A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kepentingan Saringan Risiko Jatuh

Pengenalan

Definisi jatuh adalah keadaan di mana seseorang dengan tidak sengaja terjatuh ke lantai atau ke paras yang lebih rendah selain daripada akibat dipukul, hilang kesedaran, lumpuh secara tiba-tiba akibat angin ahmar atau sawan.

Epidemiologi jatuh

Jatuh kerap terjadi pada warga emas. Kajian daripada negara lain melaporkan antara 30% hingga 40% daripada warga emas berumur 65 tahun ke atas di komuniti pernah jatuh sekali atau lebih dalam masa 12 bulan. 20% mendapat kecederaan akibat jatuh. Lebih kurang 40% hingga 50% daripada penghuni pusat jagaan warga emas jatuh setiap tahun. Kajian di klinik kesihatan primer di Malaysia menunjukkan prevalen jatuh dalam kalangan warga emas adalah sebanyak 47%.

Kepentingan saringan untuk risiko jatuh

Saringan untuk risiko jatuh adalah sangat penting bagi warga emas untuk mencegah kejadian jatuh pada masa depan dan mengelakkan kesan buruk jatuh. Kepentingan saringan untuk risiko jatuh pada warga emas termasuklah:

  • Jatuh merupakan punca utama kecederaan pada warga emas.

  • Kejatuhan dan patah tulang boleh menyebabkan kemerosotan fungsi pada warga emas.

  • Kebanyakan jatuh dan kecederaan boleh dicegah dan kesan buruknya boleh dikurangkan.

  • Kebanyakan warga emas mengalami kejatuhan yang berulang dan kebanyakannya berlaku di rumah. Dalam komuniti, bagi warga emas yang pernah jatuh dalam tempoh 12 bulan, 57%  akan jatuh lagi dalam masa 12 bulan akan datang dan 31% akan jatuh lebih daripada 2 kali. Oleh itu, kejatuhan lampau meningkatkan risiko jatuh pada masa depan.

  • Jatuh selalunya tidak mudah dikesan oleh anggota kesihatan kerana saringan untuk risiko jatuh biasanya tidak diliputi semasa pengambilan sejarah dan pemeriksaan fizikal rutin. Kebanyakan warga emas yang jatuh tidak semestinya mempunyai kecederaan yang ketara.

  • Kebanyakan pesakit warga emas tidak sudi untuk mendapatkan bantuan kerana kecederaan yang ringan dan mereka menganggap bahawa jatuh berpunca daripada proses penuaan. Tambahan pula, warga emas juga takut bahawa aktiviti mereka akan dikawal atau mereka akan dimasukkan ke pusat jagaan warga emas.

Kesan buruk jatuh

  • Kecederaan berkaitan dengan jatuh adalah seperti patah tulang (5%) dan kecederaan lain yang teruk (15%)

  • Tidak boleh bergerak dan bergantung kepada penjaga

  • Takut jatuh

  • Keresahan dan kemurungan

  • Kemasukan ke pusat jagaan warga emas

  • Sebab utama kehilangan keupayaan dan kematian pada warga emas

Faktor mempengaruhi keseriusan akibat jatuh

  • Kehilangan fungsi pelbagai sistem badan seperti kelemahan otot selepas angin ahmar boleh mengakibatkan mekanisma menyelamatkan diri kurang berkesan

  • Tulang rapuh boleh meningkatkan risiko patah tulang

  • Kesan psikologi boleh mengakibatkan kehilangan keyakinan

  • Kecederaan sekunder akibat daripada tidak dapat bergerak selepas jatuh. Separuh daripada warga emas tidak dapat bangun semula selepas jatuh

  • Tidak berupaya bergerak untuk masa yang berpanjangan selepas jatuh boleh mengakibatkan

    • Otot mengecut

    • Sendi menjadi kaku

    • Ulser tekanan (kudis tekanan)

    • Kekontangan kandungan air badan (dihidrasi)

    • Jangkitan paru-paru

    • Saluran vena dalam tersumbat

    • Tekanan darah rendah semasa berdiri (hipotensi postur- hyperlink)

    • Tulang rapuh

Kesimpulan

Jatuh boleh mengakibatkan morbiditi dan kematian pada warga emas, dan juga boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang warga emas. Untuk warga emas, risiko jatuh adalah berkaitan dengan faktor dalaman dan luaran dan kebanyakannya boleh dicegah. Oleh itu, saringan dapat mengesan warga emas yang  risiko jatuh dan mencegah kejatuhan pada masa depan dan kesan buruk jatuh.

Rujukan

  • The prevention of falls in later life. A report of the Kellogg International Work Group on the Prevention of Falls by the Elderly. Dan Med Bull 1987;34 Suppl 4:1-24.

  • Centers  for Disease Control and Prevention(CDC). Self reported falls  and falls at home among person more or equal 65 years-United States,2006. MMWR Morb Mortal Wkly Rep.2008:57:225-9.

  • Sazlina SG, Krishnan R, Samsul AS, Zaiton A , Visvanathan R. Prevalence of falls among older people attending a primary care clinic in Kuala Lumpur Malaysia.  Malaysian Journal of Community Health (2008) Vol 14(1): 11-15.

  • Ayse O, Hulya D, Nihal G, Mehtap O, Didem K. The relationship between risk factors for falling and the quality of life in older  BMC Public Health 2005, 5:90 doi:10.1186/1471-2458.

 

Semakan Akhir : 29 November 2013
Penulis : Dr. Ho Bee Kiau

 

Artikel Berkaitan

Tulang

Tulang adalah tisu yang dinamik yang sentiasa diganti dan dibentuk sepanjang hidup manusia. Keseimbangan penting antara proses pembentukan dan penyerapan tulang. Proses ini akan merosot secara perlahan-lahan apabila usia semakin meningkat (dimana ianya bermula selepas umur 35 tahun).

Arthritis

Pengenalan Arthritis adalah radang yang berlaku di sendi-sendi yang menyebabkan

Di mana Boleh Saya Dapatkan Bantuan?

Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan program khas untuk warga emas semenjak dari tahun 1996. Matlamat program ini adalah untuk mencapai tahap kesihatan yang optima bagi warga emas melalui perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan yang berkaitan dengannya

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,454

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia