A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Methadone – Kaedah Rawatan...

Methadone – Kaedah Rawatan Terapi Gantian (RTG) Penagihan Dadah

Pengenalan

Penyalahgunaan dadah telah mendatangkan beban kesihatan serius kepada negara akibat penularan wabak HIV/AIDS dan penyakit berkaitan tingkah laku berisiko dalam kalangan penagih dadah. Seramai 300,000 rakyat Malaysia dianggarkan bakal dijangkiti HIV/AIDS menjelang tahun 2015 sekiranya langkah pencegahan dan intervensi berkesan tidak dilaksanakan segera.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan Program Rawatan Terapi Gantian (RTG) Dadah sejak tahun 2005 bagi mencegah jangkitan dan penularan penyakit khususnya HIV/AIDS yang disebabkan oleh perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih dadah.

alt
Majlis Perasmian Terapi Gantian dengan Methadone Peringkat Kebangsaan pada 21 Oktober 2005 bertempat di Hospital Kuala Lumpur.

Rawatan Terapi Gantian (RTG) Dadah bermaksud menggantikan dadah seperti heroin dan morfin yang mempunyai tahap ketagihan yang lebih tinggi dengan ubat yang mempunyai tindakan yang sama tetapi mempunyai tahap ketagihan dan gian yang lebih rendah. Contoh ubat yang digunakan di dalam RTG Dadah di Malaysia adalah Methadone. RTG menggunakan Methadone hanya boleh dimulakan oleh doktor dengan pengawasan perubatan dan sesi kaunseling yang telah ditetapkan.

Bagaimana Methadone Bertindak

Methadone ialah ubat sintetik yang mempunyai kesan yang sama seperti dadah yang sering disalah guna seperti heroin atau morfin. Ia diberikan untuk mengawal ketagihan akibat pengambilan heroin atau morfin di samping dapat mencegah tanda-tanda pengunduran ketagihan dadah. Ia juga dapat mengurangkan risiko jangkitan HIV/AIDS kerana tiada risiko dari perkongsian jarum suntikan. Jika diambil mengikut dos yang betul, Methadone bertindak mengawal ketagihan dan tanda-tanda pengunduran tanpa menyebabkan rasa sangat gembira (euphoria), khayal atau kesan hilang rasa sakit (analgesia).

Cara Pengambilan

Methadone perlu diambil setiap hari dalam bentuk cecair berkepekatan rendah sambil diawasi oleh ahli profesional kesihatan. Kaedah ini dikenali sebagai Direct Observed Therapy atau DOT. Selain DOT, RTG Methadone juga boleh diberikan secara Dos Bawa Balik (DBB). Namun, DBB hanya diberikan kepada pesakit yang telah stabil, mematuhi kriteria yang telah ditetapkan dan dibenarkan oleh doktor.

alt
Direct Observed Therapy – Pendispensan Methadone oleh Pegawai Farmasi

Rehabilitasi

Program Terapi Gantian Dadah ini turut dibantu dengan kaunseling yang sistematik. Ia merupakan terapi rehabilitasi psikososial bagi membantu para penagih menghentikan terus tingkah laku berisiko tinggi untuk jangkitan HIV/AIDS di samping meningkatkan tahap kesihatan, keupayaan psikologi dan fungsi sosial mereka.

Manfaat

Antara impak positif yang diperoleh melalui pelaksanaan Program Terapi Gantian Dengan Dadah ini ialah:

  • Mengurangkan risiko dan penularan penyakit akibat perkongsian jarum suntikan tercemar terutamanya HIV/AIDS, Hepatitis B dan Hepatitis C.

  • Peningkatan tahap kesihatan dan kualiti hidup penagih dadah khususnya dari aspek kecergasan mental dan fizikal.

  • Meningkatkan fungsi psikososial penagih termasuk keupayaan untuk mendapatkan dan mengekalkan pekerjaan.

  • Mengurangkan aktiviti jenayah.

  • Meningkatkan keyakinan diri untuk kembali kepada masyarakat.

Pertubuhan Sokongan

Program RTG Methadone dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama beberapa agensi lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGOs), klinik-klinik swasta dan pihak universiti.

Semakan Akhir : 23 April 2014
Penulis : Nur Hazwani bt. Mohd Noor
Akreditor : Nurul Adha bt. Othman
Penyemak : Nor Aida bt. Sanusi

 

Artikel Berkaitan

Ubat Antidiarea

Apa itu ubat antidiarea? Ubat antidiarea adalah ubat yang digunakan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,232,406

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia