A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Manfaat dan risiko ubat...

Manfaat dan risiko ubat penahan sakit

Apa itu ubat penahan sakit?

Ubat penahan sakit atau dikenali sebagai analgesik adalah ubat yang digunakan untuk melegakan kesakitan. Terdapat pelbagai jenis analgesik yang boleh diperolehi melalui preskripsi atau bukan preskripsi dalam bentuk dos seperti tablet, kapsul, injeksi, suppository atau transdermal patch. Jenis-jenis ubat analgesik merangkumi paracetamol (juga dikenali sebagai acetaminophen; biasa dipanggil Panadol (jenama produk) di Malaysia), non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) dan opioid.

Kelas ubat penahan sakit

Paracetamol boleh diperolehi tanpa preskripsi doktor. Secara umumnya ia digunakan untuk merawat demam and kesakitan ringan hingga sederhana. Ia tidak mempunyai aktiviti anti-radang, dengan itu tidak mempunyai kesan dalam melegakan bengkak sendi, simptom biasa dalam penyakit artritis.

NSAIDs ialah satu kelas ubat yang mempunyai kesan anti-radang dan penurunan suhu badan selain kesan analgesik (melegakan kesakitan). Ibuprofen, indomethacin, naproxen, diclofenac, aspirin, ketorolac, mefenamic acid, ketoprofen, meloxicam, celecoxib and etoricoxib adalah contoh-contoh ubat NSAIDs. Walaupun perbezaan dalam aktiviti anti-radang antara NSAIDs adalah kecil, namun terdapat perbezaan dalam toleran dan tindakbalas individu terhadap ubat-ubatan tersebut. Kelegaan pada kesakitan bermula tidak lama selepas pengambilan dos pertama dan kesan analgesik penuh biasanya diperolehi dalam masa seminggu, manakala kesan anti-radang mungkin tidak dapat dirasai sehingga 3 minggu.

Opioid adalah satu lagi kelas ubat yang digunakan untuk melegakan kesakitan sederhana hingga teruk. Sejak lebih kurang 1500 SM, opium tulen ditanam dari benih buah Papaver somniferum (popi). Opiates, seperti heroin, codeine, atau morphine adalah bahan terbitan semulajadi alkaloid ini. Opioid ialah versi sintetik opiate dan mempunyai kesan perubatan yang sama dengan opiate. Contoh-contoh opioid adalah fentanyl, pethidine, dihydrocodeine, oxycodone, methadone, tramadol dan lain-lain.

Manfaat berbanding risiko

  1. Paracetamol

    Reaksi alahan ialah kesan sampingan biasa bagi ubat analgesik. Bagi paracetamol, kebanyakan reaksi yang dilaporkan adalah kesan sampingan ringan seperti ruam, kegatalan kulit, sesak nafas, dan bengkak di bahagian muka. Reaksi alahan yang serius untuk ubat ini jarang dilaporkan, tetapi apabila ia berlaku, hentikan pengambilan ubat dan dapatkan rawatan di hospital dengan segera adalah penting. Secara umumnya, paracetamol adalah selamat digunakan apabila diambil dengan dos yang betul. Kecederaan hati dan buah pinggang yang serius sehingga memerlukan pemindahan organ atau menyebabkan kematian boleh terjadi sekiranya dos berlebihan atau penyalahgunaan ubat berlaku. Risiko ini meningkat dengan pengambilan minuman beralkohol secara kerap.

  2. NSAIDs

    NSAIDs berkesan melegakan kesakitan muskuloskeletal dan sendi yang ringan hingga sederhana contohnya bagi penyakit gout, artritis rheumatoid dan osteoartritis. Kegunaan lain termasuk melegakan kesakitan selepas pembedahan, sakit senggugut, sakit gigi dan lain-lain.

    Contoh reaksi alahan adalah seperti ruam, kegatalan kulit, kesukaran bernafas, dan bengkak di bahagian muka. NSAIDs boleh menyebabkan pendarahan pada saluran gastrousus. Risiko pendarahan ini adalah rendah bagi pengguna yang jarang mengambil NSAIDs, dan tinggi bagi yang mengambilnya secara kerap atau setiap hari dalam dos yang tinggi. Risiko juga meningkat terutamanya bagi golongan yang berumur lebih daripada 65 tahun, mempunyai sejarah ulser perut, dan mengambil ubat cair darah dan/atau kortikosteroid, merokok dan mengambil minuman beralkohol.

    Sesetengah individu berisiko tinggi mengalami kesan sampingan jantung dan buah pinggang, contohnya serangan jantung, penyakit darah tinggi dan kerosakan buah pinggang. Risiko ini meningkat dengan peningkatan dos dan tempoh penggunaan NSAIDs, dalam pengguna yang mempunyai sejarah penyakit arteri koronari, darah tinggi, kencing manis, tahap kolesterol tinggi, penyakit buah pinggang dan individu yang pernah mangalami strok. Walau bagaimanapun, aspirin tidak mempunyai kesan sampingan ini, malah ia adalah satu-satunya NSAID yang berupaya untuk mengurangkan risiko kejadian kardiovaskular dalam pesakit yang mempunyai penyakit kardiovaskular.

  3. Opioid

    Opioid biasanya dipreskrib untuk kesakitan dalam penyakit terminal (boleh membawa maut) ataupun sesetengah penyakit kronik bukan-kanser. Ia memainkan peranan penting dalam menangani kesakitan sederhana hingga teruk yang tidak dapat dikawal dengan rawatan alternatif dan ubat bukan-opioid.

    Opioid adalah selamat dan berkesan apabila dos rendah diambil, tetapi boleh membawa maut jika diambil berlebihan atau tidak diambil mengikut arahan doktor. Kesan sampingan yang biasa dilaporkan adalah loya, muntah, sembelit, keghairahan, perubahan mood, ruam, dan mengantuk.

    Tempoh pengambilan opioid yang panjang boleh mengakibatkan berlakunya pergantungan dan toleran kepada opioid. Apabila badan mulai bergantung kepada kesan opioid, pemberhentian pengambilan opiod secara mendadak akan menyebabkan gejala seperti menggigil, loya, berpeluh, dan cepat marah. Toleran dicirikan dengan keperluan untuk menambahkan dos dari masa ke masa untuk mencapai kesan kelegaan kesakitan yang sama. Pergantungan adalah tindak balas semula jadi tubuh terhadap opioid dan ia tidak membawa maksud yang sama dengan ketagihan. Ketagihan mempunyai ciri-ciri tingkah laku seperti penggunaan ubat tanpa kawalan dan kompulsif (perbuatan yang dilakukan berulangkali) serta mengambil secara berterusan tanpa mengira kesan kesan buruk yang akan dialami. Ini biasanya mengakibatkan pengambilan dos berlebihan yang boleh membawa maut di mana pesakit mungkin berhenti bernafas, tidak sedar diri, sawan dan mengalami ritma jantung tidak normal.

Nasihat kepada pengguna

  • Berhenti mengambil ubat serta-merta apabila mengalami kesan sampingan dan mendapatkan nasihat/rawatan daripada ahli profesional kesihatan.
  • Pastikan maklumat seperti ubat lain yang diambil bersama dan sejarah penyakit dimaklumkan kepada doktor sebelum mengambil ubat analgesik supaya pemilihan jenis ubat yang sesuai dapat ditentukan.
  • Rujuk ahli profesional kesihatan jika terdapat sebarang keraguan berkenaan ubat analgesik
  • Jangan menukar dos analgesik tanpa berbincang dahulu dengan doktor dan jangan berkongsi ubat analgesik yang anda ambil dengan orang lain kerana ia mungkin tidak sesuai digunakan oleh individu tersebut.
  1. Paracetamol

    Pengambilan dos berlebihan tidak akan memberikan kesan kelegaan kesakitan yang lebih baik malah boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang yang serius. Dos maksimum untuk orang dewasa adalah 4g dalam 24 jam. Dos maksimum untuk kanak-kanak adalah lebih rendah berbanding orang dewasa, oleh itu pengguna dinasihatkan untuk sentiasa membaca label pada produk dan mengikuti arahan yang tertera pada label.

    Terdapat juga produk kombinasi yang mengandungi paracetamol sebagai salah satu bahan aktif. Pengguna harus mengelakkan mengambil produk-produk berlainan yang mengandungi bahan aktif yang sama bagi mengurangkan risiko pengambilan ubat berlebihan secara tidak sengaja.

    Pengambilan minuman beralkohol ? 3 sehari juga boleh meningkatkan risiko kerosakan hati.

  2. NSAIDs

    Selain daripada risiko yang dinyatakan di atas, tindak balas silang (cross-reaction) wujud di antara ubat-ubat di bawah kelas NSAIDs. Ini bermaksud seseorang itu mungkin alah kepada ubat NSAIDs yang lain jika beliau didapati alah pada salah satu ubat NSAID yang diambil.

    Kejadian serangan asma atau menerukkan lagi keadaan asma akibat pengambilan NSAIDs adalah lebih tinggi dalam golongan pesakit asma berbanding populasi yang tidak mempunyai asma. Oleh itu, pesakit asma perlu berhati-hati ketika mengambil ubat dari kelas NSAIDs.

    Elakkan mengambil lebih daripada satu jenis NSAIDs pada masa yang sama kerana ini meningkatkan risiko pendarahan pada saluran gastrousus. Sentiasa mengambil NSAIDs selepas makan untuk mengelakkan risiko yang sama.

  3. Opioid

    Elakkan memandu dan menggunakan alat atau mesin yang mungkin menyebabkan kecederaan memandangkan ia boleh mengakibatkan mengantuk dan keghairahan. Elakkan pengambilan serentak dengan minuman beralkohol, antihistamin, atau ubat-ubat lain yang juga boleh menyebabkan kesan mengantuk. Kesemua ubat-ubat ini memperlahankan pernafasan dan pengambilan serentak boleh membawa maut.

    Sebarang sejarah penyalahgunaan dadah perlu dimaklumkan kepada ahli profesional kesihatan anda sebelum memulakan pengambilan ubat ini.

    Ketagihan opioid jarang berlaku jika ia digunakan untuk tujuan perubatan. Peningkatan dos pada keadaan ini selalunya bermaksud penyakit bertambah teruk ataupun toleran berlaku, dan bukan bermakna ketagihan.

    Pengguna harus sentiasa mengambil opioid mengikuti arahan doktor. Elakkan daripada menghancurkan tablet sustain-released kerana ia boleh menyebabkan pengambilan dos berlebihan.

Semakan Akhir : 24 Jun 2015
Penulis : Wo Wee Kee
Akreditor : Noraisyah bt. Mohd Sani

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,238,358

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia