Home > Pemakanan > Pemakanan Sihat Semasa Tahun Baru Cina

Pemakanan Sihat Semasa Tahun Baru Cina

 

Pengenalan

Tahun Baru Cina merupakan antara perayaan terpenting kaum Cina bagi menyambut tahun baru mengikut kalendar tradisional Cina. Perayaan ini disambut sehingga hari ke-15 atau lebih dikenali sebagai Chap Goh Mei.

 

Kenapa Berat Badan Mudah Bertambah Semasa Perayaan Tahun Baru Cina ?

Sepanjang sambutan perayaan ini, kaum Cina akan kunjung-mengunjung sanak-saudara dan rakan-rakan. Biasanya, tuan rumah akan menghidangkan pelbagai jenis makanan kepada tetamu. Oleh itu, kaum Cina cenderung untuk naik berat badan selepas perayaan akibat peningkatan kekerapan dan kuantiti makanan yang diambil.

Dipercayai ramai orang mempunyai pengalaman sama seperti Ah Meng. Semasa musim perayaan, beliau mengunjungi 3 buah rumah kawan-kawan dalam sehari. Dalam masa yang sama, beliau makan 3 hidangan utama sehari seperti biasa (anggaran 500 kcal setiap hidangan).

Pengambilan kalori sehari semasa Tahun Baru Cina bagi Ah Meng

Di setiap rumah kawan-kawan, secara purata beliau mengambil :

2 biji limau mandarin 100 kcal
2 biji fortune cookies 80 kcal
½ mangkuk kacang tanah panggang 85 kcal
1 kotak minuman 90 kcal
   
Jumlah 355 kcal

 

Untuk 3 buah rumah, Ah Meng mengambil = 355 kcal  X  3
  = 1065 kcal

 

Ah Meng mengambil 3 hidangan utama seperti biasa = 500 kcal  X  3
  = 1500 kcal

 

Oleh itu, anggaran pengambilan kalori sehari bagi Ah Meng pada Tahun Baru Cina :

1065 kcal + 1500 kcal = 2565 kcal

 

Jadi, Ah Meng telah mengambil 2565 kcal atau 128% daripada keperluan hariannya (2000 kcal sahaja bagi seorang lelaki dewasa yang mengamalkan gaya hidup sedentari).

 

 

Bagi membakar 565 kcal yang berlebihan, Ah Meng perlu berenang selama 1 jam 15 minit.

Jika kalori berlebihan tidak digunakan, ia akan menjadi lemak dan menyebabkan peningkatan berat badan. Oleh itu, amalkan makan secara sihat dan kekal aktif dalam melakukan aktiviti fizikal sepanjang musim perayaan. Ini akan membantu kita menikmati makanan semasa musim perayaan tanpa menjejaskan kesihatan.

 

8 Tips Makan Secara Sihat Semasa Tahun Baru Cina

Semasa perayaan, kebiasaannya terdapat pelbagai makanan tradisional dihidangkan. Keadaan ini akan menyebabkan pengambilan makanan secara berlebihan berbanding hari-hari biasa. Berikut adalah panduan yang boleh dirujuk untuk mengekalkan amalan makan secara sihat :

1)  Makan mengikut waktu. Elakkan melangkau waktu makan.

2)  Makan mengikut keperluan.

  • Jika ingin menikmati semua makanan yang dihidangkan semasa ‘makan besar’, cukup sekadar merasa sahaja setiap jenis makanan.
  • Elakkan makan sampai kenyang.

3)  Pilih menu dan kaedah memasak yang sihat seperti :

  • Kukus, rebus, sup atau bakar.
  • Jika menggoreng, guna sedikit minyak sahaja.

4)  Amalkan pemakanan yang seimbang.

Contoh menu :

  • 2 senduk nasi putih (100g)
  • 1 keping daging (100g)
  • 4 sudu sayur-sayuran (50g)
  • 1 keping tauhu (atau 2 sudu kekacang, 50g).
Betul Salah

5)  Susun makanan di atas pinggan secara teratur.

  • Elakkan menimbun makanan bagi mengurangkan makan secara berlebihan.

6)  Ambil hidangan makanan dalam sukatan yang kecil atau guna piring / pinggan yang kecil.

7)  Apabila menghadiri jamuan ‘makan besar’, ambil hidangan dalam saiz yang kecil.

8)  Nikmati makanan dan kunyah makanan secara perlahan-lahan.

 

Tips Pengambilan Makanan Untuk Pesakit Diabetes Mellitus

Pengawalan pengambilan makanan semasa Tahun Baru Cina yang penuh dengan pelbagai makanan merupakan perkara yang amat mencabar.

Walau bagaimanapun, pesakit Diabetes Mellitus masih boleh menikmati makanan semasa sambutan perayaan berpandukan tips seperti berikut :

  1. Sekiranya perlu menghadiri jamuan yang tidak dapat dielakkan, anda boleh mengambil makanan tambahan tetapi jangan melebihi saranan keperluan pemakanan anda.
  2. Elak mengambil makanan secara tidak terkawal atau terlampau banyak terutamanya bagi mereka yang mempunyai paras glukosa darah yang tidak terkawal.
  3. Sekiranya terlebih makan, anda perlu melakukan aktiviti fizikal untuk membakar kalori dan memantapkan paras glukosa darah. Walau bagaimanapun, adalah tidak sesuai menjalankan aktiviti lasak apabila paras glukosa darah melebihi 15 mmol/L.
  4. Sebagai ingatan, anda perlu mengehadkan pengambilan makanan sumber karbohidrat termasuk makanan manis. Contoh :
    >>>  nasi putih
    >>>  mi
    >>>  roti putih
    >>>  bubur nasi
    >>>  kuih-muih
    >>>  pau
    >>>  ubi-ubian.
  5. Anda juga harus mengambil makanan berlemak dan makanan sumber protein mengikut keperluan anda. Sumber protein haiwan seperti ikan, ayam, daging atau telur tidak boleh menggantikan makanan sumber karbohidrat.
  6. Alkohol akan mempengaruhi ketidakstabilan paras glukosa darah. Pengambilan alkohol berlebihan akan menyebabkan paras glukosa darah terlalu rendah. Elakkan mengambil alkohol terutamanya dalam keadaan perut kosong.
  7. Kekerapan pemeriksaan paras glukosa darah perlu ditingkatkan sekiranya terdapat banyak jamuan perlu dihadiri. Dicadangkan pemeriksaan dibuat 2 jam selepas waktu makan.

 

Tips Pengambilan Makanan Untuk Pesakit Hipertensi (Tekanan Darah Tinggi)

1)  Kurangkan pengambilan makanan tinggi lemak dan kolesterol.

  • Anda perlu mengawal pengambilan makanan anda.
  • Lebihkan sayur-sayuran dan kurangkan makanan sumber protein haiwan.
  • Kurangkan atau elakkan mengambil ;
    >>>  daging berlemak
    >>>  daging kambing / lembu / babi
    >>>  ketam / udang
    >>>  organ dalaman haiwan dan lain-lain.

2)  Hadkan pengambilan garam kepada 5g (1 sudu teh) sehari.

  • Pengambilan garam berlebihan akan meningkatkan paras tekanan darah.
  • Kurangkan atau elakkan mengambil :
    >>>  telur bitan (century egg)
    >>>  telur masin
    >>> sayur masin
    >>> makanan awet.

3)  Tingkatkan aktiviti fizikal berintensiti sederhana dan tidak terlalu lasak.

  • Contoh :
    >>>  brisk walking
    >>>  tai chi
    >>>  bersiar-siar di taman.
  • Elakkan bersenam pada suhu rendah atau cuaca sejuk untuk mengelakkan kesan kepada paras tekanan darah.
  • Aktiviti fizikal dapat membakar kalori akibat daripada pengambilan makanan berlebihan semasa perayaan dan menggalakkan peredaran darah supaya dapat menambah baik pola tidur dan pergerakan usus.

4)  Pastikan anda rehat secukupnya.

  • Rehat yang tidak cukup memberi kesan secara terus kepada paras tekanan darah secara tidak langsung di mana paras tekanan darah akan menjadi tidak stabil dan meningkat secara  mendadak.
  • Oleh itu, anda disarankan rehat secukupnya bagi mengelakkan risiko gangguan aliran darah ke otak (cardiovascular cerebrovascular diseases).

5)  Pengambilan alkohol dalam jangka masa panjang akan meningkatkan tekanan darah akibat daripada penyakit arteriosclerotic vascular (kolesterol menjadi keras secara berperingkat dan terenap pada dinding-dinding arteri). Oleh itu, anda dinasihatkan supaya elakkan mengambil alkohol.

 

Senarai Kandungan Kalori Bagi Makanan Yang Popular Semasa Tahun Baru Cina

Sila klik pautan di bawah :

Senarai Kandungan Kalori Makanan Popular Tahun Baru Cina

 

Rujukan

  1. Kementerian Kesihatan Malaysia (2013) Makan Secara Sihat, Resepi Kehidupan Yang Sihat.
  2. HKCR (2001) Pemakanan Bagi Pesakit Diabetes Mellitus Semasa Sambutan Tahun Baru Cina. Hong Kong Community Rehabilittion Bulletin January to February – Fei Sha Zhi You.
  3. Tynews (2013). Nasihat Pemakanan Bagi Pesakit Takanan Darah Tinggi. www.tynews.co.cn

 

Semakan Akhir : 24 Januari 2017
Penulis : Teh Wai Siew
Akreditor : Prof. Dr. Poh Bee Koon
(Visited 321 times, 1 visits today)