A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Komplikasi Cabutan Gigi

Cabutan gigi adalah satu proses pembuangan gigi dari soketnya di tulang rahang .Cabutan gigi yang ideal ditakrifkan sebagai satu  proses pembuangan keseluruhan gigi atau akar gigi yang tidak menyakitkan, dengan trauma yang minimum ke atas  tisu sekelilingnya supaya luka bekas cabutan akan sembuh dengan sempurna.

Pengenalan

Cabutan gigi adalah satu proses pembuangan gigi dari soketnya di tulang rahang . Menurut Howe(1961)1 ‘cabutan gigi yang ideal ditakrifkan sebagai satu  proses pembuangan keseluruhan gigi atau akar gigi yang tidak menyakitkan, dengan trauma yang minimum ke atas  tisu sekelilingnya supaya luka bekas cabutan akan sembuh dengan sempurna’.

Terdapat banyak sebab mengapa cabutan gigi perlu dilakukan. Di antaranya adalah:

  1. Kerosakan gigi yang teruk , menyebabkan gigi tidak dapat ditampal lagi
  2. Masalah gusi yang teruk , menyebabkan kehilangan tulang sokongan sekeliling gigi yang akhirnya mengakibatkan gigi menjadi longgar.
  3. Jangkitan kuman yang teruk
  4. Kegagalan rawatan kanal akar(rawatan endodontik) walaupun setelah rawatan diulang beberapa kali.
  5. Kecederaan/trauma gigi yang teruk
  6. Bagi tujuan rawatan ortodontik/pendakap gigi (rawatan untuk mengatur susunan gigi), yang mana ada masanya gigi yang sihat, perlu dicabut.

alt

Setiap Gigi mempunyai potensi komplikasi yang berbeza.

Daripada perenggan di atas jelas menunjukkan perbezaan indikasi bagi cabutan gigi . Setiap prosedur berkemungkinan mempunyai risiko dan komplikasi tersendiri .Kadang-kadang cabutan gigi yang mudah juga boleh mendatangkan ketidak selesaan kepada pesakit. Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada komplikasi cabutan gigi tetapi secara umumnya ramai yang berpendapat komplikasi ini  hanya disebabkan oleh keadaan/faktor gigi sahaja.

Apakah faktor-faktor yang mengakibatkan komplikasi cabutan gigi?

  1. Faktor gigi
    • Anatomi gigi memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan samada gigi berkenaan mudah untuk dicabut/dikeluarkan. Gigi yang mempunyai korona yang terpusing, akar yang bengkok, panjang dan runcing akan menyebabkan gigi tersebut sukar dicabut.
    • Gigi yang mempunyai tampalan yang besar,gigi yang telah dibuat rawatan kanal akar, rapuh dan yang telah pecah teruk juga sukar/susah untuk dicabut.
    • Ketebalan dan kekerasan tulang penyokong di sekeliling gigi:Biasanya gigi yang terletak dikawasan tulang yang keras dan tebal sukar untuk dicabut.
  2. Faktor pesakit
    • Pesakit yang mempunyai masalah perubatan seperti Diabetes Mellitus (kandungan gula yang tinggi dalam badan) atau yang mempunyai sistem imunisasi/pertahanan badan yang lemah. Pesakit yang menghidapi penyakit ini akan mengalami proses penyembuhan yang lambat dan soket gigi juga mudah mengalami jangkitan kuman. Kadang-kadang jangkitan kuman boleh merebak keseluruhan badan.
    • Pesakit yang pernah menjalani rawatan radioterapi pada rahang dan/atau rawatan kemoterapi. Contohnya, untuk rawatan “Nasopharyngeal Carcinoma (kanser hidung). Rahang yang telah terdedah kepada sinar radiasi akan mengalami kekurangan bekalan darah. Oleh sebab itu proses penyembuhan soket menjadi lambat dan tidak sempurna. Soket yang tidak sembuh dalam rahang yang disinar radioterapi dipanggil  osteoradionecrosis.
      alt
    • Kebersihan mulut pesakit – Penting untuk menjaga kebersihan mulut dengan betul adalah penting semasa tempoh proses penyembuhan. Jika sisa atau serpihan makanan terperangkap di dalam soket, proses penyembuhan akan terganggu.
    • Tabiat merokok – Merokok juga akan memberi kesan kepada proses penyembuhan luka. Merokok akan mengurangkan bekalan darah ke kawasan yang terjejas, menyebarkan toksin ke kawasan tersebut dan boleh mencederakan gusi.

Apakah komplikasi yang mungkin berlaku akibat cabutan gigi?

  1. Sakit : komplikasi yang biasa berlaku selepas cabutan gigi. Kebanyakan pesakit akan mengalami sedikit kesakitan tetapi kesakitan yang sangat teruk mungkin disebabkan oleh jangkitan kuman.
  2. Pendarahan : Pendarahan yang berlaku serta-merta selepas cabutan gigi adalah normal. Pendarahan boleh dihentikan dengan menekan tempat tersebut seketika (beberapa minit). Soket kemudiannya akan dipenuhi dengan darah beku. Walau bagaimanapun, pesakit yang mempunyai rekod masalah pembekuan darah, akan megalami masalah pendarahan yang berpanjangan, contohnya Haemophilia, penyakit hati atau yang mengambil ubat untuk mencairkan darah. Oleh itu, pesakit ini akan mengalami kehilangan darah yang ketara selepas cabutan gigi.
  3. Jangkitan kuman : Kebersihan mulut yang tidak memuaskan dan paras gula yang tinggi di dalam badan boleh menyebabkan jangkitan kuman selepas cabutan. Keadaan yang paling biasa berlaku (jangkitan) selepas cabutan gigi adalah soket kering (dry socket). Apabila soket kering berlaku, ia akan menyebabkan kesakitan. Keadaan ini berlaku sama ada tiada  pembentukan darah beku di soket gigi atau darah beku terkeluar dari soket semasa berkumur dengan kerap atau merokok
  4. Bengkak : Ini mungkin berlaku selepas cabutan gigi ataupun selepas membuat pembedahan. Jangkitan kuman adalah perkara yang paling biasa menyebabkan kebengkakan.
  5. Kebas : Mungkin boleh terjadi jika berlaku kecederaan saraf terutamanya pada kawasan pra-molar dan geraham bongsu. Perkara ini biasanya bersifat sementara, tetapi pada sesetengah kes, kecederaan yang teruk pada saraf yang telibat boleh membawa kepada kehilangan deria rasa/kebas yang kekal.
  6. Cabutan yang tidak lengkap: Biasanya berlaku kepada pesakit yang mempunyai anatomi gigi yang kompleks ataupun pesakit yang mengalami kesakitan yang teramat sangat disebabkan kegagalan ubat bius bertindak semasa cabutan dilakukan.
  7. Bukaan mulut yang terhad:  Keadaan yang biasa berlaku di kalangan pesakit selepas cabutan gigi tetapi hanya sementara sahaja, disebabkan sakit bila kesan ubat bius hilang. Walau bagaimanapun, sekiranya kesakitan dan pembukaan mulut yang terhad ini berterusan, ianya mungkin disebabkan oleh pembentukan hematoma (bengkak yang disebabkan oleh pengumpulan darah beku).
  8. Kecederaan pada gigi yang berdekatan: Gigi yang berdekatan dengan tempat cabutan mungkin boleh patah/sumpik ataupun longgar semasa proses cabutan. Tampalan yang ada juga mungkin boleh tertanggal.
  9. Komunikasi antara mulut dan hidung (komunikasi atau fistula antara antrum dan mulut): Ini adalah satu komplikasi yang jarang berlaku. Tempat yang biasa berlaku adalah pada gigi geraham rahang atas (maksila). Satu komunikasi atau fistula disifatkan telah berlaku jika terdapat kesinambungan antara rongga mulut dan antrum/ sinus rahang atas melalui soket bekas cabutan. Sinus maksila adalah satu ruang kosong di dalam tulang maksila. Bagi mengesan pesakit yang mengalami komplikasi ini, pesakit dikehendaki berkumur dengan air. Jika terdapat komunikasi atau fistula, air akan mengalir keluar melalui hidung.

alt

Apakah tindakan yang perlu dilakukan apabila komplikasi seperti di atas berlaku?

Sila rujuk kepada doktor gigi yang merawat anda. Sesetengah kes mungkin perlu dirujuk kepada pakar bedah mulut.

alt

Rujukan

  1. Howe, Geoffrey Leslie (1961). Extraction of teeth. Baltimore: Williams & Wilkins (Online version)
Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis : Dr. Khairulzaman b. Adnan
Penterjemah : Dr. Norhayati bt. Omar
Akreditor : Dr. Shim Cheng Kiong
Penyemak : Dr. Kok Tuck Choon

 

Artikel Berkaitan

Pemakaian Elastik

Elastik adalah gegelang kecil kenyal yang diperbuat daripada getah asli / tiruan yang akan diberikan oleh pakar ortodontik anda untuk dipakaikan pada pendakap gigi dalam konfigurasi tertentu. Pendakap gigi sahaja kadangkala tidak dapat menggerakkan gigi ke kedudukan yang dikehendaki oleh pakar ortodontik, tetapi dapat dibantu dengan pemakaian elastik.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,221,323

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia