A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Keselamatan & Kualiti Makanan
  6. /
  7. Keselamatan Bekas Makanan Untuk...

Keselamatan Bekas Makanan Untuk Penyimpanan Panas

 

Membungkus Makanan Panas Dalam Plastik, Selamat Atau Tidak ?


Pengenalan

Penggunaan bekas makanan untuk makanan panas adalah amalan yang biasa dalam kalangan pengguna. Terdapat beberapa jenis plastik yang digunakan untuk penyimpanan panas iaitu botol plastik minuman, plastik yang digunakan untuk membungkus bahan-bahan seperti sup, atau polisterin yang digunakan untuk membungkus makanan.

Sebagai pengguna, anda tentu tertanya-tanya adakah selamat jika anda mengggunakan plastik untuk membungkus makanan panas?


Anda Kenal Apa Itu Plastik?

Plastik terbina daripada polimer yang panjang di mana setiap polimer dibina daripada unit-unit kecil yang dipanggil monomer. Gabungan monomer-monomer yang berlainan akan menghasilkan polimer yang berbeza sifat dan cirinya.


Kod Pengenalan Plastik

Plastik dikelaskan mengikut jenis resin yang digunakan dalam pembuatannya dengan simbol 3 anak panah dengan kod plastik di dalamnya dan diikuti dengan nama singkatan jenis plastik di bawahnya. Simbol ini diletakkan di bahagian bawah atau di tepi botol atau di bekas plastik.


Jenis-jenis Plastik

Secara amnya, terdapat 7 kelas di dalam pembuatan plastik seperti berikut :

Jenis-jenis Plastik

Walau bagaimanapun, jenis-jenis plastik yang digunakan untuk membungkus makanan panas adalah daripada kelas :

  1. Polietelina berketumpatan tinggi / High Density Polyethelene (HDPE)
 hdpe

Sifat-sifat plastik :

  • Kuat
  • Tidak mudah rosak
  • Tahan lembapan
  • Telap udara
  • Tahan haba (penggunaan sehingga 900C).

Kegunaan :  

  • Plastik untuk membungkus makanan panas seperti sup, minuman panas, atau
  • Plastik yang digunakan untuk membungkus ketupat segera.

plastik

  1. Polipropelina (PP)
 Polipropelina

Sifat-sifat plastik :

  • Plastik pelbagai guna
  • Kuat
  • Kalis air
  • Tidak mudah rosak
  • Mudah berubah bentuk (mengikut bentuk makanan).

Kegunaan :

  • Bekas makanan untuk gelombang ketuhar mikro
  • Cawan dan pinggan pakai buang.

bekas makanan  

  1. Polisterina (PS)
 Polisterina

Sifat-sifat plastik :

  • Plastik pelbagai guna
  • Mudah berubah bentuk
  • Plastik yang lutsinar (isi dalamnya boleh dilihat dengan jelas dari luar)
  • Plastik telus cahaya yang tidak jernih
  • Tahan haba sehingga 850C.

  Kegunaan :

  • Pembungkus telur
  • Cawan dan pinggan pakai buang
  • Bekas yogurt dan marjerin.

bungkus telur  

  1. Plastik lain (polikarbonat, nilon dan gentian kaca)
 other

Sifat-sifat plastik :

Bergantung kepada polimer dan gabungan polimer yang digunakan untuk menghasilkan plastik tersebut.

  Kegunaan :

  • Botol minuman daripada polikarbonat
  • Pinggan-mangkuk daripada plastik melamina

botol minuman


Adakah Terdapat Pencemaran Bahan Kimia Daripada Plastik?

Bekas dan bahan pembungkus yang diperbuat daripada plastik biasanya direka secara khusus untuk kegunaan tertentu dan tidak boleh disalah gunakan.

Migrasi (perpindahan) bahan kimia daripada plastik kepada makanan atau minuman yang dibungkus boleh berlaku sekiranya penggunaan bahan plastik tersebut disalah guna. Pendedahan suhu yang tinggi terhadap plastik boleh meningkatkan kadar migrasi bahan kimia plastik .

Selain itu, tempoh masa pendedahan makanan, makanan berasid dan jenis makanan yang mengandungi kandungan lemak yang tinggi juga boleh meningkatkan kadar migrasi bahan kimia ke dalam makanan.


Isu Dalam Kalangan Pengguna?

Jenis-jenis bahan kimia dalam plastik yang digunakan sebagai bahan buatan atau bahan tambah dalam penghasilan plastik boleh mencemari makanan :

Bahan kimia Status / risiko pendedahan kepada pengguna

1)    Sterin

  • Bahan yang digunakan dalam pembuatan polisterina.
  • Terdapat kemungkinan menjadi penyebab kepada penyakit leukemia dan limfoma.
Kajian toksikologi secara intensif mendapati kuantiti perpindahan sangat kecil daripada pembungkus makanan dan kesan risiko bahaya kepada kesihatan manusia juga amat kecil.

2)    Bisphenol A

  • Ia adalah bahan asas yang digunakan dalam pembuatan plastik polikarbonat.
  • Juga ditambah semasa penghasilan penebat (lining)di bawah penutup makanan dalam tin/botol.
  • Telah dibuktikan memberi kesan kepada sistem hormon ke atas haiwan kajian makmal.

Masih belum ada bukti saintifik yang kukuh tentang hubungannya dengan sistem hormon dalam badan manusia.

Walau bagaimanapun, pengguna seperti bayi dan kanak-kanak digalakkan untuk meminimumkan pendedahan dengan bahan tersebut.

3)    Phthalates

  • Bahan tambah dicampur dalam pembuatan plastik bagi meningkatkan ciri kebolehlenturan (fleksibiliti).
  • Diethylhexyl phthalate (DEHP) adalah salah satu jenis phthalates paling kerap digunakan dalam pembuatan pelbagai barang kegunaan rumah, kosmetik dan industri.
  • Sebahagiannya boleh memberi kesan kepada sistem pembiakan manusia.
Kebanyakan kajian semasa dari pelbagai negara menunjukkan kadar pendedahan kepada manusia masih rendah dengan risiko yang amat sedikit.  


Tips Penggunaan Bekas Plastik Untuk Mengisi Makanan!

  1. Jangan membungkus makanan yang panas secara terus ke dalam plastik. Sejukkan sebentar terlebih dahulu.
  1. Sediakan minuman secara suam sebelum dibungkus ke dalam plastik.
  1. Bekas plastik yang digunakan bagi mengisi makanan sejuk beku seperti ais krim, marjerin dan yogurt biasanya tidak sesuai untuk tujuan pemanasan dalam oven atau ketuhar gelombang mikro.
  1. Elakkan menuang minuman panas ke dalam bekas makanan yang diperbuat daripada polisterina. Suhu yang melebihi 85°C akan meningkatkan kadar migrasi bahan kimia ke dalam makanan.
  1. Mengikut ketetapan perundangan di Malaysia,Kesatuan Eropah dan Kanada, botol susu bayi yang diperbuat daripada plastik jenis polikarbonat adalah dilarang dijual di pasaran kerana risiko migrasi Bisphenol A kepada bayi. Pastikan jenis botol susu bayi yang ingin dibeli bebas daripada Bisphenol A seperti botol susu jenis polipropelina, silikon atau kaca yang tiada risiko kesihatan kepada bayi.


Kesimpulan

Penggunaan bahan plastik untuk membungkus makanan plastik adalah selamat. Namun begitu, penggunaan plastik perlu digunakan mengikut kesesuaian plastik mengikut kod resin yang disediakan oleh pengeluar untuk mengelakkan sebarang migrasi bahan kimia ke dalam makanan. 

 

Rujukan

  1. Modul Pengajaran Sekolah Latihan Pengendali Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Julai 2010.
  2. K Jayaraman, Hasnah Haron, Gooi Beng Sun and Soh Keng Lin. Consumer Reflection on the usage of plastics bag to parcel hot edible items: an empirical study in Malaysia. Journal of Cleaner Production. 2011. 1527-1532.
  3. Pamplet Penggunaan Plastik Untuk Membungkus Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
  4. Styrofoam-The Silent Killers. Olive Green Marketing. olivegreen.org

 

Semakan akhir : 30 Jun 2016
Penulis : Mohd Nurul Haryadie bin Mazuki
Akreditor : Zalilah binti Nasir

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,226,595

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia