A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Apa Itu MRI Pelvis?

Magnetic Resonance Imaging (MRI) pelvis menggunakan medan magnet dan gelombang radio untuk mengimbas bahagian pelvis pesakit bagi menghasilkan imej keratan rentas bahagian pelvis. MRI tidak menggunakan radiasi seperti jenis pemeriksaan radiologi lain. MRI pelvis menghasilkan imej keratan rentas bahagian pundi kencing, prostat, organ reproduktif lelaki atau wanita serta tulang pinggul.

mri_pelvis_1Gambar 1: Paparan imej MRI pelvis pesakit pada skrin

Bagaimana Untuk Mendapatkan Pemeriksaan Ini Dan Di Mana?

  • Apabila anda datang berjumpa dengan doktor yang merawat anda, doktor tersebut akan menentukan samada anda memerlukan pemeriksaan ini.
  • Sekiranya perlu doktor tersebut akan membuat permohonan pemeriksaan menggunakan Borang Permohonan Pemeriksaan Radiologi.
  • Pemeriksaan ini terdapat di hospital-hospital KKM terpilih.

Bila MRI Pelvis Diperlukan?

Di antara indikasi menjalani pemeriksaan MRI pelvis adalah seperti berikut :

  • Terdapat ketulan yang diragui di bahagian pinggul
  • Endometriosis
  • Sakit di bahagian bawah perut dan pinggul
  • Bengkak di bahagian testis dan skrotum
  • Masalah tidak boleh mengawal kencing
  • Trauma atau patah tulang yang disebabkan jatuh atau kemalangan

Pada hari pemeriksaan

Lapor diri anda di kaunter pendaftaran.

Sebelum pemeriksaan

  • Anda perlu menukar pakaian kepada pakaian hospital.
  • Anda perlu menanggalkan semua benda-benda logam, termasuk perhiasan, pin rambut, jam tangan, gigi palsu, alat pendengar (hearing aids), kad ATM, kad kredit, pen, kaca mata dan sebagainya.
  • Sila maklumkan kepada doktor jika anda menggunakan cochlear implant, sendi implantasi (metallic joint prosthesis), klip atau pin pembedahan kepala (clips used in brain surgery; aneurysm) dan alat pemacu jantung (cardiac pacemaker).
  • Anda dinasihatkan untuk tidak membawa barang-barang berharga pada hari pemeriksaan.
  • Maklumkan kepada doktor dan/atau Juru X-ray sekiranya anda:

– Mengandung atau disyaki mengandung.

– Pernah mengalami allergi/alahan kepada makanan laut, ubat dan lain-lain.

Semasa pemeriksaan

  • Pemeriksaan MRI Pelvis mengambil masa antara 30 hingga 60 minit.
  • Anda akan diminta untuk berbaring di atas meja pemeriksaan, kemudian meja tersebut akan bergerak menuju posisi yang ditentukan di dalam ruangan bulat atau dipanggil bore MRI.
  • Anda diminta untuk bertenang dan tidak bergerak semasa pemeriksaan dijalankan untuk mengelakkan pemeriksaan ulangan.
  • Anda akan disuntik dengan media kontras di tangan atau lengan jika diperlukan.
  • Anda akan mendengar bunyi yang agak bising yang dihasilkan oleh mesin MRI semasa pemeriksaan dijalankan. Selain itu, meja pemeriksaan akan sesekali bergerak ke depan dan ke belakang.

Selepas pemeriksaan

  • Jika kes memerlukan waktu yang lama, anda mungkin akan merasakan sedikit pening ketika bangun atau duduk selepas pemeriksaan.
  • Anda boleh menukar semula pakaian dan jika mempunyai jarum suntikan untuk media kontras, jarum tersebut akan dikeluarkan.
  • Anda akan dibenarkan pulang setelah anda diperiksa dan dalam keadaan baik.
  • Keputusan pemeriksaan akan dihantar terus kepada doktor yang merawat anda.

Laporan Pemeriksaan

Semua imej yang dihasilkan akan diteliti oleh pakar radiologi dan laporan akan disediakan.

mri_pelvis_2Gambar 2: Paparan imej bahagian badan pesakit yang diteliti oleh pakar radiologi.

Rujukan

  1. Abdomen and/or pelvis MRI. (2011). Cedars-Sinai Hospital. Retrieved July 10, 2012, from http://www.cedars-sinai.edu/Patients/Programs-and-Services/Imaging-Center/Imaging-Procedures/MRI/Abdomen-and-or-Pelvis-MRI
  2. MRI of the body (chest, abdomen, pelvis). (2012, April 24). Radiological Society of North America. Retrieved July 9, 2012, from http://www.radiologyinfo.org/en/info.cfm?pg=bodymr
  3. Pelvis MRI scan.(2011, March 9). National Library of Medicine – National Institutes of Health. Retrieved July 10, 2012, from http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/007355.htm
  4. Wilkinson ID, Paley MNJ. Magnetic resonance imaging:Basic principles. Diagnostic Radiology: A Textbook of Medical Imaging. 5th ed. New York, NY: Churchill Livingstone; 2008

 

Semakan Akhir : 2 Jun 2016
Penulis : Fara Shuhaida binti Shafiee
Akreditor : Daud bin Ismail

Artikel Berkaitan

PEMERIKSAAN CTU

Apakah CTU? Computed Tomography Urography (CTU) merupakan pemeriksaan imbasan CT

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 222,215,962

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-25 14:19:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia