A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Keselamatan & Kualiti Makanan
  6. /
  7. Penggunaan Botol Susu Polikarbonat...

Penggunaan Botol Susu Polikarbonat Bebas Bisphenol A (BPA)

Pada 2 Mac 2011 Kementerian Kesihatan telah membuat pengumuman mengharamkan penjualan botol susu polikarbonat (PC) yang mengandungi Bisphenol A (BPA) di pasaran tempatan berkuatkuasa pada 1 Mac 2012.

BPA merupakan bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan produk plastik PC termasuklah botol susu di mana ia menghasilkan ciri keras dan jernih (transparent). Keselamatan penggunaan bahan kimia ini mula menjadi perhatian umum terutamanya pengguna, media massa dan penyelidik apabila ia didakwa boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon dan mengganggu fungsi badan. Sehingga kini tiada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa botol susu PC yang mengandungi BPA adalah selamat untuk digunakan oleh mereka yang berisiko tinggi terutamanya bayi dan kanak-kanak. Kajian oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan European Food Safety Authority (EFSA) juga menunjukkan masih terdapat kekangan dan ketidakpastian dalam kajian saintifik mengenai keselamatan BPA.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah proaktif mengharamkan penjualan botol susu PC yang mengandungi BPA sebagai langkah berjaga-jaga untuk melindungi golongan berisiko tinggi terutamanya bayi. Pendekatan ini juga adalah selaras dengan tindakan beberapa buah negara maju lain seperti Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand, Kesatuan Eropah dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan tidak akan berkompromi dalam keselamatan pengguna terutamanya bayi dan kanak-kanak. Keputusan pengharaman ini dapat melindungi keselamatan mereka yang berisiko tinggi sehingga terdapat maklumat yang kukuh dan perkembangan terkini mengenai keselamatan bahan kimia ini.

 

Bagaimana Hendak Mengenali Botol Susu PC yang Mengandungi BPA

Botol susu PC yang mengandungi BPA boleh dikenali dengan melihat sifatnya yang sangat keras dan lutsinar (jernih). Ini kerana fungsi BPA itu sendiri adalah untuk memberikan ciri-ciri yang keras dan lutsinar kepada plastik jenis PC.

Selain itu, botol susu PC juga boleh dikenali melalui kod atau simbol kitar semula yang boleh ditemui di bahagian bawah atau di tepi botol seperti berikut :

Namun begitu, perlu diingatkan bahawa nombor 7 bukan merupakan kod bagi PC sahaja, ia juga merupakan kod bagi lain-lain plastik (others) termasuk PC.

 

Alternatif Botol Susu Bayi yang Bebas BPA

Setelah pengharaman dibuat, peniaga tidak lagi dibenarkan untuk menjual botol susu PC yang mengandungi BPA ini di pasaran. Dengan itu, pengguna tidak lagi boleh membeli botol susu jenis ini di pasaran. Namun begitu, masih terdapat banyak lagi pilihan botol susu lain di pasaran yang diperbuat daripada pelbagai jenis bahan plastik lain dan yang paling utama, ia adalah bebas daripada BPA. Para pengguna khususnya ibu bapa, boleh membuat pilihan botol susu bebas BPA daripada pelbagai jenama dan rekabentuk yang boleh didapati di pasaran sama ada keluaran tempatan mahupun yang diimport mengikut kemampuan masing-masing.

Di antara alternatif botol susu bebas BPA adalah botol susu yang diperbuat daripada bahan plastik selain PC seperti polypropylene (PP), polyethersulfone (PES), polyamides (PA) dan kaca. Harga bagi setiap botol susu ini berbeza mengikut jenis bahan yang digunakan, saiz dan sama ada ia diimport atau dihasilkan di Malaysia. Botol susu bebas BPA biasanya boleh dikenalpasti melalui:

  1. Label “BPA-free” yang terdapat pada botol atau pembungkus botol susu.
  2. Mempunyai simbol kitar semula nombor 5 bagi botol yang diperbuat daripada polypropylene (PP). Contoh:
  3. Mempunyai simbol kitar semula nombor 7 dengan perkataan PA bagi botol yang diperbuat daripada polyamide atau perkataan PES bagi botol yang diperbuat daripada polyethersulfone. Contoh simbol:

 

Panduan Penggunaan Botol Susu Bebas BPA

Panduan ini juga boleh digunakan untuk semua penggunaan sama ada bekas makanan atau minuman plastik seperti berikut:

  1. Baca arahan pengilang sekiranya ada, bagi memastikan penggunaan adalah betul;
  2. Elakkan pemanasan makanan secara terus di dalam bekas makanan/minuman plastik kecuali bagi plastik yang mempunyai ciri ‘microwaveable’;
  3. Elakkan daripada menggunakan bekas plastik untuk meletak/menyimpan makanan atau minuman yang terlalu panas secara terus;
  4. Untuk bekas makanan/minuman plastik yang diguna semula, guna peralatan mencuci yang lembut seperti span dan berus lembut bagi mengelakkan permukaan bekas plastik menjadi rosak dan bercalar; dan
  5. Sentiasa periksa dan buang bekas makanan/minuman plastik yang telah terlalu lama digunakan atau yang telah rosak atau bercalar.

 

Semakan akhir : 04 Disember 2012
Penulis : Nur Hidayah Jamaludin

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,226,151

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia