A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Pergigian Umum
  6. /
  7. Pengamal Pergigian Haram :...

Pengamal Pergigian Haram : Risiko Rawatan Tukang Gigi Jalanan

Pendahuluan

Adakah anda mempunyai masalah kesihatan pergigian? Di manakah anda mendapatkan khidmat nasihat serta rawatan pergigian? Pelbagai aspek perlu dipertimbangkan dalam memilih  klinik pergigian serta doktor pergigian untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan pergigian yang profesional dan berkualiti. Bagi mengelakkan dari risiko dan bahaya, pastikan anda mendapatkan rawatan pergigian daripada pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia, serta mendapatkan rawatan di klinik pergigian yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Rawatan daripada tukang gigi jalanan sebenarnya membawa risiko yang besar yang boleh menyebabkan jangkitan kuman penyakit berbahaya seperti AIDS dan hepatitis B akibat peralatan yang tidak dibasmi kuman melalui pensterilan, menerima rawatan daripada pengamal pergigian yang haram dan tidak berkelayakan di kawasan umum yang tidak bersih.

Pesakit harus mengambil maklum perkara-perkara di bawah apabila memilih doktor gigi

* Klinik pergigian mesti berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia

*Peralatan perlu dibasmi kuman dan bersih

* Doktor pergigian mesti –

  • berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia dan mempunyai Sijil Pengamalan Pergigian Tahunan (SPPT) yang aktif untuk tahun semasa. (SPPT sepatutnya dipamerkan. Jika tidak kelihatan pesakit boleh bertanya untuk melihat SPPT doktor gigi tersebut)

*Caj rawatan yang jelas dan berpatutan

Kumpulan Sasaran Tukang Gigi Jalanan

Segelintir daripada masyarakat kita masih mendapatkan rawatan daripada tukang gigi jalanan. Tukang gigi jalanan adalah individu yang tidak berkelayakan untuk menjalankan rawatan pergigian. Sudah tentu, mereka tidak layak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MPM). Mereka  biasanya menjalankan rawatan di tempat orang ramai dan di persekitaran yang kotor. Tukang gigi haram ini turut dikenali dengan pelbagai gelaran seperti pengamal pergigian haram, quack dentist, doktor gigi jalanan, doktor gigi kaki lima dan doktor gigi palsu.


Gambar 1: Tukang gigi jalanan merawat tanpa memakai sarung tangan dan topeng muka boleh menyebabkan jangkitan kuman seperti HIV, Hepatitis B dari satu pesakit ke pesakit yang lain  (Sumber: Harian Metro 10 Oktober 2011)

Berita berkaitan tukang gigi pendatang dari luar negara kian meningkat. Terdapat juga pendatang dari luar yang masuk ke negara ini menggunakan visa pelancong menjalankan rawatan pergigian secara haram. Selalunya, mereka mempromosikan rawatan melalui perbualan mulut dan edaran kad nama, risalah dan poster kepada orang ramai. Orang ramai dinasihatkan berhati-hati agar tidak terperdaya dengan promosi tukang gigi jalanan ini.

Pelbagai  lokasi menjadi pilihan tukang gigi ini untuk menjalankan operasinya seperti di tepi jalan raya, di pasar basah, di kedai-kedai kopi, di tepi ceruk bangunan, kawasan yang terlindung atau tersorok dan ada juga yang menawarkan rawatan dari rumah ke rumah melalui temujanji. Memandangkan tukang gigi ini mengamalkan rawatan secara haram, mereka cenderung untuk berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain, juga dari satu negeri ke negeri lain agar tidak dapat dijejaki oleh pegawai penguatkuasa.

Lokasi rawatan tukang gigi jalanan ini tidak bersih dan tidak selamat. Rawatan yang dijalankan di pasar contohnya adalah kawasan sesak yang tidak dibasmi kuman dan terdedah kepada pelbagai penyakit dan jangkitan kuman. Di samping itu, tempat berbau, suasana bising dan terbuka maka tiada privasi untuk pesakit. Pencahayaan yang terhad akan menambah risiko kepada kecederaan semasa rawatan dijalankan seperti tertinggal tunggul akar semasa cabutan gigi.


Gambar 2: Pengamal pergigian haram menjalankan rawatan di dalam sebuah kedai kopi (Sumber: The Star; 14 Ogos 2010)

Tukang gigi jalanan membuat rawatan tanpa memakai sarung tangan dan topeng muka. Maka penyakit berjangkit boleh menular melalui air liur, darah dan kuman dari mulut satu pesakit kepada pesakit yang lain. Tidakkah ia meloyakan dan menjijikkan apabila air liur dan darah dari mulut orang lain terkena pada mulut pesakit seterusnya? Peralatan pergigian yang  digunakan oleh tukang gigi pula tidak dibasmi kuman (disteril), ada juga yang tidak dicuci atau hanya dilap dengan kain kotor dan digunakan berulang kali. Terdapat kes di mana kemudahan bekalan air tidak mencukupi atau tiada air langsung untuk membersihkan peralatan dan kegunaan rawatan untuk pesakit berkumur-kumur. Playar  untuk kerja-kerja tukang  yang kotor dan berkarat juga dimasukkan ke dalam mulut pesakit di mana air liur dan darah yang melekat pada peralatan itu dan digunakan untuk pesakit yang seterusnya. Setakat mengelap peralatan dengan kain buruk, membilas dengan air atau direndam dalam larutan tertentu tidak memadai. Ia tidak dapat membasmi kuman seperti bakteria dan spora virus seperti kaedah pensterilan yang dijalankan di klinik pergigian yang berdaftar dengan KKM.  Justeru, pesakit yang dirawat tukang gigi jalanan ini berisiko besar terdedah kepada jangkitan kuman seperti hepatitis B dan virus HIV.


Gambar 3:  Tukang gigi yang tiada ijazah mencabut gigi menggunakan playar dan pemutar skru di pasar tamu, Kota Kinabalu (Sumber The Star;31 Ogos 2010)

Komplikasi Rawatan Tukang Gigi Jalanan

Oleh kerana tukang gigi jalanan ini tidak menerima pendidikan yang formal, ia tidak mengamalkan kaedah pembasmian kuman atau tatacara rawatan yang betul dan selamat seperti dalam Garispanduan Kawalan Jangkitan Silang dalam Amalan Pergigian (Guidelines on Infection Control in Dental Practice) serta piawaian yang ditetapkan oleh Majllis Pergigian Malaysia. Antara masalah yang boleh berlaku adalah rawatan yang diberikan tidak sesuai dengan keadaan pesakit. Mereka tidak tahu menguruskan pendarahan ataupun jangkitan selepas rawatan. Tatacara rawatan yang salah akan menyumbang kepada masalah kesihatan seperti –

  1. Penyakit AIDS and hepatitis B, jangkitan kuman pada kawasan terlibat  menyebabkan pembengkakan dan bernanah;
  2. Kecacatan saraf kekal – seperti rasa kebas dan hilang deria rasa atau sensasi pada rahang bawah
  3. Kecederaan kepada tulang rahang, gigi, bibir dan dagu
  4. Gagal mengenalpasti keadaan mulut yang tidak normal seperti mengenalpasti kanser mulut

Jangan terperdaya dengan kos rawatan yang murah. Rawatan yang murah ini tidak bermakna sekiranya anda menggadaikan nyawa kepada penyakit berbahaya. Elakkan dari mendapatkan rawatan dari tukang gigi jalanan bermakna anda mengelakkan risiko jangkitan penyakit pada diri anda!

Peranan Individu Dan Masyarakat

Kita tidak seharusnya membiarkan pengamalan pergigian haram ini berkembang. Mungkin ada antara saudara mara atau rakan kita yang terpedaya dengan rawatan tukang gigi jalanan ini. Rawatan berisiko ini boleh merugikan dari segi masa, tenaga dan kos rawatan pemulihan akibat kesan sampingan rawatan yang bermasalah. Jangan jadikan diri anda mangsa penipuan. Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menyebarkan maklumat yang penting ini kepada ahli keluarga, saudara mara, rakan-rakan dan orang ramai supaya aktiviti ini dapat dihentikan, dicegah agar tidak menjadi mangsa penipuan pengamalan pergigian haram ini.

Terdapat undang-undang yang mengawal pengamal pergigian dan premis pergigian iaitu:

  1. Akta Pergigian 1971 [Akta 51] di mana akta ini mewajibkan pengamal pergigian berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia; dan
  2. Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] mengawal pelbagai aspek berkaitan pengurusan premis perkhidmatan pergigian atau perubatan swasta yang berdaftar dengan KKM. Individu yang memiliki premis pergigian yang tidak berdaftar adalah menyalahi undang-undang di bawah seksyen 5(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] serta boleh didenda maksimum RM300,000 dan/atau penjara tidak melebihi 6 tahun.

Sekiranya anda ternampak tukang gigi jalanan ini, sila salurkan maklumat dan aduan dengan segera ke –

Cawangan Perundangan dan Penguatkuasaan
Bahagian Kesihatan Pergigian
Kementerian Kesihatan Malaysia

Aras 5, Blok E10, Kompleks E, Presint 1
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 Putrajaya
Telefon : 03-88834215 / 4212 / 4237
E-mel : ohd@moh.gov.my

atau

Majlis Pergigian Malaysia
Aras 5, Blok E10, Kompleks E, Presint 1
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 Putrajaya
Telefon : 03-88834217
E-mel : mdc@moh.gov.my

atau

Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta
Bahagian Amalan Perubatan
Kementerian Kesihatan Malaysia

Aras 3, Blok E1, Kompleks E, Presint 1
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 Putrajaya
Telefon : 03-88831301
E-mel : ckaps@moh.gov.my

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Mustaffa b. Jaapar
Akreditor : Dr. Elise Monerasinghe
Penyemak : Dr. Sharol Lail b Sujak

 

Artikel Berkaitan

Aplians Boleh Tanggal

Aplians Boleh Tanggal adalah salah satu jenis aplians yang digunakan dalam rawatan ortodontik selain daripada aplians tetap, aplians fungsi dan alat ekstra-oral.

Caj Pergigian

Caj di klinik pergigian kerajaan adalah mengikut Akta Fee 1951 – Arahan Fee (Perubatan)1982.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,225,452

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia