A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kosmetik
  6. /
  7. Penggunaan bahan pengawet dalam...

Penggunaan bahan pengawet dalam sediaan kosmetik

Bahan pengawet merupakan salah satu bahan yang penting dalam suatu sediaan kosmetik, terutamanya sediaan yang mengandungi kandungan air yang tinggi. Ini adalah kerana sediaan sebegini merupakan media yang sesuai untuk pertumbuhan mikroorganisma seperti bakteria dan kulat.

Pengenalan

Bahan pengawet merupakan salah satu bahan yang penting dalam suatu sediaan kosmetik, terutamanya sediaan yang mengandungi kandungan air yang tinggi. Ini adalah kerana sediaan sebegini merupakan media yang sesuai untuk pertumbuhan mikroorganisma seperti bakteria dan kulat. Pertumbuhan mikroorganisma dalam suatu sediaan kosmetik bukan sahaja akan merosakkan sediaan tersebut malah mungkin mendatangkan risiko kesihatan kepada pengguna seperti infeksi atau irritasi kulit. Oleh itu, bahan pengawet berperanan untuk memanjangkan jangka hayat sediaan kosmetik dengan memberi perlindungan daripada kontaminasi mikrobial semasa penggunaan atau penyimpanan kosmetik.

Fungsi Bahan Pengawet

Fungsi utama bahan pengawet dalam sediaan kosmetik adalah untuk menghalang pertumbuhan mikroorganisma semasa kosmetik digunakan dan mengurangkan kerosakan kosmetik dari segi perubahan bau atau komposisi yang disebabkan oleh pertumbuhan mikroorganisma. Oleh itu, bahan pengawet adalah penting untuk menjamin kualiti dan keselamatan suatu sediaan kosmetik semasa dalam tempoh penggunaannya.

Bahan-bahan Pengawet yang Biasa Digunakan Dalam Sediaan Kosmetik

Bahan-bahan pengawet yang biasa digunakan dalam sediaan kosmetik adalah seperti berikut:

  • paraben (methylparaban, propylparaben, butylparaben, ethylparaben)
  • phenoxyethanol
  • methylchloroisothiazolinone / methylisothiazolinone
  • sebatian ammonium kuartenar (cetrimonium chloride, behentrimonium chloride)
  • imidazolidinyl urea, diazolidinyl urea, DMDM hydantoin dan sodium benzoate

Had maksima dan syarat yang dibenarkan bagi bahan-bahan pengawet yang digunakan dalam sediaan kosmetik ada dinyatakan di dalam ‘Guidelines for Control Of Cosmetic Products In Malaysia’. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa bahan yang tidak disenaraikan dalam garis panduan seperti alkohol dan bahan semula jadi seperti minyak pati yang mempunyai ciri-ciri anti-mikrobial yang turut boleh memberi fungsi mengawet kepada sediaan kosmetik. Selain itu, minyak pati juga membantu melindungi sediaan kosmetik dengan ciri antioksidanya yang boleh mencegah minyak di dalam sediaan kosmetik daripada menjadi tengik.

Penggunaan Bahan Pengawet yang Bersesuaian

Setiap formulasi kosmetik adalah unik dan bahan pengawet yang digunakan harus berkesan, selamat dan stabil. Oleh itu, setiap sediaan kosmetik memerlukan bahan pengawet yang spesifik untuk memberikan perlindungan yang optimum kepada sediaan tersebut. Faktor-faktor yang mempengaruhi pilihan dan kepekatan bahan pengawet dalam suatu sediaan kosmetik adalah seperti berikut:

  • jenis produk (kriteria pilihan bahan pengawet adalah lebih terhad untuk produk yang digunakan di sekitar mata dan di dalam rongga mulut)
  • bahan-bahan aktif dan eksipien (bahan pengawet yang digunakan perlu serasi dengan bahan-bahan lain dalam formulasi kosmetik)
  • kombinasi bahan pengawet (kepekatan bahan pengawet individu boleh dikurangkan dengan mengabungkan beberapa bahan pengawet)
  • tahap pH (keberkesanan bahan pengawet boleh dipengaruhi oleh tahap pH dalam sediaan)

Isu dan Keselamatan Bahan Pengawet

Di Malaysia, penggunaan bahan pengawet dalam sediaan kosmetik dikawal dengan ketat berdasarkan garispanduan yang telah ditetapkan. Sehingga kini, terdapat 58 jenis bahan pengawet yang disenaraikan dalam Guidelines for Control of Cosmetic Products in Malaysia, Annex VI yang dibenarkan untuk digunakan dalam sediaan kosmetik di mana keselamatan bahan-bahan pengawet tersebut telah dikaji secara menyeluruh oleh panel penilai keselamatan kosmetik antarabangsa seperti Scientific Commitee on Consumer Products (SCCP) di Kesatuan Europah, Cosmetic Ingredient Review (CIR) di Amerika Syarikat dan Badan Saintifik Kosmetik ASEAN. Pihak pengilang hanya boleh menggunakan bahan-bahan pengawet yang disenaraikan dalam garis panduan tersebut pada had dan syarat yang dibenarkan untuk sediaan kosmetik.

Terdapat sebahagian kecil pengguna yang mungkin mengalami masalah alahan terhadap bahan-bahan tertentu dan ini termasuklah alahan terhadap bahan pengawet. Antara tanda-tanda alahan pada kulit yang biasanya dialami adalah seperti kemerahan, gatal-gatal, kepedihan dan rasa tidak selesa pada kulit. Walau bagaimanapun, dari semasa ke semasa, panel penilai keselamatan kosmetik akan menilai semula keselamatan suatu bahan pengawet sekiranya laporan iritasi atau alahan terhadap bahan pengawet tersebut meningkat dan ini mungkin akan membawa kepada tindakan seperti mengurangkan had maksima yang dibenarkan atau mengharamkan penggunaan bahan pengawet tersebut dalam sediaan kosmetik.

Nasihat Kepada Pengguna

Senarai bahan di dalam sediaan kosmetik perlu dinyatakan dengan lengkap pada label produk. Selain itu, syarat penggunaan dan amaran terutamanya yang berkaitan dengan bahan pengawet tertentu juga perlu dicetak pada label produk. Oleh itu, pengguna dinasihatkan supaya membaca maklumat pada label produk untuk mengenalpasti bahan pengawet yang digunakan dalam suatu produk kosmetik dan menggunakan produk tersebut mengikut syarat penggunaan dan amaran yang dinyatakan pada label produk bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini. Maklumat tersebut juga dapat membantu pengguna terutamanya mereka yang mempunyai sejarah masalah kulit sensitif terhadap bahan-bahan tertentu dalam memilih produk kosmetik yang lebih sesuai dengan kulit mereka.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) membuat pemantauan secara berterusan ke atas produk kosmetik melalui Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik Bernotifikasi bagi memastikan keselamatan dan kualiti produk-produk kosmetik yang dijual di pasaran.Sekiranya pengguna mendapat kesan yang tidak diingini atau mengesyaki produk kosmetik bernotifikasi mengandungi bahan terlarang, laporan atau aduan boleh dibuat menggunakan Borang Aduan Kosmetik Bernotifikasi melalui pautan https://npra.gov.my/images/public/BORANG_ADUAN_KOSMETIK.pdf dan emailkan borang yang telah dilengkapkan kepada kosmetik@npra.gov.my untuk diambil tindakan selanjutnya.

Rujukan

  1. Brannan, D.K. (1995), ‘Cosmetic Preservation’, Journal Of The Society Of Cosmetic Chemists, 46, pp. 199-220.
  2. Cosmetics Europe. Preservatives. Available at: https://www.cosmeticseurope.eu/safety-and-science-cosmetics-europe/products-and-ingredients/preservatives-.html [Accessed: 10 February 2015].
  3. Guidelines for Control of Cosmetic Products in Malaysia, Annex VI, Part 1 – List of preservatives allowed for use in cosmetic products. (Last updated: 21-22 Nov 2012 (18th ACC))
  4. Lundov, M.D., Moesby, L., Zachariae, C. and Johansen, JD. (2009), ‘Contamination versus preservation of cosmetics: a review on legislation, usage, infections, and contact allergy’, Contact Dermatitis, 60, pp. 70-78.
  5. Personal Cara Magazine (2010). Preservatives for personal care products. Available at: http://www.personalcaremagazine.com/Print.aspx?Story=6254 [Accessed: 10 February 2015].
  6. Sellars, R. and Williams, R., Australian Society of Cosmetic Chemists (2010). Preservatives Used in Personal Care Products. Available at: http://www.ascc.com.au/papers.php?id=6 [Accessed: 10 February 2015].
  7. Yazar, K., Johnsson, S., Lind, M-L., Boman, A. and Liden, C. (2010), ‘Preservatives and fragrances in selected consumer-available cosmetics and detergents’, Contact Dermatitis, 64, pp. 265-72.
Semakan Akhir : 22 Ogos 2019
Penulis : Ong Jialin
Akreditor : Erina Camilla bt. Mohd Ghazali
Penyemak : Wan Mohaina bt. Wan Mohammad
  : Hanum Maisarah bt. Abdul Rahman

Artikel Berkaitan

Ubat dan Asma

Bagaimanakah penyakit asma dirawat? Secara umumnya, matlamat rawatan asma adalah

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,051,147

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia