A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Mangsa Rogol dan Liwat

Mangsa Rogol dan Liwat

Kes rogol atau liwat bukanlah perkara asing kini, walaupun penguatkuasaan undang-undang telah dilaksanakan. Namun masyarakat perlu mempunyai pengetahuan untuk bertindak sekiranya kes-kes ini berlaku kepada kita atau orang terdekat.

Garis Panduan Bagi Mangsa Rogol & Liwat

Kes rogol atau liwat bukanlah perkara asing kini, walaupun penguatkuasaan undang-undang telah dilaksanakan. Namun masyarakat perlu mempunyai pengetahuan untuk bertindak sekiranya kes-kes ini berlaku kepada kita atau orang terdekat. Antaranya adalah persoalan apakah yang dikatakan rogol atau liwat, perkara-perkara yang patut dilakukan dan yang tidak patut dilakukan oleh individu yang menjadi mangsa, kepada siapa patut dirujuk dan peranan badan-badan berkaitan dengan kes-kes seperti ini.

Rogol

Mengikut Akta 574 Seksyen 375 Kanun Keseksaan, seseorang lelaki dikatakan melakukan rogol jika ia bersetubuh dengan seseorang perempuan dalam keadaan yang termasuk di bawah mana-mana daripada perihal-perihal berikut :

  1. Bertentangan dengan kemahuan perempuan itu;
  2. Dengan tiada kerelaan perempuan itu;
  3. Dengan kerelaan perempuan itu manakala kerelaannya telah didapati dengan mendatangkan kepadanya atau mana-mana orang lain ketakutan mati atau cedera, atau telah didapati melalui salah tanggapan fakta dan lelaki itu tahu atau ada sebab untuk mempercayai bahawa kerelaan itu telah diberi akibat daripada salah tanggap tersebut;
  4. Dengan kerelaan perempuan itu manakala lelaki itu mengetahui bahawa dia bukan suaminya, dengan kerelaan itu diberi kerana perempuan itu percaya lelaki itu ialah seorang lelaki yang menjadi atau yang dia percaya menjadi suaminya yang sah di sisi undang-undang atau kepadanya dia memberi kerelaan;
  5. Dengan kerelaannya, jika pada masa memberi kerelaan itu dia tidak boleh memahami jenis dan akibat mengenai apa yang dia memberi kerelaan;
  6. Dengan kerelaan perempuan itu, apabila kerelaannya didapati dengan menggunakan kedudukannya yang berkuasa ke atas perempuan itu atau atas sebab hubungan profesional atau lain-lain hubungan amanah berkaitan dengannya;
  7. Sama ada dengan kerelaan perempuan itu atau tidak, apabila perempuan itu di bawah umur enam belas tahun.

Mengikut Seksyen 375A, Kanun Keseksaan, seseorang lelaki yang merupakan suami kepada seorang perempuan akan disabitkan kesalahan penjara, sekiranya dia menyebabkan kecederaan atau ketakutan kepada isterinya untuk tujuan mengadakan hubungan seksual dengannya semasa tempoh perkahwinan mereka.

Antara contoh-contoh perlakuan rogol ialah :

  1. Acquaintance rape” atau dirogol oleh kenalan ditakrifkan secara umum sebagai apa-apa keadaan di mana unsur-unsur yang diperlukan bagi jenayah rogol adalah dipenuhi (memaksa seorang wanita mengadakan hubungan seks tanpa kerelaannya dan tanpa izinnya) dan mangsa dan perogol saling mengenali antara satu sama lain.
  2. “Statutory rape” ialah hubungan seks dengan gadis di bawah umur 16 tahun walaupun dengan kebenaran gadis tersebut. Hal ini demikian kerana gadis di bawah umur 16 tahun tidak boleh membuat keputusan sendiri di sisi undang-undang.
  3. “Gang rape” atau rogol secara berkumpulan adalah keganasan seksual yang melibatkan dua atau lebih penyerang terhadap mangsa.

Liwat

Mengikut Seksyen 377A dan 377C Akta 574 Kanun Keseksaan, liwat ialah:

377A : Persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie, iaitu sebagai mana-mana orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang yang lain dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang yang lain itu dikatakan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie.

377C : Barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan luar tabie ke atas seseorang yang lain tanpa kerelaannya, atau bertentangan dengan kemahuannya atau dengan meletakkan orang lain dalam ketakutan mati atau cedera kepada orang itu atau kepada mana-mana orang lain, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari dua puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.

Saranan dan Tegahan bagi Mangsa Rogol dan Liwat

  • Perkara yang MESTI dilakukan oleh mangsa rogol / liwat :
    1. Jangan tertekan dan menyalahkan diri sendiri.
    2. Pergi ke tempat yang selamat dan beritahu orang yang dipercayai.
    3. Buat laporan polis bagi mempercepat siasatan.
    4. Lakukan pemeriksaan perubatan secepat mungkin, sebaik-baiknya pada hari yang sama.
    5. Pemeriksaan segera oleh doktor penting untuk mendapatkan bukti yang kukuh terhadap perogol.
    6. Dapatkan bantuan profesional untuk menangani perasaan, keselamatan dan kesihatan anda.
  • Perkara yang TIDAK PATUT dilakukan sekiranya anda dirogol / diliwat :
    1. Jangan tunggu lebih dari 48 jam sebelum berjumpa doktor atau membuat laporan polis.
    2. Jangan mandi sebelum pemeriksaan doktor.
    3. Jangan menukar pakaian.
    4. Jangan menggosok gigi.
    5. Jangan makan atau minum.
    6. Jangan pergi seorang diri. Pastikan pergi bersama dengan orang yang dipercayai untuk pemeriksaan doktor / polis.

Peranan Forensik dalam Pengendalian Mangsa Rogol / Liwat

  1. Memastikan spesimen betul diambil dan dikumpulkan dengan teknik yang betul untuk analisis forensik.
  2. Memastikan semua bukti yang berpotensi diambil.
  3. Memastikan sampel yang diambil dengan teknik yang betul dan disimpan mengikut kaedah yang telah ditetapkan supaya tiada risiko pencemaran sampel.
  4. Memastikan sampel-sampel dipelihara supaya sampai ke makmal dalam keadaan yang terbaik dan optimum.
  5. Menyediakan maklumat yang diperlukan oleh makmal-makmal berkaitan bagi tujuan penafsiran keputusan yang diperoleh.
  6. Menyediakan laporan pemeriksaan Klinikal Forensik untuk tujuan penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Persetujuan / Kebenaran Mangsa

Sebelum sebarang pemeriksaan Klinikal Forensik dibuat, doktor akan menjelaskan kepada mangsa secara terperinci proses pemeriksaan supaya difahami oleh mangsa. Mangsa akan diberi pilihan untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat mengenai pemeriksaan. Persetujuan oleh mangsa perlulah diberikan secara bebas, sukarela dan tanpa paksaan selagi mana mangsa bukan di bawah umur 18 tahun dan mempunyai keupayaan berfikir untuk membuat keputusan. Mangsa berhak untuk ditemani oleh seorang waris atau orang yang dipercayai atau seorang peguam semasa pemeriksaaan dijalankan.

Pemeriksaan Klinikal Forensik

Pemeriksaan Klinikal Forensik bermula dengan pemeriksaan fizikal yang akan dilakukan sebaik sahaja mangsa dibawa ke Jabatan / Unit Kecemasan Hospital. Sekiranya kes rogol, mangsa akan dirujuk kepada Pakar Obstetrik dan Ginekologi hospital untuk pemeriksaan dan pengambilan sampel.

Manakala bagi kes liwat, mangsa akan dirujuk kepada Pakar Bedah di Jabatan Pembedahan hospital untuk pemeriksaan dan pengambilan sampel. Pakar Forensik hanya akan dirujuk sekiranya terdapat kecederaan tubuh. Tujuan pemeriksaan perubatan forensik dibuat adalah untuk mendapatkan bukti-bukti berkaitan dengan membuat persampelan di bahagian anggota badan yang tertentu seperti di bawah:

Kawasan Persampelan

Bukti Forensik

Swab pada bahagian luar bibir Pengesanan cecair badan di bibir dan kulit di sekeliling mulut contohnya air mani atau kesan darah yang bukan daripada mangsa.
Swab pada mulut Pengesanan air mani jika berlaku seks oral dalam tempoh 72 jam. Swab diambil sekiranya terdapat makluman sejarah daripada mangsa walaupun mangsa telah menggosok gigi atau makan dalam tempoh tersebut.
Swab pada kulit badan. Pengesanan cecair badan pada permukaan kulit seperti air mani, air liur atau kesan darah yang bukan daripada mangsa ketika mencium, menjilat atau kawasan digigit. Swab diambil dalam tempoh 72 jam.
Rambut di kepala dan bulu kemaluan

Teknik “Hair combing”

  • Pengesanan air mani
  • Pengesanan gentian fiber, benda asing, bulu asing.
Teknik “Hair Plucking / Cutting” dibuat dengan mencabut rambut di kepala dan mencabut bulu kemaluan untuk dijadikan sebagai sampel kawalan untuk perbandingan mikroskopik rambut dan bulu.
Seluar dalam dan “sanitary pad” Pengesanan air mani pada “sanitary pads” dan seluar dalam yang dipakai selepas kejadian sekiranya mangsa masih memakai seluar dalam yang sama.
Swab pada bahagian dalam kemaluan Diambil pada bahagian vulva, bahagian dinding atas dan bawah faraj (vagina) dan endocervical untuk pengesanan cecair badan jika persetubuhan melalui faraj atau dubur dalam masa 72 jam.
Swab pada bahagian luar genitalia. Diambil pada kawasan mons pubis hanya jika tiada bulu kemaluan dijumpai. Seterusnya pada perineum untuk pengesanan cecair badan seperti air mani, air liur atau darah yang mungkin bukan daripada mangsa dalam 72 jam.
Swab pada zakar Pengesanan cecair badan jika persetubuhan berlaku dalam tempoh 72 jam.
Swab pada perianal dan dubur Pengesanan cecair badan jika persetubuhan melalui faraj atau dubur dalam tempoh 72 jam.
“Nail Scrapping” dilakukan sekiranya mangsa memaklumkan bahawa mangsa mencakar penyerang atau terdapat kesan darah pada kuku Mendapatkan bukti surih contohnya cecair badan, fiber, darah atau benda asing.
Darah
  • Analisa DNA menggunakan kad FTA dan menggunakan (Blood EDTA) sekiranya ketiadaan kad FTA.
  • Pengesanan alkohol dan penyalahgunaan dadah. Hanya jika diambil dalam tempoh 72 jam selepas kejadian.
  • Analisa serologi untuk ujian HIV dan jangkitan kelamin (sexually transmitted infection).
Air kencing
  • Pengesanan alkohol dan penyalahgunaan dadah sekiranya terdapat sejarah mangsa diberi minum atau makan sebelum kejadian. Hanya jika diambil dalam 120 jam selepas kejadian.
  • Keperluan untuk ujian kehamilan.
  • Analisa “urine culture” untuk mengenal pasti jangkitan kelamin.

Bukti-bukti yang didapati daripada pemeriksaan Klinikal Forensik dan analisis forensik boleh membukti dan mensabitkan kesalahan terhadap pelaku rogol atau liwat. Pesalah boleh dijatuhkan hukuman bagi kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Akta 574 Kanun Keseksaan. Manakala seksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie mengikut Seksyen 377B Akta 574 Kanun Keseksaan adalah kesalahan liwat.

hukuman-rogol

 (a) Imej hukuman rogol (Sumber: www.dialograkyat.blogspot.com)

Non-Governmental Organisation (NGO)

Women’s Centre for Change (WCC) adalah organisasi yang menyediakan sokongan emosi untuk membantu mangsa rogol untuk menghadapi trauma fizikal dan psikologikal serta sokongan mahkamah sekiranya kes dibawa ke mahkamah. WCC ialah satu badan bukan kerajaan yang komited untuk menghapuskan keganasan wanita, memberi kuasa kepada wanita dan kanak-kanak serta menggalakkan kesamaan hak, jantina dan kesamarataan sosial.

Terdapat satu polisi dan garis panduan yang dikenali sebagai One Stop Crisis Center : Policy and Guidelines for Hospitals, Ministry of Health, Malaysia yang diterbitkan pada Julai 2015, kini digunakan sebagai rujukan bagi pengurusan mangsa rogol, liwat, dera, keganasan rumahtangga yang lain di Malaysia.

Rujukan

  1. Laman web WCC (http://wccpenang.org/violence-against-women/rape/)
  2. MERRIL D. SMITH, Encyclopedia of Rape, 2004, London.
  3. Recent Rape/Sexual Assault: National Guidelines on Referral and Forensic Clinical Examination in Ireland 3rd edition 2014.
  4. Standard Operating Procedure OICC, to be published.
  5. Undang-undang Malaysia, Akta 574, Kanun Keseksaan (Pindaan 2014)
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Hafiz bin Rommali
Akreditor / Penyemak : Dr. Khoo Lay See

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,237,690

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia