Home > Kesihatan Pergigian > Kesihatan Pergigian Ketika Mengandung

Kesihatan Pergigian Ketika Mengandung

Pengenalan

Kesihatan pergigian yang sempurna ketika mengandung adalah penting untuk memastikan ibu dan anak dalam kandungan sihat. Walau bagaimanapun, perubahan hormon dan cara pemakanan ketika mengandung boleh meningkatkan risiko kepada penyakit pergigian.

Bagaimana Mengandung Boleh Mempengaruhi Kesihatan Pergigian Anda?

  1. Perubahan hormon semasa mengandung boleh meningkatkan risiko terhadap penyakit gusi melalui penggalakan pembiakan bakteria jika mulut tidak bersih.
  2. Alahan semasa mengandung (seperti mabuk, muntah-muntah dan pening) menyukarkan proses memberus dan memflos gigi. Ini memberi risiko kepada penyakit pergigian terutama penyakit gusi dan gigi berlubang.
  3. Persekitaran asidik (dari muntah dll ) melarutkan lapisan luar gigi dan meningkatkan risiko gigi berlubang.
  4. Perubahan tabiat pemakanan seperti mengidam makanan-makanan manis dan asam ketika mengandung juga meningkatkan risiko gigi berlubang.

Apa Itu “Pregnancy Tumours” Atau Epulis?

 
  • Ketumbuhan dan benjolan sekitar gigi dan gusi yang terjadi ketika mengandung
  • Mudah berlaku ketika mengandung kerana perubahan hormon yang menggalakkan pembiakan kuman jika mulut kotor.
  • Ciri-ciri epulis – ketumbuhan seperti barah dan mudah berdarah bila disentuh
  • Berlaku di bahagian gigi dan gusi yang kotor atau berpenyakit
  • Ketumbuhan ini biasanya dikeluarkan secara pembedahan kecil.

Bolehkah X-ray Diambil Ketika Mengandung?

  • Sebaik-baiknya, pengambilan x-ray patut dielak ketika hamil kecuali dalam keadaan kecemasan dan diperlukan .
  • Sekira x-ray perlu diambil, pemakaian apron berplumbum diwajibkan untuk melindungi bayi dari sinaran-X.

Bolehkah Kesihatan Mulut Mempengaruhi Kandungan?

  • Sebarang penyakit umum termasuk penyakit pergigian yang dihidapi boleh memberi risiko terhadap kelahiran bayi pramatang dan kurang berat badan .Oleh itu kesihatan pergigian harus dijaga dengan baik.
  • Setelah bayi dilahirkan , mulut ibu yang tidak bersih mendedahkan bayi kepada risiko penyakit pergigian.
  • Kuman-kuman dari mulut ibu mudah berpindah melalui
    • perkongsian sudu
    • ciuman
    • menyejukkan makanan bayi di dalam mulut ibu
    • hembusan nafas sebelum menyuap bayi.

Langkah-Langkah Menjaga Kesihatan Pergigian Ketika Mengandung

  1. Pemeriksaan pergigian
    • Lakukan lawatan ke klinik pergigian untuk pemeriksaan gigi di awal peringkat kehamilan
    • Dapatkan khidmat nasihat dari doktor tentang penjagaan pergigian sepanjang kehamilan
    • Rawatan pergigian boleh dilakukan sepanjang kehamilan tetapi dinasihatkan selepas 3 bulan kandungan.
       
           
  2. Jaga kebersihan mulut
    • Bersihkan kawasan gigi dan gusi dengan baik sekurang-kurangnya dua kali sehari.
    • Gunakan berus yang lembut atau sederhana lembut dan saiz berus gigi yang sesuai dengan saiz mulut anda.
    • Gunakan ubat gigi mengandungi fluorida (untuk dewasa)
    • Bersihkan celah-celah gigi dan gusi menggunakan flos.
  3. Pilih makanan yang sihat
    • Kurangkan makanan yang melekit dan bergula
    • Pilih makan buah – buahan mengandungi serat
    • Elak minuman berkarbonat dan mengandungi asid
    • Pastikan diet mengandungi kalsium dan fosforus
  4. Nasihat sekira mengalami alahan (muntah-muntah)
    • Makan makanan sihat dalam kuantiti kecil sepanjang hari
    • Gunakan kumuran berfluorida untuk melindungi gigi dari serangan asid
    • Berkumur dengan air atau campurkan air dengan serbuk penaik (soda bikarbonat) selepas muntah untuk mengurangkan kesan asid dalam mulut
Semakan Akhir : 3 Januari 2014
Penulis / Penterjemah : Dr. Lydia Mason a/k Lionel
Akreditor : dr. Savithri a/p Vengadasalam