A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Keterampilan Diri (Dewasa)

keterampilan diri boleh di definisikan sebagai keyakinan diri atau kepercayaan terhadap diri sendiri iaitu kemampuan dan keupayaan untuk menghadapi cabaran utama kehidupan.

 

Keterampilan diri merupakan salah satu aspek penting dalam diri individu yang mampu memberikan kesan kepada kesihatan mental. Secara umumnya, keterampilan diri boleh di definisikan sebagai keyakinan diri atau kepercayaan terhadap diri sendiri iaitu kemampuan dan keupayaan untuk menghadapi cabaran utama kehidupan. Keterampilan diri mampu memberikan kesan secara intrapersonal dan interpersonal.

Konsep Kendiri dalam Keterampilan Diri

Konsep kendiri dalam pembinaan keterampilan diri saling berkaitan antara satu sama lain. Konsep kendiri mengandungi tiga sudut dan tiga komponen.

Tiga sudut dalam konsep kendiri ialah :

  1. Cara kita melihat dan berfikir tentang diri kita.
  2. Cara orang lain melihat kita.
  3. Cara kita yang sebenarnya.

Tiga komponen yang penting dalam konsep kendiri ialah :

  1. Ideal diri.
  2. Keperibadian diri.
  3. Harga diri.

Ideal diri ialah cara seseorang itu bertindak, respon dan menjaga tingkahlaku berdasarkan set standard peribadi tertentu. Manakala, keperibadian diri adalah bagaimana anda percaya, lihat dan fikir tentang diri sendiri. Ianya adalah bahagian utama dalam sifat seseorang dan amat penting untuk memahami bahawa diri adalah kuat dan membentuk imej diri yang positif.

Keperibadian diri ini akan membantu untuk menentukan tahap prestasi seseorang. Komponen yang ketiga ialah harga diri iaitu emosional dan kuasa dalaman yang terdapat di dalam konsep kendiri. Ianya adalah berkenaan berapa dalamnya seseorang itu menyukai diri sendiri dan berapa banyak rasa penghargaan, disayangi dan diterima. Harga diri ini mempengaruhi cara seseorang itu berfikir, bertindak dan bagaimana seseorang itu berhubung dengan orang lain.

Ahli psikologi mendefinisikan konsep kendiri sebagai suatu faktor yang berhubungkait dengan perasaan seseorang terhadap diri sendiri dan sejauh mana seseorang itu akan menerima pengalaman seterusnya dalam kehidupan mereka. Hal itu termasuklah dari sudut pegangan mental dan pandangan terhadap diri sendiri samada secara fizikal, psikologi dan sosial atau boleh disimpulkan bahawa keterampilan diri melibatkan tiga tunjang utama melalui formula ABC iaitu :

  1. Appearance (Penampilan)
  2. Behaviour (Kelakuan)
  3. Communication (Komunikasi)

Keterampilan Diri melalui Penampilan

Penampilan diri memainkan peranan utama dalam menentukan kejayaan seseorang. Penampilan yang berkeyakinan, boleh dipercayai, amanah, jujur, ikhlas, dan merendah diri menjadi faktor yang menyumbang kepada keterampilan diri yang positif. Penampilan diri terbahagi kepada dua iaitu dalaman dan luaran. Nilai dalaman ialah nilai kepimpinan, nilai produktiviti, nilai keagamaan dan nilai profesionalisme. Nilai luaran ialahpakaian, penampilan dan perwatakan.

Perkara asas seperti jujur, amanah, dedikasi, komited dan bertanggungjawab perlu menjadi tapak utama bagi mereka yang ingin berketerampilan positif sepanjang masa.

Etika pemakaian perlu dipelajari bagi memastikan keterampilan diri yang positif. Pemerhatian terhadap pakaian, warna dan gaya akan memberi kesan kepada seseorang. Sebagai contoh, dalam majlis rasmi, seorang lelaki lebih bersesuaian memakai baju berlengan panjang, bertali leher dan mengenakan warna yang bersesuaian, manakala, asas pemilihan bagi wanita ialah kombinasi warna tidak melebihi empat warna dan elakkan pemakaian pakaian yang berkilat untuk majlis siang hari.

Oleh hal yang demikian, keterampilan diri dapat ditingkatkan melalui penampilan yang terpelihara samada melalui nilai luaran mahupun nilai dalaman.

Keterampilan Diri melalui Kelakuan

Tingkah laku manusia mampu mempengaruhi keterampilan diri seseorang. Tingkah laku manusia merujuk kepada kepelbagaian setiap tindakan fizikal dan emosi yang diperhatikan berkaitan dengan individu, dan juga manusia secara keseluruhan. Ianya sebagai ciri khas atau bentuk karakter individu atau manusia sendiri. Walaupun sifat-sifat tertentu personaliti dan perangai seseorang mungkin lebih konsisten, tingkah laku yang lain akan berubah seiringan dengan fasa yang dilalui oleh seseorang dari lahir hingga dewasa.

Terdapat beberapa jenis tingkah laku iaitu:

  1. Tingkah laku tertutup – Tingkah laku yang tidak boleh dilihat oleh panca indera seperti berfikir.
  2. Tingkah laku terbuka – Tingkah laku yang boleh dilihat dengan panca indera seperti ketawa dan berjalan.
  3. Tingkah laku reflektif – Perilaku yang spontan seperti kerlipan mata.
  4. Tingkah laku kognitif – Perilaku yang melibatkan proses pengenalan yang dilakukan oleh otak yang terarah kepada logik
  5. Tingkah laku Afektif – afektif ialah yang berkait dengan emosi manusia
  6. Tingkah laku psikomotorik – psikomotorik ialah perilaku yang melibatkan fizikal seperti memukul, menulis, lari dan sebagainya.

Oleh hal yang demikian, setiap individu perlu memastikan bahawa setiap tingkah laku tersebut merupakan tingkah laku yang positif.

Selain daripada itu, tingkah laku yang mengganggu atau disruptif merupakan tingkahlaku yang boleh membahayakan orang lain. Contohnya bising di dalam sesuatu tempat, ketawa terlalu kuat dengan suara yang nyaring dan kuat tanpa menghiraukan orang yang berada disekeliling. Vandalisme seperti suka merosakkan harta benda awam juga boleh dikategorikan sebagai tingkah laku yang disruptif. Tingkah laku seperti ini hendaklah dijauhi kerana ia mampu memberikan kesan yang negatif kepada keterampilan diri seseorang.

Keterampilan Diri melalui Komunikasi

Menurut Hovlan, Janis dan  Kelley (1953), komunikasi didefinisikan sebagai suatu proses interaksi antara manusia yang melibatkan pertukaran maklumat melalui pergerakan isyarat simbol atau pertuturan.

Komunikasi terbahagi kepada dua:

  1. Komunikasi lisan – penggunaan bahasa, pertuturan dan suara.
  2. Komunikasi bukan lisan – bahasa badan, ekspresi muka, postur dan hubungan mata.

Penggunaan bahasa yang berkesan adalah amat penting dalam komunikasi lisan, dengan penggunaan perkataan yang jelas membolehkan maklumat disampaikan dengan baik. Bahasa yang digunakan perlulah tersusun dan sistematik serta jelas dan mudah.

Suara merupakan alat utama untuk menyampaikan mesej. Maka, seseorang harus mempelajari teknik penggunaan suara yang betul seperti berhenti sejenak, menekankan kepada kata kunci perkataan dan menggunakan kepelbagaian nada (Tunku Mohani, 2005). Pengunaan metafora, bahasa kiasan, bidalan dan personafikasi juga perlulah bersesuaian.

Komunikasi bukan lisan pula lebih tertumpu kepada bahasa badan iaitu penggunaan anggota badan secara sengaja untuk meningkatkan keberkesanan proses komunikasi iaitu termasuklah pergerakan anggota, perawakan atausikap dan eksperasi muka. Secara amnya, komunikasi merupakan aspek keterampilan diri yang memberikan kesan besar kepada perhubungan dengan individu lain ataupun interpersonal. Persoalan perbezaan umur, budaya dan agama juga perlu dititikberatkan dalam memastikan kelangsungan proses komunikasi. Komunikasi yang berjaya dan memuaskan akan menjadi faktor penyumbang kepada keterampilan diri yang positif.

Adakah Keterampilan Diri dan Personaliti Saling Berhubungkait?

Dr Joyce Brothers iaitu seorang pakar psikologi Amerika menyatakan konsep kendiri seseorang adalah bertunjangkan personalitinya yang mempengaruhi setiap perilaku manusia iaitu kemampuan untuk belajar, kemampuanuntuk berkembang dan berubah.

Personaliti pada umumnya merujuk kepada keperibadian, sahsiah atau watak yang berasal daripada perkataan Latin iaitu persona. Menurut Mishel (1968), personaliti didefinisikan sebagai susunan pola-pola tingkah laku seseorang yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Oleh hal yang demikian, keterampilan diri dan personaliti saling berhubungkait antara satu sama lain terutamanya apabila tunjang utama keterampilan itu adalah melibatkan soal penampilan, kelakuan dan komunikasi seseorang.

Adakah Keterampilan Diri dan Mood Saling Berhubungkait?

Keterampilan diri dan mood saling berhubungkait antara satu sama lain. Seseorang individu perlu mempunyai tahap tenaga yang mencukupi kerana hal ini akan memberikan gambaran kepada mood seseorang samada cergas, bersemangat, letih, lesu dan tidak berminat. Apabila seseorang itu bersemangat, secara tidak langsung akan turut mempengaruhi semangat orang sekelilingnya seperti yang disebut oleh Moore (2001)iaitu sekiranya seorang guru dalam keadaan yang tidak bersemangat, ianya akan mempengaruhi semangat belajar para pelajar. Maka, apa jua sektor yang diceburi seseorang itu disyorkan untuk menampilkan mood yang baik supaya keterampilannya menjadi positif dan memberikan aura yang positif kepada orang lain.

Kepentingan Keterampilan Diri kepada Masyarakat Sekeliling

Apabila seseorang individu mempunyai keterampilan diri yang positif, ianya akan membantu kepada perkembangan kemahiran intrapersonal dan interpersonal. Seseorang itu akan dapat meningkatkan keyakinan diri dan harga diri dengan keterampilan diri yang baik tersebut. Sebaliknya apabila seseorang yang tidak mempunyai keterampilan diri yang baik akan memberi kesan negatif terhadap pembinaan harga dirinya dan secara tidak langsung mampu merosakkan hubungan sosial dengan masyarakat sekeliling. Apabila berlaku keadaan yang menyebabkan seseorang itu tidak menemukan jalan untuk meningkatkan keterampilan diri, adalah disarankan untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat sekeliling yang mampu memberikan nasihat seperti ibu bapa dan ahli keluarga. Seterusnya, bantuan profesional seperti kaunselor, pegawai agama, pegawai psikologi dan doktor psikiatri juga mungkin diperlukan.

Penutup

Kesimpulannya, keterampilan diri merupakan aspek yang sangat penting untuk memastikan kesejahteraan kesihatan mental seseorang individu. Usaha yang bersungguh-sungguh boleh dilakukan melalui tiga tunjang utama iaitu penampilan, kelakuan dan komunikasi dalam usaha memperkasakan pembinaan keterampilan diri. Malahan, ianya merupakan sesuatu yang mampu memberikan kesan secara intrapersonal dan interpersonal. Oleh hal yang demikian, adalah disarankan setiap individu mengambil berat terhadap keterampilan diri agar dapat memastikan kesejahteraan kesihatan mental individu dan masyarakat sentiasa terpelihara.

Rujukan:

  1. Ciccarelli, S. K., & White, J. N. (2009). Psychology. United States of America: Pearson Prentice Hall.
  2. Hamid, H. A. (t.t). Tatacara Diri dan Etika. Didapatkan dari hr.usm.my/bpsm/…/m…/Tatacara%20Diri%20&%20Etika.ppt
  3. ISMA. (2016, September 28). Portal Islam & Melayu. Didapatkan dari ismaweb: http://www.ismaweb.net/2016/09/4-2-juta-rakyat-malaysia-ada-masalah-mental/
  4. Mustapha, H. (t.t). CuteCarry Sdn Bhd. Didapatkan dari Cute Carry Web Site: http://www.cutecarry.com/training/imej-ketrampilan-diri-abc/
  5. Psikologi, S. P. (t.t). Didapatkan dari http://aplikasi.jpm.gov.my/userfiles/filepsikologi/Cetusan%20Rasa/Februari/warna%20aura%20mengikut%20hari.pdf
  6. Qaseem, A. (t.t). Didapatkan dari http://www.aliqassem.com/downloads/BM/Building%20a%20better%20You%203.pdf
  7. Rahman, K. A. (2012). Disposisi Guru Berkesan : Personaliti dan Kemahiran Berkomunikasi. Akademika, 37-44.
  8. Yaacob, M. J. (2014, April 20). myHealth. Didapatkan dari http://myhealth.moh.gov.my/keterampilan-diri/
  9. Zain, M. M. (t.t). Institut Kefahaman Islam Malaysia. Didapatkan dari http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/berita-harian/9049-utamakan-pendekatan-pencegahan-berbanding-rawatan
Semakan Akhir : 29 Mei 2017
Penulis : Pn. Khadijah Minhat
Akreditor : Pn. Ruhana bt. Mahmod

Artikel Berkaitan

Janda Dan Duda (Gelaran Yang Memberi Kesan)

Janda adalah merujuk kepada wanita berkahwin yang kehilangan suami sama ada disebabkan penceraian mahupun kematian manakala duda pula merujuk kepada lelaki berkahwin yang kehilangan isteri samaada disebabkan penceraian atau kematian.

Obsesi

Pengenalan Bermaksud tumpuan yang berlebihan atau melampau terhadap sesuatu atau

“NASIHAT YANG DIBENCI” PENGHIDAP KEMURUNGAN

Gangguan mental seperti kemurungan sehingga hari ini masih sukar diterima oleh masyarakat sebagai salah satu daripada jenis penyakit meskipun mereka yang menghidapnya adalah lebih ramai berbanding penyakit yang dapat dilihat secara fizikal.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,511,601

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia