A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Lumpuh Otot Muka

Lumpuh atau lemah otot muka ditakrifkan sebagai kehilangan sebahagian atau semua pergerakan sukarela otot muka.

Pengenalan

Lumpuh atau lemah otot muka ditakrifkan sebagai kehilangan sebahagian atau semua pergerakan sukarela otot muka. Keadaan ini terjadi kerana kerosakan sementara atau kekal saraf fasial. Lumpuh otot muka biasanya berlaku pada sebelah muka sahaja, tetapi boleh melibatkan kedua belah muka, atau bahagian bawah muka sahaja (Gambar 1). Kelemahan ini bukan sahaja menjejaskan senyuman seseorang tetapi juga menyebabkan masalah kosmetik yang amat membimbangkan para pesakit (Gambar 2). Jika lumpuh ini berterusan, pembedahan mungkin diperlukan untuk menambah baik  ekspresi wajah


Lumpuh otot muka

Terdapat banyak keadaan, penyakit atau gangguan yang boleh menyebabkan lumpuh otot muka. Lumpuh otot muka boleh terjadi kerana :

  • Kongenital (kecacatan sejak lahir)
    • Jarang berlaku.
    • Melibatkan lumpuh sebelah muka (unilateral) atau kedua-dua belah muka (bilateral).
    • Lumpuh sebelah muka biasanya berkaitan dengan hemifacial microsomia.
    • Lumpuh kedua-dua belah muka berkaitan dengan sindrom Moebius (atau Möbius). Sindrom ini jarang berlaku dan memberi kesan gangguan saraf kepada otot yang mengawal ekspresi wajah dan pergerakan mata.
  • Acquired (berlaku bila-bila masa dalam sepanjang hayat)
    • Berlaku apabila terdapat kecederaan pada otak atau saraf fasial semasa atau selepas kelahiran.
    • Bersifat sementara atau berterusan bergantung kepada sebab-sebabnya.

Punca

Kecederaan saraf fasial di kawasan otak boleh menyebabkan kelumpuhan otot yang ketara pada bahagian bawah muka. Sebab-sebab biasa kelumpuhan otot muka yang disebabkan oleh kecederan seperti ini adalah;

  • Kemalangan serebrovaskular (strok).
  • Kecederaan otak traumatik.
  • Barah otak.
  • Jangkitan.

Kecederaan saraf fasial di kawasan muka pula boleh menyebabkan kelemahan otot ekspresi wajah dan kelopak mata tidak dapat tutup dengan rapat pada sebelah muka yang terlibat. “Bell’s Palsy” adalah satu contoh penyakit seperti ini, yang biasa berlaku (75%)[3]. Puncanya tidak diketahui dan boleh berkaitan dengan jangkitan virus pada saraf di muka. Kebanyakan pesakit dengan Bell’s palsy menunjukkan pemulihan penuh dalam jangka masa pendek. Lain-lain sebab kelumpuhan otot muka seperti ini termasuk :

  • Kencing manis.
  • Penyakit telinga tengah /jangkitan telinga.
  • Lesi di dasar tengkorak.
  • Trauma kelahiran pada bayi.
  • Lesi pada kelenjar parotid.
  • Trauma kepada cabang saraf fasial
  • Kecederaan saraf fasial semasa suntikan bius setempat rahang bawah

Tanda dan Gejala

Tanda dan gejala lumpuh muka bergantung kepada lokasi dan tahap keterukan kerosakan saraf fasial. Senyuman, pertuturan dan keupayaan untuk meniup biasanya terjejas.  Otot muka terasa berat atau menjadi lemah.  Muka terasa tengang dan ditarik ke sebelah muka yang sihat semasa tersenyum. Di samping itu, tanda lain pada sisi muka yang terjejas  ialah :

  • Muka kelihatan tidak simetri (Gambar 1).
  • Ketidakupayaan untuk menunjukan ekspresi wajah
  • Kesukaran untuk bertutur.
  • Kesukaran ketika makan dan minum.
  • Air liur meleleh.
  • Mata tidak boleh tutup rapat, mata kering atau berair. (Gambar 3)
  • Kontraksi otot berulang-ulang.

Kelumpuhan otot muka boleh berlaku bersama dengan gejala lain seperti:

  • Sakit muka.
  • Sakit kepala atau sawan.
  • Sakit telinga ,telinga berdesing , kepekaan kepada bunyi ,kehilangan pendengaran.
  • Kehilangan deria rasa.
  • Lumpuh separuh badan.


Gambar 1: Muka kelihatan tidak simetri pada waktu rehat. Lumpuh otot muka bahagian kiri menyebabkan muka sebelah kiri menjadi kendur dan kening tidak boleh diangkat.


Gambar 2 :Pesakit cuba senyum. Kelumpuhan otot muka kiri menjadi lebih ketara semasa senyum.


Gambar 3 : Mata tidak boleh tutup dengan rapat.

Komplikasi

Kelumpuhan otot  muka boleh mempunyai impak yang besar terhadap kualiti hidup seseorang. Jika ia tidak dirawat atau dibiarkan berterusan untuk jangka panjang, komplikasi serius mungkin berlaku seperti berikut:

  • Kelemahan otot muka yang berterusan – Kecacatan muka yang disebabkan kelumpuhan muka boleh membawa kesan psikososial  kepada pesakit.  Masalah psikologi termasuk tekanan, kebimbangan, kemurungan dan rendah diri. Sila dapatkan bantuan atau berbincang dengan doktor anda jika anda mengalami mana-mana gejala di atas.
  • Masalah mata – Kelopak mata tidak tutup dengan sepenuhnya dan tetap terbuka untuk tempoh masa yang panjang. Ini menjejaskan fungsi air mata sebagai lapisan perlindung, dan  boleh menyebabkan mata kering, jangkitan mata dan ulser kornea atau lebih buruk lagi menjadi buta. Komplikasi ini boleh dicegah dengan penggunaan titisan mata, pelincir mata dan ‘patch’ mata. Dalam beberapa kes , pembedahan diperlukan untuk memulihkan penglihatan atau meningkatkan kuasa penutupan mata.
  • Sinkinesis- Terdapat kontraksi tidak teratur ke atas otot muka yang bertanggungjawab untuk pergerakan, senyum dan berkelip .Maksudnya , apabila seseorang cuba untuk menggerakkan satu bahagian muka, bahagian lain secara automatik bergerak. Ini berlaku akibat daripada gentian saraf pulih dan bercantum ke arah yang salah. Keadaan ini agak tidak selesa dan mengganggu aktiviti harian pesakit.
  • Kekurangan deria rasa- Ini berlaku akibat daripada kerosakan saraf yang tidak sembuh dengan betul

Rawatan

Pengurusan masalah lumpuh otot muka memerlukan usaha pelbagai disiplin.  Pesakit boleh dirawat secara perubatan atau pembedahan bergantung kepada puncanya.

Bell’s palsy (kebanyakan sembuh sepenuhnya)

  • Ubat steroid untuk jangka masa pendek (e.g. prednisolone) supaya boleh mengurangkan keradangan sekeliling saraf.
  • Ubat antivirus mungkin boleh membantu jika ada jangkitan virus.
  • Urutan – urutan muka boleh menegangkan otot muka dan mencegah kerosakan yang kekal.
  • Jika tidak sembuh dengan sepenuhnya, pembedahan kosmetik mungkin disyorkan untuk membaiki tahap penutupan mata dan penampilan wajah .

 Lumpuh otot muka yang disebabkan oleh punca lain

Selepas siasatan lanjut dilakukan, pembedahan mungkin disyorkan untuk membaiki atau menggantikan saraf atau otot yang rosak. Pembedahan untuk membuang tumor dijalankan jikalau kelumpuhan disebabkan oleh barah otak. Terdapat pelbagai prosedur kosmetik untuk meningkatkan fungsi dan simetri wajah. Prosedur ini merangkumi:

  • Penempatan emas kecil di atas kelopak mata  untuk membantu mata tutup dengan lebih rapat .
  • Suntikan botulinum toksik – untuk mengurangkan kontraksi muka yang tidak teratur dan untuk memulihkan kontur dan ekspresi wajah.
  • Prosedur memendekkan kelopak mata bawah  untuk mengelakkan kekeringan mata dan meningkatkan tahap penutupan mata.

Penjagaan Mata

Perlindungan mata adalah sangat penting  untuk mencegah ulser kornea mata.

  • Pastikan mata lembap dengan menggunakan air mata tiruan sepanjang hari dan titiskan ubat pelincir mata pada waktu malam.
  • Pakai cermin mata jika di luar untuk mengelakkan debu masuk ke dalam mata
  • Melekat kelopak mata dengan pita untuk memastikan mata  ditutup dengan rapat . Ini boleh  mengelakkan  kekeringan mata berlaku.
  • Dapatkan rawatan dengan segera jika sakit mata,keradangan mata  atau kehilangan penglihatan.

Nama lain

Paralisis muka, Palsi muka

Rujukan

  1. House JW, Brackman DE; House Brackman Facial Nerve Grading System 2010.
  2. http://www.healthline.com/health/facial-paralysis#Overview1
  3. Scully, Crispian. (2013). 13 –Sensory and motor changes and taste abnormalities. In C. Scully (Ed.), Oral and Maxillofacial Medicine (Second Edition) (pp. 119-130): Churchill Livingstone.
Semakan Akhir : 12 Mei 2015
Penulis / Penterjemah : Dr. Ch’ng Lay Ling
Akreditor : Dr. Ferdinand Jesudian Kovilapillai

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 721,422,677

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 10:32:39
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia