A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pemutihan Gigi (Tidak Vital)

Pengenalan – Termasuk Bahan Yang Digunakan

Semua orang ingin mempunyai gigi yang putih. Adakah ini bermakna bahawa kita boleh memberikan rawatan pemutihan gigi kepada setiap pesakit? Ya ,hampir kepada semua orang!

Salah satu sebab pesakit mendapatkan rawatan gigi adalah gigi hadapan berubah warna. Ia adalah satu kebimbangan estetik yang dapat memberi kesan yang mendalam terhadap diri pesakit, interaksi pesakit dengan orang lain dan dalam pekerjaan. Kini kita mempunyai teknik pemutihan gigi yang ringkas dan lebih mudah diramalkan. (Nota: artikel ini menggunakan istilah “pemutihan” dan “pelunturan” silih berganti).

Perubahan warna gigi berbeza dari segi etiologi, rupa, lokasi, tahap perubahan warna, dan daya lekatan kepada struktur gigi. Ia boleh ditakrifkan sebagai :

  • Ekstrinsik – faktor dari persekitaran, iaitu, kesan daripada makanan, minuman atau merokok,
  • Intrinsik – faktor dari dalam rongga mulut, iaitu pengumpulan bahan berpigmen dalam struktur gigi semasa pembentukan gigi atau gigi tidak vital,
  • Gabungan kedua-dua.

Bahan-bahan yang sering digunakan untuk proses pemutihan gigi adalah:

  • Hidrogen peroksida
  • Peroksida carbamide
  • Sodium perborate

Apakah Itu Pemutihan Gigi?

“Pemutihan Gigi ” adalah untuk membuatkan warna gigi yang gelap kelihatan lebih putih.

  • Terdapat beberapa teknik yang berbeza untuk proses pemutihan gigi. Ia bergantung kepada pelbagai punca perubahan warna tersebut.
  • Tidak kira apa teknik pemutihan atau bahan pemutihan yang sedang digunakan, mod tindakannya adalah sama, iaitu melibatkan tindakbalas pengoksidaan dan seterusnya menyebabkan pembebasan molekul oksigen.
  • Molekul oksigen inilah yang menembusi gigi dan membebaskan molekul pigmen menyebabkan gigi menjadi putih.

Gigi Tidak Vital

Gigi menjadi tidak vital apabila pulpa atau saraf gigi menjadi nekrotik, atau mati, disebabkan

  • bahan tampalan yang diletakkan terlalu dekat dengan pulpa
  • karies menembusi ruang saraf gigi atau
  • kerana trauma

Gigi tidak vital akan kehilangan darah dan bekalan air, menjadikannya sedikit rapuh dan berubah warna. Rawatan kanal akar boleh dilakukan untuk menyelamatkan gigi, tetapi tidak dapat mengekalkan warna asal gigi.

Mengapa Gigi Tidak Vital Menjadi Gelap?  

  • Apabila gigi mengalami trauma dan pulpa mula menjadi nekrotik, sel darah akan terkeluar sebagai sebahagian daripada proses keradangan.
  • Sel darah ini akan terperangkap dalam tubul dentin dan apabila sel darah ‘break down’.
  • Hasil ‘break down’ sel darah akan menembusi tubul dentin dan menyebabkan kesan gelap ini.

Rawatan Yang Ideal Untuk Gigi Tidak Vital

  • Rawatan Korona gigi sering diberi untuk melindungi struktur gigi belakang yang lemah dari fraktur. Jadi, perubahan warna pada gigi belakang ini tidak penting.
  • Selalunya gigi yang berubah warna akan dikoronakan atau venir untuk membuatnya sepadan dengan gigi bersebelahan. Walau bagaimanapun, bagi gigi hadapan yang mempunyai struktur gigi yang utuh sering tidak dikoronakan. Rawatan gigi tidak vital ini ialah pelunturan gigi. Pelunturan bagi gigi tidak vital (selalunya hadir dengan perubahan warna) adalah alternatif yang konservatif daripada rawatan yang lebih invasif tetapi estetik seperti korona atau venir. Tambahan pula, apabila korona bebas logam (All Ceramic) dirancang, pemutihan gigi yang telah berubah warna sangat berguna bagi meningkatkan hasil estetik akhir korona bebas logam.

Bagaimana Rawatan Pemutihan Gigi Dilakukan?

Pada asasnya terdapat tiga pilihan yang berbeza untuk pemutihan gigi tidak vital:

  1. Perlunturan “Berjalan”
  2. Pelunturan Di Dalam / Di Luar
  3. Pelunturan Di Surgeri

Kaedah Dan Prosedur Yang Berbeza?

1.    Teknik Perlunturan “Berjalan”

  • Kaedah ini kurang invasif dalam pelunturan gigi tidak vital.
  • Nama Teknik Perlunturan “Berjalan” digunakan adalah kerana prosedur ini seperti mengambil langkah berjalan kaki, langkah demi langkah melalui gigi.
  • Satu lagi sebab untuk memanggil Perlunturan “Berjalan” adalah kerana pesakit boleh “membawa” bahan pemutihan “dalam” gigi, mereka tidak perlu tinggal di klinik untuk rawatan.
  • Teknik ini pertama kali digunapakai oleh Spasser (Spasser, 1961) di mana Sodium perborate dicampur dengan air dalam bentuk pes dan kemudian dimasukkan ke dalam rongga akses gigi.
  • Kemudian, teknik ini telah diubahsuai dengan mencampurkan Sodium perborate dengan hidrogen peroksida dan dimasukkan ke dalam rongga akses gigi (Nutting & Poe, 1967).

Prosedur rawatan

  1. Warna asal gigi pesakit perlu didaftarkan dan didokumenkan.
  2. Pemeriksaan radiografi – untuk menilai kualiti rawatan kanal akar dan memastikan tulang sekitarnya berada dalam keadaan sihat.
  3. Penyediaan rongga akses – bahan pengisian akar ( Gutta perca ) dikeluarkan ke tahap 2mm di bawah margin gusi.
  4. Bahan pelapik servikal akar – Simen digunakan untuk melapik bahan pengisian salur akar bagi mengelakkan penyebaran ejen pelunturan dari ruang pulpa ke dalam ruang salur akar. Simen ini akan bertindak sebagai penghalang/penghadang.
  5. Penggunaan agen pemutihan – Serbuk Sodium perborate dicampur dengan air ke dalam bentuk pes. Kemudian, ia dimasukkan ke dalam ruang pulpa yang kosong, ditutup dengan pelet kapas serta bahan tampalan sementara. Pes Sodium perborate perlu ditukar secara mingguan untuk mencapai status terbaik pelunturan. Ini mungkin perlu diulangi beberapa kali untuk mencapai warna yang dikehendaki.
  6. Tampalan kekal – Apabila perubahan warna yang dikehendaki telah dicapai, bahan tampalan kekal sewarna gigi diletakkan.

2.   Pelunturan Di Dalam / Di Luar

  • Teknik ini pertama kali digunapakai oleh Settembrini et al. (Settembrini et al, 1997) dan kemudiannya telah diubahsuai (Liebenberg, 1997).
  • Seperti namanya, idea ini adalah untuk meletakkan agen pemutihan di kedua-dua permukaan luar dan dalam gigi.
  • Satu kelebihan teknik ini adalah kepekatan agen pemutihan yang rendah adalah mencukupi untuk mendapatkan kesan yang diingini.

Prosedur rawatan

  1. Vakum “splint” disediakan dengan takungan untuk gigi yang akan diluntur.
  2. Rongga akses gigi dibuat seperti dalam teknik pelunturan “Berjalan”.
  3. Rongga akses gigi masih terbuka semasa proses rawatan.
  4. Pesakit diajar dalam penggunaan “splint”.
  5. Dengan menggunakan picagari, rongga akses gigi dan lokasi yang sama dalam “splint” dipenuhi dengan 10% carbamide peroksida ( Kuantiti Ejen pelunturan bersaiz kacang pea).
  6. “Splint” dipakai pada waktu malam.
  7. Selepas tempoh pelunturan, pesakit perlu membersihkan rongga akses gigi.
  8. Recall is recommended every two or three days to monitor the colour change.
  9. Apabila warna yang dikehendaki telah dicapai, rongga akses gigi dibersihkan dan kemudian ditampal dengan bahan tampalan sementara.
  10. Seminggu kemudian, bahan tampalan kekal boleh diletakkan.

3.   Pelunturan Di Surgeri

  • Kaedah ini terkenal untuk pemutihan gigi vital, tetapi ia juga boleh digunakan untuk gigi yang tidak vital.

Prosedur rawatan

  1. Penyediaan rongga akses dan pengobturatan kanal akar yang dilakukan seperti dalam teknik pelunturan “Berjalan”.
  2. Selepas penggunaan 30% hidrogen peroksida gel,15-20 minit setiap kitaran, gel akan dicuci dan prosedur diulangi, jika perlu.

Apakah Kesan-Kesan Sampingan?

  1. Resorpsi Luar Servikal Akar
    • Resorpsi ini tidak menyakitkan, iaitu resorpsi luar akar yang disebabkan oleh keradangan yang berlaku selepas trauma dan selepas proses pelunturan dalaman gigi. Ia biasanya hanya dikesan melalui radiograf rutin, namun bengkak pada gusi atau sakit apabila disentuh kadang-kadang boleh diperhatikan.
    • Ia telah membuktikan bahawa formula menggunakan sama ada hidrogen peroksida 30% sahaja, atau dalam kombinasi dengan natrium perborate, adalah lebih toksik untuk sel-sel ligamen periodontal daripada sodium perborate bercampur dengan air (Harrington & Natkin, 1979).
  2. Kestabilan
    • Kestabilan pelunturan adalah multifaktorial dan berubah-ubah.
  3. Kesan ke atas enamel
    • Enamel boleh menjadi lebih mudah terdedah kepada perubahan warna luaran selepas pelunturan disebabkan oleh peningkatan kekasaran permukaan.
  4. Kesan ke atas bahan tampalan
    • Pelunturan mempunyai kesan yang sedikit atau tiada kesan pada kebanyakan bahan-bahan tampalan.
    • Pelunturan boleh meningkatkan kebolehlarutan ionomer kaca atau simen yang lain dan juga mengurangkan kekuatan ikatan antara enamel dan resin komposit. Kerana pelunturan membebaskan oksigen ke dalam gigi, oksigen yang dibebaskan menghalang pempolimeran resin (Titley et al, 1991).
    •  Temujanji selepas seminggu atau lebih selepas proses pelunturan adalah dinasihatkan, sebelum bahan tampalan kekal diletakkan.
  5. Keracunan
    • Kontroversi masih wujud mengenai prosedur pemutihan gigi.

Berapa Lamakah Masa Yang Diambil Bagi Rawatan Ini?

  • Kesan pemutihan adalah berbeza, iaitu perubahan warna gigi mempunyai multifaktorial etiologi akibat tindak balas “physiochemical complexes” antara chromogen dan bahan gigi.
  • Diagnosis yang betul mengenai punca gigi berubah warna adalah amat penting kerana ia mempunyai kesan yang mendalam terhadap hasil rawatan.

Berapakah Kos Yang Terlibat?

  • Harga pelunturan untuk satu gigi (dalam kes gigi tidak vital) adalah RM120 per gigi, manakala harga pelunturan pada setiap gigi berbeza.
  • Kos pelunturan “di rumah” adalah kira-kira RM800 dan ke atas,
  • Kos pelunturan jenis “di bilik rawatan/surgeri ” sekitar RM1500 dan ke atas

(MDA Recommended Scale of Fees, 2010).

Harga yang berbeza-beza bergantung kepada klinik dan kempen promosi.

Adakah pemutihan gigi disubsidi oleh Kerajaan Malaysia? Jawapannya ialah “Tidak”.

Berapa Lamakah Gigi Saya Akan Kekal Putih?

  • “Pemutihan gigi” membantu untuk membuat warna gigi yang lebih cerah sehingga ke tahap tertentu bergantung kepada warna asal.
  • Gigi tidak akan menjadi lebih putih jika telah mencapai kemuncaknya. Keputihan ini akan kekal selama 1 tahun atau lebih (kira-kira 3-5 tahun) bergantung kepada tingkah laku dan penjagaan selepas rawatan setiap orang.
  • Ia adalah disyorkan bahawa pesakit mendapatkan rawatan berkala setiap tahun supaya hasilnya akan bertahan lebih lama dan kekal lebih stabil.

Kesimpulan

  • Pemutihan gigi tidak vital adalah pilihan yang lebih konservatif berbanding dengan pemuliharaan gigi dengan veneers atau korona.
  • Diagnosis yang betul, pemilihan bahan pelunturan, teknik penggunaan, dan pemahaman tentang interaksi biologi dengan tisu lembut dan keras merupakan faktor-faktor yang menentukan bukan sahaja kejayaan segera tetapi juga kejayaan jangka panjang, keselamatan, dan juga kepuasan pesakit.

Untuk maklumat lanjut, sila berunding dengan doktor gigi anda di klinik pergigian kerajaan yang berhampiran.

Rujukan

  1. Harrington, G.W., & Natkin, E. (1979). External root resorption associated with bleaching of pulpless teeth. Journal of Endodontic; 5: 344-48.
  2. Liebenberg, W.H. (1997). Intracoronal lightening of discoloured pulpless teeth: A modified walking bleach technique. Quintessence Int; 28:771-777.
  3. Malaysian Dental Association (MDA) Recommended Scale of Fees. (2010).
  4. Nutting, E.B., & Poe, G.S. (1967). Chemical bleaching of discoloured, endodontically treated teeth. Dental Clinical North America; 11: 655-62.
  5. Settembrini, L., Gultz, J., Kalm, J., & Scherer, W. (1997). A technique for bleaching non-vital teeth inside/outside bleaching. Journal of American Dental Association; 128(9): 1283-1284.
  6. Spasser, H.F. (1961). A simple bleaching technique by using sodium perborate. New Jersey State Dental Journal; 17:365-68.
  7. Titley, K.C., Torneck, C.D., Ruse, N.D., & Krmec, D. (1993). Adhesion of a resin composite to bleached and unbleached human enamel. Journal of Endodontic; 19: 112.
Semakan Akhir : 20 Mac 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Nor Sitah bt. Markom
Akreditor : Dr. Ithnaniah bt. Abd Wahab

 

Artikel Berkaitan

Penyenggara Ruang Membantu Senyuman Sempurna

Pemakaian penyenggara ruang boleh menyebabkan rasa tidak selesa untuk satu tempoh yang singkat. Menelan, makan serta bercakap menjadi sukar dan lidah merasa terganggu sehinggalah ia menjadi kebiasaan.

Tanda – Tanda Bukan Verbal Sakit Gigi

Kemahiran berkomunikasi merupakan asas untuk berhubung secara inter-personal. Walau bagaimanapun, komunikasi bukan verbal merupakan cara utama yang digunakan oleh golongan yang tidak boleh bercakap.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,452,093

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia