A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Pemakanan
  4. /
  5. Warga Emas
  6. /
  7. Kurang Zat Makanan Dalam...

Kurang Zat Makanan Dalam Kalangan Warga Emas

Pengenalan

Populasi warga emas lebih terdedah kepada banyak risiko kesihatan disebabkan oleh kekurangan nutrien dalam pemakanan mereka. Perubahan fisiologi, psikologi dan ekonomi semasa peringkat ini boleh menyumbang kepada pemakanan yang kurang sihat. Ini boleh menjurus kepada keadaan seperti malnutrisi, kurang zat makanan dan berlebihan zat makanan.

Malnutrisi ditakrifkan sebagai suatu keadaan yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau nutrien yang tidak mencukupi.

Kurang zat makanan pula merujuk kepada keadaan di mana penyerapan nutrien adalah rendah atau kehilangan nutrien yang berlebihan.

Berlebihan zat makanan adalah disebabkan oleh akibat berlebihan makan atau pengambilan nutrien yang berlebihan.

Apa itu kurang berat badan?

Seorang warga emas dianggap kurang berat badan apabila mempunyai IJT kurang daripada 22 kg/m2. Kekurangan berat badan d kalangan warga emas mungkin disebabkan oleh beberapa faktor iaitu:

  • Kurang bekalan makanan dan cara penyediaan makanan yang tidak sesuai
  • Jangkitan/ penyakit
  • Kebersihan dan sanitasi yang kurang baik
  • Ekonomi
    • Kurang pendapatan
    • Tidak dapat membeli barang keperluan
  • Fisiologi
    • Tiada gigi – kurang keupayaan mengunyah
    • Kurang selera makan
  • Masalah mental
    • Dementia
    • Kecelaruan minda dan kemurungan

Masalah biasa yang dihadapi oleh warga emas

Ramai warga emas mengalami kesukaran untuk mendapat pemakanan yang sihat. Pemakanan warga emas boleh dipengaruhi oleh keadaan seperti kesihatan oral yang kurang baik, gangguan perut (upset stomach), hilang selera makan, kesihatan fizikal yang lemah, masalah sosioekonomi dan juga pelbagai masalah yang lain.

Berikut adalah beberapa cadangan untuk memperbaiki cara penyediaan makanan :

Makanan
Cubalah :
Buah-buahan segar Pilih buah yang lembut seperti betik dan pisang. Jus buah dan buah dalam tin yang lembut merupakan alternatif yang baik.
Sayur-sayuran mentah Cincang halus sayuran dan lecekkan sayur yang telah dimasak.
Daging Pilih gantian yang lebih lembut seperti ikan dan ayam. Cincang atau kisar daging sehingga halus supaya mudah dimasak.
Nasi Lebihkan air semasa memasak nasi supaya lebih lembut. Lenyek sekiranya perlu. Bubur nasi atau oat merupakan alternatif yang baik.

Senarai masalah

  1. Mengunyah

Apa yang anda boleh lakukan?

  • Dapatkan rawatan pergigian
  • Ubah makanan kepada tekstur yang lembut atau puri.
  • Cuba makanan bijirin bayi yang ada di pasaran.
  • Kisar atau cincang ikan, daging, ayam atau sayur-sayuran.
  • Masak sayur lebih lama tetapi menggunakan air yang sedikit untuk mengelakkan kehilangan vitamin dan mineral secara berlebihan.
  1. Gangguan perut (upset stomach)

Perut kembung atau masalah sakit perut yang lain akan membuatkan anda menghindar daripadamakanan yang dianggap penyebab masalah tersebut. Ini menyebabkan anda mungkin akan kekurangan nutrien-nutrien penting seperti vitamin, kalsium, serat dan protein. Apa yang anda boleh lakukan?

  • Cuba lebihkan pengambilan makanan daripada kumpulan susu, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Elakkan makanan yang berempah
  1. Tidak berupaya pergi membeli makanan

Anda mungkin mengalami masalah untuk pergi membeli makanan kerana kurang upaya untuk memandu, mengalami masalah untuk berjalan atau berdiri lama. Apa yang anda boleh lakukan?

  • Minta kedai runcit yang berhampiran tempat kediaman untuk menghantar barang-barang  runcit ke rumah anda.
  • Minta bantuan ahli keluarga atau jiran membelikan barangan makanan untuk anda.
  1. Tidak berupaya memasak

Anda mungkin mengalami masalah untuk memasak. Mungkin anda susah untuk memegang peralatan memasak, periuk, kuali atau anda juga mengalami masalah untuk berdiri lama.Apa yang anda boleh dilakukan?

  • Guna ketuhar gelombang mikro untuk memasak hidangan ringkas seperti makanan dingin beku atau makanan dibeli siap dimasak dari kedai.
  • Libatkan diri dengan program warga emas yang berhampiran dengan kediaman anda (sekiranya ada).
  • Berpindah ke rumah keluarga atau rumah kebajikan di mana makanan disediakan oleh penjaga atau ahli keluarga.
  1. Kurang selera makan

Kemungkinan disebabkan oleh :

  • Rasa kesunyian pada waktu makan.
  • Kesan ubat yang diambil.

Apa yang anda boleh lakukan?

  • Makan bersama keluarga dan rakan-rakan.
  • Libatkan diri dalam aktiviti komuniti yang menyediakan makanan dan memberi peluang untuk anda berjumpa dengan rakan baru.
  • Berkongsi makan bersama rakan-rakan dan ahli keluarga.
  • Tonton TV atau dengar radio semasa makan agar dapat menghilangkan kesunyian terutamanya apabila tinggal berseorangan.
  • Keluar makan bersama rakan-rakan dan ahli keluarga.
  • Tanya doktor anda jika ubat yang diambil menyebabkan masalah kurang selera makan atau deria rasa.Jika begitu, tanya doktor sama ada ubat boleh ditukar.
  • Tingkatkan perisa makanan dengan menambahkan herba dan rempah ratus ke dalam  makanan.
  1. Masalah kewangan

Berpendapatan rendah boleh menjejaskan pengambilan makanan yang baik. Apa yang anda boleh lakukan?

  • Beli makanan berkhasiat yang murah seperti telur, tempe, bijian kering dan ayam.
  • Pilih buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan serta makanan yang bermusim berbanding makanan yang diimport dari luar negara.
  • Beli makanan semasa tawaran murah atau makanan dari jenama kedai tersebut.Biasanya produk tersebut dijual pada harga yang lebih rendah.

Kenal pasti masalah sebenar yang menyebabkan penurunan berat badan. Pastikan anda mengamalkan makan secara sihat sepanjang masa. Rujuk kepada Piramid Makanan Malaysia.Cuba untuk tingkatkan bilangan hidangan daripada setiap kumpulan makanan.

Petua Untuk Meningkatkan Berat Badan

  1. Tingkatkan pengambilan snek atau makanan tinggi kalori seperti:
    • Ais krim bersama sirap, coklat, kacang atau buah dalam tin.
    • Milk shake
    • Kuih-muih tempatan atau bubur (contohnya bubur cha-cha)
    • Pisang goreng, keledek dan keladi
    • Sagu, bubur atau oat bersama susu atau gula.
    • Bubur nasi bersama ikan, daging, telur atau ikan bilis ditumbuk dengan tambahan minyak masak.
    • Kastard bersusu
    • Nasi atau mi goreng
    • Kentang lecek bersusu dan mentega/ marjerin
  2. Pertimbangkan pengambilan produk tinggi-kalori dan tinggi-protein komersial, seperti susu penuh krim bagi menggantikan hidangan utama atau snek semasa kurang selera makan.
    • Makan dalam kuantiti yang kecil tetapi kerap. Elakkan daripada melangkau waktu makan walaupun anda tidak lapar.
    • Ambil sup berdaging (seperti ayam atau daging lembu).
    • Elakkan minum secara berlebihan, minuman yang tidak berkalori seperti air kosong. Anda dinasihatkan supaya minum sedikit air semasa makan.
    • Jika anda tidak boleh mengambil makanan pepejal atau separa pepejal, cuba makanan lembut atau makanan jenis cecair. Rujuk kepada Masalah Biasa Dalam Kalangan Warga Emas
    • Rujuk Doktor/ Pegawai Dietetik / Pegawai Pemakanan untuk membantu anda memantau peningkatan berat badan.

Resipi

Bubur Cha Cha (4 hidangan)

Bahan-Bahan
Kuantiti
1 biji ubi keledek bersaiz kecil 160 g
½ biji keladi bersaiz kecil 80 g
Pisang raja 2 psc
Kacang merah 75 g
Sagu 25 g
Santan 300 ml
Gula 250 g
Garam 1/2 tsp
Daun pandan 8 psc
Air 500 ml

Kaedah penyediaan :

  • Kupas, cuci serta tos ubi keledek dan keladi, kemudian dipotong dadu.
  • Kupas dan hiris pisang raja.
  • Rendam kacang merah dalam air sekurang-kurangnya 3 jam. Rebus dalam air  secukupnya hingga empuk, kemudian toskan.

Cara memasak :

  • Rebus ubi keledek dan keladi di dalam 500 ml air bersama daun pandan.
  • Setelah ubi keledek dan keladi empuk, tambah sagu.
  • Tambahkan pisang raja dan kacang merah.
  • Tambahkan gula, garam, santan dan masak sehingga mendidih.Reneh selama 5 -10 minit.

Kandungan Nutrien

Resepi Satu Hidangan
Kalori 783
Lemak 44
Sodium 275

 

 

Semakan Akhir : 20 April 2012
Penulis : Rohida bt. Saleh Hudin
Junidah bt. Raib
Faulina bt. Khamisan
Penyemak : Tn. Hj. Ridzoni bin Sulaiman

 

Artikel Berkaitan

Makanan Sunnah

Kebanyakan manusia mendapat penyakit disebabkan oleh corak / pola pemakanan yang salah dan kurang pengetahuan mengenai pemakanan sihat.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,220,192

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia