A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Langkah Berjaga-jaga Kepada Golongan...

Langkah Berjaga-jaga Kepada Golongan yang Terdedah Kepada Hidupan Liar

Cara jangkitan adalah melalui sentuhan terus (direct contact) dengan haiwan liar yang membawa penyakit. Cara jangkitan yang lain adalah melalui vektor pembawa penyakit seperti nyamuk dan serangga.

Pengenalan

Individu yang terdedah kepada hidupan liar berisiko dijangkiti dengan penyakit yang dibawa oleh haiwan liar. Golongan ini termasuk:

  • pemburu
  • orang asli
  • orang yang tinggal berdekatan dengan hutan
  • orang yang memelihara haiwan liar
  • orang yang mengendali haiwan liar termasuk kakitangan PERHILITAN dan
  • orang yang memakan daging/organ haiwan liar

Cara jangkitan adalah melalui sentuhan terus (direct contact) dengan haiwan liar yang membawa penyakit. Cara jangkitan yang lain adalah melalui vektor pembawa penyakit seperti nyamuk dan serangga. Orang yang makan daging dan organ haiwan liar mungkin mendapat jangkitan sekiranya daging haiwan tidak dimasak dengan sempurna atau semasa mengendali haiwan tersebut.

Artikel ini bertujuan untuk memaklumkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko tersebut.

Langkah Pencegahan Jangkitan Penyakit

Semasa memburu

  1. Elakkan melakukan aktiviti pemburuan sekiranya sakit atau kurang sihat. Sistem imuniti manusia    adalah lemah semasa sakit dan mudah dijangkiti penyakit.
  2. Mengelakkan gigitan serangga/nyamuk dengan memakai seluar dan baju panjang serta menggunakan krim/ubat pencegahan serangga/nyamuk (Insect repellent).
  3. Mengelakkan sentuhan dengan cecair badan haiwan seperti najis, kencing atau darah haiwan.         Sekiranya sentuhan berlaku, segera basuh tangan dengan air dan sabun.
  4. Jangan melakukan tembakan pada bahagian perut haiwan. Tembakan pada bahagian perut haiwan akan menyebabkan kontaminasi pada daging haiwan.
  5. Melaporkan sebarang kematian haiwan liar termasuk burung yang bukan buruan kepada PERHILITAN.
  6. Sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan air sebelum makan. Gunakan hand sanitizer   sekiranya tiada sabun dan air
  7. Mendapat khidmat nasihat atau langkah pencegahan penyakit untuk anjing pemburuan daripada pegawai veterinar

Semasa mengendali haiwan liar termasuk bangkai, daging, organ atau mana-mana bahagian haiwan

  1. Bagi mereka yang tidak dilatih, elakkan mengendali haiwan liar yang kelihatan sakit atau tidak normal sebelum dibunuh.
  2. Sentiasa pakai sarung tangan (getah/ latex) semasa mengendali haiwan.
  3. Mengelakkan daripada mengendali haiwan sekiranya terdapat luka pada tangan.
  4. Jangan makan, minum atau menghisap rokok semasa mengendali haiwan.
  5. Melindungi bangkai/bahagian haiwan yang dipotong daripada lalat.
  6. Simpan daging yang tidak dimasak dengan baik. Daging yang tidak dimasak harus disimpan dalam peti sejuk dan diasingkan dari makanan yang sedia dimakan.
  7. Cuci tangan dengan air dan sabun selepas mengendali haiwan termasuk daging dan organ haiwan. Gunakan hand sanitizer sekiranya tiada sabun dan air.
  8. Basuh peralatan dan permukaan tempat kerja termasuk meja dan papan pemotong dengan air dan bahan pencuci. Diikuti dengan bahan pembasmi kuman selepas mengendali haiwan. Bahan pembasmi kuman boleh didapati di pasaran

Individu Yang Makan Daging/ Organ Haiwan Liar

  1. Pastikan daging haiwan dimasak dengan sempurna. Langkah ini penting untuk mengelakkan jangkitan penyakit bawaan makanan/keracunan makanan. Organisma dan parasit dalam haiwan juga dapat dmusnahkan.
  2. Sekiranya terdapat luka/bekas luka pada daging haiwan liar, bahagian tersebut perlu dibuang/ dilupuskan. Bahagian daging yang rosak juga tidak sesuai dimakan dan perlu dilupuskan dengan sempurna. Walaupun daging pada bahagian tersebut kelihatan normal, namun ia mungkin telah dicemari. Bahagian daging yang dicemari dengan kandungan usus juga seharusnya dianggapkan tidak sesuai untuk dimakan
  3. Jangan beri daging/bahagian yang rosak dan tidak sesuai dimakan kepada haiwan peliharaan. Daging yang rosak mungkin boleh membawa penyakit pada haiwan peliharaan.
  4. Sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan makanan.

PENTING!

Segera berjumpa dengan doktor sekiranya berasa tidak sihat selepas mengendali atau terdedah dengan haiwan liar.

Contoh Penyakit Yang Dibawa Oleh Haiwan Liar

    1. Campylobacteriosis

Campylobacter enterocolitis merupakan penyakit yang disebabkan oleh bakteria Campylobacter jejuni atau Campylobacter coli. Ia biasa menjangkiti usus haiwan. Haiwan seperti khinzir, khinzir liar, lembu, anjing, burung merupakan pembawa bakteria ini.

Bakteria ini boleh menjangkiti manusia melalui makanan yang dicemari oleh bakteria ini seperti daging yang tidak dimasak dengan sempurna atau melalui susu mentah yang tidak dimasak atau dipasteur atau tersentuh dengan najis haiwan yang tercemar.

Tempoh pengeraman penyakit ini dalam manusia adalah 2 hingga 7 hari. Simptom penyakit adalah termasuk cirit birit, sakit perut, demam, hilang selera makan, lesu, sakit kepala dan muntah.

    1. Hanta virus

Roden atau tikus merupakan perumah semulajadi untuk virus ini. Manusia boleh dijangkiti hanta virus melalui gigitan roden atau terdedah kepada kencing, air liur atau najis roden. Tempoh pengeraman penyakit ini dalam manusia bagi hanta virus biasanya 2 hingga – 4 minggu. Simptom penyakit ini termasuk demam, sakit badan, sakit kepala, muntah dan cirit birit

    1. Leptospirosis (Penyakit Kencing Tikus)

Leptospirosis disebabkan oleh bakteria dari genus leptospira. Manusia boleh dijangkiti apabila terdedah kepada air, makanan, atau tanah yang dicemari dengan air kencing haiwan. Pelbagai haiwan samada haiwan domestik atau liar (khasnya tikus) boleh menjadi perumah kepada bakteria ini.

Tempoh pengeraman adalah di antara 2 – hingga 30 hari (anggaran 10 hari). Penyakit ini menunjukkan pelbagai simptom. Antara simptom jangkitan adalah demam yang tinggi, sakit kepala, menggigil, sakit otot, muntah, jaundis, konjuntivitis, sakit perut, cirit-birit,  batuk dan ruam di kulit.

    1. Rabies (Penyakit Anjing Gila)

Rabies merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus Rabies jenis rhabdovirus. Virus Rabies ini hadir di dalam tisu otak dan air liur haiwan yang terjangkit. Selain daripada anjing, haiwan liar merupakan perumah  bagi virus ini.

Haiwan liar seperti monyet, tupai, musang dan rakun merupakan perumah virus ini. Manusia biasanya mendapat jangkitan melalui gigitan haiwan tersebut. Tempoh pengeraman bagi penyakit ini dalam manusia adalah 2- hingga 8 minggu bergantung kepada luka gigitan.

Tanda dan gejala pada awal jangkitan adalah demam, sakit kepala, lesu dan perubahan pada luka jangkitan. Kematian boleh berlaku apabila rawatan tidak diberi dengan segera selepas digigit haiwan liar yang membawa penyakit.

    1. Salmonellosis

Salmonellosis merupakan penyakit yang disebabkan oleh pelbagai jenis bakteria dari Salmonella spesis. Haiwan domestik, reptilia, burung dan haiwan liar boleh dijangkiti salmonella dan menyebarkan penyakit ini.

Manusia biasa mendapat jangkitan apabila termakan makanan yang tercemar dengan najis haiwan yang terjangkit dengan bakteria ini,  umpamanya, minum susu segar, telur atau daging yang tidak dimasak dengan sempurna/mentah.

Tempoh pengeraman adalah 6 – hingga 72 jam dengan purata 18 hingga – 36 jam. Simptom jangkitan termasuk sakit perut, cirit birit, rasa sejuk, demam, loya, muntah dan lesu.

Tempoh pengeraman adalah berbeza mengikut punca jangkitan. Biasanya 10 – hingga 23 hari untuk jangkitan yang berlaku apabila makan daging yang tidak dimasak dengan sempurna. Simptom pada manusia adalah demam dan pembengkakan pada nodus limfa (swollen lymph nodes).

    1. Toxoplasmosis

Toxoplasmosis disebabkan oleh sejenis parasit toxoplasma gondii. Perumah tetap bagi parasit ini adalah kucing. Namun kebanyakan mamalia dan burung juga boleh menjadi perumah bagi parasit ini.

Manusia biasa mendapat jangkitan apabila termakan daging khinzir, kambing, rusa, kijang yang tidak dimasak dengan sempurna.

    1. Trichinellosis (trichinosis)

Penyakit ini disebabkan oleh parasit trichinella spiralis. Parasit ini hidup dalam tisu otot haiwan termasuk  haiwan liar seperti beruang, babi hutan, musang, serigala dan lain-lain. Jangkitan biasanya berlaku apabila manusia termakan daging haiwan yang tidak dimasak dengan sempurna.

Tempoh pengeraman adalah 8 – hingga 15 hari selepas makan daging yang terjangkit. Simptom penyakit ini adalah sakit perut, demam, sakit otot, bengkak pada mata diikuti haus, kesejukan, lemah dan keletihan

    1. Cryptosporidiosis

Penyakit ini disebabkan parasit Cryptosporidium. Jangkitan biasanya berlaku apabila terkena najis haiwan yang dijangkiti, termakan makanan yang tercemar dengan najis haiwan atau terminum air yang tercemar. Simptom jangkitan termasuk cirit birit, kekejangan pada perut, loya, muntah, demam, sakit kepala dan kurang selera makan.

    1. Sarcocystosis

Sarcocystosis merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan parasit protozoa Sarcocystis. Jangkitan parasit ini biasa berlaku di negara-negara tropika atau subtropika terutamanya di Asia Tenggara. Parasit ini kebiasaannya menjangkiti haiwan liar dan peliharaan terutamanya lembu dan khinzir.

Kepada manusia, Sarcocystis boleh menyebabkan jangkitan pada intestinal (usus) dan otot. Risiko jangkitan Sarcocystis di kalangan manusia adalah rendah, walau bagaimanapun, manusia boleh dijangkiti apabila termakan makanan atau air yang tercemar dengan najis haiwan yang dijangkiti.

Manusia juga boleh mendapat jangkitan apabila memakan daging yang tidak dimasak sempurna Kebanyakan manusia yang dijangkiti adalah tidak mempunyai sebarang tanda sakit. Namun, sebilangan kecil manusia boleh menunjukkan gejala yang ringan iaitu diarrhea atau sakit otot dan demam.

Setakat ini tiada vaksin atau rawatan yang khusus untuk Sarcocystosis. Sebahagian besar pesakit akan sembuh tanpa rawatan khusus.

    1. Nipah Virus

Virus Nipah boleh berjangkit kepada manusia daripada haiwan. Kelawar buah (fruit bats) daripada keluarga Pteropodidae adalah perumah semula jadi virus Nipah. Tiada rawatan atau vaksin untuk orang atau haiwan.

Orang yang dijangkiti pada mulanya mengalami gejala selsema seperti demam, sakit kepala, sakit otot, muntah dan sakit tekak. Ini boleh diikuti dengan pening kepala, keletihan, kekeliruan, dan tanda-tanda yang menunjukkan jangkitan radang otak (encephalitis).

Sesetengah orang juga boleh mengalami pneumonia dan masalah pernafasan yang teruk. Encephalitis dan sawan berlaku dalam kes-kes yang teruk serta menyebabkan koma dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Tempoh pengeraman penyakit ini adalah antara 4 hingga – 45 hari.

    1. Anthrax

Antraks merupakan penyakit yang boleh menjangkiti manusia dan haiwan oleh bakteria Bacillus anthracis. Haiwan liar atau haiwan domestik seperti kambing, lembu dan biri-biri merupakan perumah bagi penyakit ini.

Manusia boleh mendapat jangkitan antraks melalui beberapa cara, antaranya adalah tersentuh dengan haiwan yang dijangkiti dengan antraks, tertelan atau termakan spora antraks.

Tempoh pengeraman bagi antraks biasanya adalah 1 – hingga 7 hari. Simptom untuk jangkitan antraks berbeza mengikut cara jangkitan. Jangkitan pada kulit akan menyebabkan luka pada kulit, manakala simptom untuk jangkitan antraks melalui pernafasan termasuk demam, lesu, sakit kepala, batuk, sesak nafas dan sakit dada. Selain itu, simptom bagi jangkitan antraks gastrousus biasanya adalah sakit perut, cirit birit berdarah, cirit birit, demam, rasa mual dan muntah.

    1. Avian Influenza (Selsema Burung)

Avian influenza atau lebih dikenali sebagai selsema burung merupakan penyakit selsema yang diakibatkan oleh virus selsema yang menyerang unggas. Terdapat banyak strain virus avian influenza yang boleh menjangkiti unggas.

Virus H5N1 merupakan jenis virus selsema burung yang dianggap paling merbahaya.Manusia boleh dijangkiti apabila terdedah kepada unggas yang dijangkiti virus ini.

Tempoh pengeraman adalah antara 2 – hingga 8 hari dan boleh sehingga 17 hari. Simptom selsema burung pada manusia termasuk demam melebihi >38 °C, tanda-tanda selsema (influenza-like symptoms), jangkitan saluran pernafasan dan boleh membawa maut.

    1. Q fever

Q fever merupakan penyakit yang disebabkan oleh bakteria Coxiella burnetii. Lembu, kambing dan biri-biri merupakan perumah utama bagi bakteria ini. Namun, sesetengah haiwan liar dan burung juga merupakan perumah bagi bakteria ini.

Manusia biasa mendapat jangkitan ini melalui  titisan cecair (aerosol route) kerana bakteria ini boleh hidup dalam udara. Tempoh pengeraman biasanya 2 – hingga 3 minggu. Simptom jangkitan pada manusia termasuk rasa sejuk, sakit kepala, rasa lemah, lesu, demam, batuk, sakit dada dan berpeluh.

Rujukan:

  1. America Veterinary Medical Association. (2017). Disease precaution for hunters. Diambil dari: https://www.avma.org/public/Health/Pages/Disease-Precautions-for-Hunters.aspx
  2. Wormser, G. P., Colebunders, R.L. (2009).Control of communicable disease in manual (19th ed.). D.L. Heymann (Ed.). Washington, DC: American Public Health Association.
  3. World Organization for Animal Health. (n.d). Disease Information Summaries. Diambil dari: www.oie.int/animal-health-in-the-world/disease-information-summaries
Semakan Akhir : 6 Mac 2017
Penulis : Ong Chia Ching
Akreditor : Ooi Poh Keong

Artikel Berkaitan

Kembali Mendengar

Masalah Pendengaran Post-Lingual terjadi apabila individu mengalami hilang pendengaran setelah mahir bercakap dan berkomunikasi.

Sakit Belakang

Sakit belakang dikaitkan dengan rasa sakit dan kurang selesa di bahagian belakang badan, biasanya di bahagian bawah belakang badan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,414,538

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia