Home > Umum > Optometri > Mitos & Fakta : Penjagaan Kesihatan Mata

Mitos & Fakta : Penjagaan Kesihatan Mata

Mata adalah deria yang penting dalam menjalankan aktiviti hidup seharian. Jika penjagaan mata tidak dititik beratkan, kemungkinan kehilangan penglihatan kekal akan berlaku yang mana ia merupakan masalah kesihatan global yang melibatkan hampir 161 juta penduduk dunia (WHO 2002). Masalah penglihatan merupakan gangguan yang disebabkan oleh penyakit mata, kecederaan atau abnormaliti struktur mata sejak lahir yang menghalang penglihatan normal pada satu atau kedua-dua belah mata. Mitos dan stigma masyarakat yang wujud menjadi punca kelewatan pengesanan, pencegahan dan rawatan diberikan kepada pesakit terutamanya kanak-kanak.

Mitos 1

Penggunaan Komputer Boleh Merosakkan MataPenggunaan Komputer Boleh Merosakkan Mata

Fakta

Melihat pada monitor komputer secara berterusan selama berjam-jam akan menyebabkan ketidakselesaan pada mata atau dikenali sebagai computer vision syndrome (CVS). CVS akan terjadi pada seseorang yang membuat pergerakan yang sama setiap masa contohnya kanak-kanak yang bermain permainan video secara portable atau mereka yang menggunakan komputer dalam aktiviti harian secara berterusan terutamanya jika pencahayaan dan kedudukan komputer yang tidak sesuai. Akan tetapi masih belum terbukti bahawa CVS akan menyebabkan kerosakan kepada mata contohnya katarak. Simptom-simptom CVS adalah seperti mata kabur, penglihatan berganda (double vision), mata kering dan merah, iritasi mata, sakit leher, sakit belakang serta sakit kepala. Jika simptom-simptom ini tidak dirawat, ia akan menjejaskan prestasi kerja individu tersebut.

Mitos 2

Membaca Dalam Keadaan Samar Akan Merosakkan Mata

Fakta

Menurut Dr. Richard Gans , seorang Pakar Oftalmologi dari Cleveland Clinic Cole Eye Institute, cahaya samar akan menyebabkan mata kurang berkedip , sukar untuk fokus dan akan mengakibatkan mata menjadi penat dan kering. Ketidakselesaan ini tidak menyebabkan sebarang kerosakan pada struktur atau fungsi mata. Untuk menyelesaikan masalah ini, pesakit hanya perlu menggunakan ubat titis sebagai pelembap. Menurut beliau lagi, tiada bukti saintifik yang membuktikan bahawa membaca di dalam cahaya samar akan menyebabkan kerosakan pada mata.

Mitos 3

Menonton TV Pada Jarak Dekat Akan Merosakkan MataMenonton TV Pada Jarak Dekat Akan Merosakkan Mata

Fakta

Pernyataan ini adalah tidak benar. Keadaan ini adalah sama seperti membaca dalam keadaan samar. Ia tidak akan merosakkan mata sama ada disebabkan oleh overfocusing ataupun daripada segi radiasi. Kanak-kanak yang melakukan sedemikian mungkin bagi melihat imej di televisyen dengan lebih jelas dan ini adalah petanda bahawa kanak-kanak tersebut mungkin memerlukan kaca mata.

Mitos 4

Mencabut Gigi Menyebabkan Penglihatan Kabur

Mencabut Gigi Menyebabkan Penglihatan Kabur Fakta

Pesakit yang mencabut gigi akan diberikan suntikan bius setempat sebelum proses mencabut gigi dilakukan. Kebiasaannya, suntikan pada gusi bawah tidak menyebabkan masalah pada mata. Penglihatan berganda dan mata kabur merupakan kesan sampingan kepada agen bius setempat iaitu lidocaine atau xylocaine. Kesan sampingan ini selalunya bersifat sementara, akan tetapi jika ia berterusan, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa Pakar Oftalmologi untuk rawatan lanjut.

Mitos 5

Merenung Matahari Secara Direct Boleh Merosakkan Mata

Fakta

Ini adalah benar. Melihat matahari secara direct bukan sahaja akan menyebabkan sakit kepala dan penglihatan menjadi herot sementara tetapi ia juga boleh menyebabkan kerosakan mata secara kekal. Cahaya matahari akan mengakibatkan radiasi ultraviolet pada mata yang menjadi penyebab kepada penyakit mata seperti degenerasi makular, solar retinitis dan corneal dystrophies. Waktu solar eclipse merupakan waktu yang paling berbahaya jika mata merenung matahari kerana pada waktu itu kecerahan matahari akan berkurangan tetapi radiasi yang boleh menyebabkan kerosakan mata tidak berubah.

Mitos 6

Makan Lobak Merah Akan Memulihkan Rabun Mata

Fakta Makan Lobak Merah Akan Memulihkan Rabun Mata

Lobak merah adalah makanan yang kaya dengan beta-carotene iaitu pigmen karotid yang juga dijumpai di dalam buah oren, sayur-sayuran, keju, susu, kuning telur dan hati. Karotid merupakan precursor penting bagi vitamin A di mana kekurangan vitamin A yang ekstrem akan menyebabkan kebutaan seperti yang berlaku di kebanyakan negara yang sedang membangun. Vitamin A boleh membantu dalam mengatasi masalah katarak dan degenerasi makular akan tetapi jika masalah penglihatan anda tidak berkait dengan vitamin A, penglihatan anda tidak akan berubah walau sebanyak mana pun anda memakan lobak merah.

Mitos 7

Kanak-kanak Tidak Perlu Pemeriksaan Mata Sehingga Memasuki Alam Persekolahan

Kanak-kanak Tidak Perlu Pemeriksaan Mata Sehingga Memasuki Alam Persekolahan1 Kanak-kanak Tidak Perlu Pemeriksaan Mata Sehingga Memasuki Alam Persekolahan2 Kanak-kanak Tidak Perlu Pemeriksaan Mata Sehingga Memasuki Alam Persekolahan3

  Kanak-kanak Tidak Perlu Pemeriksaan Mata Sehingga Memasuki Alam Persekolahan4 Fakta

Pemeriksaan mata seawal usia 3 hingga 7 tahun adalah perlu untuk mengelakkan terjadinya masalah mata malas atau ambliopia. Perkembangan mata kanak-kanak yangkritikal adalah pada usia tersebut. Jika sebarang keabnormalan dapat dikesan pada peringkat umur ini, pencegahan awal boleh dilakukan. Tanda-tanda yang boleh diperhatikan pada kanak-kanak yang mempunyai masalah mata adalah :

  1. Melihat televisyen atau sesuatu objek pada jarak dekat
  2. Kerap berkelip dan menggosok mata
  3. Mata berair
  4. Sakit kepala
  5. Mata mudah menjadi penat
  6. Suka menelengkan kepala

Mitos 8

Katarak Boleh Disembuhkan Dengan UbatKatarak Boleh Disembuhkan Dengan Ubat

Fakta

Ini adalah 100% tidak benar. Katarak adalah sebarang opasiti pada kanta mata yang selalunya dikaitkan dengan proses penuaan. Rawatan katarak hanyalah melalui pembedahan dan memerlukan penggantian kanta intraokular palsu. Rawatan awal diperlukan untuk mencegah penyakit lain seperti glaukoma.

Mitos 9

Orang Yang Menghidap Rabun Jauh Semasa Muda Tidak Menghidap Rabun Dekat

Fakta

 Rabun dekat atau dikenali sebagai presbiopia terjadi apabila seseorang mencapai umur 40 tahun di mana otot siliari yang memegang kanta kristalin menjadi kurang kenyal untuk merubah bentuk kanta tersebut. Bagi penghidap rabun jauh, penglihatan pada jarak jauh adalah kabur manakala jelas pada jarak dekat. Apabila penglihatan jarak jauh dibetulkan dengan kaca mata, maka penglihatan jarak dekat juga akan terjejas di mana pesakit presbiopia akan mengalami kekaburan pada jarak dekat. Disebabkan keadaan tersebut, pesakit akan membuka cermin mata untuk melihat pada jarak dekat. Selalunya pesakit dinasihatkan untuk membuat kaca mata pembetulan bagi jarak jauh dan dekat atau dikenali sebagai kanta bifokal atau multifokal.

Mitos 10

Kuasa Cermin Mata Dapat Dikurangkan atau Akan Bertambah Sekiranya Memakai Cermin Mata Setiap Hari

glasses-20994_960_720

Fakta

Penambahan atau pengurangan kuasa cermin mata adalah bergantung kepada pertumbuhan mata pesakit. Cermin mata hanyalah alat bantuan penglihatan yang dapat membantu si pemakai untuk melihat dengan lebih jelas. Pemanjangan bola mata akan tetap berlaku walaupun memakai cermin mata.

Mitos 11

Juling Air atau Juling Itik Tidak Perlu Mendapat RawatanJuling Air atau Juling Itik Tidak Perlu Mendapat Rawatan

Fakta

Kanak-kanak tidak sepatutnya membesar dengan mata juling. Juling lebih mudah dibetulkan pada peringkat kanak-kanak. Ini antara kepentingan kanak-kanak mendapat pemeriksaan mata awal iaitu semasa bayi dan seterusnya pada umur 2 tahun. Juling air atau juling itik adalah jenis juling kadang-kadang dan jika tidak dirawat akan menjadi juling kekal.

Rujukan

  1. http://gizmodo.com/5926497/what-happens-when-you-stare-at-the-sun
  2. http://health.howstuffworks.com/human-body/systems/eye/carrots-eyesight1.htm
  3. http://www.webmd.com/eye-health/fact-fiction-myths-about-eyes

 

Semakan Akhir : 17 Disember 2015
Penulis : Pn. Rossaidah Binti Mustapa
Akreditor : Pn. Waheeda Azwa Binti Hussein