A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Mangsa Dera & Penderaan...

Mangsa Dera & Penderaan Kanak-Kanak

Keganasan mengikut tafsiran WHO (World Health Organisation) sebagai dengan sengaja menggunakan kekerasan atau kekasaran, ancaman atau benar-benar terhadap diri sendiri, orang lain, atau terhadap satu kumpulan atau komuniti sama ada mengakibatkan atau mempunyai kemungkinan yang tinggi menyebabkan kecederaan, kematian, gangguan emosi, terbantut tumbesaran atau kesusahan.

Masa Depan Tanpa Keganasan : Mangsa Dera Dan Penderaan Kanak-Kanak

Keganasan

Keganasan mengikut WHO (World Health Organisation) ditafsirkan sebagai (dengan sengaja) menggunakan kekerasan atau kekasaran, ancaman atau benar-benar terhadap diri sendiri, orang lain, atau terhadap satu kumpulan atau komuniti sama ada mengakibatkan atau mempunyai kemungkinan yang tinggi menyebabkan kecederaan, kematian, gangguan emosi, terbantut tumbesaran atau kesusahan.

Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) memberi tafsiran keganasan rumah tangga sebagai perlakuan satu perbuatan atau lebih seperti berikut :

  1. Secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan, atau cuba meletakkan, mangsa itu dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal;
  2. Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang diketahui atau yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal;
  3. Memaksa mangsa itu dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan, berbentuk seksual ataupun selainnya, yang mangsa itu berhak tidak melakukan;
  4. Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa itu;
  5. Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu;
  6. Menyebabkan penderaan psikologi yang termasuklah kecederaan emosi kepada mangsa;
  7. Menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lain tanpa kerelaan mangsa atau jika kerelaan diberikan, kerelaan itu diperoleh dengan cara yang menyalahi undang-undang; atau
  8. Dalam hal jika mangsa adalah seorang kanak-kanak, menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lain, oleh seseorang, sama ada dengan sendiri atau melalui pihak ketiga, terhadap:
    1. Isteri atau suaminya;
    2. Bekas isteri atau suaminya;
    3. Kanak-kanak;
    4. Orang dewasa tidak berkeupayaan; atau
    5. Mana-mana anggota lain keluarga

Penderaan kanak-kanak

Menurut Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611), tafsiran “kanak-kanak” adalah:

  1. Seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun; dan
  2. Berhubung dengan prosiding jenayah, ertinya seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam Seksyen 82 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Penderaan kanak-kanak ialah istilah generik yang merangkumi kesemua layanan buruk kepada seseorang kanak-kanak. Ia termasuk serangan fizikal dan seksual yang serius dan juga kes-kes di mana tahap penjagaan tidak mencapai jangkaan yang munasabah. “HM Government (2006) Working Together to Safeguard Children : A guide to inter-agency working to safeguard and promote the welfare of children” yang mengklasifikasikan penderaan kanak-kanak kepada empat kategori yang luas iaitu :

  1. Penderaan fizikal
  2. Penderaan seksual
  3. Penderaan emosi
  4. Pengabaian
a) Contoh penderaan fizikal kanak-kanak
(Sumber: www.pioneerhouselearning.com)
  b) Contoh kecederaan badan pada kanak-kanak
(Sumber: www.justiceforchildren.org)

Mangsa

Peratusan besar daripada statistik menunjukkan bahawa wanita dan kanak-kanak sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan juga penderaan. Khususnya wanita, perasaan keliru dan takut akibat tingkah laku pasangan mereka yang sering berulang dalam kitaran; daripada suka marah atau mendera kepada rasa bersalah dan penyesalan. Keganasan rumah tangga amat merosakkan kanak-kanak; sama ada mereka mengalaminya sendiri atau melihat atau mendengar apabila ia berlaku terhadap ibu bapa, abang atau kakak. Diperlakukan dengan keganasan dan menyaksikan keganasan memberi kesan kepada kanak-kanak daripada semua peringkat umur dan boleh mempengaruhi cara bagaimana mereka menangani konflik sepanjang hayat mereka kemudian. Mereka mungkin percaya bahawa keganasan adalah perkara biasa daripada hubungan kekeluargaan.

c) Kitar Keganasan
(Sumber: www.lovetakestime.com)
d) Roda Kuasa dan Kawal
(Sumber: www.familycrisiscenters.com)

Walaupun wanita dan kanak-kanak seringkali menjadi mangsa keganasan dan penderaan, namun kaum lelaki turut menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Pada kebiasaannya, lelaki merupakan mangsa penderaan verbal dan emosi dan mereka berasa malu untuk mendapatkan pertolongan dan rawatan.


e) Lelaki sebagai mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan
(Sumber: www.chaufeaudumur.hubpages.com)

Keganasan menyebabkan kanak-kanak berasa keliru, sedih, marah dan takut. Cara mereka menyatakan perasaan masing-masing bergantung kepada umur dan tahap pembesaran mereka. Perasaan bayi dan kanak-kanak kecil digambarkan dalam tingkah laku mereka. Kanak-kanak akan secara tidak langsung menjadi tertekan sekiranya ibu bapa tertekan. Kanak-kanak kecil boleh menyalahkan diri mereka disebabkan oleh keganasan manakala kanak-kanak sekolah mahu menyembunyikan segala yang berlaku di rumah mereka daripada rakan-rakan. Remaja mungkin berasa marah dan menyalahkan ibubapa yang ganas atau ibu bapa yang mendera. Mereka juga mungkin berasa geram atau terbeban kerana terpaksa melindungi ahli keluarga yang didera. Sesetengah mereka boleh melibatkan diri dalam tingkah laku ganas atau mengambil risiko yang berbahaya.

Peranan forensik terhadap mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak :

  1. Mengamalkan sikap prihatin dan bukan sikap berprasangka.
  2. Mendapatkan persetujuan terlebih dahulu untuk semua prosedur yang perlu dilaksanakan.
  3. Mendokumenkan segala aspek penting sejarah mangsa.
  4. Mengumpulkan semua bukti forensik dan merekodkan semua spesimen diambil.
  5. Mengesan, merawat dan merekodkan apa-apa kecederaan fizikal.
  6. Memberi penjagaan dan “prophylaxis” terhadap kehamilan dan jangkitan kelamin.
  7. Memastikan sokongan psikologi yang sesuai diberikan.
  8. Menyediakan laporan mengenai kronologi kes, pemeriksaan dan keputusan pemeriksaan secepat mungkin.
  9. Merujukkan mangsa untuk rawatan susulan yang bersesuaian dan mangsa diberi perincian rawatan secara bertulis.

Rawatan Perubatan dan Pemeriksaan Klinikal Forensik Terhadap Mangsa

Adalah menjadi suatu keperluan untuk memastikan bahawa mangsa menerima rawatan perubatan dan pemeriksaan di hospital. Bagi kes terlibat, seorang pegawai polis sebagai Pegawai penyiasat haruslah menemani mangsa untuk mengekalkan kesinambungan dan integriti bukti, dan untuk menyelaraskan butir-butir penyiasatan yang dijalankan. Ia adalah penting bahawa semua bahan-bahan (barangan perubatan, pembungkusan, pakaian perlindungan) yang digunakan dalam pemeriksaan diiktiraf untuk pengumpulan bukti.

Pegawai penyiasat perlu menjelaskan sebab-sebab perlunya pemeriksaan Klinikal Forensik kepada mangsa. Pakar Perubatan Forensik bertanggungjawab untuk memastikan kebenaran untuk memeriksa diperoleh daripada mangsa. Mangsa diberi keutamaan untuk diperiksa oleh doktor wanita. Mangsa perlu diberitahu sekiranya keutamaan jantina doktor pilihan mereka tidak dapat dipenuhi yang bergantung pada doktor yang sedia ada.

Persetujuan diperoleh apabila :

  1. Mangsa dimaklumkan sepenuhnya, bukan di bawah umur dan mempunyai kapasiti mental untuk memberikan persetujuan.
  2. Persetujuan adalah tidak tetap dan merupakan satu proses yang berterusan. Pesakit boleh menarik balik kebenaran di mana-mana peringkat.
  3. Persetujuan disaksikan dan ditandatangani oleh :
    1. Pesakit
    2. Ibu bapa/penjaga (cara terbaik adalah dengan tandatangan pesakit disertakan jika perlu)
    3. Sekiranya melibatkan kes penderaan kanak-kanak; salah seorang pegawai dari Pasukan Pelindungan Kanak-kanak perlu hadir bersama sama ada Pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pegawai Perubatan atau Pegawai Kanan Polis.
    4. Pegawai Perubatan atau Pakar Perubatan Forensik.

Apabila dua individu berasingan yang terlibat dalam kes yang sama memerlukan pemeriksaan Klinikal Forensik, Pakar Perubatan Forensik menjadi pilihan. Jika ini tidak dapat dilakukan, proses “forensic cleaning” perlu dijalankan untuk mengelakkan “cross-contamination” bahan-bahan bukti. Proses “forensic cleaning” ini dilakukan dengan menggantikan barang-barang pakai buang dan menukarkan peralatan-peralatan yang dipakai sebelum pemeriksaan seterusnya. Pakar Perubatan Forensik yang menjalankan pemeriksaan perlu menukarkan “Personal Protective Equipment” (PPE) sendiri yang telah digunakan sebelum memeriksa pesakit yang seterusnya.  Kakitangan perubatan yang terlatih perlu memastikan bilik pemeriksaan Klinikal Forensik dilengkapi dengan kelengkapan perubatan yang sesuai.

Pemeriksaan Fizikal Umum

Pemeriksaan Fizikal

Langkah pencegahan diambil bagi mengelakkan pencemaran bahan bukti dan pemeriksaan fizikal menyeluruh dilakukan. Pemeriksaan dimulakan dengan pendekatan mudah, iaitu pemeriksaan daripada kepala dan leher ke kaki.Sampel forensik boleh diambil semasa pemeriksaan yang mana kemungkinan terdapat cecair badan atau jika terdapat tanda atau kecederaan pada kulit semasa diserang oleh penyerang.

Penggunaan Teknik Swab

Kapas dilembabkan dengan air steril yang disediakan. Kawasan yang dikenalpasti dilap dengan swab yang lembap. Seterusnya, swab kering kedua digunakan untuk lap sebarang cecair badan yang tinggal.

Penilaian Trauma Fizikal (Bukan Genital)

Trauma Fizikal (Bukan Genital) termasuk trauma mulut, luka, lebam, melecet, kesan gigitan, kesan tendangan, kesan ikatan tangan, kesan pita ikatan dan lain-lain kesan cekikan.

Dokumentasi

Pemeriksaan Klinikal Forensik perlu merekodkan semua penemuan secara terperinci sebagai hasil pemeriksaan fizikal. Rekod keseluruhan pemeriksaan, pemerhatian terhadap tingkah laku dan emosi, dengan mengambil kira bahawa setiap individu bertindak balas kepada keadaan tertekan dengan cara yang berbeza. Penemuan negatif berkaitan juga perlu didokumenkan. Gambarajah manusia digunakan untuk merekodkan sebarang kecederaan yang dialami oleh mangsa.

Setelah semua proses diatas dijalankan, segala maklumat dan bukti yang didapati daripada pemeriksaan akan dihantar untuk analisis makmal forensik. Setelah analisis dijalankan, keputusan yang diperoleh akan diterjemahkan dalam bentuk laporan yang lengkap yang diserahkan kepada Pegawai penyiasat untuk pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang oleh mahkamah. Setelah pendakwaan dilaksanakan, pihak pesalah akan dibicarakan dan sekiranya disabit kesalahan, pihak mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang bersesuaian kepada situasi dan keadaan kes mengikut Akta 574 Kanun Keseksaan.

Rujukan

  1. http://www.who.int/violenceprevention/approach/definition/en/
  2. National Policing Improvement Agency 2008, Guidance on Investigating Domestic Abuse, United Kingdom.
  3. Recent Rape/Sexual Assault: National Guidelines on Referral and Forensic Clinical Examination in Ireland 3rd edition 2014.
  4. Undang-undang Malaysia, Akta 521, Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
  5. Undang-undang Malaysia, Akta 611, Akta Kanak-kanak 2001, pindaan Januari 2006.

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis / Penterjemah : Hafiz bin Rommali
Akreditor / Penyemak : Dr. Khoo Lay See

 

Artikel Berkaitan

Disengat Serangga Berbisa

Sengatan serangga berbisa lazimnya hanya menyebabkan kesakitan, bengkak dan kemerahan. Namun begitu, ia juga boleh mengakibatkan tindak balas yang lebih serius kepada badan dan fungsi organ akibat berlakunya kejutan anafilaksis.

Penyakit

PENYAKIT BERJANGKIT JANGKITAN PARASIT MIKROBIOLOGI KESIHATAN REPRODUKTIF DIAGNOSIS MAKMAL VAKSIN

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,719,806

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia