A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Pergigian Umum
  6. /
  7. Pemakanan Awal & Kesihatan...

Pemakanan Awal & Kesihatan Pergigian

Karies gigi adalah berkait rapat dengan kehadiran gula di dalam diet seharian. Elakkan penambahan gula dalam makanan awal bayi kita di rumah.

 

Apakah maksud pemakanan awal?

Pemakanan awal adalah proses mengenalkan pelbagai jenis makanan pepejal kepada bayi anda, semasa bayi masih lagi bergantung kepada susu ibu atau susu formula.

Ia merupakan salah satu proses perkembangan yang penting bagi bayi anda.

Proses mengenalkan makanan pepejal awal kepada bayi ini juga merupakan satu cara untuk membiasakan bayi meletakkan dan menggerakkan makanan di dalam mulutnya.

Bilakah masa yang sesuai untuk memulakan pemakanan awal?

Pemakanan awal adalah satu proses yang penting. Apabila bayi telah biasa, bayi akan boleh makan makanan yang sihat yang sama dengan ahli keluarganya, dengan syarat makanan itu telah dikisar atau dilenyek dengan lembut. Pengenalan terhadap makanan pepejal sebagai langkah pemakanan awal boleh dimulakan apabila bayi anda:-

  • Boleh duduk sendiri tanpa memerlukan sokongan
  • Mula mengutip barang mainan atau apa saja dan memasukkannya ke dalam mulut
  • Menunjukkan minat terhadap makanan
  • Boleh mengambil dan memegang barang dengan sempurna
  • Mempunyai koordinasi mata-tangan-mulut yang baik
  • Lebih kerap meminta susu daripada sebelumnya
  • Menunjukkan tanda-tanda seperti tidak kenyang walaupun selepas diberi minum susu
  • Memerhati dengan penuh minat apabila orang lain sedang makan

Umur enam bulan merupakan umur yang paling sesuai untuk memulakan pemakanan awal pepejal. Sekiranya makanan pepejal ini diberikan kepada bayi yang berusia kurang dari enam bulan, ia boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan dan alahan. Ini adalah kerana sistem pencernaan bayi masih belum sempurna sebelum umur enam bulan. Sekiranya perlu juga memberikan makanan pepejal sebelum bayi anda berusia enam bulan, sila dapatkan nasihat doktor.

Bagaimana memulakan pemakanan awal pepejal kepada bayi anda?

Berikan bayi anda makanan pepejal yang sama untuk beberapa kali bagi memastikan bayi boleh menyesuaikan dirinya dengan rasa dan tekstur yang baru. Bayi sebenarnya mudah untuk menerima dan menyukai makanan baru yang diberikan kepadanya.

  • Pastikan makanan awal pepejal telah dilenyek sehingga benar-benar lembut sebelum diberikan kepada bayi
  • Pilih masa yang sesuai untuk memberi pemakanan awal tersebut, sebaik-baiknya di siang hari sewaktu bayi masih berjaga dan cergas serta tanpa sebarang gangguan
  • Posisikan bayi anda dalam keadaan duduk tegak untuk mengelakkannya daripada tercekik
  • Mulakan dengan beberapa sudu kecil, sekali sehari
  • Tambahkan kuantiti makanan secara berkala, mengikut selera bayi anda
  • Mulakan dengan makanan pepejal yang dilenyek sehingga betul-betul lembut, sebelum beralih kepada makanan lenyek yang berkonsistensi lebih kasar
  • Biarkan bayi anda makan dengan sendirinya menggunakan jari, di bawah pengawasan anda
  • Perkenalkan makanan baru kepada bayi anda beberapa kali. Reaksi penolakan awal bayi anda terhadap makanan dan rasa yang baru tidak semestinya menandakan bayi tidak suka.
  • Elakkan daripada memaksa bayi anda makan. Tanda-tanda bayi anda sudah tidak mahu makan adalah:-
    • Menutup mulut dengan rapat
    • Menolak makanan atau sudu yang diberi
    • Memalingkan muka jauh dari makanan
    • Menyimpan makanan di dalam mulut serta enggan menelan makanan tersebut
    • Meludah makanan berulang kali

Apakah makanan pepejal yang biasa diberikan untuk pemakanan awal?

Berikan pelbagai pilihan jenis makanan awal kepada bayi anda. Berikut adalah beberapa contoh makanan pepejal awal yang boleh diberikan kepada bayi anda:-

  • Buah-buahan yang dikisar atau dilenyek halus, seperti pisang dan betik yang masak ranum, atau epal dan pir yang telah direbus atau dikukus sehingga lembut.
  • Sayur-sayuran yang direbus atau dikukus dan dilenyek sehingga lumat (kentang, ubi keledek, labu, bunga kobis, lobak merah dan lain-lain)
  • Bijirin makanan bayi yang dicampurkan dengan sama ada susu ibu atau susu formula yang diminum oleh bayi anda

 

Apakah makanan yang perlu dielakkan?

Terdapat beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan daripada diberikan kepada bayi anda.  Ini adalah kerana makanan tersebut tidak baik untuk kesihatan mulut dan gigi, serta kesihatan lain secara amnya.

  • Elakkan daripada menambahkan gula atau madu atau sebarang pemanis ke dalam makanan awal bayi anda. Gula semulajadi telah sedia ada terdapat  di dalam susu, buah-buahan dan juga sayur-sayuran. Pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan gigi.
  • Jangan tambah garam ke dalam makanan awal bayi anda kerana tidak baik untuk buah pinggang bayi. Hadkan pengambilan garam sebanyak kurang daripada 1 gram sehari untuk bayi di bawah umur satu tahun.
  • Elakkan daripada memberi makanan yang mengandungi gluten, telur, ikan, haiwan bercangkerang, hati, kekacang, makanan rendah lemak dan makanan gandum penuh kepada bayi berumur kurang dari enam bulan.

Bilakah masa sesuai untuk memulakan penggunaan cawan bayi (sippy cup)?

Perkenalkan penggunaan cawan bayi seawal usia bayi enam bulan semasa dalam proses pengenalan pemakanan pepejal awal dan pemberhentian susu botol atau susu ibu.

Tip-tip :-

Jangan biarkan bayi anda minum jus dan susu formula menggunakan cawan bayi untuk sepanjang hari kerana kandungan gula di dalam jus dan susu formula tersebut adalah tidak baik untuk kesihatan gigi.
Elakkan daripada memberikan sebarang cecair di dalam cawan bayi sebagai makanan utama bayi kerana bayi memerlukan makanan pepejal yang lain sebagai keperluan seharian
Perkenalkan penggunaan cawan bayi apabila bayi anda sudah boleh menggenggam sesuatu barang dengan sempurna
Tunjukkan cara-cara memegang cawan bayi di hadapan bayi anda
Galakkan bayi anda untuk memegang cawan bayi menggunakan kedua-dua belah tangan

Kesihatan Pergigian

Karies gigi adalah berkait rapat dengan kehadiran gula di dalam diet seharian. Elakkan penambahan gula dalam makanan awal bayi kita di rumah. Terdapat beberapa tip untuk memastikan kesihatan gigi yang baik:-

  • Elakkan daripada meletakkan minuman bergula di dalam botol. Sebaliknya gunakan cawan bayi.
  • Elakkan minuman bergas dan juga jus yang sedia ada di pasaran. Jus buah-buahan semulajadi yang dikisar sendiri dan telah dicairkan boleh diberikan kepada bayi anda pada masa waktu makan.
  • Kurangkan pengambilan makanan bayi, snek dan juga minuman yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.
  • Jangan mencelupkan puting bayi ke dalam madu, gula atau sebarang cecair manis

Rujukan

  1. http://www.bradford.gov.uk/NR/rdonlyres/EA7CBD64-9F10-4408-B843-61B76481243C/0/6Nutritionguidelinesweaning.pdf
  2. http://www.nhs.uk/Livewell/Goodfood/Pages/salt.aspx
  3. Mennella JA, Nicklaus S, Jagolino AL, Yourshaw LM. Variety is the spice of life: Strategies for promoting fruit and vegetable acceptance during infancy. Physiol Behav 2008:94;29-38
Semakan Akhir : 19 Jun 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Jama’iah bt. Mohd Sharif
Akreditor : Dr. Hjh. Noraini @ Nun Nahar bt. Yunus

 

 

Artikel Berkaitan

Varnis Fluorida

Varnis Fluorida adalah fluorida yang disapu pada permukaan gigi untuk mencegah kerosakan gigi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,693

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia