Home > Laman Utama > Menopaus usia 40-an?

Menopaus usia 40-an?

Berita Harian

Isnin, 05/12/2011

Menopaus usia 40-an?

Putus haid hanya berlaku selepas 'ketiadaan' darah selama 12 bulan

Soalan: SAYA berumur 43 tahun dan mempunyai lima anak dengan anak bongsu berusia 10 tahun. Saya sendiri pernah diserang gastrik agak teruk Ramadan lalu dan masih belum pulih sepenuhnya.

Masalahnya, saya sepatutnya haid pada 20 atau 21 hari bulan tapi sehingga kini, belum haid lagi. Sudah dua kali saya buat ujian kehamilan tapi kedua-duanya negatif.

Apakah ini disebabkan masalah gastrik atau kerana tekanan. Apakah ia ada kaitan dengan menopaus memandangkan ada ibu saudara yang putus haid pada usia 40-an. – Norasiah

Jawapan: SUKAR bagi saya memastikan sama ada gastrik dan tidak haid atau datang bulan ada kaitan dengan menopaus. Saya berpendapat, ia dua masalah berbeza.

Adakah tekanan boleh mengganggu haid? Jawapannya boleh. Tetapi berapa banyak tekanan diperlukan untuk memberhentikan haid. Maksud saya ia bukanlah punca utama haid tidak datang.

Ujian air kencing untuk pengesahan kehamilan masih tepat dan boleh diterima pakai walaupun ia tidak tepat 100 peratus. Saya juga tidak berpendapat yang puan sudah menopaus. Mengikut definisi menopaus, ia berlaku apabila seseorang itu tidak didatangi haid selama 12 bulan. Ini bermakna puan belum boleh dikategorikan mengalami menopaus. Pramatang menopaus iaitu menopos sebelum 45 tahun amat jarang sekali berlaku.

Malah, lazimnya ada gejala menopaus dialami sebelum itu. Kadang-kala haid boleh tiba-tiba berhenti tanpa sebab jelas. Tetapi kenaikan atau penurunan mendadak berat badan boleh menjejaskan haid puan. Secara saintifiknya pada Ramadan lalu, ovari puan tidak berfungsi iaitu telur tidak dapat terbentuk pada bulan itu, maka dinding rahim puan tidak terbentuk dan akibatnya haid terhenti.

Puan mempunyai dua pilihan. Pertama, puan bersabar menunggu haid ini turun sendiri manalah tahu ia akan pulih sendiri seperti dulu. Tetapi puan perlu bersedia, mungkin ia lebih banyak daripada biasa.

Keduanya, puan boleh berjumpa doktor untuk mencetuskan (induce) haid dengan mengambil pil-pil hormon. Jika menginginkan haid berjalan lancar dan mencegah daripada hamil, saya cadangkan puan mengambil pil perancang supaya puan mendapat dua faedah sekali gus.

 

{module Artikel & Rencana}