A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Makhluk Asing Dalam Badan...

Makhluk Asing Dalam Badan Kita

Makhluk Asing Dalam Badan Kita

Makhluk jahat di dalam badan kita bermaksud makhluk atau suatu hidupan yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Ia hanya boleh dilihat dengan menggunakan kanta pembesar khas yang dipanggil mikroskop. Walaupun rupa bentuknya kecil tetapi mereka bertindak seumpama makhluk gergasi yang sangat jahat. Makhluk yang mengerikan ini wujud tanpa disedari oleh kita dan  kita tidak boleh melihatnya  kerana saiznya yang terlalu seni.

Makhluk asing ini menggunakan kemampuanya untuk mengambil kesempatan terhadap kita. Hidupan ini  akan menumpang dan memakan zat-zat yang kita ada dan sesetengahnya pula memakan sel-sel badan.  Makhluk yang ingin kita bincangkan di sini  ialah parasit kepada manusia..

Maksud parasit

Parasit ialah suatu hidupan  yang hidup dengan cara mengambil kesempatan daripada hidupan lain. Mereka menggunakan badan induk hidupan lain yang disebut perumah untuk mendapatkan keperluan makanan dan zat melalui kaedah  menumpang di bahagian luar atau masuk terus ke dalam perumah tersebut.

Manusia juga tidak boleh lari dari parasit. Terdapat banyak jenis parasit yang menumpang dan mengambil kesempatan terhadap manusia untuk meneruskan kehidupannya. Makhluk jahat parasit ini telah banyak dikaji dan telah dikenal pasti sejak dahulu lagi. Parasit kepada manusia  ini telah dikelaskan kepada kategori berikut :-

  • Protozoa (hidupan-hidupan seni seperti plasmodium yang menyebabkan demam malaria)

  • Helminths (kumpulan cacing-cacing yang tinggal dalam perut manusia)

  • Ektoparasit (pacat, kutu, hama atau serangga yang menghisap darah manusia)

Cara Jangkitan

Parasit boleh memasuki atau menumpang secara haram pada manusia dengan pelbagai cara. Cara ia memasuki badan manusia bergantung kepada jenis parasit . Antara yang selalu kita maklum adalah dengan melalui telur-telur  yang melekat terus pada makanan dan minuman.Ada juga parasit yang melekat pada kulit manusia dan masuk melalui liang-liang yang ada pada kulit.

  • Telur-telur parasit

Perlu difahami, kita bukan memakan cacing atau membiarkan parasit melekat atau memasuki diri kita dengan begitu sahaja. Mereka bertelur dan meninggalkan telur-telur mereka di merata-rata tempat, misalnya pada tempat-tempat kotor, perkakas atau peralatan dapur yang kotor, pada pemegang dan tombol pintu tandas awam, dan terdapat banyak sekali pada tanah. Sekiranya kita tidak memakai sebarang alas kaki, maka telur parasit ini akan melekat pada tapak kaki kita tanpa kita sedari.

  • Air bertakung atau tercemar

Air memainkan peranan yang penting kepada kita, sama ada untuk kegunaan sumber minuman, mandi, memasak dan membersih pakaian. Sumber air mestilah bersih dan terjamin. Sekiranya sumber air yang kita minum itu tercemar dengan telur parasit atau parasit-parasit lain yang terlalu seni, maka proses memasuki ke dalam badan kita akan menjadi lebih mudah

  • Haiwan kepada manusia

Haiwan  termasuk haiwan kesayangan kita, sama ada  kucing, anjing  tupai tanah, burung dan sebagainya. Kita sering memegang, memeluk malah mencium haiwan kesayangan dan pada masa yang sama parasit tertentu yang berada pada haiwan tersebut boleh berpindah ke badan kita. Oleh itu kita perlu berjaga-jaga dan sentiasa membersihkan  diri selepas bermain dengan haiwan peliharaan kesayangan kita.
Selain itu, vektor juga menjadi pembawa parasit untuk memasuki badan. Vektor adalah serangga pembawa sesuatu virus, parasit atau kuman ke dalam badan manusia atau mangsa. Contohnya nyamuk menjadi vektor utama bagi penyebaran  penyakit demam malaria.

  • Manusia kepada Manusia

Hubungan manusia sesama manusia juga boleh mengakibatkan perkongsian parasit. Bersentuh secara langsung  seperti berjabat tangan, berpeluk , berkucupan atau  bertukar-tukar tuala membolehkan parasit berjangkit,.

  • Buah-buahan dan makanan

Buah-buahan yang tidak dibasuh dengan sempurna juga boleh menjadi satu perantara yang baik untuk parasit memasuki badan manusia. Selalunya telur-telur akan melekat pada celah-celah atau kelopak buah yang kita makan.

Pemangsa lawan parasit

Pemangsa adalah haiwan atau hidupan yang membunuh haiwan lain untuk meneruskan kehidupan mereka dengan membunuh haiwan tersebut secara langsung dengan disedari oleh mangsa. Kebiasannya saiz pemangsa adalah lebih besar berbanding mangsanya.

Manakala parasit pula bersifat menumpang atau mengambil kesempatan terhadap haiwan lain untuk meneruskan kehidupan. Mereka bersifat licik dan sangat ganas mengunakan zat dan nutrisi dalam badan perumah tanpa disedari mangsanya. Manakala saiz mereka pula terlalu kecil berbanding mangsa.

Parasit membiak di dalam Badan Manusia

1.   Cacing gelang

Dalam gambarrajah di atas menunjukkan kitaran hidup cacing gelang.  Telur-telur cacing gelang akan memasuki saluran darah dan seterusnya masuk kedalam usus perut. Telur cacing yang masuk dalam perut akan membesar dan menjadi matang. Didalam usus besar manusia terdapat banyak nutrient dan zat yang diperlukan oleh telur cacing, Telur-telur  ini kemudian akan menetas mengeluarkan larva (anak cacing).

Dalam persekitaran yang baik, mereka terus membesar dan menjadi induk dewasa. Cacing yang sudah matang akan mengeluarkan telur dalam kuantiti yang  banyak di dalam perut manusia. Telur-telur ini kemudiannya akan memenuhi segenap ruang usus besar pada manusia. Ada sebahagian telur-telur ini keluar bersama-sama najis dan bertebaran di atas permukaan tanah.

2.   Malaria

Demam malaria adalah penyakit yang disebabkan oleh sejenis parasit iaitu Plasmodium spesis. Telur-telur plasmodium yang ada pada nyamuk akan dipindahkan kepada manusia. Seterusnya ia akan masuk ke saluran darah yang kaya dengan sel-sel darah merah. Telur ini akan menempel dan cuba masuk kedalam sel darah merah.

Kemudian ia membesar dalam sel tersebut sehingga menjadi induk yang disebut gamet. Sesetengahnya pula akan berganda dengan banyaknya dalam sel darah merah. Kemudian sel darah merah akan pecah dan membebaskan telur-telur plasmodium tadi dan akan menempel  pada sel darah merah yang lain.

Gejala disebabkan Parasit

Setelah mereka berjaya memasuki badan kita, maka bermulalah kehidupan baru mereka yang penuh dengan zat-zat makanan yang diperlukan. Bermacam-macam kesan yang dapat kita rasakan apabila kehadiran mereka. Kesan atau gejala ini berbeza bergantung pada jenis parasit, antaranya ialah:

  • Cacing kerawit – Anemia (pucat yang disebabkan kehilangan darah), batuk, pening, rasa mual, muntah dan gatal pada bahagian dubur.

  • Cacing – sakit perut berpanjangan, cirit birit, sesak nafas disebabkan saluran pernafasan tersumbat dan alergi.

  • Cacing rambu- Tidak dapat menghadam makanan, gatal pada bahagian dubur terutamanya pada waktu malam dan tidak cukup tidur.

  • Malaria- Menggigil, demam, berpeluh, sakit kepala, keletihan, loya muntah, anemia (pucat disebabkan kehilangan darah), jaundis (kekuningan), sawan dan koma.

Badan bertindak balas terhadap parasit

Apabila parasit memasuki badan seseorang, tindak balas atau rangsangan akan berlaku. Tindak balas ini boleh menyebabkan terhasilnya gejala-gejala penyakit atau rasa tidak selesa… Kehadiran parasit menyebabkan tindakan fungsi badan mengeluarkan enzim tertentu untuk memusnahkan parasit atau mengusir parasit. Pengeluaran  enzim ini juga boleh dijadikan sumber di makmal untuk para saintis mengenal pasti  punca sesuatu jangkitan parasit .

Bagi sesetengah tumbuhan,pula mereka akan mengeluarkan racun yang boleh membunuh parasit berkenaan.
                                   

Rupa bentuk cacing gelang                                          Rupa bentuk cacing kerawit


Rupa bentuk aseksual plasmodium falciparum

Bahan Rujukan

Rujukan Gambar

Semakan akhir : 28 January 2015
Penulis : Yuzi Sham b. Yusuf
Penyemak : Yuzi Sham b. Yusuf
Akreditor : Normah bt. Untong

Artikel Berkaitan

HEPATITIS A

Apakah jangkitan Hepatitis A? Hepatitis adalah jangkitan atau radang pada

Arthritis

Pengenalan Arthritis adalah suatu jenis penyakit yang mendatangkan kesakitan, kemerahan,

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,237,749

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia