk kegunaan umum dan dijual kepada sesiapa sahaja melalui Internet. Sebagai contoh Amazon Web Services adalah pembekal perkhidmatan perkomputeran awan terbesar di dunia.
  2. Awan persendirian: Perkhidmatan ini disediakan kepada individu tertentu untuk mengakses data atau maklumat yang sulit seperti maklumat rekod kesihatan pesakit. Dikawal oleh pekerja IT di hospital tersebut untuk mengelakkan data atau maklumat tersebut diakses tanpa kawalan.
  3. Awan hibrid: Gabungan antara awan awam dan awan persendirian. Pengguna perkhidmatan ini boleh mendapatkan data atau maklumat yang dibenarkan oleh mana-mana hospital di dalam awan mereka.
  4. Awan komuniti: Perkhidmatan ini membenarkan perkongsian data dan maklumat di dalam komuniti awan yang sama. Hospital dan pusat perubatan boleh berkerjasama dalam komuniti awan yang sama disamping berkongsi menggunakan infrastruktur and perisian yang sama.

Model pengkomputeran awan

Terdapat tiga model utama perkomputeran awan iaitu:

  1. Infrastruktur sebagai Perkhidmatan: Model ini menggunakan teknologi maya dengan perkakasan seperti pelayan, ruang storan data, sistem operasi dan rangkaian disewakan kepada pengguna secara dalam talian. Pengguna bebas mewujudkan kelompok komputer maya mereka sendiri dan boleh menentukan pemasangan, operasi, dan fungsi perisian sendiri. Pengguna hanya membayar apa yang mereka gunakan sahaja. Amazon.com, Inc. menggunakan model ini dalam pengurusan perniagaan mereka.
  2. Platform sebagai Perkhidmatan: Model ini membolehkan pengguna menggunakan sistem yang disediakan dan membangunkan sistem sendiri yang menggunakan peralatan pada pelantar tersebut tanpa perlu memasang dan menyelenggaranya. Sebagai contoh dua model yang menggunakan perkhidmatan ini adalah Google App Engine dan Microsoft Azure Services.
  3. Perisian sebagai Perkhidmatan: Model ini menyediakan infrastruktur perkakasan, produk perisian dan akan berinteraksi dengan pengguna melalui program atau perkhidmatan Front End Portal. Perkhidmatan yang disediakan adalah seperti web-based emel, kawalan inventori, pemprosesan pangkalan data. Google Mail, Google Docs dan Dropbox adalah antara contoh model awan ini.

komputer2

Gambarajah 2: Model perkhidmatan perkomputeran awan.

Fungsi pengkomputeran awan

Antara kegunaan utama pengkomputeran awan adalah:

  1. Perkongsian dan penyimpanan fail rekod kesihatan pesakit dan imej Digital Imaging and Communications in Medicine (DICOM) di kalangan doktor dan pakar perubatan di hospital dan institusi perubatan yang berbeza dapat dilaksanakan melalui perkomputeran awan.
  2. Pengkomputeran awan berperanan sebagai pengkalan data yang menyediakan ruangan storan bagi setiap data dan maklumat yang dimuat naik bagi aplikasi berasaskan web. Ia memudahkan urusan pemantauan keluar masuk data atau maklumat.
  3. Google dan Hotmail adalah diantara syarikat yang menyediakan perkhidmatan emel berasaskan awan dengan saiz ruangan storan tertentu. Perkhidmatan emel tersebut boleh di akses melalui capaian Internet.
  4. Fail salinan pendua (file backup) berasaskan awan merupakan tool yang paling digemari oleh pengguna. Boleh di akses pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Saiz ruangan storan yang besar sehingga 5GB dan fail boleh dikongsi dengan pengguna lain. Dropbox dan Google Drive adalah diantara penyedia kemudahan ini.

Kebaikan pengkomputeran awan

Diantara kelebihan pengkomputeran awan adalah:

  1. Capaian data dan maklumat yang meluas: Doktor dan pakar perubatan boleh mengakses imej perubatan tanpa mengira masa, lokasi dan peranti selagi pengguna mempunyai capaian Internet. Rekod kesihatan dan imej perubatan pesakit juga boleh dirujuk kepada mana-mana doktor dan pakar perubatan dari mana-mana hospital dan institusi perubatan bagi mendapatkan pandangan dan nasihat.
  2. Penstoran data: Merupakan pilihan alternatif bagi menyimpan salinan pendua (backup) bagi data dan maklumat imej serta rekod kesihatan pesakit.
  3. Ruang storan data tiada had: Data atau maklumat boleh disimpan di ruang storan yang disediakan. Saiz ruang storan boleh ditambah dari semasa ke semasa dan mudah dilaksanakan.
  4. Penjimatan kos: Kos pengurusan dapat dikurangkan melalui kos penyelengaraan sistem pengkomputeran awan (meliputi pembelian server, pemasangan perisian dan melatih pekerja) yang lebih murah dan efektif.
  5. Pengkongsian maklumat lebih mudah: Data dan maklumat dalam pelbagai format seperti imej perubatan dalam format DICOM lebih mudah diakses dan dikongsi dalam pengkomputeran awan.
  6. Sistem pengurusan yang lebih mudah dan selamat: Data atau maklumat di dalam pengkomputeran awan lebih mudah diatur dan dipantau dengan menggunakan sekuriti protokol seperti Hypertext Transfer Protocol Secure (HTTPS) dan diuruskan sepenuhnya oleh pembekal infrastruktur.
  7. Meningkatkan produktiviti: Proses penafsiran imej perubatan oleh doktor dan pakar perubatan akan lebih mudah dan rawatan kepada pesakit dapat dipercepatkan. Ini akan meningkatkan kadar penyembuhan setiap pesakit.

Kepentingan pengkomputeran awan dalam industri kesihatan

  1. Mempertingkatkan kecekapan dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada pesakit melalui kerjasama di antara hospital dan institusi perubatan terutama bagi perkongsian rekod kesihatan dan imej perubatan pesakit.
  2. Data atau maklumat pesakit yang disimpan di dalam arkib maya (virtual library) memudahkan akses dari pelbagai pihak yang berkaitan dalam bidang perubatan disamping dapat mengurangkan keperluan bagi setiap hospital dan institusi perubatan untuk memiliki perkakasan (hardware) dan pelayan (server) sendiri.
  3. Pengkomputeran awan sebagai platform rujukan bagi doktor dan pakar perubatan dari pelbagai bidang dari seluruh dunia untuk menafsir imej perubatan bagi kes klinikal yang sukar.
  4. Kerajaan telah memulakan inisiatif melalui Program Transformasi Ekonomi untuk menambahbaik pelaksanaan sistem Healthcare Information Technology (HIT) dalam bidang perubatan melalui pewujudan pengkomputeran awan dan/atau server farms oleh pelabur sektor swasta untuk tujuan mengarkibkan fail digital radiologi dan patologi dengan selamat.
  5. Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Malaysian Institute of Microelectronic Systems (MIMOS) telah mewujudkan sistem intergrasi pengurusan maklumat bagi membolehkan hospital, klinik kesihatan, klinik pergigian, klinik 1Malaysia dan klinik ibu dan kanak-kanak berkongsi maklumat dan pengetahuan. Sehingga tahun 2013, terdapat 26 hospital kerajaan telah dilengkapi dengan Hospital Information System (HIS), 88 klinik kesihatan dan 7 hospital telah dilengkapi dengan TelePrimary Care (TPC), dan 10 klinik pergigian telah dilengkapi dengan Oral Health Clinic Information System (OHCIS).
  6. Pada ketika ini, Kementerian Kesihatan sedang dalam proses mewujudkan Malaysian Health Data Warehouse (MyHDW). Projek yang telah dimulakan sejak tahun 2010 ini bertujuan sebagai platform untuk penyeragaman dan intergrasi data dan maklumat kesihatan dari pelbagai jenis sumber.

Isu berkaitan keselamatan (security) dan etika (ethical)

Perkongsian rekod kesihatan dan imej perubatan pesakit melalui pengkomputeran awan telah menimbulkan perdebatan mengenai isu berkaitan keselamatan (security) dan etika (ethical), terutamanya aktiviti perkongsian maklumat pesakit dikalangan doktor dan pakar perubatan di luar hospital dan institusi perubatan yang berkaitan.

Di antara isu yang kerap dibangkitkan termasuklah:

  1. Latar belakang, pengalaman dan kepakaran syarikat penyedia perkhidmatan yang memasang, menyedia dan menyelenggara sistem pengkomputeran awan bagi sesebuah hospital atau institusi perubatan
  2. Pertikaian pemilikan data dan maklumat pesakit. Kebimbangan penyalahgunaan data dan maklumat tersebut untuk tujuan lain.
  3. Keselamatan dan kerahsiaan data dan maklumat pesakit melalui akses oleh pengguna yang berdaftar atau tidak berdaftar dengan sistem pengkomputeran awan.
  4. Tahap keselamatan data melalui enkripsi data ketika data dan maklumat pesakit dimuat naik, dipindahkan, disimpan dan dimuat turun.
  5. Keperluan melindungi data dan maklumat pesakit dari segi perundangan sekiranya terdapat pertikaian dan penyalahgunaan sesuatu data atau maklumat.

Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709)

Akta ini diwujudkan bagi menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan serta keutuhan rangkaian. Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). Ditubuhkan pada 16 Mei 2011, berperanan untuk mengawalselia pemprosesan data peribadi individu berkenaan dengan transaksi komersial oleh Pengguna Data supaya tidak disalahguna dan disalahpakai oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Akta ini juga memperuntukan hukuman bagi kesalahan tertentu dengan denda tidak melebihi RM 500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Cloud Standards Customer Council

Dianggotai wakil dari pelbagai syarikat IT terkemuka dunia seperti IBM, Boeing, Pricewaterhouse Coopers dan Trend Micro yang telah menggariskan beberapa cadangan bagi memperkukuhkan tahap keselamatan perkomputeran awan untuk kemudahan sedia ada atau dalam proses kajian pemasangan. Diantara cadangan tersebut termasuklah:

  1. Mengenalpasti semua jenis data dan maklumat yang dimiliki sesebuah organisasi yang ingin dikongsikan melalui perkomputeran awan.
  2. Mengkategorikan data dan maklumat mengikut tahap sensitiviti dan kritikaliti serta keperluan melaksanakan enkripsi data.
  3. Mengenalpasti dan menentukan pengguna yang dibenarkan untuk mengakses data dan maklumat tersebut melalui pelaksanaan logging dan security event management.
  4. Melaksanakan salinan data pendua (backup data) bagi data dan disimpan dalam server menggunakan teknologi Originally Redundant Array of Inexpensive Disks (RAID) atau Redundant Array of Independent Nodes (RAIN).

Kesimpulan

  1. Semua inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan ini adalah sebahagian dari usaha untuk mewujudkan keperluan fasiliti, aplikasi, pengkalan data dan teknologi berkaitan bagi melaksanakan perkomputeran awan secara menyeluruh dan bersepadu dalam sistem penjagaan kesihatan di Malaysia.
  2. Fasiliti dan infrastruktur yang dimiliki oleh hospital kerajaan dan institusi perubatan seperti Hospital Information System (HIS) dan Picture Archiving and Communication System (PACS) memudahkan usaha kerajaan mengintergrasikannya ke dalam sistem pengkomputeran awan yang lebih dinamik dan bersepadu.
  3. Isu berkaitan keselamatan (security) dan etika (ethical) merupakan isu utama yang perlu ditangani secara cermat dan komprehensif ketika proses kajian dan pembangunan pengkomputeran awan dijalankan. Kejayaan beberapa negara seperti Amerika Syarikat dan Britain dalam melaksanakan pengkomputeran awan dalam penjagaan kesihatan boleh dijadikan rujukan dan panduan.
  4. Pewujudan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dijangka dapat membantu menangani isu berkaitan keselamatan (security) dan etika (ethical) bagi data peribadi yang dikendalikan dalam pengkomputeran awan.
  5. Mengurangkan kos operasi hospital, mudah digunakan, menjimatkan masa dan tenaga serta membantu menyelamatkan nyawa pesakit adalah diantara faktor utama yang memberikan kelebihan kepada sistem perkomputeran awan ini untuk dilaksanakan dalam bidang perubatan.

Rujukan

  1. Patel, G. (2012). DICOM Medical Image Management the Challenges and Solutions: Cloud as a Service (CaaS). OMICS Group Journals .
  2. Kementerian Kesihatan. (2013). Malaysian Health Data Warehouse (MyHDW) 2011-2013. Kuala Lumpur.
  3. Wikipedia. (2015). Wikipedia: Cloud Computing. Retrieved from http://en.wikipedia.org/
  4. Amit T Kharat, A. S. (2012). Cloud Computing for radiologists. Indian Journal of radiology and Imaging , 150-154.
  5. BERNAMA. (2013). National News Agency of Malaysia (BERNAMA). Retrieved from http://www.bernama.com/
  6. Craig, D. (2010). Construction Informer Blog. Retrieved from Cloud computing History 101: http://www.constructioncloudcomputing.com/2010/08/14/cloud-computing-history/
  7. George C. Kagadis, C. K. (2013). Cloud computing in medical imaging.
  8. JPDP. (2015). Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP). Retrieved from http://www.pdp.gov.my/
  9. Malaysia. (2010). Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (AKTA 709). Kuala Lumpur.
  10. PEMANDU. (2010). Penjagaan Kesihatan. In The Economic Transformation Programme (ETP): A Roadmap For Malaysia.
  11. Dewan Bahasa dan Pustaka. (2015). Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Retrived from http://prpm.dbp.gov.my/
  12. Ryan Kean, D. H. (2012). Security for Cloud Computing 10 Steps to Ensure Success. Cloud Standards Customer Council .
Semakan Akhir : 02 Januari 2016
Penulis : Mohd Nathir bin Mohd Kamal
Akreditor : Nik Mohamad Hazmi bin Nik Hussain

Artikel Berkaitan

CT ABDOMEN

Apakah itu CT Abdomen? CT Scan Abdomen merupakan satu pemeriksaan

Kanun Tatacara Jenayah Malaysia

Kanun Tatacara Jenayah atau Kanun Prosedur Jenayah atau lebih dikenali sebagai Akta 593 adalah suatu peruntukan perundangan yang menjadi panduan kepada prosedur perundangan yang perlu dipatuhi untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,233,497

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia