A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Pergigian Umum
  6. /
  7. Pemeriksaan Pergigian Berkala

Pemeriksaan Pergigian Berkala

Anda mungkin biasa mendengar saranan atau nasihat berbunyi 'Periksa Gigi Setiap 6 bulan sekali' sejak zaman persekolahan lagi. Bagaimanapun sesetengah orang mungkin tidak perlu pergi terlalu kerap atau sebahagian yang lain perlu mendapatkan pemeriksaan dengan lebih kerap.

Pemeriksaan Pergigian Berkala bagi Orang Dewasa

Pemeriksaan pergigian penting untuk anda mengetahui sekiranya anda mempunyai sebarang masalah pergigian dan juga untuk memastikan kesihatan pergigian anda sentiasa dalam keadaan baik.

Anda mungkin biasa mendengar saranan atau nasihat berbunyi ‘Periksa Gigi Setiap 6 bulan sekali’ sejak zaman persekolahan lagi. Bagaimanapun sesetengah orang mungkin tidak perlu pergi terlalu kerap atau sebahagian yang lain perlu mendapatkan pemeriksaan dengan lebih kerap.

Sebenarnya, jarak masa antara pemeriksaan boleh berbeza-beza dari 3 bulan hingga 2 tahun bergantung kepada tahap kesihatan pergigian (gigi atau gusi) dan juga faktor-faktor risiko.

Sikap bertangguh atau membiarkan masalah menjadi serius tidak patut diamalkan. Mencegah adalah lebih baik dari merawat, ini bukan sahaja mengelakkan anda dari kesakitan tetapi juga boleh menjimatkan kos dan masa.

 

Semasa pemeriksaan, doktor gigi biasanya:-

  1. Memeriksa gigi, gusi dan mulut anda.
  2. Bertanya tentang kesihatan badan anda*.
    (*Seseorang yang mempunyai penyakit sistemik seperti Diabetes (kencing manis), penyakit Kardiovaskular, penyakit perdarahan, penyakit auto imun adalah mereka yang mempunyai risiko).
  3. Bertanya tentang apa-apa perubahan berkaitan dengan kesihatan gigi, gusi dan mulut anda semenjak lawatan yang terakhir.
  4. Bertanya dan juga memberi nasihat tentang diet, pengambilan alkohol dan rokok serta amalan pembersihan gigi (memberus, memflos gigi, penggunaan ubat kumur dan sebagainya).

    alt

    Tunjuk ajar memberus gigi dan memflos gigi kepada pesakit
  5. Berbincang tentang rawatan yang perlu anda terima sekiranya perlu.
  6. Berbincang dan menetapkan tarikh temu janji atau pemeriksaan yang akan datang.

Setelah melakukan pemeriksaan, doktor gigi anda akan dapat menilai tahap kesihatan pergigian anda. Seterusnya beliau akan mencadangkan kekerapan pemeriksaan pergigian yang sesuai bagi anda.

Sekiranya tahap kesihatan pergigian anda sangat baik, anda mungkin akan dinasihatkan untuk datang semula sekali dalam tempoh 1 hingga 2 tahun. alt

Bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai masalah atau faktor risiko , anda akan dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan lebih kerap sama ada 3 bulan, 6 bulan atau 1 tahun.

Selain mengesan masalah pergigian di peringkat awal, pemeriksaan pergigian juga boleh menyelamatkan nyawa. Ini kerana 300,000 kes baru kanser mulut didiagnos setiap tahun. Anda mungkin tidak mengetahui bahawa anda sedang menghadapi masalah kerana tanda-tanda tersebut biasanya tersembunyi. Doktor gigi anda akan memeriksa sekiranya terdapat sebarang kelainan pada mukosa mulut, bibir, lidah, lelangit dan tekak. Pengesanan awal lesi berpotensi malignan dan kanser mulut membolehkan rawatan awal dilakukan.

Anda boleh mendapatkan pemeriksaan pergigian di mana-mana klinik pergigian berdaftar berhampiran tempat anda. Sila semak di www.moh.gov.my untuk alamat klinik-klinik pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia.

alt
Salah sebuah klinik pergigian Kementerian Kesihatan

Kesimpulannya, pemeriksaan pergigian secara berkala amat penting bagi memastikan kesihatan anda.

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Che Noor Aini bt. Che Omar
    Dr. Sharol Lail b. Sujak
    Dr. Laila bt. Abd Jalil
Penyemak : Dr. Sharol Lail bin Sujak

 

Artikel Berkaitan

Rawatan Selan Fisur

Selan Fisur merupakan suatu bahan plastik khas, digunakan oleh doktor pergigian untuk menutup lubang-lubang kecil (pits) dan alur yang dalam (fissures) pada permukaan mengunyah gigi geraham (molar).

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,690,081

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia