A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kesan Sampingan Radioterapi

Radioterapi adalah satu kaedah rawatan untuk penyakit kanser di mana sinaran radiasi mengion ditujukan ke bahagian badan yang tertentu yang diserang kanser.

Radioterapi adalah satu kaedah rawatan untuk penyakit kanser di mana sinaran radiasi mengion ditujukan ke bahagian badan yang tertentu yang diserang kanser. Individu-individu yang menerima rawatan radiasi ini akan mengalami kesan sampingan.

Apakah itu kesan sampingan radioterapi?

Radiasi mengion boleh menyebabkan perubahan kepada struktur sel. Perubahan struktur sel akan mengganggu fungsi-fungsi sel serta merosakkan sel-sel itu.

Kedua-dua sel kanser dan normal di kawasan rawatan yang terdedah kepada radiasi akan melalui perubahan ini. Sel-sel kanser yang menumbuh secara tidak terkawal akan menerima kerosakan teruk dan musnah manakala sel-sel normal dengan penumbuhan yang teratur berkebolehan memperbaiki dan memulih semula fungsi sel. (Gambarajah 1)

 

Gambarajah 1: Kesan radiasi mengion ke atas sel-sel kanser dan normal

Kesan sampingan radioterapi merupakan tindak balas sel-sel normal terhadap perubahan atau kerosakan radiasi dan ianya terhad pada kawasan yang menerima radiasi mengion sahaja.

Bagaimana pun bukan semua sel mempunyai sensitiviti yang sama kepada kerosakan radiasi . Lazimnya sel-sel yang cepat menumbuh dan kurang khusus seperti kulit, permukaan mukosa saluran pemakanan dan usus adalah lebih sensitif kepada radiasi berbanding tisu-tisu tulang dan saraf yang lambat menumbuh dan bersifat khusus.

Kesan Sampingan Awal Dan Lewat

Kesan sampingan radioterapi boleh dibahagikan kepada kesan-kesan awal dan lewat. Kesan-kesan sampingan yang berlaku semasa rawatan dijalankan ialah kesan awal. Ia biasanya terjadi 2 hingga 3 minggu selepas rawatan dimulakan. Contoh kesan awal adalah seperti perubahan kulit, rasa loya dan cirit birit sederhana. Ia adalah kesan sementara yang dijangka. Kesan begini mungkin memerlukan masa 2 atau 3 bulan untuk pulih.

Kesan lewat merupakan simptom-simptom yang muncul di kawasan yang dirawat, beberapa bulan atau tahun selepas rawatan berhenti. Contoh kesan lewat adalah kekeringan mulut akibat kekurangan penghasilan air liur dan batuk kronik disebabkan fibrosis tisu paru-paru, berlaku selepas menerima rawatan di kawasan masing-masing.Proses pemulihan akan mengambil masa, kadang-kala selama 6 bulan atau lebih.

Kesan sampingan seperti kehilangan deria merasa makanan dan gangguan haid boleh menjadi kekal jika pembaikpulihan atau penggantian sel tidak boleh dilakukan.

Tahap Kesan Sampingan

Setiap individu mempunyai tindak balas berlainan terhadap kesan radiasi. Ada yang tidak merasa apa-apa atau mendapat sedikit kesan; ramai yang mengalami kesan sederhana dan hanya sedikit sahaja yang merasai kesan yang teruk.

Tahap kerosakan radiasi sel-sel itu bergantung kepada jumlah dos yang diterima, saiz kawasan rawatan, keadaan kesihatan dan tabiat peribadi seseorang individu (merokok dan minum arak), dan sama ada radioterapi dijalankan bersama kimoterapi atau tidak.

Secara amnya, kesan sampingan adalah sederhana jika jumlah dos radiasi kepada sel tertentu dan isipadu tisu itu kecil, keadaan kesihatan individu itu baik dengan pengambilan nutrisi yang seimbang, tidak merokok dan minum arak, serta radioterapi dijalankan berasingan daripada kimoterapi. Jika kesan sampingan adalah teruk, radioterapi mungkin ditangguhkan sementara.

Kesan Tidak Spesifik Dan Spesifik

Kesan sampingan dikategorikan kepada kesan tidak spesifik dan spesifik. Kesan tidakspesifik merujuk kepada tindak balas badan seseorang secara am terhadap radioterapi tanpa mengira bahagian badan mana yang menerima rawatan. Kesan spesifik bersandar kepada tisu tertentu dan terhad hanya pada kawasan yang menerima radiasi. (Rujuk kepada Kesan sampingan radioterapi mengikut kawasan rawatan)

Kesan tidak spesifik radioterapi yang sering berlaku ialah kelesuan. Kelesuan merupakan perasaan keletihan, kelemahan, kelembaban dan kurang tenaga untuk melakukan aktiviti harian . Ia semakin meningkat semasa rawatan dijalankan dan mungkin berkekalan selama beberapa bulan selepas rawatan tamat.

Ia mungkin disebabkan oleh stres penyakit kanser dan perjalanan ulang-alik setiap hari untuk sesi rawatan. Ia juga boleh diakibatkan daripada kesan sampingan radioterapi seperti tiada selera makan, anemia, sakit, tidak cukup tidur dan murung. Tambahan pula, badan menggunakan lebih banyak tenaga untuk proses pemulihan dan penggantian sel pada masa ini.

Langkah Mudah Untuk Dipraktikkan Semasa Mengalami Kelesuan

  • Kenalpasti bila masa anda rasa bertenaga atau kurang tenaga. Jadualkan aktiviti mengikut paras tenaga.
  • Sepanjang tempoh rawatan, cuba lakukan tugas yang amat diperlukan atau penting sahaja.
  • Rancang aktiviti-aktiviti anda. Pecahkan setiap aktiviti kepada beberapa langkah supaya mudah diselesaikan.
  • Jarakkan aktiviti dengan rehat sebentar dan tidur sekejap.
  • Minta atau terima pertolongan daripada ahli keluarga, sahabat, pegawai kerja sosial untuk mengurus kerja rumah, menyediakan makanan, memasak dan menjaga anak-anak.
  • Ambil makanan berkhasiat seperti bijirin dan kacang, sayur-sayuran, daging putih, telur, buah-buahan dan jus atau susu untuk meningkatkan tenaga.
  • Minum air yang banyak.
  • Lakukan senaman ringan seperti berjalan jarak pendek, menyenangkan otot, dan yoga untuk meningkatkan edaran darah dan tenaga.
  • Elakkan minum kopi, teh dan bergas kerana kafein menyebabkan sukar tidur.
  • Kurangkan atau berhenti merokok.

Kenapa Anda Perlu Mengetahui Tentang Kesan Sampingan?

Kesan sampingan radioterapi menyebabkan ketidakselesaan dan penderitaan yang mengganggu kehidupan seharian seorang individu. Walaupun kebanyakan kesan itu tidak dapat dielakkan, ianya boleh diminimakan dengan penjagaan yang sesuai dan pengubahsuaian pemakanan.

Setiap individu yang menjalani rawatan radioterapi mesti mencari maklumat mengenai kesan sampingan rawatan. Maklumkan kepada pakar onkologi, jururawat onkologi dan/ atau juru x-ray terapi tentang pengalaman anda. Dengan memahami kenapa perkara berlaku akan membantu anda mengendali kesan sampingan dengan lebih baik dan mengurangkan kebimbangan mengenai radioterapi.

Rujukan

  1. American Cancer Society.Treatment and side effects. access 17/11/2013
  2. www.cancer.org/cancertopics/coping/radiation-therapy-and-you/page6-8. Radiation side effects and ways to manage them. access 17/11/2013
  3. Dollinger,M.MD, Rosenbaum,E.H.MD&Cable,G.(1991). Everyone’s Guide to Cancer Therapy. Somerville House Books Limited.
  4. Lukisan oleh Cik Aishah bt. Zulkifli

 

Semakan Akhir : 26 May 2017
Penulis : Sarah Lee Abdullah
Akreditor : Dr. Ros Suzana binti Ahmad Bustamam

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,402,859

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia