A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Bayi & Kanak-Kanak
  4. /
  5. Keadaan Penyakit Khusus
  6. /
  7. Pendidikan Anak Bermasalah Pendengaran

Pendidikan Anak Bermasalah Pendengaran

Kepesatan dan kecanggihan teknologi masa kini telah berjaya mewujudkan beberapa peralatan khas untuk membantu kanak-kanak bermasalah pendengaran mendengar dan bertutur sama seperti kanak-kanak lain. Dalam negara kita sendiri usaha untuk mendiagnosis kanak-kanak yang bermasalah pendengaran seawal yang mungkin telah pun dilaksanakan di beberapa buah hospital kerajaan, hospital universiti dan hospital swasta,  Ini bermakna kanak-kanak bermasalah pendengaran ini akan dikenalpasti lebih awal, dipakaikan alat amplifikasi yang sesuai serta mendapat latihan pemulihan awal supaya dapat bersaing dengan perkembangan kanak-kanak yang sebaya dengannya.

Di negara-negara maju, mereka telah mula melatih kanak-kanak bermasalah pendengaran dengan lebih awal dengan bantuan Alat Bantu Pendengaran atau Implam Koklea. Malah mereka kini telah berusaha menempatkan kanak-kanak bermasalah pendengaran ini di sekolah-sekolah normal supaya kanak-kanak ini mendapat peluang pendidikan yang sama seperti kanak-kanak yang normal.

Tahap Pendengaran:

  • Tahap pendengaran yang normal: 0-20dB
  • Rendah (mild hearing loss 25-40dB) atau
  • Sederhana (moderate hearing loss 45-65dB) atau
  • Teruk (severe hearing loss 70-90dB) atau
  • Sangat Teruk (profound hearing loss > 90dB)

Ciri-ciri masalah pendengaran mengikut tahap (Asiah 2012):

  1. Ringan: mempunyai hanya sedikit masalah pendengaran. Contoh: hanya mempunyai masalah untuk mendengar bunyi yang perlahan sahaja
  2. Sederhana: boleh mendengar dalam jarak 1 hingga 1.5 meter. Dapat dibantu dengan alat bantu pendengaran dan kadangkala dirujuk kepada terapi perututuran supaya dapat menghasilkan perkataan yang betul
  3. Sederhana teruk: perlukan suara yang dikuatkan dalam perbualan; tidak dapat bertutur dengan baik kerana tidak boleh mendengar bunyi pertuturan yang betul dengan jelas.
  4. Teruk: hanya dapat mendengar bunyi yang kuat sahaja; mengalami pelbagai masalah bahasa dan pertuturan. Walaupun sebilangannya mempunyai tahap kecerdasan yang normal, tetapi mereka terjejas daripada aspek persepsi, sosial, emosi, pendidikan dan vokasional kerana kekurangan makumat serta kefahaman dalam bidang yang berkaitan.

Keperluan penting: pakar perubatan, pakar pendidikan, pakar bidang dalam menentukan peringkat dan tahap perkembangan dan pemerolehan bahasa. Jika kecacatan berlaku pada peringkat sebelum pemerolehan bahasa, individu itu pasti tidak dapat berbahasa dan tiada kemahiran bertutur untuk komunikasi. Intervensi awal seperti terapi pertuturan, fisioterapi, rawatan perubatan, pendidikan perlu disegerakan. Pasukan pelbagai disiplin seperti pakar ENT, audiologis, terapi pertuturan,guru bahasa isyarat, guru pendidikan khas perlu bekerjasama untuk menge ndalikan pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak bermasalah pendengaran ini. Pihak lain seperti ibu bapa, ahli keluarga dan ahli dalam komuniti juga perlu dilibatkan dalam membantu mereka .

Ciri-ciri pelajar bermasalah pendengaran:

  1. Perkembangan bahasa:
    • belajar bahasa dengan melihat
    • lemah dalam percakapan, bacaan, kefahaman dan penulisan walaupun menguasai bahasa isyarat dengan baik
    • biasanya faham konsep tunggal
  2. Perkembangan Intelek
    • tanpa kecacatan lain, intelek adalah normal
    • proses berfikir sama dengan individu biasa
  3. Perkembangan sosial
    • sangat bergantung kepada orang
    • sangat rapat sesama rakan sendiri
    • kurang matang: malu, lebih masalah emosi semasa remaja
  4. Pencapaian akademik
    • pelajar yang mempunyai ibu bapa yang juga hilang pendengaran mempunyai pencapaian akademik yang lebih baik
    • lemah dalam banyak mata pelajaran kecuali Matematik, seni lukis, PJK. Amat lemah dalam bahasa.

Pengajaran dan Pembelajaran pelajar bermasalah pendengaran

Pendekatan Pengajaran: bermasalah pendengaran

  • Pendekatan lisan dengan sisa pendengaran yang ada
  • hanya guna pertuturan untuk memahami & menyampaikan Bahasa
    • dilarang menggunakan isyarat (gesture) / pointing/ spelling out
    • guna kiu auditori , visual dan tactual
    • pembesaran bunyi, latihan auditori, speech reading, alat bantu teknologi
  • Isyarat pertuturan
    • guna kiu auditori , visual dan tactual
  • Komunikasi seluruh
    • digunakan secara meluas di sekolah
  • Bahasa Isyarat
    • guna isyarat untuk mewakili kata-kata, idea dan konsep
    • juga guna ikon untuk sampaikan makna

Pendidikan untuk kanak-kanak bermasalah pendengaran

Penempatan persekolah untuk kanak-kanak yang bermasalah pendengaran bergantung kepada darjah pendengarannya. Pada umumnya ibu bapa digalakkan supaya menghantar anak-anak mereka mengikuti aliran normal (pendidikan inklusif) sekiranya tahap pendengaran anak-anak mereka tidak begitu teruk.

Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran yang serius pula boleh mengikuti Program Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran yang ada di sekolah khas atau pun program percantuman yang terdapat di seluruh negara.

Bagi kanak-kanak yang belajar di sekolah rendah, mereka boleh mengikuti kelas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) atau mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (percantuman) di sekolah kebangsaan. Kesemua sekolah berkenaan mengguna pakai kurikulum kebangsaan, mengikuti masa persekolahan yang sama, mengambil peperiksaan yang sama (UPSR) dan boleh mengikuti kelas pra-sekolah bagi kanak-kanak yang berumur empat hingga enam tahun.

Begitu juga pelajar-pelajar yang bermasalah pendengaran berpeluang untuk bela jar di sekolah menengah yang biasa melalui program integrasi. Pelajar berkenaan juga boleh belajar di Sekolah Menengah Vokasional di Shah Alam, Sekolah Menengah Tanjung Bungah dan Sekolah Menengah Teknik yang mempunyai program percantuman dengan mengikuti aliran akademik dari tingkatan satu hingga tingkatan lima seperti pelajar-pelajar normal yang lain. Pelajaran berjalan menerusi program percantuman dan program inklusif. Pelajar ini boleh mengambil peperiksaan awam seperti PMR, SPM, STPM dan Sijil Kemahiran Malaysia.

Di samping itu, pelajar-pelajar bermasalah pendengaran ini boleh meneruskan pengajian mereka ke politeknik, Maktab Perguruan Ilmu Khas dan juga ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) (Petikan dari Maklumat Pendidikan Khas 2003. Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia).

Peranan Audiologis:

  1. Terlibat dalam pencegahan, pengenalpastian, penilaian dan pengurusan individu yang mengalami masalah pendengaran
  2. Mendiagnosis masalah pendengaran pada kanak-kanak dan mengenal pasti kehilangan pendengaran kanak-kanak pada setiap peringkat yang berbeza
  3. Membekalkan terapi pendengaran serta memakaikan alat bantu pendengaran yang sesuai dengan kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran
  4. Pakar audiologi berhak menilai, memilih dan mendispensi alat bantuan pendengaran
  5. Membekalkan sepenuhnya perkhidmatan pemulihan pendengaran di sekolah-sekolah awam kerajaan mahupun swasta bagi semua tahap pendidikan
  6. Membekalkan kaunseling secara individu untuk membantu individu bermasalah pendengaran agar dapat berinteraksi dengan lebih efektif dalam kehidupan sosial, pendidikan dan persekitaran
  7. Memberikan nasihat dalam pemilihan sistem amplifikasi bilik darjah untuk murid-muid bermasalah pendengaran. Ini meliputi alat bantuan pendengaran peribadi dan sistem FM
  8. Bertanggungjawab dan turut serta bersama profesional lain dalam memilih calon yang sesuai untuk implan koklea serta melakukan pemetaan koklea
  9. Memberi pendidikan kepada ibubapa yang mempunyai anak-anak bermasalah pendengaran dari segi mendengar, bertutur dan menggunakan bahasa. Khidmat nasihat mengenai penempatan dan penempatan semula murid turut diberikan
  10. Merujuk kes-kes tertentu kepada pakar telinga, hidung dan tekak, psikologi, pakar kanak-kanak, terapi pertuturan dan sebagainya

Peranan guru:

  1. Guru-guru yang mengajar murid-murid bermasalah pendengaran perlu terlebih dahulu mendapat pendidikan formal dan memahami masalah pendengran, ciri-ciri kanak-kanak ini dan memahami secara menyeluruh tentang murid-murid bermasalah pendengaran.
  2. Belajar mengenal alat bantuan pendengaran pelajar
  3. Belajar ASL / KTMB / Ejaan Jari
  4. Guna komunikasi keseluruhan: isyarat+ percakapan + bacaan bibir
  5. Mengadap pelajar semasa bercakap
  6. Galakkan pelajar bertanya
  7. Memahami ekspresi muka pelajar
  8. Menerima tahap penguasaan bahasa
  9. Galakkan pelajar biasa yang normal menerima pelajar bermasalah pendengaran
  10. Bertanggungjawab untuk menyimpan rekod-rekod peribadi murid dan sentiasa mengemaskini rekod tersebut supaya perkembangan murid-murid dapat diperbaharui

Peranan Ibu bapa:

  1. Prosedur yang telah ditetapkan agar kanak-kanak bermasalah pendengaran dapat masuk ke sekolah kerajaan. Ibu bapa hendaklah:
    • Isikan borang Biodata Kanak-kanak dengan Keperluan Khas yang boleh didapati dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital kerajaan, pusat kesihatan, Sekolah Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran atau Pusat Perkhidmatan Pendidikan khas / Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri.
    • Dapatkan pengesahan daripada doktor di hospital
    • Borang tersebut hendaklah diserahkan ke Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri untuk tindakan pendaftaran dan penempatan yang selanjutnya.
    • Satu salinan borang berkenaan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya direkodkan sebagai orang kurang upaya (OKU)
  2. Ibu bapa boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar audiologi mengenai pemakaian dan penjagaan alat bantu pendengaran
  3. Kajian mendapati, masalah mendidik anak dalam kalangan ibu bapa adalah berpunca daripada masalah komunikasi, tidak menguasai bahasa isyarat, dan kurang pengetahuan tentang cara mendidik perkembanagn emosi dan sosial kanak-kanak
  4. Ibu bapa adalah individu yang berperanan utama dalam menguruskan persekitaran pembelajaran di rumah
  5. Penyertaan ibu bapa dalam intervensi awal adalah penglibatan berasaskan rumah dan bertindak sebagai peserta dan penyokong. Di rumah, ibu bapa berperanan memberi peneguhan positif terhadap tingkah laku anak di sekolah
  6. Ibu bapa sebagai pendorong dan pemberi maklumat. Berkongsi segala maklumat mengenai anak kita dengan guru di sekolahnya. Perlu ada hubungan baik dengan guru.
  7. Hubungan rapat dengan ibu bapa kanak-kanak bermasalah pendengaran yang lain untuk berkongsi maklumat dan pengalaman

Rujukan

  1. Asiah Hj. Ahmad (2012). Mengenal dan menangani orang kurang upaya. Kuala Lumpur: Dewan       Bahasa dan Pustaka.
  2. Heward, W.L. (1996). Exceptional children: an introduction To special education (5th ed). Englewood Cliffs, N.J.: American Psychological Association.
  3. Kirk, S.A., Gallagher, J.J., & Anatasiow, N.J. (1993). Educating exceptional children (7thed.). Boston: Allyn and Bacon.
  4. Mohd Syahrulikram Mohd Yasin, Nor Azizah Nurdin (2007) Kemahiran Awal Pendengaran & Pertuturan (1st ed). Selangor.
Semakan Akhir : 15 Disember 2014
Penulis : Nur Syuhada bt Mohd Rosli
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

 

Artikel Berkaitan

Suara Serak Anakku

Kanak-kanak itu dikatakan mempunyai masalah suara sekiranya kelangsingan/ kekuatan suara/ kualiti atau sengau adalah berbeza dengan kanak-kanak sebaya dan sama jantina dengannya.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,237,100

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia