A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kuku

Kuku mempunyai fungsi mereka sendiri dan boleh digunakan sebagai panduan bagi mengenal pasti penyakit-penyakit tertentu. Kuku sendiri juga boleh terdedah kepada penyakit.

Kuku mempunyai fungsi mereka sendiri dan boleh digunakan sebagai panduan bagi mengenal pasti penyakit-penyakit tertentu. Kuku sendiri juga boleh terdedah kepada penyakit.

Apakah kuku?

Plat kuku adalah bahagian sebenar kuku yang kita lihat. Ia terdiri daripada lapisan keratin lutsinar berlamina. Plat kuku ini tumbuh dari pangkal kuku. Apabila sel baru tumbuh, sel tua ditolak keluar ke hujung jari dalam bentuk lapisan keratin yang keras dan padat. Kuku tumbuh dengan kadar kira-kira 3mm sebulan. Ini adalah dua hingga empat kali ganda kadar pertumbuhan kuku kaki.

Dasar kuku adalah lapisan kulit untuk yang menampung plat kuku. Warna sebenar kuku adalah mengikut warna dasar kuku yang kaya dengan kapilari dan kelenjar. Oleh itu, warna kuku anda boleh mencerminkan tahap kesihatan anda. Kutikel terletak di hujung proksimal kuku. Ia sebenarnya adalah lapisan kulit mati yang hampir tidak kelihatan yang terlipat di atas bagi melindungi plat kuku yang baru tumbuh.

Apakah fungsi kuku anda?

  • Melindungi
    • Ia melindungi kepingan terakhir tulang pada jari tangan atau jari kaki. Ia melindungi hujung jari dan tisu lembut di sekeliling jari.
  • Memudahkan fungsi jari
    • Fungsi hujung jari adalah untuk menyentuh dan memilih benda kecil. Kuku memudahkan pergerakan halus dengan memberikan tekanan pada pulpa jari sekaligus meningkatkan sensitiviti.
  • Kosmetik / fesyen
    • Remaja suka untuk mengenakan pengilat kuku, inai atau aksesori kuku untuk membuat mereka kelihatan lebih cantik.
  • Sebagai alat
    • Alat untuk menggaru. Ia juga penting untuk menarik keluar serpihan dengan menggunakan kuku dan hujung jari.

Bagaimana menjaga kuku?

Untuk memastikan kuku sihat, anda mesti tahu ciri-ciri kuku yang sihat. Ciri-ciri kuku yang sihat :

  • Bersih
  • Mempunyai permukaan licin tanpa rabung atau alur
  • Mempunyai warna yang seragam. Ia harus bebas daripada tompokan atau berubah warna atau menjadi pudar
  • Walau bagaimanapun, apabila individu semakin berumur, rabung/alur boleh terbentuk

Jaga kuku anda

  • Pastikan kuku anda pendek
    • Potong kuku kaki anda lurus. Jangan cungkil bahagian tepi kuku bagi mengelakkan cagu dan jangkitan penyakit
    • Kuku panjang cenderung untuk terbelah dan mudah patah dan boleh menyebabkan kecederaan kepada diri sendiri.
    • Tidak terlalu pendek kerana ia boleh melukakan jari dan mendedahkan jari kepada jangkitan.
  • Pastikan kuku dan jari anda lembap
    • Gunakan pelembap beberapa kali sehari
  • Mengenakan pengilat kuku
    • Pengilat kuku boleh mengekalkan kelembapan dalam kuku. Walau bagaimanapun ia mungkin tidak sesuai bagi sesetengah individu, terutama orang Islam kerana perlu berwuduk sekurang-kurangnya 5 kali sehari.
  • Elakkan menggunakan penanggal pengilat kuku terlalu kerap
    • Hadkan penggunaan, maksimum sekali seminggu.
  • Jangan membuang kutikel anda
    • Membuang kutikel boleh mendedahkan kuku anda kepada jangkitan.

Kuku juga terdedah kepada penyakit. Anda perlu mengenali beberapa keadaan yang biasa berlaku untuk membantu anda mendapatkan rawatan.

  • Jangkitan bakteria
    • Jangkitan lipatan kuku. Biasanya disebabkan oleh jangkitan bakteria. Namun, kulat adalah punca jangkitan yang diketahui.
  • Jangkitan kulat
    • Jangkitan kulat adalah keadaan yang sering berlaku. Kuku boleh dijangkiti kulat yis atau kurap. Kuku boleh menebal dan cacat kerana mungkin plat kuku terpisah dari dasar kuku. Walau bagaimanapun, ia boleh dirawat.
  • Cagu
    • Cagu adalah suatu keadaan apabila kuku tumbuh dalam dasar kuku, menyakitkan dan mendapat jangkitan. Ini berkaitan dengan cara memotong kuku yang salah atau berlebihan berat badan (obes). Ia kerap berlaku pada kaki yang besar.

Menggigit kuku

Sesetengah orang suka menggigit kuku. Ia bukan tabiat yang baik. Menggigit kuku dianggap satu penyakit yang dipanggil gangguan tingkah laku impulsif (impulse control disorder), iaitu masalah mengawal tabiat menggigit kuku jari. Ia juga sering dikaitkan dengan kecelaruan tingkah laku atau emosi yang lain. Ia biasanya berlaku semasa zaman kanak-kanak dan remaja. Menggigit kuku boleh menyebabkan kulit pada kutikel koyak dan boleh menyebabkan jangkitan kuman. Masalah gigi atau kecederaan gusi juga boleh berlaku. Apabila kuku yang digigit ditelan, kuman yang terselit di bawah permukaan kuku dipindahkan ke dalam perut. Cacing jarum (pinworms) dan bakteria di bahagian dubur boleh dipindahkan kepada perut dan menyebabkan sakit perut. Rasa pahit pengilat kuku boleh mengurangkan tabiat menggigit kuku. Beberapa teknik terapi tingkah laku boleh digunakan untuk merawat tabiat ini.

Adakah menggunakan pengilat kuku selamat?

Isu-isu berkaitan penggunaan pengilat kuku.

  • Bahan kimia berbahaya yang terdapat di dalamnya.
    • Ia mengandungi bahan kimia yang dipanggil dibutil phthalate (DBP). DBP adalah bahan bergetah yang mengganggu fungsi endokrin dan menyebabkan kecacatan janin. Toulene dan formaldehid adalah karsinogen yang terkandung dalam penggilat kuku. Ciri-ciri pengilat kuku yang selamat – tidak berbau, tidak mengandungi bahan kimia di atas atau ethylacetate, N Butil asetat dan aseton.
  • Kesan penanggal pengilat kuku
    • Ia mengandungi aseton yang akan menyebabkan kulit kering. Aseton juga mudah terbakar. Sesetengah individu sensitif dengannya.

Anda perlu berhati-hati memilih pengilat kuku dan penanggal pengilat kuku. Anda akan mendapati diri anda terdedah kepada bahan kimia berbahaya dan berisiko mendapat alahan. Sebaik-baiknya fikir dahulu sama ada anda benar-benar perlu menggunakan pengilat kuku. Apa yang kuku boleh beritahu anda? Rupa bentuk Keadaan yang mungkin berlaku :

Kuku putih – Kegagalan buah pinggang.
Kuku kekuningan – Ini biasanya berkaitan dengan penyakit pernafasan seperti bronkitis kronik. Kuku kelihatan menebal dan pertumbuhan adalah perlahan lalu menyebabkan kuku berubah menjadi warna kuning.
Lekuk melintang atas kuku – Lekukan melintang ini dipanggil garis Beau. Lekukan ini berkembang di bawah kutikel apabila pertumbuhan kuku diganggu oleh kecederaan atau penyakit yang teruk.
Kuku berbintik – Kuku mempunyai lekukan-lekukan kecil di atasnya. Berkaitan dengan keadaan kulit yang dipanggil psoriasis dan beberapa keadaan autoimun.
Kuku bergulung – Berpunca daripada jangkitan kulat.
Clubbing nail – Keadaan hujung jari membengkak dan kuku berlekuk sekelilingnya. Berkaitan dengan penyakit jantung, paru-paru, usus, atau penyakit hati. Dalam keadaan tertentu bagi penyakit jantung, warna clubbing nail boleh menjadi biru (cyanosed).
Spoon nail – Kuku nipis dan melengkung keluar. Berkaitan dengan anemia (kurang zat besi).

Secara ringkasnya, sila pastikan kuku anda bersih dan jika anda mempunyai sebarang keraguan mengenai kuku anda, sila berjumpa doktor.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Salmah bt. Nordin
Akreditor : Dr. Nik Rubiah bte. Nik Abdul Rashid
Penyemak : Dr. Nazhatussima bt. Suhaili

Artikel Berkaitan

Awas! Sinaran Matahari

Pendedahan kepada cahaya matahari yang lama boleh menyebabkan kulit terbakar (Sunburn), penuaan pra-matang, kanser kulit dan kerosakan mata akibat sinaran ultra violet (UV)

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,389,685

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia