A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Paracetamol

Pengenalan

Paracetamol atau lebih dikenali dengan pelbagai nama dagang contohnya Panadol™ atau Uphamol™ telah lama berada dalam pasaran di Malaysia. Ia digunakan secara meluas sebagai ubat demam dan ubat tahan sakit. Kebanyakan rakyat di Malaysia tahu cara pengambilan paracetamol. Di Malaysia, paracetamol boleh diperoleh dengan mudah di mana-mana kedai runcit, pasar raya atau kedai farmasi.

Paracetamol adalah selamat dan berkesan untuk menurunkan suhu badan yang tinggi akibat demam sekiranya diambil dalam kuantiti seperti yang disyorkan pada label. Walau bagaimanapun, paracetamol boleh mendatangkan mudarat sekiranya diambil dalam kuantiti yang berlebihan.

Paracetamol juga berkesan diambil untuk mengawal kesakitan ringan dan sederhana, sebagai contoh kesakitan yang disebabkan oleh penyakit osteoarthritis, migraine atau sakit kepala. Walau bagaimanapun, pesakit perlu mendapatkan nasihat daripada doktor sekiranya menggunakan paracetamol untuk jangka masa yang panjang. Paracetamol juga boleh didapati dalam bentuk campuran dengan bahan terapeutik yang lain seperti antihistamin yang memberi kelegaan dalam keadaan demam dan selesema.

Apakah Kegunaan Paracetamol?

Paracetamol digunakan untuk melegakan sakit (atau ketidakselesaan) yang disebabkan oleh: sakit kepala, sakit gigi, sakit disebabkan oleh artritis, sakit otot, osteoarthritis, senggugut dan demam.

Dos dan Pengambilan

Paracetamol biasanya diambil secara oral dalam berbagai jenis sediaan seperti suspension (serbuk larut air), tablet, atau tablet larut air. Paracetamol juga dihasilkan dengan kepekatan yang berbeza-beza. Bagi pesakit yang mempunyai masalah untuk pengambilan secara oral, paracetamol jenis supositori boleh diambil.

Bagi tujuan pengubatan kendiri, penggunaan Paracetamol tidak digalakkan melebihi daripada 10 hari berturut-turut bagi dewasa dan 5 hari bagi kanak-kanak melainkan diarahkan oleh doktor. Paracetamol juga tidak boleh diambil melebihi 3 hari dalam keadaan demam tinggi melainkan dengan khidmat nasihat perubatan.

Dos biasa bagi dewasa adalah 500mg setiap 4 hingga 6 jam atau 1g setiap 4 hingga 6 jam apabila diperlukan. Jumlah dos seharian tidak boleh melebihi 4g.

Sebelum anda mengambil Paracetamol

Paracetamol adalah selamat jika diambil dalam dos yang disyorkan. Pastikan anda tidak mengambil lebih dari satu persediaan yang mengandungi paracetamol pada satu-satu masa. Periksa label ubat yang diambil bagi mengelakkan anda mengambil dos yang berlebihan. Label ubat biasanya akan tertera bahan-bahan yang terkandung bagi memudahkan anda mengetahui isi kandungan ubat yang diambil.

Ambil langkah berhati-hati apabila memberi paracetamol kepada kanak-kanak. Anda perlu tahu bahawa sediaan paracetamol untuk kanak-kanak mempunyai kekuatan yang berbeza dengan persediaan untuk orang dewasa.

Paracetamol untuk kanak-kanak biasanya dalam bentuk cecair atau sirap. Pastikan anda membaca label pada botol persediaan sebelum memberikannya kepada anak anda. Label pada botol persediaan biasanya akan menerangkan dos yang sesuai untuk kumpulan umur kanak-kanak yang tertentu.

Pastikan anda membacanya dengan teliti dan memberikan anak anda dos yang betul mengikut kumpulan umurnya. Elakkan dari mengagak dos yang sesuai untuk anak anda.

Kesan sampingan/kesan advers

Kebanyakan pesakit yang mengambil paracetamol tidak mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan advers. Walau bagaimanapun, segera maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mengalami sebarang kesan sampingan yang serius seperti risiko pendarahan yang semakin banyak, lebam atau tanda-tanda jangkitan seperti demam dan sakit tekak.

Pengambilan paracetamol secara berterusan atau pengambilan paracetamol melebihi daripada dos yang disyorkan boleh menyebabkan penyakit pada hati. Segera dapatkan rawatan perubatan sekiranya anda mendapati tanda-tanda kerosakan hati seperti loya dan muntah yang kerap, mata dan kulit kekuningan, urin berwarna gelap, sakit perut/abdomen dan kepenatan yang melampau.

Kejadian alahan juga jarang berlaku dalam pengambilan paracetamol, walau bagaimanapun jika berlaku, perhatikan simptom alahan seperti gatal, ruam, bengkak (muka/lidah/tekak), pening dan susah bernafas.

Bagi keadaan pengambilan melebihi dos atau keracunan, dapatkan rawatan perubatan walaupun tiada tanda keracunan dikesan. Kesan keracunan mungkin lambat untuk dikesan bagi keracunan paracetamol.Pesakit mungkin tidak mengalami tanda serta-merta tetapi tanda keracunan mungkin akan muncul beberapa hari kemudian. Rawatan awal dapat mengelakkan kerosakan kekal pada hati.

Tindak balas dengan ubat-ubatan

Pastikan bahawa doktor atau ahli farmasi anda mengetahui senarai ubat-ubatan yang anda ambil bagi mengelakkan kemungkinan berlaku tindak balas di antara ubat-ubatan yang diambil.

Terlupa dos

Dos Paracetamol biasanya diambil apabila perlu bergantung kepada keadaan pesakit. Walau bagaimanapun, sekiranya anda diarahkan untuk mengambil ubat dalam jangka masa tertentu dan terlupa, ambil sebaik sahaja anda teringat, tetapi sekiranya waktu pengambilan dos yang berikutnya adalah hampir, ambil ubat pada waktu pengambilan yang berikutnya. Jangan gandakan dos anda.

Penyimpanan

Simpan semua ubat-ubatan anda jauh daripada cahaya dan kelembapan dan jangan simpan di dalam bilik air. Ubat juga perlu disimpan jauh daripada kanak-kanak.

Semakan Akhir : 20 April 2012
Penulis : Siti Nurul Fathihah bt. Baharudin
Akreditor : Che Pun bt. Bujang

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,492,266

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia