A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Panduan Membaca Label Makanan

label-makanan

Label makanan meliputi apa-apa jenama, tanda, bahan bergambar atau lain-lain pemerihalan yang bertulis atau bercetak pada sesuatu bungkusan makanan. Label makanan bukan sahaja berfungsi sebagai pelengkap hiasan pembungkus makanan, malah ia mampu membantu kita membuat pilihan pemakanan yang bijak sekiranya kita mengetahui cara menggunakan maklumat yang tertera di dalamnya.

Melalui label makanan, kita boleh membezakan kandungan pemakanan antara pelbagai jenama dan mengetahui yang mana lebih tinggi atau rendah kandungan nutriennya.

Antara maklumat yang boleh didapati pada label makanan yang membantu kita dalam membuat pemilihan makanan meliputi :

  1. Panel maklumat pemakanan
  2. Akuan pemakanan
  3. Senarai ramuan
  4. Penandaan tarikh
  5. Informasi mengenai pengilang atau pengeluar.

 

Panel Maklumat Pemakanan

Panel Maklumat Pemakanan menunjukkan senarai jumlah tenaga dan beberapa jenis nutrien seperti karbohidrat, protein dan lemak dalam sesuatu produk makanan.

Contoh Panel Maklumat Pemakanan seperti di bawah.

maklumat-pemakanan-1

maklumat-pemakanan-3 labelmakananatas1

 

Akuan Pemakanan Pada Label

Akuan pemakanan ialah sebarang akuan yang dibuat pada label makanan tentang kualiti pemakanan. Akuan seperti “bebas lemak”, “tinggi vitamin C” atau “gula dikurangkan” boleh dijumpai pada produk yang memenuhi syarat-syarat tertentu untuk membuat akuan berkaitan. Jenis-jenis dan penerangan berhubung akuan pemakanan ini diringkaskan seperti berikut:

Jenis Akuan

Kata Kunci

Penerangan

Akuan Kandungan Nutrien

“rendah dalam” (low) “bebas” (free / zero / no) Contoh: “rendah lemak”, “bebas gula”.

Melibatkan nutrien yang dikatakan tidak baik untuk kesihatan jika diambil berlebihan seperti lemak, kolesterol, gula atau garam.

“sumber” (source) “tinggi dalam” (high / rich) Contoh: “sumber protein”, “tinggi kalsium”.

Melibatkan nutrien yang berguna untuk kesihatan seperti protein, vitamin atau mineral.

Akuan perbandingan nutrien

“dikurangkan” (reduced) “sedikit / ringan” (less / light) Contoh: “natrium dikurangkan”

Melibatkan formulasi baru sesuatu produk di mana nutrien tertentu yang dikaitkan sebagai tidak baik untuk kesihatan telah dikurangkan berbanding formula yang asal.

“tambahan” (more / extra) “lebih daripada” (increased) Contoh: “kalsium tambahan” Melibatkan formulasi baru sesuatu produk di mana nutrien tertentu yang dikaitkan sebagai baik untuk kesihatan telah ditingkatkan berbanding formula yang asal.

Akuan fungsi nutrien

Hanya senarai akuan yang dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 mengikut syarat-syarat tertentu yang melibatkan:

  • fungsi nutrien klasik seperti protein, vitamin dan mineral tertentu
    • contoh:“kalsium membantu perkembangan tulang dan gigi yang kuat”.
  • komponen-komponen lain yang telah dikenal pasti seperti lutein, beta glukan, sterol tumbuhan, asid sialik dan sebagainya
    • contoh: “beta glukan daripada oat membantu merendahkan kolesterol”.
 

  • Akuan memperihalkan peranan nutrien dalam fungsi badan yang normal berdasarkan perkembangan dan bukti saintifik. 
  • Akuan tidak menyiratkan nutrien tersebut mampu merawat, menyembuh atau melindungi daripada penyakit tertentu.

 

 

Senarai Ramuan

Senarai ramuan pada label makanan adalah cara terbaik untuk mengetahui isi kandungan makanan berbungkus. Kita juga boleh mengetahui ramuan yang boleh menyebabkan alahan makanan melalui senarai ramuan yang dipamerkan.

Beberapa perkara yang boleh membantu kita daripada maklumat senarai ramuan tersebut adalah :

maklumat-pemakanan-4

 

Penandaan Tarikh

Peraturan-peraturan Makanan 1985 mewajibkan makanan mudah rosak seperti rumusan bayi, susu dan hasil susu, biskut, roti, makanan bijirin untuk kanak-kanak, jus buah dan sayur-sayuran dipasteur menyatakan penandaan tarikh. Ia dinyatakan dalam bentuk seperti berikut :

TARIKH AKHIR”, “GUNA SEBELUM”, “MAKAN SEBELUM”, “MINUM SEBELUM” atau “BAIK SEBELUM”.

Sebelum membeli, kita perlu memastikan produk tersebut tidak terlalu dekat dengan penandaan tarih terutama bagi produk yang dijual dengan harga promosi atau jualan murah.

Kita seharusnya sentiasa peka dengan penandaan tarikh produk dan hanya mengambilnya sebelum tarikh yang tertera kerana kualiti dan kandungan pemakanan di dalamnya akan terjejas sekiranya kita mengambil produk ini selepas tarikh yang tertera.

 

  

 

Maklumat Pengilang Atau Pengeluar

Kita boleh mengetahui pengilang dan di mana produk tersebut dihasilkan melalui maklumat pengilang atau pengeluar yang tertera pada label. Melalui maklumat ini, kita boleh mengetahui produk tersebut dihasilkan secara tempatan atau diimport.

 

Rumusan

Penyampaian maklumat melalui label makanan telah diterima sebagai salah satu strategi dalam membantu untuk membuat pilihan makanan. Gunakan maklumat ini sebagai salah satu cara untuk memperkaya pengetahuan mengenai makanan dan kesihatan dalam kehidupan kita.

Berbincanglah dengan pakar pemakanan atau profesional kesihatan untuk mendalami aplikasi maklumat tersebut ke arah mencapai tahap kesihatan yang optimum.

 

Semakan Akhir : 08 Ogos 2012
Penulis : Nurul Hidayati bt. Mohd. Nasir

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,220,651

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia