A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Apa Itu Kolagen?

Kolagen adalah sejenis protein yang banyak terdapat pada haiwan vertebrata atau haiwan bertulang belakang seperti ikan, amfibia, reptilia, burung dan mamalia termasuk manusia.

Jaringan kolagen merupakan struktur asas dalam kulit, tendon, tulang, membran dan tisu penghubung haiwan-haiwan tersebut. 1/3 daripada tubuh badan manusia sendiri adalah kolagen.

Ilustrasi kulit manusiaRajah 1 : Ilustrasi kulit manusia.

Gambar dan ilustrasi fibril kolagenRajah 2 : Gambar dan ilustrasi fibril kolagen.

 

Kenapa Kolagen Penting Untuk Manusia?

  • Kolagen memberikan struktur kepada KULIT dan saling bekerjasama dengan protein yang dipanggil elastin untuk memberikan fleksibiliti yang diperlukan apabila kulit meregang dan kembali kepada kedudukan asal. Kehilangan kolagen akan menyebabkan struktur kulit menjadi tidak tegang dan berkedut.

Ilustrasi membezakan kulit muda dan kulit berusiaRajah 3 : Ilustrasi membezakan kulit muda dan kulit berusia.

  • Kolagen memainkan peranan penting terhadap TULANG. Komponen tulang sendiri terdiri daripada gabungan kolagen dan satu bahan mineral yang dipanggil hydroxyapatite. Gabungan kedua-duanya memberikan struktur, fleksibiliti dan kekuatan pada tulang.
  • Fiber kolagen yang juga terdapat pada OTOT kita menyumbang kepada struktur dan kekuatan otot untuk bergerak dan menjalankan fungsinya sepanjang hari.
  • Dinding SALUR DARAH tubuh kita juga terbina daripada kolagen yang mana ia memberikan struktur, kekuatan dan fleksibiliti dalam menjalankan tugas menyalurkan darah ke seluruh tubuh.

 

Sumber Kolagen Komersil

Adakah anda tahu, kolagen yang banyak terdapat di pasaran dihasilkan daripada sumber apa?

Kebiasaannya kolagen komersil ini diproses daripada 3 sumber utama iaitu :

1.  Ikan

  • Kolagen ikan atau dikenali juga sebagai kolagen marin diekstrak daripada ikan laut sejuk dan kebiasaannya ikan salmon dan ikan merah.
  • Pada tahun 2011, kolagen daripada ikan tilapia telah ditemui oleh seorang penyelidik dari Universiti Putra Malaysia.
  • Kolagen marin adalah 1.5 kali lebih mudah diserap oleh tubuh berbanding kolagen bersumberkan lembu atau babi.

2. Lembu

  • Kolagen diekstrak daripada tulang, kulit dan otot haiwan ini.

3. Khinzir / Babi

  • Kolagen diekstrak daripada tulang, kulit dan otot haiwan ini.

 

Produk Kolagen Di Pasaran Malaysia

Pada asasnya, khasiat kolagen diaplikasikan dalam industri makanan, industri perubatan, industri kesihatan dan industri kosmetik.

Pengambilan kolagen oleh rakyat Malaysia kini semakin meningkat dengan kesedaran tentang kebaikan khasiat kolagen terutamanya daripada sudut kecantikan kulit. Produk mengandungi kolagen juga dikenali sebagai produk antipenuaan kerana fungsi kolagen diaplikasikan untuk menggantikan kolagen yang hilang pada tubuh.

Lambakan produk makanan tambahan / suplemen yang mengandungi kolagen perlu diberi perhatian oleh pengguna.

Kesan penggunaan kolagen berbeza bergantung kepada :

  • kandungan jumlah molekul kolagen
  • jenis kolagen
  • kadar penyerapan oleh sistem tubuh.

Contoh produk kolagen di pasaranRajah 4 : Contoh produk kolagen di pasaran

 

Menjadi tanggungjawab pengguna untuk mengetahui sumber kolagen yang terkandung di dalam produk yang diambil.

Bagi pengguna beragama Islam, perkara ini sangat penting kerana sumber babi sama sekali dilarang penggunaannya kerana dikategorikan sebagai najis berat. Manakala bagi kolagen bersumberkan lembu, ia perlulah diperoleh daripada lembu yang disembelih mengikut hukum syarak.

Di samping itu, kolagen yang diekstrak daripada lembu dan ikan juga perlu dipastikan tiada percampuran bahan-bahan yang meragukan status halalnya semasa pemprosesan.

Adalah lebih mudah bagi pengguna beragama Islam untuk mendapatkan kolagen halal dengan memilih produk yang mempunyai sijil pengesahan halal dan logo halal Malaysia.

Produk yang telah dipersijilkan halal telah disemak kandungan bahan ramuannya termasuklah kolagen dan sumbernya. Selain itu, pemeriksaan di premis pengilang turut dijalankan bagi meneliti aspek berkaitan kebersihan dan amalan pengilangan yang baik.

Logo Halal MalaysiaRajah 5 : Logo Halal Malaysia

 

Istilah–Istilah Berkaitan Kolagen

1) Kolagen Tumbuhan (Plant Collagen) / Kolagen Rumpai Laut (Seaweed Collagen)

  • Tiada kolagen yang terhasil daripada tumbuhan.
  • Istilah ‘Plant Collagen’ digunakan kerana ekstrak daripada sesetengah rumpai laut (seaweed) mempunyai ciri-ciri menyerupai kolagen.

2) Kolagen Terhidrolisis (Hydrolyzed Collagen)

  • Kolagen terhidrolisis adalah bahan yang terhasil daripada pemecahan kolagen.
  • Ia melalui proses hidrolisis yang melibatkan penguraian sebatian oleh tindak balas dengan molekul air.
  • Banyak produk yang dipasarkan sebagai makanan tambahan kolagen atau produk kecantikan berasaskan kolagen mengandungi kolagen terhidrolisis.

 

Rujukan :

  1. Ass.Prof. Dr. Alina Abd Rahim (2012). Persembahan Multimedia PowerPoint, Gelatine and Capsule. Universiti Sains Islam Malaysia
  2. Lodish H, Berk A, Zipursky SL, et al. (2000). Molecular Cell Biology. 4th edition. W. H. Freeman and Company
  3. Prof. Dr. Jamilah Bakar & Dzulkifly Mat Hashim (2012). Persembahan Multimedia PowerPoint, Isu-isu Gelatin dan Kolagen Dalam Produk Makanan. Universiti Putra Malaysia
  4. Tentang Kolagen. http://www.classiccollagen.com/collagen_Page.html
  5. Struktur Kulit (Gambar). n. d. dari http://www.oriferashoppe.com/shop/33-orifera-ao-amino-collagen.html

 

Semakan akhir : 31 Mei 2015
Penulis : Nor Fadzilah binti Abdul Kahar
Akreditor : Mohd Fakarudin bin Mas’od

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,945,991

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia