A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Lepuh & Ulser Mulut

Lepuh dan ulser mulut merupakan dua aduan utama yang sering berlaku di dalam mulut.

Pengenalan

Lepuh dan ulser mulut merupakan dua aduan utama yang sering berlaku di dalam mulut. Ia menyebabkan rasa tidak selesa, sakit serta kesukaran untuk makan, minum dan bercakap. Lepuh dan ulser mulut bukanlah suatu penyakit, tetapi ia merupakan petanda klinikal untuk sesuatu penyakit yang sedia ada. Oleh itu, mengenal pasti punca penyebab lepuh dan ulser mulut adalah penting untuk rawatan sewajarnya serta pengendalian pesakit.

Apa itu ulser mulut?

Ulser mulut terjadi apabila terdapat luka yang merosakkan keseluruhan permukaan selaput di dalam mulut

Sebab-sebab ulser mulut

Dua penyebab utama luka mulut adalah ulser afta berulang (Gambar 1) dan trauma/kecederaan (sebagai contoh daripada tergigit mulut dengan tidak sengaja, gigi/tampalan yang tajam, gigi palsu dan pendakap gigi yang tidak sempurna)


Gambar 1 : Recurrent aphthous stomatitis


Gambar 2 : Kanser di lidah

Sebab-sebab ulser mulut yang lain termasuklah:

  • Barah (Gambar 2)
  • Ubat-ubatan: NSAIDs, sitotoksik, Nicorandil, Alendronate dan lain-lain
  • Penyakit sistemik yang boleh mengakibatkan terjadinya lepuh mulut :
    • Penyakit darah (contoh: anemia, leukemia)
    • Jangkitan
      • Jangkitan virus merupakan jangkitan yang paling kerap berlaku (contoh : cacar air, kayap, cold sores, penyakit tangan kaki dan mulut)
      • Bakteria (contoh: acute necrotizing ulcerative gingivitis, sifilis, tuberkulosis)
      • Infeksi kulat (contoh: histoplasmosis, mucormycosis)
    • Penyakit keradangan usus (sebagai contohnya penyakit Crohn (Gambar 3))
    • Penyakit kulit (lichen planus (Gambar 4), pemfigus vulgaris, pemphigoid)


Gambar 3 : Lepuh Mulut pada pesakit Crohn’s disease


Gambar 4 : Lesi Putih (liken planus) yang disertai lepuh mulut

Apa itu lepuh mulut?

Lepuh mulut merupakan suatu poket kecil yang berisi cecair di permukaan superfisial mukosa mulut. Lepuh jarang dijumpai di dalam mulut kerana ia senang pecah dan menjadi ulser mulut kerana persekitaran yang lembap di dalam mulut, juga daripada trauma semasa mengunyah makanan, dan infeksi daripada flora (kuman) mulut.

Sebab-sebab lepuh mulut

Lepuh mulut paling biasa disebabkan oleh jangkitan virus. Contohnya adalah cacar air (Gambar 5), kayap, herpetic gingivostomatitis primer dan cold sores. Penyebab lain adalah jarang seperti penyakit kulit, contohnya bullous lichen planus, pemfigus dan variant pemfigoid (Gambar 6).


Gambar 5 : Lepuh mulut pada pesakit cacar air


Gambar 6 : Pemfigoid bulosa : kelihatan lepuh mulut yang telah pecah

Bila anda perlu risau dengan lepuh dan ulser mulut?

Petunjuk yang paling penting ialah apabila lepuh dan ulser mulut tidak sembuh ataupun berlarutan. Ini mungkin berkaitan dengan penyakit kronik seperti:

  • Barah
  • Trauma/ kecederaan
  • Penyakit sistemik (penyakit darah, infeksi, penyakit keradangan usus, dan penyakit kulit)

Kita perlu berasa bimbang jika terdapat juga tanda-tanda penglibatan sistemik seperti:

  • Gatal, lepuh dan ulser di bahagian kulit,kemaluan dan mata
  • Demam
  • Bengkak di kelenjar sekitar leher, ketiak, pangkal paha
  • Pendarahan di bawah kulit dan mukosa
  • Batuk yang kronik
  • Sakit di bahagian abdomen, gangguan semasa buang air besar, darah di dalam najis
  • Pengurangan berat badan secara tiba-tiba

Apa tindakan yang perlu anda ambil ….

Berjumpa dengan doktor gigi (pengamal pergigian) atau doktor perubatan (pengamal perubatan) dengan segera apabila lepuh dan ulser mulut tidak sembuh-sembuh serta apabila terdapat tanda dan gejala yang mungkin disebabkan oleh penyakit sistemik yang lain. Ini kerana mengenal pasti penyebab lepuh dan ulser mulut sangat penting untuk mendapat rawatan yang sewajarnya.

Penjagaan kebersihan mulut yang baik akan mengurangkan risiko untuk mendapatkan infeksi sekunder semasa rawatan. Sakit dan rasa tidak selesa boleh dikurangkan dengan penggunaan ubat kumur ataupun semburan benzydamine. Penyembuhan boleh dipercepat dengan pengambilan diet yang lembut dan pengambilan air yang mencukupi, serta mengelakkan pengambilan alkohol, tembakau dan makanan yang bergoreng/rangup.

Lepuh dan ulser mulut yang disebabkan oleh jangkitan virus atau oleh gigi palsu yang tidak sempurna tetapi telah diganti dengan gigi palsu yang sesuai, akan sembuh dalam jangka masa yang singkat. Penyakit kulit pula mungkin sukar dirawat dan memerlukan rawatan jangka masa yang panjang. Penyakit kulit seperti pemfigus vulgaris boleh membahayakan nyawa sekiranya tidak dirawat. Masalah juga mungkin timbul kerana kesan-kesan sampingan rawatan tersebut. Ulser yang tidak sembuh juga mungkin disebabkan oleh barah di mana prognosisnya bergantung kepada saiz ketumbuhan, status nodus limfa dan metastasis.

Rujukan

  1. Said, S. & Golitz, L. (2011). Vesiculobullous eruptions of the oral cavity. Otolaryngol Clin North Am, 44(1), 133-60.
  2. Scully, C. (2008). Oral and maxillofacial medicine– The basis of diagnosis and treatment. (2nd ed.) Elsevier.
  3. Scully, C., & Porter, S. (1999). Orofacial disease: Update for the dental clinical team: 2. Ulcers, erosions and other causes of sore mouth. Part III. Dent Update, 26(2), 73-8
  4. Scully, C., & Porter, S. (1999). Orofacial disease: Update for the dental clinical team: 2. Ulcers, erosions and other causes of sore mouth. Part II. Dent Update, 26(1), 31-9.
  5. Scully, C., & Porter, S. (1998). Orofacial disease: Update for the dental clinical team: 2. Ulcers, erosions and other causes of sore mouth. Part I. Dent Update, 25(10), 478-84.
  6. Slots, J. (2009). Oral viral infections of adults. Periodontal 2000, 49, 60-86.
  7. Siegel, M.A., & Balciunas, B.A. (1994). Oral presentation and management of vesiculobullous disorders. Semin Dermatol, 13, 879-895.
Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis : Dr. Sumairi b. Ismail
Penterjemah : Dr. Ajura bt. Abd. Jalil
Akreditor : Dr. George Boey Teik Foo
Penyemak : Dr. Lau Shin Hin

 

Artikel Berkaitan

Penyakit Periodontium

Penyakit Peridontium diperingkat awal (gingivitis) boleh dicegah dengan memberus gigi secara berkesan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,237,088

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia