A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengenalan

Perkataan pasrah dan redha bukanlah sesuatu yang asing di kalangan masyarakat Malaysia. Perkataan pasrah dan redha seringkali kedengaran apabila sesuatu peristiwa berlaku dalam hidup seseorang. Kita tidak patut mengambil mudah penggunaan perkataan pasrah dan redha ini.

Beberapa persoalan yang perlu kita amati dalam membincangkan isu berkaitan PASRAH atau REDHA ini.  Antara persoalannya ialah:

  1. Adakah kita benar-benar memahami ungkapan pasrah dan ungkapan redha?
  2. Apakah pilihan kita; samaada untuk pasrah atau untuk redha?
  3. Apakah kesan pilihan tersebut terhadap kehidupan seharian kita?

Definisi

Pasrah ialah menyerah diri atau jiwa terhadap sesuatu keadaan yang berlaku. Biasanya kita sering terdengar ayat, “Aku pasrah dengan apa yang sudah berlaku. Tiada apa yang aku boleh lakukan lagi.”

Perkataan redha berasal dari bahasa Arab. Namun begitu, penggunaan dan penerimaan perkataan redha ini semakin meluas di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Redha ialah penerimaan seseorang terhadap sesuatu yang terjadi dengan ikhlas atau dengan rela hati terhadap apa yang telah ditakdirkan Tuhan. Ayat yang sering diucapkan ialah, “Dia redha dengan pemergian anaknya. Hidup mesti diteruskan.

Fenomena

Bagi lebih mendalami pasrah vs redha, mari kita amati situasi berikut.

Individu A dan individu B terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Kedua-duanya telah mengalami kecederaan yang teruk di bahagian kaki. Akibatnya, mereka telah kehilangan kedua belah kaki. A dan B berasa sedih dengan keadaan diri mereka dan emosi sedih mereka adalah sesuatu yang normal bagi kejadian yang tidak diduga ini. Apakah pilihan A dan B dalam mengharungi dugaan ini?

A sering mengulangi bahawa beliau pasrah dengan keadaan dirinya. Beliau menyerahkan diri terhadap takdir hidup yang akan beliau harungi sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU). A hanya hidup hari demi hari berdasarkan keadaan semasa. Beliau sering dibelenggu rasa sedih dan kecewa dengan keadaan hidupnya kerana merasakan diri sudah hilang keupayaan untuk menentukan kehidupannya.

B pula redha dengan keadaan dirinya. Beliau ikhlas menerima takdir yang ditentukan Tuhan. Beliau berusaha untuk mengoptimakan peluang yang ada dan tidak hanya menyerah kepada keadaan semasa. Beliau yakin hidup mesti diteruskan dengan sebaik-baiknya. Beliau rasa puas dan gembira walaupun terpaksa hidup dengan anggota badan yang tidak lengkap. B tidak berasa kecewa dengan kehidupannya, malah beliau lebih bersyukur terhadapsegala nikmat yang diberikan Tuhan.

Sumber imej: http://www.mizruha.com/2013/01/antara-redha-dan-pasrah.html

Kenapa Berlaku

Isu pasrah vs redha ini boleh dijelaskan melalui terapi realiti yang diketengahkan oleh William Glasser.

Menurut terapi realiti, manusia diberi kebebasan untuk memilih tindakan seterusnya bertanggungjawab terhadap pilihan yang dibuat. Fokus terapi ini ialah penyelesaian masalah terhadap isu yang dihadapi supaya manusia tersebut akan mencapai tahap kesihatan mental yang optimum.

Dalam fenomena di atas, individu A memilih untuk pasrah dan hanya menyerahkan dirinya terhadap keadaan semasa. Kesan pilihannya untuk pasrah, beliau berasa hilang upaya untuk meneruskan kehidupannya seoptima yang boleh, rasa rendah diri dan sedih berpanjangan, serta hilang kebebasan untuk melakukan apa yang diingininya.

Berbeza dengan individu B, beliau memilih untuk redha dan meneruskan kehidupannya dengan fikiran, emosi dan sikap yang optimis. Beliau masih bebas untuk menentukan kehidupannya. Kesannya, beliau tidak dibelengguoleh perasaan sedih atau kecewa yang berlarutan. Beliau berasa gembira dengan kehidupan yang dilalui walaupun tidak dilengkapi anggota badan yang lengkap.

Kesan Perlakuan

Pilihan kita sama ada untuk pasrah atau redha ini akan menentukan tahap kesihatan mental kita dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar ini.

Apabila kita memilih untuk redha, kita akan sentiasa bersyukur terhadap kurniaan dan nikmat Tuhan.

Fikiran, emosi serta sikap negatif akan dapat dikawal sebaiknya.

Kita juga cenderung untuk lebih proaktif dalam mencari kebahagiaan walau dalam apa jua keadaan kerana kita diberi kebebasan untuk memilih pelbagai alternatif terbaik buat kehidupan kita.

 

Sumber imej: demilica24.tumblr.com

Rujukan

  1. Pasrah.(n.d.) In Pusat Rujukan Persuratan Melayu@DBP online. Retrieved May 16, 2015, from http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=Pasrah”>http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=Pasrah
  2. Reda.(n.d.) In Pusat Rujukan Persuratan Melayu@DBP online. Retrieved June 7, 2015, from http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=Reda”>http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=Reda
  3. Reality Therapy.(n.d.). Retrieved June 7, 2015 from,http://www.goodtherapy.org/reality-therapy.html”>http://www.goodtherapy.org/reality-therapy.html

 

Semakan Akhir : 12 Januari 2017
Penulis / Penterjemah : Noor Hafiza binti Abdul Halim
Akreditor : Tn. Hj. Hairol Kamal bin Abdul

Artikel Berkaitan

Terapi Ketawa

Ceriakan Hidup Dengan Terapi Ketawa   Cetusan Idea Dr. Madan

Kesan Psikologi Akibat Masalah Kewangan

Ahli psikologi mengkategorikan stress ke dalam tiga kategori iaitu stress kecil (acute stress), stress berepisod (episodic stress), dan juga stress kronik (chronic stress).

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,416,701

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia