A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Dewasa
  6. /
  7. Mengidam Semasa Hamil

Mengidam Semasa Hamil

Pengenalan

“Mengidam” adalah satu pengalaman yang biasa dialami oleh kebanyakan wanita hamil atau mengandung. Mengidam boleh diterjemahkan sebagai keinginan yang tinggi terhadap sesuatu jenis makanan yang dirasai ketika mengandung. Ada yang mengejutkan, bukan hanya makanan yang diidamkan tetapi juga bahan bukan makanan seperti kapur dan kepingan cat atau tanah. Mengidam makanan yang manis dan masin serta berempah atau yang tinggi kandungan lemak, merupakan subjek yang paling popular. Mengidam dialami mengikut waktu atau dalam tempoh kehamilan yang berbeza di antara seseorang wanita. Terdapat juga keadaan di mana seseorang wanita mengandung memilih untuk makan sesuatu yang sememangnya tidak akan dimakan pada hari-hari biasa jika tidak mengandung. Begitu pun, mengidam semasa mengandung tidak berlaku kepada semua wanita hamil.


Penyebab Berlakunya Mengidam Semasa Hamil

Sebenarnya, penyebab berlakunya mengidam atau penolakan sesuatu jenis makanan semasa mengandung masih tidak diketahui. Terdapat pelbagai faktor yang dikaitkan sebagai punca berlakunya mengidam. Menurut Siobhan Dolan, ada yang berpendapat mengidam atau penolakan semasa kehamilan sebenarnya merupakan satu faktor perlindungan, walaupun tiada data saintifik yang mencukupi untuk menyokong teori ini.

Perkara seperti peningkatan keperluan kalori serta zat makanan (nutrien) semasa kehamilan dan keperluan untuk pertumbuhan atau pembentukan janin merupakan alasan mengapa keadaan ini berlaku. Walau bagaimanapun, ada sesetengah saintis atau penyelidik menyatakan perubahan hormon semasa mengandung turut memberi kesan kepada deria bau. Ini secara tidak langsung memberi kesan dalam pemilihan dan pengambilan makanan.

Mengidam sesuatu jenis makanan semasa mengandung turut dikaitkan sebagai petanda berlakunya kekurangan zat makanan atau nutrien. Sebagai contoh, seseorang wanita hamil yang mengidam susu atau produk tenusu seperti keju menunjukkan kekurangan kalsium. Manakala mengidam makanan manis seperti coklat menandakan peningkatan keperluan kalori atau kekurangan vitamin B.


Adakah Mengidam Membahayakan?

Mengidam sesuatu makanan dan memakan makanan tersebut secara berlebihan dan tiada kepelbagaian (monotonous diet – makan satu makanan sahaja) adalah tidak baik dan boleh menjejaskan kesihatan wanita mengandung serta kandungannya. Walau bagaimanapun, mengidam bukanlah suatu kesalahan dan tidak membahayakan jika dapat mengawalnya. Walau sekuat mana anda mengidam sesuatu makanan, pastikan anda berfikiran waras. Fikirkan kesihatan anda dan bayi dalam kandungan.

Senarai di bawah merupakan makanan yang perlu diambil perhatian dan elakkan memakannya semasa anda hamil:

  • Makanan laut termasuk ikan, telur dan produk hasil daging/ayam yang mentah atau tidak dimasak secara sempurna
  • Susu dan produk tenusu seperti keju yang tidak dipasteur (unpasteurised milk)
  • Alkohol
  • Sayuran berakar yang tidak dibasuh bersih


Apakah Yang Perlu Dilakukan Jika Mengidam Semasa Hamil?

Sekali lagi dinyatakan, adalah tidak salah untuk anda mengidam semasa mengandung dan pada masa yang sama, masih dapat membekalkan segala nutrien yang diperlukan oleh anda dan bayi dalam kandungan. Walau bagaimanapun, pastikan anda tidak mengambil makanan tersebut secara berlebihan. Sebagai contoh, sekiranya anda mengidam untuk makan coklat, pastikan anda hanya makan 1 kepingan atau potongan kecil sahaja dan bukannya keseluruhan kepingan coklat. Pengambilan makanan yang tinggi kalori terutamanya yang tinggi kandungan gula dan lemak atau minyak boleh menyebabkan peningkatan berat badan yang berlebihan secara mendadak. Pertambahan berat badan yang berlebihan akan meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit diabetes semasa mengandung dan masalah tekanan darah tinggi.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda lakukan sekiranya anda mengidam sesuatu jenis makanan:

  • Makan makanan yang seimbang dan pilih makanan yang kurang lemak serta tinggi serat seperti produk bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran serta kekacang. Sekiranya anda makan secara sihat setiap hari, sesekali anda mengidam makanan yang kurang berkhasiat dan diambil dalam jumlah yang sedikit tidak menjejaskan keperluan zat yang diperlukan oleh bayi dalam kandungan.
  • Makan secara kerap dan boleh makan enam kali dalam sehari dalam jumlah yang sedikit tetapi mengenyangkan. Ini bagi membantu mengelakkan penurunan paras gula dalam darah sehingga sukar untuk  mengawal keinginan untuk makan.
  • Alihkan perhatian dengan keluar berjalan, bersembang, membaca atau menjauhi dapur anda atau kedai.
  • Beri tumpuan kepada makanan yang rendah kandungan kalorinya. Sekiranya ingin makan ais krim, pilih ais krim yang diperbuat daripada yogurt rendah lemak yang disejuk beku atau sorbet.
  • Sekiranya mengidam untuk makan kerepek kentang (bergoreng), pilih yang dibakar atau dipanggang dan kurang garam.

Walau apa pun makanan yang anda inginkan atau mengidam, yang penting ia diambil secara sederhana.


Mengidam Bahan Bukan Makanan (Pica)

Jurnal Persatuan Dietetik America menyatakan, mengidam bahan bukan makanan atau dipanggil “Pica”, seperti debu, tanah, sabun, biji kopi, ubat gigi, produk cucian dan tepung jagung, berkaitan dengan kekurangan sesetengah jenis vitamin seperti zat besi. Ia dikaitkan sebagai tindak balas badan untuk memenuhi keperluan vitamin dan mineral yang tidak terdapat dalam makanan yang diambil oleh wanita tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat keadaan di mana mengidam bahan bukan makanan yang dikaitkan dengan masalah kesihatan mental.


Adakah Mengidam Bahan Bukan Makanan atau “Pica” Membahayakan?

American Pregnancy Association dalam kenyataan berkaitan perkara ini menjelaskan, jika wanita mengandung mengidam bahan bukan makanan dan memakannya, ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada ibu dan bayi yang dikandungnya. Bahan yang diambil berkemungkinan boleh menghalang penyerapan nutrien (vitamin dan mineral) dalam makanan yang diambil oleh wanita tersebut dan boleh menjadi punca berlakunya kekurangan zat yang berterusan. Bahan bukan makanan yang dimakan juga berpotensi mempunyai bahan toksik atau kuman. Sesetengah bahan ini turut menyumbang kepada peningkatan berat badan jika diambil dalam kuantiti yang banyak atau mengakibatkan masalah pembuangan najis serta sembelit. Memakan bahan seperti ini boleh menyebabkan anda kenyang dan seterusnya mengurangkan selera anda untuk makan makanan yang lebih berkhasiat.


Apakah Yang Perlu Anda Lakukan Sekiranya Anda Mengidam Bahan Bukan Makanan?

Bertenang. Perlu diketahui bahawa bukan anda seorang sahaja yang menghadapi perkara ini. Pastikan anda memaklumkan kepada doktor atau pegawai perubatan yang merawat anda. Selain itu, ambil maklum tentang status hemoglobin (Hb) anda. Cuba kunyah chewing gum tanpa gula bagi mengalih tumpuan anda mengidam kepada bahan bukan makanan dan maklumkan kepada suami dan rakan anda supaya mereka sentiasa membantu mengingatkan anda agar tidak makan bahan tersebut.

 

Rujukan:

  1. Coronios – Vargas M, Toma RB, Tuveson RV, Schutz M, Cultural influences on food craving and aversions during pregnancy. Ecol Food Nutr 1991; 27:47-9.
  2. Elizabeth M. Ward. Coping with pregnancy food cravings. Do food cravings threaten to derail good nutrition during your pregnancy? Here’s how to stay on track. http://healthcastle.com
  3. Siobhn Dolan, MD, March of Dimes Birth Defects Foundation and Assistant Professor of Obstetrics and Gynecology and Women’s Health, Albert Einstein College of Medicine in New York.
  4. Susan Brody. Pregnancy Craving. What’s causing your cravings and what’s safe to eat?. http://www.parents.com
  5. Tierson D, Olson L, Hook B. Influnce of craving and aversions on diet in pregnancy. Ecol Food Nutr 1985; 17:117-29.
  6. Tsegaye Demissie NM, Muroki, and Wambui Kogi-Makau. Food aversions and cravings during pregnancy: Precalence and significance for maternal nutrition in Ethiopia, 1995, http://unu.edu

 

Semakan akhir : 27 Januari 2012
Penulis : Azlinda Hamid

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,436,315

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia