A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Audiologi
  6. /
  7. Pendengaran Kita

Pendengaran Kita

Pengenalan

Pendengaran merupakan salah satu pancaindera yang penting kepada setiap manusia. Pendengaran penting dalam proses komunikasi. Untuk menghasilkan komunikasi yang berkesan, pendengaran yang normal adalah syarat yang penting. Walaubagaimanapun, masalah pendengaran merupakan masalah yang tersembunyi dan tidak dapat ditentukan melalui pemerhatian fizikal semata-mata. Ia hanya boleh dikesan setelah menjalani beberapa ujian pendengaran. Mengikut statistik, masalah pendengaran berlaku pada setiap peringkat umur, sama ada peringkat bayi, remaja, dewasa mahupun warga tua. Oleh itu, pengetahuan mengenali telinga anda adalah penting untuk mengetahui lebih mendalam mengenai  fungsinya  dan masalah pendengaran yang hadapi.

Struktur Fungsi Pendengaran

Pendengaran manusia terdiri daripada tiga bahagian, iaitu telinga luar, tengah dan dalam. Setiap bahagian telinga mempunyai organ untuk menjalankan fungsinya yang tersendiri. Telinga luar terdiri daripada cuping telinga dan salur  auditori. Cuping telinga berfungsi untuk mengumpul bunyi dan mengfokuskan bunyi datang dari setiap arah. Salur auditori pula bertindak untuk menyalurkan bunyi ke bahagian telinga tengah.

Organ telinga tengah pula terdiri daripada gengendang telinga, tulang-tulang osikel, dan tiub eustachio. Gegendang telinga berfungsi sebagai membran yang memisahkan telinga luar dan telinga tengah. Manakala tulang-tulang osikel pula bertindak sebagai organ yang mengamplifikasi bunyi yang diterima daripada telinga luar untuk di salurkan ke telinga dalam.

Telinga dalam terdiri daripada koklea, salur separuh bulat, dan saraf auditori. Koklea berfungsi untuk menukarkan gelombang magnetik bunyi kepada gelombang elektrik untuk dihantar ke saraf auditori. Saraf auditori akan menghantar gelombang elektrik bunyi ke otak untuk ditafsirkan. Salur separuh bulat pula tidak terlibat dalam proses pendengaran kerana ia merupakan organ untukkeseimbangan badan manusia.

pendengaran_kita1

Rajah 1: Sruktur Telinga

Mekanisma Pendengaran

Mekanisme pendengaran berfungsi apabila gelombang bunyi memasuki salur auditori telinga dan menggerakkan gegendang telinga (membran timpanik) yang seterusnya menyebabkan getaran pada membran timpanik dan tulang-tulang osikel (incus, stapes dan maleus) . Pergerakan tulang stapes merangsang tingkap bujur untuk bergetar dan menyebabkan pergerakan cecair dalam koklea yang merangsang membran basilar untuk bergetar. Pergerakan ini akan merangsang organ of corti yang akan menghantar rangsangan saraf ke otak.

Oleh itu, untuk mendengar secara normal, kesemua bahagian telinga iaitu telinga luar, tengah dan dalam haruslah boleh berfungsi secara optimum tanpa sebarang jangkitan atau abnormaliti. Sebarang gangguan di mana-mana bahagian akan menyebabkan individu berkenaan menghadapi masalah pendengaran dan kesan masalah ini bergantung kepada tahap keterukan masing-masing.

pendengaran_kita2

Rajah 2: Mekanisma Bunyi

Masalah Pendengaran

Jenis Masalah Pendengaran

Mengetahui jenis masalah pendengaran yang anda hadapi adalah penting kerana ia akan membantu  anda dalam menyelesaikan masalah tersebut. Terdapat masalah pendengaran yang bersifat sementara (boleh dirawat), dan yang bersifat kekal (tidak boleh dirawat).

Terdapat tiga jenis masalah pendengaran, iaitu masalah pendengaran jenis konduktif, sensorineural, dan campuran. Masalah pendengaran konduktif ialah sebarang jangkitan atau penyakit yang melibatkan dua bahagian telinga iaitu telinga luar  dan telinga tengah. Manakala masalah pendengaran jenis sensorineural pula melibatkan patologi pada saraf auditori pendengaran manusia. Masalah jenis campuran ialah patologi yang melibatkan saraf auditori dan dua bahagian telinga iaitu telinga luar dan telinga tengah.

Masalah pendengaran jenis konduktif ialah masalah pendengaran yang sementara dan boleh dirawat samada dengan pengambilan ubat atau pembedahan. Masalah jenis ini biasanya akan kembali pulih seperti biasa dalam tempoh masa tertentu. Antara contoh masalah konduktif yang melibatkan telinga luar ialah ketiadaan cuping telinga (anotia), cuping telinga yang kecil (microtia),  ketiadaan salur telinga (atresia), tahi telinga tersumbat, dan jangkitan pada bahagian telinga luar (otitis external). Manakala penyakit yang melibatkan telinga tengah ialah, gegendang telinga pecah, jangkitan pada telinga tengah (otitis media), dan tulang telinga tercabut (ossicular discontinuity).

Sementara itu, masalah yang melibatkan saraf auditori pendengaran pula ialah kekal dan pendengaran tidak dapat kembali kepada asal. Rawatan yang sesuai untuk masalah pendengaran jenis sensorineural ialah dengan memakai alat bantu pendengaran. Masalah sensorineural akan berlaku apabila terdapat patologi pada bahagian koklea dan pada saraf pendengaran. Ianya tidak dapat dikesan dengan mata kasar, tetapi hanya dapat dikenalpasti melalui keputusan ujian pendengaran secara menyeluruh dan lengkap.

Masalah pendengaran campuran pula berlaku apabila terdapat masalah pendengaran serentak iaitu masalah pendengaran konduktif dan sensorineural hadir bersama.
Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai masalah pendengaran sensorineural juga mempunyai masalah pada bahagian telinga tengah (gegendang telinga yang bocor atau pecah) dikategorikan sebagai mempunyai masalah pendengaran campuran. Apa jua masalah yang berlaku di telinga luar atau tengah beserta masalah di telinga dalam disebut sebagai masalah pendengaran campuran.

Tahap Masalah Pendengaran

Julat pendengaran manusia terbahagi kepada beberapa tahap. Tahap yang pertama iaitu tahap normal, diikuti dengan tahap yang kedua iaitu permulaan kepada masalah pendengaran iaitu tahap ringan. Seterusnya ialah tahap masalah pendengaran yang sederhana teruk, tahap teruk dan terakhir, ialah tahap masalah pendengaran yang sangat teruk. Tahap-tahap masalah pendengaran dapat dilihat dalam keputusan (audiogram) yang diperoleh setelah menjalani ujian audiometri nada tulen (Pure Tone Audiometry). Pengelasan khusus kepada tahap-tahap masalah pendengaran ini dapat dilihat seperti dalam rajah 3.

pendengaran_kita3

Rajah 3: Tahap masalah pendengaran

Bagi pendengaran manusia yang normal, bunyi dapat dikesan pada intensiti yang rendah iaitu kurang daripada 25dB. Anda akan didiagnosa sebagai mempunyai masalah pendengaran tahap ringan apabila dapat mengesan bunyi pada intensiti antara 25dB hingga 40dB. Sekiranya anda mengalami masalah pendengaran pada tahap ini, anda akan mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dalam keadaan yang bising, dimana anda akan meminta percakapan diulang berkali-kali.

Masalah pendengaran tahap sederhana / sedang pula, dapat mengesan bunyi antara 45dB hingga 65dB.  Pada tahap ini, suara sendiri menjadi lebih perlahan dan bunyi di sekeliling anda juga perlahan. Kebiasaannya, anda akan menghadapi kesukaran ketika proses komunikasi walaupun suasana ketika itu dalam keadaan yang senyap. Ia akan menjadi lebih sukar sekiranya anda tidak berhadapan dengan penyampai, kerana anda tidak dapat membaca gerak bibir penyampai. Pada tahap ini juga, anda akan banyak bergantung kepada gerak bibir penyampai untuk memahami mesej yang akan disampaikan.

Seterusnya masalah pendengaran tahap teruk/berat pula, mula mengesan bunyi pada intensiti antara 70 dB hingga 85dB. Tahap yang seterusnya ialah tahap masalah pendengaran yang paling teruk dimana bunyi yang dapat dikesan ialah antara 90dB dan ke atas (120dB pada kebiasaan audiogram). Pada tahap ini, proses komunikasi akan menjadi lebih sukar. Hal ini disebabkan, penyampai haruslah menguatkan suara mereka untuk menyampaikan mesej kepada anda. Selain suara yang kuat, gerak badan dan gerak bibir amat penting kepada mereka yang mempunyai masalah pendengaran pada tahap ini untuk proses komunikasi.

pendengaran_kita4

Rajah 4: Klasifikasi bunyi mengikut tahap pendengaran

Punca Masalah Pendengaran

Punca masalah pendengaran dikelaskan kepada tiga iaitu, sebelum kelahiran, ketika kelahiran, dan selepas kelahiran. Antara punca masalah pendengaran sebelum kelahiran ialah, baka/keturunan, pengambilan dadah yang berlebihan, dan jangkitan penyakit. Manakala punca-punca masalah pendengaran semasa kelahiran ialah, bayi yang lahir tidak cukup bulan, dan bayi lemas ketika dalam proses kelahiran (anoxia). Sementara, punca selepas kelahiran pula ialah, penyakit berjangkit disebabkan bakteria dan virus, pengambilan ubat berototoksik, demam panas bersuhu tinggi, kuning (Jaundice), lahir dengan kurang berat badan iaitu kurang daripada 1.5 kilogram (low birth weight), jangkitan pada telinga tengah (otitis media), terdedah pada bunyi bising dalam tempoh yang lama dan berterusan, dan penuaan.

Masalah pendengaran yang berpunca daripada baka/keturunan akan menyebabkan perkembangan bahasa terbantut. Hal ini disebabkan, pendengaran adalah penting dalam proses pembelajaran bahasa ketika di peringkat awal kelahiran lagi. Sekiranya diabaikan, ia akan membawa kepada masalah bisu dan pekak.

Bayi yang lemas dalam proses kelahiran juga cenderung mendapat masalah pendengaran. Hal ini disebabkan, oksigen yang cukup tidak dapat disalurkan ke bahagian organ pendengaran (koklea) menyebabkan fungsinya terbantut. Selain itu, bayi yang mengalami masalah kuning (Jaundice) yang kronik selepas kelahiran juga cenderung untuk mendapat masalah pendengaran kesan daripada rawatan yang diberikan kepada bayi tersebut. Di samping itu, bayi dan kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada jangkitan telinga tengah (otitis media) kerana struktur telinga mereka yang belum matang berbanding orang dewasa.

Faktor persekitaran juga boleh menyebabkan berlakunya masalah pendengaran. Sebagai contoh, sekiranya anda terdedah kepada bunyi yang terlalu kuat dalam tempoh yang terlalu lama (lebih dari 8 jam) sehari dan berterusan tanpa alat pelindung telinga     , anda akan lebih mudah mendapat masalah pendengaran jenis sensorineural.

Disamping faktor persekitaran, penuaan juga merupakan salah satu faktor masalah pendengaran. Masalah pendengaran biasanya dihadapi oleh orang dewasa yang berumur 50 tahun ke atas. Mereka akan mengalami kemerosotan pendengaran kesan daripada saraf pendengaran yang tidak aktif dan fungsinya yang semakin merosot akibat penuaan.

Rujukan

  1. Gelfand, Stanley A. (1948). Essentials of Audiology,  Anatomy & Physiology of the Auditory System (41-58)
  2. Gelfand, Stanley A. (1948). Essentials of Audiology, Pure Tone Audiometry (157-160)
  3. Gelfand, Stanley A. (1948). Essentials of Audiology, Auditory System & Related Disorder (174-176, 187)
Semakan Akhir : 16 Februari 2016
Penulis : Shahrom b. Ab Rahman
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

Artikel Berkaitan

Alat Bantu Pendengaran : Teknologi RIE (Receiver-In-The-Ear)

RIE (receiver-in-the-ear) merupakan alat bantu pendengaran dengan kedudukan receiver atau speaker diletakkandi dalam salur telinga. Ini merupakan inovasi alat bantu pendengaran jenis belakang telinga yang memberi bunyi yang lebih baik dan mengecilkan saiz alat bantu pendengaran. Kebiasaannya alat ini dihubungkan dengan dome atau insert eartip. namun boleh juga menggunakan ear mould bergantung kepada tahap masalah pendengaran.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,739,035

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia