Home > Remaja > Kesihatan Fizikal > Kekal Sihat > Paras Gula dalam Darah

Paras Gula dalam Darah

1.      Pengenalan

Adalah penting bagi anda menjalani ujian paras gula darah sekiranya:

  • Anda mempunyai berat badan yang berlebihan
  • Anda mengalami kehilangan berat badan mendadak walaupun anda berselera makan
  • Ibu atau bapa anda penghidap diabetes
  • Anda kerap merasa dahaga, keletihan dan kerap kencing
  • Anda kerap kali mendapat kudis dan jangkitan

Sekiranya keputusan ujian paras gula darah anda tinggi, anda berkemungkinan seorang penghidap Diabetes. Diabetes boleh terjadi di kalangan kanak-kanak atau remaja walaupun ia lebih kerap berlaku di kalangan orang dewasa.

“Ramai penghidap Diabetes berasa sihat dan hanya menyedari mereka mengidap penyakit Diabetes apabila mereka menjalani ujian paras gula dalam darah.

2.      Bagaimana ujian ini boleh dijalankan?

Terdapat dua cara ujian ini boleh dilakukan:

  • Satu tusukan kecil jarum di hujung jari anda akan menghasilkan setitis dua darah. Titisan darah ini akan diletakkan di atas jaluran kertas khas dan dimasukkan ke dalam mesin kecil yang dipanggil glucometer. Dalam beberapa saat sahaja anda akan mengetahui keputusan paras gula darah
  • Ujian kedua memerlukan pengambilan beberapa mililiter darah dari salur darah vena di lengan dengan menggunakan jarum yang lebih besar. Darah ini akan dimasukkan ke dalam botol khas dan dihantar ke makmal untuk ujian. Anda boleh memperoleh keputusan ujian ini dalam masa beberapa jam atau pun dalam masa sehari

Anda boleh melakukan ujian ini pada bila-bila masa mengikut keselesaan anda. Ia boleh dilakukan sebelum atau selepas makan.

3.      Di mana saya boleh menjalani ujian?

Anda boleh menjalani ujian ini di:

  • Klinik panel keluarga anda
  • Di mana-mana poliklinik kerajaan atau pusat kesihatan
  • Di semua hospital
  • Di makmal swasta

4.      Apa keputusan yang teruk?

  • Jika keputusan paras gula darah di bawah 7mmol/l itu bermakna anda bukanlah penghidap diabetes. Walau bagaimanapun anda berkemungkinan mendapat Diabetes kemudian hari. Adalah menjadi amalan yang baik jika anda melakukan ujian paras gula darah setahun sekali
  • Sekiranya keputusan darah anda melebihi 7mmol/l kemungkinan anda seorang penghidap Diabetes. Doktor anda akan meminta ujian seterusnya dilakukan untuk tujuan pengesahan

5.      Apa yang perlu saya lakukan sekiranya saya mengidap Diabetes?

Ramai penghidap Diabetes boleh hidup dengan normal, sihat dan hidup dalam jangka hayat yang panjang. Belajarlah berkenaan Diabetes dan berjumpalah dengan doktor anda secara berkala. Dengan cara ini anda dapat menguruskan keadaan anda dengan betul.

6.      Bolehkah diabetes dicegah?

Terdapat 2 jenis Diabetes:

Jenis I: Diabetes jenis ini sering terjadi semasa anda masih muda dan mereka yang terlibat perlu mengambil suntikan insulin sepanjang hayat mereka. Buat masa sekarang keadaan ini tidak dapat dicegah.

Jenis II: Jenis ini lebih banyak terjadi dan ianya berkait rapat dengan corak kehidupan seseorang. Mengamalkan cara hidup yang sihat dapat melengahkan terjadinya diabetes dan mungkin boleh mencegahnya dengan:

  • Lakukan senaman setiap hari
  • Kurangkan makanan yang manis atau cuba elakkannya
  • Dapatkan berat badan yang unggul

Semakan Akhir : 27 April 2012
Penulis : Dr. Kauthaman a/l Mahendran
Penyemak : Dr. Thiyagar Nadarajaw