A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Pergigian Umum
  6. /
  7. Kesan Penyalahgunaan Ubat Pada...

Kesan Penyalahgunaan Ubat Pada Kesihatan Mulut

Pengenalan

Penyalahgunaan ubat boleh didefinisikan sebagai penggunaan ubat terlarang secara sengaja atau penyalahgunaan preskripsi atau ubat dari kaunter untuk memberi kesan kepada minda. Biasanya, ubat – ubat ini akan menyebabkan ketagihan. Ubat-ubat ini boleh diambil sama ada melalui mulut, menghisap rokok, inhalasi dan juga secara suntikan intravena. Penularan penyakit seperti Hepatitis dan HIV adalah merupakan masalah kesihatan yang berkaitan dengan perkongsian jarum tercemar di kalangan penagih dadah secara suntikan.

Punca penyalahgunaan ubat-ubatan adalah tidak diketahui. Pengaruh rakan-rakan, kemurungan, tekanan dan pernah menyalahgunakan ubat-ubatan adalah antara faktor yang menyebabkan perkara ini terjadi. Walau bagaimanapun, tidak semua individu mempunyai potensi ke arah itu.

Penggunaan berterusan ubatan ini akan menimbulkan kesan sampingan ke atas organ badan termasuk mulut. Antara komplikasi yang mungkin dihadapi adalah kerosakan pada otak, malnutrisi dan kesan serius jantung atau pernafasan.

Artikel ini akan membincangkan kesan penyalahgunaan ubat terhadap kesihatan mulut. Bahagian pertama artikel ini akan membincangkan permasalahan berkaitan Mulut dan HIV/AIDS dan diikuti Mulut dan Penyalahgunaan Ubat.

Mulut & HIV/AIDS

Perkongsian jarum tercemar di kalangan penagih dadah menyumbang kepada penularan penyakit seperti Hepatitis B, Hepatitis C dan HIV.

HIV adalah jangkitan oleh retrovirus yang menyebabkan kelumpuhan secara perlahan-lahan sistem imunisasi badan dan menyebabkan kelemahan dalam sistem tersebut, akhirnya mengakibatkan keadaan yang di panggil AIDS (Aquired Immune Deficiency Syndrome).

Terdapat banyak kuman di dalam mulut dan boleh menyebabkan keadaan kemusnahan yang tak berbalik kepada persekitaran mulut apabila keadaan imunisasi badan sudah lemah. AIDS tidak hanya menyebabkan kesan kepada mukosa mulut secara langsung malah juga kesan kepada gigi.

  1. Keadaan mulut berkaitan dengan HIV/AIDS dan kesan rawatan HIV/AIDS
    • Masalah mulut yang berkaitan dengan HIV/AIDS adalah seperti berikut:
      1. Keputihan mulut (Oral Thrush)
        Ini adalah satu keadaan jangkitan yang disebabkan oleh pembiakan fungi/kulat dalam mulut. Ianya boleh terjadi pada bibir, lidah, pipi dan lelangit. Ia akan kelihatan sebagai tompok putih atau kekuningan atau tompok merah. Tompok putih biasanya boleh disapu dan akan menyebabkan kesan kemerahan atau perdarahan. Biasanya tidak disedari oleh pesakit tetapi boleh menyebabkan rasa terbakar atau sakit dan perubahan deria rasa pada lidah.
      2. Ulser mulut (Apthous ulcers)
        • Ulser adalah satu keadaan kemerahan dan menyakitkan yang kerap berlaku di lidah, bibir dan mukosa pipi. Proses penyembuhannya perlahan dan saiznya lebih besar dari yang terjadi kepada orang yang normal. Bahagian atas ulser biasanya kelabu-kekuningan.
        • Kebiasaannya akan memberi kesan kepada fungsi makan, menelan dan bercakap.
      3. Penyakit gusi
        • Pesakit HIV adalah berisiko tinggi untuk mendapat keadaan ini kerana kelemahan sistem pertahanan badan dalam melawan bakteria yang menyerang gusi. Keadaan gusi ini boleh berupa dari gingivitis biasa ke keadaan yang lebih serius (penyakit periodontal) dan lebih kompleks seperti ANUG (Acute necrotizing ulcerative gingivitis).
        • Keadaan gusi akan menjadi kemerahan, mengalami kebengkakan dan mudah berdarah. Ia juga boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan.
        • Pesakit HIV akan lebih kerap mengalami keadaan ini dan keadaan gusinya lebih teruk berbanding dengan orang yang normal.
      4. Mulut Kering (Dry mouth)
        • Keadaan ini berlaku disebabkan kekurangan air liur untuk membasahi mulut. Pengeluaran air liur berkurangan dalam pesakit HIV disebabkan kesan langsung virus atau disebabkan kesa ubat ARV (anti retro viral).
        • Fungsi air liur adalah menghalang pengumpulan plak pada gigi dan debri makanan pada mulut. Apabila air liur berkurangan, insiden mulut kering, kesakitan pada mulut, ulser, jangkitan dan kerosakan gigi meningkat.
      5. Jangkitan Herpes
        • Herpes adalah jangkitan virus yang dicirikan oleh satu atau banyak vesikel (blister) kecil atau ulser pada lelangit dan bibir. Biasanya ia akan menyebabkan pesakit merasa kepanasan dan kesakitan pada tempat tersebut sebelum vesikel (blister) muncul.
        • Biasanya menyakitkan.
    • Keadaan lain yang berkaitan dengan HIV / AIDS.
      1. Pigmentasi pada mulut
      2. Leukoplakia berambut
      3. Lymphoma pada mulut
      4. Kaposi’s sarcoma
  2. Apa yang harus dibuat untuk mengurangkan risiko masalah mulut?Pesakit HIV mempunyai risiko tinggi untuk menghidapi masalah mulut. Perlu untuk mengekalkan kesihatan mulut melalui penjagaan yang betul. Berikut adalah panduan asas dalam penjagaan kebersihan mulut :
    • Amalkan penjagaan mulut yang rapi (memberus gigi setiap kali lepas makan dan penggunaan flos untuk celahan gigi sekali sehari)
    • Pemeriksaan gigi berkala (setiap 6 bulan)
    • Pemakanan seimbang.
    • Jika mulut kering, basahkan dengan minum air atau kunyah gula getah tanpa gula untuk merangsang air liur. Elakkan pengambilan minuman manis.
    • Pemeriksaan mulut secara sendiri untuk mengesan sebarang perubahan dalam mulut adalah digalakkan. Jika perasan sebarang perubahan, segera berjumpa dengan doktor gigi.
  3. Apa yang harus dibuat jika menghadapi masalah pada mulut?Lakukan sendiri pemeriksaan mulut. Jika ternampak sebarang perubahan atau menghadapi sebarang masalah, segeralah berjumpa doktor gigi atau doktor anda. Doktor biasanya boleh merawat masalah yang anda hadapi.
    Masalah mulut berkaitan HIV/AIDS Rawatan
    Keputihan pada mulut Boleh dirawat dengan pil anti – fungal, bergantung pada tahap keseriusan.
    Apthous ulcers Rawatan untuk mengurangkan simptom dan biasanya akan sembuh sendiri. Dalam kes yang teruk, tablet steroid atau thalidomides boleh digunakan.
    Penyakit gusi Gingivitis dan penyakit periodontal boleh dielakkan dan rawatan penskaleran berkala diperlukan diikuti dengan penjagaan mulut yang optimal.
    Mulut kering Minum air secara berkala atau gula getah boleh membantu dalam melembapkan mulut. Elak pengambilan minuman manis.
    Herpes oral Penggunaan ubat Anti – viral seperti Acyclovir.

     

  4. Adakah kita boleh meramalkan kesihatan keseluruhan berdasarkan tahap kesihatan mulut?
    • Tahap keseriusan dan kekerapan menghadapi masalah mulut memberi petunjuk terhadap kesihatan anda. Keseriusan dan kekerapan masalah mulut yang anda hadapi menunjukkan ada kelemahan dalam sistem imunisasi badan.
    • Bagi gambaran yang lebih bertepatan adalah melalui ujian terhadap bilangan virus dan bilangan CD4.

Mulut & Penyalahgunaan ubatan.

  1. Masalah mulut yang berkaitan dalam kes penyalahgunaan ubatan?
    • Penggunaan ubat yang tidak sepatutnya untuk jangka masa yang lama akan menyebabkan kerosakan pada gigi dan gusi. Masalah ini berlaku disebabkan oleh komposisi kimia dalam ubatan atau secara tidak langsung dari keadaan mulut yang tidak bersih dan makanan yang tidak seimbang.
    • Berikut adalah masalah mulut yang berkaitan penyalahgunaan ubatan:
      1. Mulut kering
        • Sebahagian besar pengguna mempunyai kesan pengurangan air liur yang serius. Fungsi air liur adalah membasah dan menyucikan mulut, mencegah pengumpulan plak dan debri makanan.
        • Dalam keadaan dahaga, biasanya orang yang mengalami masalah kering mulut akan minum minuman yang tinggi kandungan gula.
        • Kombinasi diet bergula tinggi, mulut kering dan keadaan mulut yang tidak bersih akan mengakibatkan kerosakan gigi yang teruk.
      2. Kesan bahan kimia dan gusi berulser.
        • Komposisi kimia dalam sesetengah ubatan memberi kesan yang serius pada tisu mulut seperti kemelecuran pada gusi.
        • Kesan dari bahan ini akan menyebabkan gusi menjadi kemerahan dan berulser. Ia dapat dilihat pada tempat di mana ubat itu diletakkan seperti dalam penggunaan kokain.
        • Dalam keadaan yang teruk, ia boleh mendedahkan tulang di bawahnya.
      3. Hakisan gigi
        • Kebanyakkan ubat terlarang ini menghakis. Jika diambil melalui mulut atau disapu terus pada tempat tertentu seperti gigi akan menyebabkan kesan hakisan pada lapisan luar gigi dan menyebabkan dentin terdedah . Keadaan mulut yang kering akan meningkatkan risiko untuk karies gigi.
        • Gigi yang terdedah akan kelihatan kekuningan.
        • Ubat yang boleh menyebabkan keadaan ini terjadi adalah kokain dan methamphetamine.
      4. Kerosakan gigi
        • Seperti yang diterangkan di atas, kerosakan gigi di kalangan penyalahgunaan dadah adalah disebabkan oleh kombinasi faktor seperti;
          • Keadaan berasid ubatan tersebut.
          • Mulut kering akibat kesan sampingan ubatan.
          • Sering mengambil minuman bergula untuk menghilangkan dahaga.
          • Keadaan mulut yang tidak bersih.
        • Kebiasaannya, kerosakan gigi yang berkaitan ubatan terlarang dapat di lihat pada permukaan gigi depan ( labial ), pada kawasan gusi dan juga antara gigi.
        • Karies gigi kadang- kadang tersangat teruk dalam kes syabu. Keadaan ini dinamakan Meth Mouth menunjukkan tahap kerosakan yang berlaku dalam masa yang singkat dan kadangkala kerosakan hingga ke paras gusi.
      5. Mengetam gigi ( Bruxism ) dan mengunyah
        • Bruxism adalah satu keadaan di mana pengetaman gigi berlaku secara tidak sengaja. Ubatan yang selalu menyebabkan keadaan ini adalah Ecstasy, heroin dan methamphetamine. Perasaan cemas yang disebabkan oleh ubatan ini mendorong kepada keadaan tersebut.
        • Jika jarang berlaku, biasanya tiada masalah pada tisu mulut.
        • Jika teruk , ia akan menyebabkan;
          • Hakisan pada permukaan oklusal gigi yang akan menyebabkan sensitif dan karies gigi.
          • Kesakitan pada muka atau “Myofacial pain” dan kesakitan sendi Temporo- Mandibular (TMJ).
  2. Apa yang patut dibuat jika ada masalah mulut?
    • Pertama, selesaikan masalah ketagihan anda dengan mendapatkan rawatan di pusat pemulihan.
    • Temu janji dan rawatan dengan doktor gigi.
    • Penjagaan mulut yang rapi – memberus dan memflos gigi selepas makan.
    • Rangsang air liur anda dengan gula getah tanpa gula ataupun meminum air secara berkala dan kerap.
    • Jika ada aktiviti mengetam dan mengetap gigi, sila gunakan alat pelindung mulut. Ini akan menjaga permukaan gigi anda.
  3. Apa yang perlu dilakukan jika mengesyaki seseorang terlibat dalam penyalahgunaan ubatan; methamphetamine khasnya?
    • Berikut adalah tanda- tanda penyalahgunaan metamphetamine.
      • Kerosakan gigi yang mendadak.
      • Karies pada permukaan licin ( labial / bukal ) dan juga antara gigi.
      • Susut berat badan.

Kesimpulan

Ubatan terlarang / jalanan boleh menyebabkan kerosakan pada gigi dan gusi sama ada secara langsung atau sebaliknya. Kesan langsung dari ubatan ini adalah ulser dan hakisan pada gigi. Kebanyakan penagih menggunakan ubatan ini dengan kadar yang banyak. Akibat dari ketagihan ini, pemakanan yang seimbang dan penjagaan mulut diabaikan. Kombinasi kesan dari ubatan ini seperti menghakis, kering mulut, pemakanan tidak seimbang dan mulut yang tidak bersih menyumbang kepada risiko karies yang teruk.

Penularan penyakit HIV/AIDS di kalangan penagih melalui perkongsian jarum suntikan yang tercemar adalah menjadi masalah kesihatan yang sukar dibendung. Pesakit HIV positif mempunyai risiko yang tinggi dalam mengidap masalah mulut, untuk itu adalah perlu sentiasa menjaga kebersihan mulut, berjumpa doktor gigi secara berkala dan pengambilan makanan yang seimbang dalam menjamin kesihatan mulut yang optimal.

 

Semakan Akhir : 25 April 2014
Penulis : Dr. Lani Daga
Penterjemah : Dr. Mohd Nury b. Yusof
Akreditor : Dr. Mukhriz b. Hamdan
Penyemak : Dr. Kok Tuck Choon

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,229,548

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 14:25:57
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia