A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Mikrobiologi
  6. /
  7. Penyakit
  8. /
  9. Virologi
  10. /
  11. NS1 Protein: Alat Berguna...

NS1 Protein: Alat Berguna Dalam Diagnosis Awal Virus Denggi

Pengenalan

Virus denggi tergolong dalam genus flavivirus, famili Flaviviridae dan disebarkan oleh  nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus. Virus denggi mempunyai  4 serotype yang berbeza iaitu  Den 1, 2, 3 dan 4.  Ia didapati di kawasan tropika dan subtropika lebih 100 negara. Lebih 300 juta kes denggi berlaku setiap tahun dan anggaran 2.5 bilion orang yang berisiko untuk mendapat jangkitan di seluruh dunia. 

Gejala

Tempoh pengeraman jangkitan denggi adalah di antara 3 hingga 7 hari. Walaupun sesetengah jangkitan tidak mempunyai simtom tetapi majoriti individu akan mengalami demam denggi klasik.  Gejala   denggi adalah seperti berikut;

  • Demam panas secara tiba-tiba
  • Sakit kepala yang teruk
  • Sakit di belakang mata
  • Sakit sendi / otot yang teruk
  • Keletihan
  • Loya
  • Muntah
  • Ruam kulit, 2-5 hari selepas bermula demam  

Ujian Denggi Antigen NS1

Glikoprotein tidak berstruktur antigen NS1 merupakan salah satu penanda diagnostik untuk jangkitan denggi. Ia didapati di dalam semua serotaip virus denggi dalam kuantiti yang  tinggi pada beberapa hari pertama jangkitan. Ujian  pengesanan antigen NS1 merupakan kaedah yang berkesan dalam diagnosis jangkitan virus denggi terutama pada peringkat awal jangkitan. Ia dijangka dapat dikesan seawal 1 hari selepas bemulanya demam sehingga hari ke 7-9 untuk kedua-dua jangkitan primer dan sekunder. Oleh itu pengesanan antigen NS1 telah terbukti berkesan dalam diagnosa jangkitan denggi akut. 

Secara umum, diagnosis denggi bergantung kepada peringkat jangkitan, iaitu fasa denggi primer atau fasa denggi sekunder. Jangkitan denggi primer (awal), antibodi IgM merupakan antibodi pertama yang akan muncul  dengan peningkatan yang sangat tinggi. Antibodi IgG pula dikesan lebih rendah pada akhir minggu pertama jangkitan seperti yang ditunjukkan pada Rajah 1. Sebaliknya, untuk jangkitan sekunder, tahap IgM adalah rendah dan antibodi IgG akan meningkat tinggi secara cepat dan mendadak. Ketinggian tahap IgG dikesan dalam fasa akut yang mana ia meningkat mendadak dalam tempoh 2 minggu. (Rajah 2). 

Rajah 1: Jangkitan virus denggi primer
Rajah 2: Jangkitan virus denggi sekunder

Sumber: cdc.gov/dengue/clinicallab/laboratory (Laboratory guidance & diagnostic testing)

Kepentingan Ujian Denggi Antigen NS1 sebagai Pencegah Kelewatan Pendiagnosan Sindrom Denggi Kejut

Ujian makmal merupakan diagnosis terbaik semasa jangkitan pada fasa akut. Kanak-kanak dan orang dewasa mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap demam denggi berdarah dan sindrom denggi kejut, pengesanan awal dan tepat dalam mendiagnosa jangkitan virus denggi adalah penting. Secara klinikal, antigen NS1 yang dikesan sangat berguna kerana kehadirannya dalam darah pesakit adalah sangat tinggi semasa jangkitan pada fasa awal. Pendiagnosan denggi yang tepat pada peringkat ini sangat penting kerana; 

i. Dapat membantu dalam pengurusan pesakit dengan pemeriksaan secara klinikal melalui tanda-tanda utama bagi jangkitan yang teruk yang mana komplikasinya boleh mengancam nyawa, contohnya peningkatan hematokrit yang teruk, pengaliran darah dari saluran periferal yang lemah.

 ii. Pendiagnosan denggi yang tepat menghalang penggunaan antibiotik yang tidak perlu dan mahal.

iii. Diagnosis segera untuk kes indeks boleh memudahkan aktiviti kawalan vektor dalam masyarakat bagi mengurangkan penyebaran. 

iv. Penggunaan ujian diagnostik yang tepat untuk denggi secara meluas dapat  menyediakan data penting mengenai epidemiologi dan data pesakit denggi dapat dianalisa dan digunakan sebagai kajian pembangunan untuk polisi kesihatan awam terutamanya untuk vaksin denggi dan antivirus.

Sensitiviti Dan Pengkhususan melalui Ujian ELISA

Antigen NS1 ELISA untuk virus denggi berasaskan esei boleh didapati secara komersial dan terdapat penyelidikan yang telah dijalankan untuk mengesan sensitiviti dan pengkhususan virus ini. Esei NS1 ELISA digunakan untuk diagnosis denggi akut dan ia lebih sensitif apabila sampel diambil di antara hari ke 3-5 semasa jangkitan. Esei NS1 juga sangat berguna dalam pengkhususan diagnosis flavivirus yang lain bagi pesakit yang dikesan tidak mengalami jangkitan denggi yang baru atau jangkitan pada fasa akut.

Had Ujian

Ujian NS1 sangat sensitif pada hari ke 3-5 jangkitan dan dikesan memberi keputusan positif sekiranya pesakit mengalami denggi pada peringkat awal (primer). Keputusan positif suatu ujian makmal menunjukkan jumlah kehadiran virus dalam darah, yang mana pesakit yang didiagnosa turut memberi keputusan lebih sensitif kepada pengesanan antibodi IgM dan IgG melalui kombinasi esei NS1.

Kesimpulan

Diagnosis awal jangkitan denggi adalah sangat penting kerana jika terlepas pandang untuk jangka masa yang panjang, ia boleh menyebabkan Denggi Kejut (DS) atau Denggi Berdarah (DHF) dan ini merupakan penyebab utama kematian. Pengesanan awal membolehkan rawatan segera kepada pesakit. Diagnosis awal juga dapat mencegah rawatan yang tidak perlu. Ia membantu dalam pengurusan pesakit sekiranya terdapat komplikasi yang berulang. Adalah sangat baik untuk mencari sebuah pusat perubatan yang mempunyai fasiliti yang menyediakan Ujian Antigen NS1 untuk pengesanan awal yang berkemungkinan Denggi. Ujian denggi NS1 sangat berguna untuk pengesanan awal dan rawatan segera.

Ujian antigen NS1 juga boleh digunakan sebagai pelengkap untuk ujian antibodi semasa di makmal. Dengan itu, kombinasi antigen NS1 dan ujian antibodi boleh meningkatkan keupayaan diagnosis pada peringkat awal jangkitan. 

Rujukan

  1. Rosanna W. Peeling, Harvey Artsob, Jose Luis Pelegrino, Philippe Buchy, Mary J. Cardosa, Shamala Devi, Delia A. Enria, Jeremy Farrar, Duane J. Gubler, Maria G. Guzman, Scott B. Halstead, Elizabeth Hunsperger, Susie Kliks, Harold S. Margolis, Carl M. Nathanson, Vinh Chau Nguyen, Nidia Rizzo, Susana Vázquez & Sutee Yoksan. Evaluation of diagnostic tests: dengue. Nature Reviews Microbiology, S30-S37
  2. V. Kumarasamy, A.H. Abdul Wahab, Z. Hassan, Y.K. Chem, M. Mohamad, K.B. Chua., Evaluation of a commercial dengue NS1 antigen-capture ELISA for laboratory diagnosis of acute dengue virus infection. Journal of Virological Methods Volume 140, Issues 1–2, March 2007, Pages 75–79
  3. S Datta, C Wattal. Department of Clinical Microbiology, Sir Ganga Ram Hospital, Rajinder Nagar, New Delhi – 110 060, India. Dengue NS1 antigen detection: A useful tool in early diagnosis of dengue virus infection. Indian Journal of Medical Microbiology. Year : 2010,  Volume : 28,  Issue : 2, Page : 107-110
  4. Shiran Ajith Paranavitane, Laksiri Gomes, Achala Kamaladasa, Thiruni N Adikari, Nilanka Wickramasinghe, Chandima Jeewandara, Narangoda Liyanage Ajantha Shyamali, Graham Stuart Ogg and Gathsaurie Neelika Malavige. Dengue NS1 antigen as a marker of severe clinical disease. BMC Infectious Diseases 2014, 14:570 
  5. Subhamoy Pal , Allison L. Dauner, Indrani Mitra, Brett M. Forshey, Paquita Garcia, Amy C. Morrison, Eric S. Halsey, Tadeusz J. Kochel, Shuenn-Jue L. Wu. Evaluation of Dengue NS1 Antigen Rapid Tests and ELISA Kits Using Clinical Samples. November 20, 2014
  6. Selvaraj Stephen, Marie Victor P Charles, Velmurugan Anitharaj, Civamany Deepa, Sivaraman Umadevi. Department of Microbiology, Mahatma Gandhi Medical College and Research Institute, Pillaiyarkuppam, Puducherry, India. Early dengue diagnosis by nonstructural protein 1 antigen detection: Rapid immunochromotography versus two the enzyme-linked immunosorbent assay kits. Year : 2014,  Volume : 57, Issue : 1, Page : 81-84.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2017
Penulis : Anni Sofiya binti Bachok @ Mahmood
Akreditor : Asmah binti Ismail

 

Artikel Berkaitan

Identifikasi Di Dalam Antropologi Forensik

Antropologi Forensik merupakan satu cabangan daripada Antropologi Fizikal dengan perbezaan kritikalnya ialah antropologi forensik lebih tertumpu kepada pemeriksaan dan pengkajian ke atas di rangka manusia pada zaman moden.

KERJAYA JURU X-RAY DIAGNOSTIK

Juru X-ray Diagnostik merupakan anggota profesional kesihatan bersekutu yang menggunakan X-ray untuk menghasilkan imej bagi tujuan diagnosis seseorang pesakit.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,211,876

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia