A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Masalah Menelan selepas Strok

Masalah menelan boleh menjejaskan kualiti kehidupan kepada pesakit strok dan berisiko tinggi untuk mendapat masalah jangkitan paru-paru.

Pengenalan

Masalah menelan boleh menjejaskan kualiti kehidupan  kepada pesakit strok dan berisiko tinggi untuk mendapat masalah jangkitan paru-paru.  Ianya boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan betul. Pengendalian masalah menelan harus bertujuan memudahkan pesakit strok agar dapat  menelan makanan dengan selamat.

Masalah menelan atau disfagia, adalah masalah yang biasa berlaku di kalangan pesakit terutama individu yang mengalami strok atau angin ahmar. Ia berlaku apabila bahagian otak yang berfungsi mengawal proses menelan mengalami kerosakan atau gangguan. Kajian menunjukkan kadar insiden masalah menelan dilaporkan antara 29 – 67% di kalangan pesakit  strok (Martino et al., 2005, Singh & Hamdy, 2006 ) dan kira-kira 15% daripadanya adalah mereka yang berumur lebih 60 tahun (Brady 2008).

Proses-Proses Menelan

Proses menelan terbahagi kepada 4 peringkat (Hedge 2001, Marks & Rainbow 2003, Logemann 1984) iaitu:

Peringkat pertama: Proses Penyediaan Bolus

Proses mengunyah makanan memerlukan bibir yang tutup rapat bagi mengelakkan makanan terkeluar ketika mengunyah. Gigi dan rahang untuk menghancurkan makanan dan lidah pula berfungsi menggerakkan makanan ke kiri dan ke kanan untuk dikunyah dan dilembutkan dengan air liur bagi membentuk bolus.

Peringkat kedua:  Proses Penghantaran Bolus

Makanan/ cecair yang sudah menjadi bolus ditolak oleh lidah ke bahagian belakang mulut sehingga menunggu isyarat untuk  menelan dari otak tercetus.

Peringkat ketiga: Proses Menelan ke Bahagian Tekak/Laring

Ia satu proses di luar kawalan. Setelah isyarat menelan tercetus, lelangit lembut akan terangkat supaya bolus makanan/cecair dibenarkan masuk ke bahagian faring dan mengelakkan makanan  masuk ke bahagian hidung. Tekak pula akan bergerak ke atas dan ke depan bagi membolehkan salur penafasan ditutup dan salur makanan dibuka. Bolus akan turun dari bahagian mulut ke bahagian tekak dan seterusnya  memasuki  esofagus (salur makanan). Kesemua proses ini berlaku mengikut turutan tetapi dalam masa yang sangat pantas (kurang satu saat).

Peringkat keempat: Penghantaran Bolus dari Esofagus ke Perut

Esofagus adalah tiub berotot yang menyambungkan bahagian tekak dan perut dan menggunakan proses pengecutan yang diselaraskan oleh otot untuk menolak bolus ke dalam perut. Esofagus mempunyai dua injap iaitu injap atas dan injap bawah. Kedua-dua injap akan terbuka bagi membenarkan bolus memasuki perut.

Punca-Punca Masalah Menelan Pesakit Strok

Masalah menelan disebabkan oleh:

  • Masalah kognitif – pesakit strok adalah dikaitkan dengan peningkatan insiden penyakit dementia.

  • Kerosakan saraf yang terlibat dalam proses menelan.

  • Kerosakan pada bahagian otak yang mengawal proses menelan.

Kesan Masalah Menelan

Masalah menelan jika tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan pesakit kekurangan zat makanan,hilang berat badan secara mendadak, kekurangan air dan berlaku jangkitan pada paru-paru yang mana boleh mengancam nyawa pesakit (Smithard et al. 1996).

Tanda-Tanda Masalah Menelan

Pesakit strok yang mengalami masalah menelan akan menunjukkan tanda-tanda seperti:

  • Air liur meleleh di bahagian  muka yang lemah

  • Kurang selera makan

  • Makanan berbaki di dalam mulut selepas menelan

  • Sukar/ lambat untuk menelan

  • Menelan makanan beberapa kali untuk bolus yang kecil

  • Tersedak/ terbatuk sebelum/ketika/ selepas menelan

  • Kerap berdehem selepas menelan

  • Keletihan ketika/ selepas makan

  • Mengambil masa yang lama mengunyah/menghabiskan makanan

  • Suara berubah kebasahan selepas makan atau minum

  • Hilang berat badan secara mendadak

  • Kerap mengalami jangkitan paru-paru

Penilaian Masalah Menelan

Pesakit strok yang mempunyai masalah menelan perlu menjalani penilaian yang akan dijalankan oleh Terapis Pertuturan-Bahasa. Penilaian yang dijalankan adalah:

  1. “Clinical Bedside Swallowing Assessment.”

    • Fasa pertama untuk mengenalpasti fungsi dan struktur organ pertuturan, tanda-tanda masalah menelan dan kesesuaian untuk penilaian secara instrumentasi seperti VFSS atau FEES.

  1. Penilaian secara instrumentasi

    1.  Videofluoroscopy Swallowing Study (VFSS)

      Sumber: Unit Terapi Pertuturan-Bahasa, Hospital Kuala Lumpur
      • VFSS adalah penilaian piawai melalui imbasan x-ray yang dinamik.

      • Penilaian ini dijalankan bersama Radiologis. Radiologis akan mengambil imej bergerak yang ditangkap dari pandangan sisi. Pesakit akan diberi makanan dan minuman yang telah dicampurkan dengan serbuk barium bagi menampakkan pergerakkan makanan sewaktu imbasan xray di ambil.

      • Penilaian ini dijalankan bagi tujuan untuk melihat kepekatan makanan, teknik penelanan serta kedudukan badan yang sesuai untuk pesakit menelan dengan selamat. VFSS ini mengambil masa 10-15 minit.

    1. Fibreoptic Endoscopic Evaluation of Swallowing (FEES).

      Sumber: Unit Terapi Pertuturan-Bahasa, Hospital Kuala Lumpur
      • FEES dijalankan dengan memasukkan endoskop ke dalam lubang hidung bagi melihat proses menelan yang berlaku di dalam tekak. Penilaian ini mudah dan selamat dan boleh dijalankan ke atas pesakit yang duduk di atas katil.

      • Ianya tidak terdedah kepada radiasi. Ia membenarkan penilaian secara anatomi dan sensori.

Rawatan Masalah Menelan

Tiada ubat untuk masalah menelan. Masalah menelan dapat dipulihkan dengan beberapa cara iaitu:

  1. Strategi penggantian/Compensatory strategies: Pesakit diberikan teknik menelan dengan selamat

  2. Rehabilitasi : Pesakit diberikan latihan untuk menguatkan otot untuk menelan.

  3. Teknik Perlindungan Salur Pernafasan/Airway Protection Techniques : Pesakit diajar teknik  bagi mengelak makanan masuk ke salur pernafasan pesakit ketika  makan

Strategi yang diberikan adalah berbeza-beza antara pesakit mengikut masalah menelan yang dihadapi.

Matlamat utama dalam rawatan masalah menelan adalah untuk mengurangkan risiko semasa menelan dan risiko kematian yang dikaitkan dengan jangkitan paru-paru. Selain itu, rawatan yang diberikan supaya pesakit kembali mengambil diet secara normal. Ini seterusnya dapat meningkatkan kualiti hidup mereka (Singh & Hamdy 2006).

Dapatkan bantuan Terapis Pertuturan-Bahasa untuk mengendalikan masalah menelan anda.

Rujukan

  1. Martino R, Foley N, Bhogal S, et al. Dysphagia After Stroke: Incidence, Diagnosis,and Pulmonary Complications. Stroke 2005;36:2756-2763.

  2. Smithard, D.G., O’Neill, P.A., Park, C.L.,& Morris, J. Complications and Outcome After Acute Stroke: Does Dysphagia Matter? Stroke 1996;27:1200-1204.

  3. Singh,S. &Hamdy, S. Dysphagia in Stroke Patients. Postgrad Med J 2006; 82:383–391.

  4. Brady, A. Managing the Patient with Dysphagia. Home Healthc Nurse 26 (1): 41–6.

  5. Lizzy Marks & Deirdre Rainbow, A Speechmark Practical Therapy Manual: Working with Dysphagia 2003.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Mohd Azmarul bin A. Aziz
Akreditor : Rosmah Suriani bt. Mohd Raini
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

 

Artikel Berkaitan

Tips Berkomunikasi dengan Pesakit Strok

Ahli keluarga/ penjaga dan orang ramai perlu memahami bahawa strok boleh memberi kesan kepada komunikasi bagi mereka yang mengalaminya. Individu yang mengalami strok sering dikaitkan dengan masalah tidak boleh bercakap selepas strok.

Tidak Boleh Bercakap selepas Strok

Afasia adalah satu gangguan bahasa di mana seseorang hilang keupayaan samada satu atau lebih kemahiran iaitu memahami bahasa, menggunakan bahasa untuk berkomunikasi serta menulis dan membaca.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,314,928

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia