A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Audiologi
  6. /
  7. Latihan Auditori

Latihan Auditori

Latihan auditori ialah proses mengajar otak untuk mendengar. Ia merupakan proses mengajar individu bermasalah pendengaran.

Latihan auditori ialah proses mengajar otak untuk mendengar. Ia merupakan proses mengajar individu bermasalah pendengaran untuk menggunakan kesemua isyarat auditori (pendengaran) yang mereka ada sepenuhnya (Carhart 1960). Ini bertujuan untuk membantu mereka memperolehi kebolehan mendengar menyerupai individu berpendengaran normal secara semulajadi tanpa sebarang intervensi (Erber 1980). Latihan auditori melibatkan aktiviti-aktiviti mendengar yang bermatlamat untuk mengoptimumkan persepsi pertuturan melalui pendengaran. Goldstein (1939) mendefinisikan ia sebagai satu perkembangan dalam kebolehan untuk membezakan perbagai ciri-ciri bunyi pertuturan dan bunyi bukan pertuturan.

Kita mendengar dengan otak. Walaupun dengan penggunaan alat bantu pendengaran dan/atau implan koklea boleh membantu pesakit mengesan bunyi yang perlahan, namun hanya dengan pemakaian alat pendengaran sahaja tidak boleh memberikan kemahiran mendengar yang baik kepada pesakit. Bunyi yang diterima dan didengar oleh pesakit yang menggunakan alat bantu pendengaran atau implan koklea tidak sama seperti yang didengari oleh individu berpendengaran normal. Ini kerana pada awal pemakaian alat bantu pendengaran atau implan koklea, otak sukar untuk mentafsir bunyi-bunyi yang diterima. Maka pesakit perlu belajar untuk mentafsir bunyi-bunyi yang diterima (sama ada bunyi persekitaran, bunyi pertuturan, muzik dan sebagainya) dan ini memerlukan latihan auditori untuk otak menerima dan memahami rangsangan berkenaan. Dengan ransangan yang berterusan, latihan inimembolehkan pesakit membezakan bunyi, mengenal bunyi dan memadankan bunyi.

Latihan auditori dijalankan oleh ibubapa atau penjaga dengan tunjuk ajar dan penyeliaan dari Audiologis atau Terapis Pertuturan-Bahasa.

Objektif/Tujuan

Objektif utama dalam pelaksanaan latihan auditori ialah:

  1. Untuk menggunakan baki pendengaran berbantu yang ada dalam memaksimumkan pengunaan isyarat akustik yang diterima untuk persepsi pertuturan
  2. Membantu dalam penyesuaian dan penggunaan alat bantu pendengaran atau implan koklea yang sepenuhnya sepanjang waktu berjaga.
  3. Membantu memastikan seting alat bantu pendengaran atau implan koklea yang digunakan oleh pesakit bertepatan dengan masalah pendengarannya bagi membantunya dalam pemerolehan bahasa pertuturan yang optimum.
  4. Menyediakan pesakit dengan kemahiran auditori sebelum sesi komprehensif dengan Terapis Pertuturan-Bahasa
  5. Membantu ibubapa/penjaga dengan contoh-contoh aktiviti harian dan teknik pembelajaran auditori
  6. Memberi penekanan dalam matlamat terapi iaitu melatih minda pesakit untuk sedar dengan kehadiran rangsangan bunyi, beri perhatian, dan menggunakan/memahami rangsangan bunyi.
  7. Untuk membantu pesakit dalam memantau suaranya dan suara penutur lain dalam usaha untuk meningkatkan kejelasan pertuturan yang didengar.

Individu Yang Memerlukannya

Latihan auditori dilaksanakan pada:

  1. Kanak-kanak dan dewasa yang mempunyai masalah pendengaran, tidak mengira tahap atau jenis masalah pendengaran, yang menggunakan alat bantu pendengaran dan/atau implan koklea, sebelah telinga atau kedua-dua belah telinga
  2. Individu berpendengaran normal tetapi mempunyai masalah dalam memproses bunyi auditori

Proses Yang Terlibat

Selepas memastikan pesakit menggunakan alat bantu pendengaran dan/atau implan koklea yang berfungsi dengan baik dengan konsisten, ibubapa perlu menyediakan persekitaran yang membolehkan kanak-kanak terdedah kepada rangsangan auditori yang optimum.

Latihan Pra-Pertuturan

Latihan pra-pertuturan merupakan latihan asas yang dijalankan bagi memudahkan anak belajar mendengar. Kemahiran pra-pertuturan terdiri daripada kemahiran meniru, memadankan objek atau gambar, mengambil giliran, tumpuan perhatian dan hubungan mata.

Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah contohnya setiap pagi selepas anak bangun tidur dan dipakaikan dengan alat pendengarannya, duduk berhadapan dengan anak dan ucapkan “selamat pagi” dan bercakap sebanyak mungkin dengan anak dengan turut sertakan dengan pelbagai mimik muka dan ekspresi gaya badan yang bersesuaian. Selain itu aktiviti membaling-tangkap bola secara berpasangan atau dalam kumpulan, dan memadankan objek dan gambar.

Aktiviti membaling bola
(sumber:Buku Latihan & Penilaian Modul Latihan Auditori MOLA 2008)

 

Latihan Kemahiran Mendengar

Kemahiran mendengar terdiri daripada empat peringkat. Hirarki perkembangan kemahiran mendengar diaplikasikan dalam aktiviti latihan auditori iaitu:

Kemahiran auditori

Contoh aktiviti latihan auditori yang bersesuaian

  1. Mengesan bunyi:
    Ada bunyi atau tidak?
  • Main “cak cak”.
  • Bermain kerusi bermuzik.
  • Tolak kereta mainan bila ibu sebut “vromm”
  1. Membezakan bunyi:
    Adakah bunyi itu sama atau berlainan?
  1. Membezakan bunyi berlainan nada, contoh menggunakan permainan haiwan dan bunyi haiwan contohnya “lembu bunyinya ‘moo'”, “kambing bunyinya ‘mbek mbek'”. Ulang bunyi yang didengar “ma ma ma” “pa pa pa” “ta ta ta”.
  1. Membezakan bunyi kuat dan perlahan, contohnya mengunakan 2 gambar drum; drum besar untuk bunyi kuat dan drum kecil untuk bunyi perlahan. Hasilkan bunyi kuat dan perlahan secara bergilir dan berulangkali sambil tunjuk pada gambar yang berkaitan. Gunakan pelekat bergambar untuk menarik anak untuk ambil giliran dan lekat pada gambar apabila ibu hasilkan bunyi berkenaan.
  1. Membezakan bunyi panjang dan pendek, contohnya guna suara tarzan “aa” untuk bunyi pendek dan “aaaaaaaa” untuk bunyi panjang. Lakonkan aksi tarzan untuk menjadikan aktiviti lebih menarik.
    (sumber gambar: http://www.graphicdesignforum.com/forum/forum/graphic-design/resources/32700-drawing-rope-in-illustrator)
  1. Mengenalpasti bunyi:
    Mengiktiraf dan mengenalpasti bunyi
  1. Mengenalpasti bunyi persekitaran:
    • Contohnya guna bunyi persekitaran dalam rumah (seperti bunyi blender, bunyi air mengalir dari paip, bunyi ketuk pintu, bunyi hon kereta ayah) dan tunjuk pada anak sambil beritahu anak itu bunyi apa. Membawa anak ke zoo dan tunjuk pada haiwan yang berlainan dengan menghasilkan bunyi-bunyi haiwan berkenaan, atau minta anak dengar bunyi haiwan tersebut, dan minta anak ulang.
      (sumber gambar: http://sisters-favoritethings.blogspot.com/2010/07/karen-goes-to-zoo-at-home.html)
  1. Mengenalpasti bunyi pertuturan:
    • Menggunakan bunyi Ling 6 iaitu a,i,u,m,s,sh. Bunyi-bunyi ini mempunyai julat frekuensi bunyi utama bagi pertuturan dalam bahasa seharian. Contohnya ambil kepingan puzzle, letak di mulut anda dan hasilkan bunyi /a/. Kemudian letak kepingan puzzle itu ke mulut anak dan minta anak tiru bunyi /a/ tadi. Sekiranya anak meniru bunyi /a/, berikan puzzle tersebut dan benarkan dia mencantumkannya. Ulang langkah-langkah tersebut untuk bunyi yang lain. Ibubapa boleh pelbagaikan aktiviti contohnya menggunakan membaling bola dalam bakul, melekat stiker pada gambar.
    • Menggunakan “salam” atau “hello” dan “bye-bye”. Gunakan dalam aktiviti yang bersesuain seharian, contohnya semasa berjumpa dan berpisah ketika bawa anak ke tadikanya, ke rumah kenalan ibubapa.
    • Boleh gunakan “iii” untuk bunyi menandakan suatu yang nampak kotor.
  1. Memahami bunyi:
    Memahami mesej yang disampaikan

Bermain masak-masak, bermain berlakon peranan (contohnya berlakon doktor, polis), bersoaljawab, mendengar baca buku cerita, bermain sorok-sorok.

Memahami sesuatu bunyi membawa maksud, contohnya bunyi pintu diketuk bermaksud ada seseorang di luar dan ingin masuk ke dalam atau melawat, bunyi hon kereta menandakan isyarat bahaya.

Matlamat tertinggi dalam latihan auditori ialah memberi penekanan dalam membantu kanak-kanak menggunakan pertuturan.

Rujukan

  1. Nor Azizah Nurdin, Yusmeera Yusof (2008) Buku Latihan & Penilaian Modul Latihan Auditori, MOLA, Malaysia, Saahifah Global Resources
  2. http://www.tsbvi.edu/seehear/fall03/training.htm
  3. http://www.asha.org/Publications/leader/2008/080415/080415e.htm
  4. http://www.heara.ca/content/why-do-i-need-auditory-training
  5. http://www.hearingpro.com.au/hearing-solutions/auditory-training
  6. http://devdelay.org/newsletter/articles/html/34-auditory-training.html
  7. http://www.betterhearing.org/aural_education_and_counseling/Hearing_Loss_retraining_brain/

 

Semakan akhir : 29 Januari 2014
Penulis : Ummu Athiyyah bt Abdul Razak
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

 

Artikel Berkaitan

Alat Bantu Pendengaran : Teknologi RIE (Receiver-In-The-Ear)

RIE (receiver-in-the-ear) merupakan alat bantu pendengaran dengan kedudukan receiver atau speaker diletakkandi dalam salur telinga. Ini merupakan inovasi alat bantu pendengaran jenis belakang telinga yang memberi bunyi yang lebih baik dan mengecilkan saiz alat bantu pendengaran. Kebiasaannya alat ini dihubungkan dengan dome atau insert eartip. namun boleh juga menggunakan ear mould bergantung kepada tahap masalah pendengaran.

Pendengaran Kita

Pengenalan Pendengaran merupakan salah satu pancaindera yang penting kepada setiap

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,990

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia