A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Fakta Ubat
  6. /
  7. Kepatuhan Kepada Ubat Antihipertensif

Kepatuhan Kepada Ubat Antihipertensif

Definisi

Hipertensi atau tekanan darah tinggi ditakrifkan sebagai tekanan darah pada arteri yang tinggi dan berterusan, dengan tekanan sistolik 140-200mmHg atau lebih dan tekanan diastolik 90-110mmHg atau lebih. Kepatuhan (komplians) kepada ubat antihipertensif ialah mematuhi arahan dan nasihat yang diberikan oleh profesional kesihatan berkaitan pengambilan ubat-ubatan antihipertensif anda.

Pilihan Ubat Antihipertensif

Terdapat pelbagai jenis ubat yang digunakan dalam rawatan hipertensi, contohnya seperti penghalang reseptor beta, perencat enzim penukaran-angiotensin, penghalang terusan kalsium, penghalang reseptor angiotensin-II, diuretik dan beberapa jenis agen antihipertensif yang lain. Bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan jenis-jenis ubat ini, bagaimana ia bertindak dan juga kesan sampingan yang mungkin terjadi, anda boleh mendapatkan bahan bacaannya di sini.

Setiap orang bertindak balas secara berbeza terhadap ubat-ubatan antihipertensif, jadi Doktor anda mungkin perlu mencuba lebih daripada satu jenis ubat sebelum menjumpai ubat yang paling sesuai untuk anda. Dalam beberapa kes, anda mungkin perlu mengambil gabungan dua atau tiga jenis ubat-ubatan untuk menurunkan tekanan darah anda secukupnya. Jangan berkongsi ubat antihipertensif anda dengan orang lain.

Dari semasa ke semasa, doktor anda mungkin akan meningkatkan dos ubat anda, menukar kepada ubat yang lain, atau menambah ubatan lain untuk mengekalkan tekanan darah anda di bawah kawalan.

Mengapa Perlu Patuh Dalam Pengambilan Ubat Antihipertensif?

Fungsi utama rawatan hipertensi adalah untuk menurunkan tekanan darah. Selain itu, ia juga bertujuan untuk melindungi organ-organ penting seperti otak, mata, jantung dan buah pinggang.

Ubat antihipertensif perlu diambil pada setiap hari. Anda tidak boleh berhenti mengambilnya walaupun tekanan darah telah kembali normal atau anda berasa sihat, melainkan jika doktor menyatakan sebaliknya.

Hipertensi bukanlah satu masalah yang boleh dirawat dan kemudian diabaikan. Ia merupakan satu keadaan yang memerlukan perhatian untuk sepanjang hayat. Terdapat beberapa tip untuk mengawal tekanan darah, antaranya adalah:

  • Mengambil ubat antihipertensif seperti yang diarahkan. Jika kesan sampingan atau implikasi kewangan menjadi punca masalah, jangan berhenti mengambil ubat-ubatan antihipertensif tersebut. Berjumpa dan berbincang terlebih dahulu dengan doktor atau ahli farmasi tentang pilihan yang ada.
  • Mematuhi jadual temujanji untuk berjumpa dengan doktor anda. Sentiasa berunding dengan doktor semasa rawatan susulan boleh memastikan tekanan darah anda berada pada tahap yang selamat dan terkawal.
  • Mengamalkan gaya hidup sihat. Makan makanan yang seimbang dengan melebihkan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan makanan rendah lemak. Sekiranya anda merokok, berusaha untuk berhenti merokok.
  • Mengurangkan berat badan yang berlebihan.
  • Menguruskan tekanan (stress) dengan berkesan.

Apakah Risiko Yang Bakal Dihadapi Sekiranya Tidak Patuh Kepada Pengambilan Ubat Antihipertensif?

Kepatuhan Kepada Ubat Antihipertensif

Kebiasaannya, hipertensi tidak menunjukkan sebarang gejala atau tanda amaran. Anda boleh mempunyai hipertensi selama bertahun-tahun tanpa berasa sakit atau kurang sihat. Malah, hipertensi sering dianggap sebagai ‘pembunuh senyap’, kerana kebanyakan individu tidak mengalami apa-apa gejala sehingga ia telah menjadi serius. Sehubungan dengan itu, adalah penting untuk mengukur tekanan darah secara berkala. Walaupun anda mungkin berasa sihat dan tidak mempunyai sebarang gejala tetapi sekiranya tidak dikawal, lama-kelamaan tekanan darah tinggi boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti:

  • Serangan jantung
  • Strok (angin ahmar)
  • Kegagalan fungsi jantung
  • Kerosakan buah pinggang
  • Buta
  • Serangan jantung dan strok adalah antara penyebab utama kematian di Malaysia.

Maklumat Penting Pengambilan Ubat Antihipertensif

  • Ambil tahu nama ubat anda, dos dan bagaimana ia berfungsi. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, bincang terlebih dahulu dengan doktor atau ahli farmasi. Jangan berhenti mengambil ubat-ubatan atau mengubah dos ubat anda kecuali jika diarahkan oleh doktor.
  • Jika anda terlupa atau tertinggal dos, ambil sebaik sahaja anda teringat. Walau bagaimanapun, jika telah hampir dengan waktu pengambilan dos yang seterusnya, abaikan dos tersebut dan kembali ke jadual asal. Jangan gandakan dos untuk menggantikan dos yang tertinggal.
  • Kepatuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan antihipertensif amat penting bagi mendapat manfaat yang diharapkan. Tidak patuh kepada pengambilannya akan mengakibatkan kegagalan dalam rawatan.
  • Kebanyakan individu yang menghidapi hipertensi tidak mengalami sebarang gejala. Ini menjadikan pesakit sukar untuk melihat manfaat yang diperolehi melalui pengambilan ubat antihipertensif secara berterusan.
  • Ambil ubat seperti yang telah diarahkan oleh doktor walaupun anda berasa sihat. Bincang dengan doktor atau ahli farmasi dan maklumkan sekiranya anda mengalami sebarang kesan sampingan akibat pengambilan ubat-ubatan tersebut agar rawatan yang paling sesuai boleh diberikan bagi mengawal hipertensi.

Rujukan:

  1. Clinical Practice Guidelines by Ministry Of Health Malaysia: Management of Hypertension (4th Edition)
  2. Heart Foundation: Living well with heart disease. Retrieve from http://www.heartfoundation.org.au/your-heart/Pages/Living-well-with-heart-disease.aspx
  3. Mayoclinic: Diseases and ConditionsHigh Blood Pressure (Hypertension). Retrieve from http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/high-blood-pressure/basics/definition/con-20019580
  4. Mayoclinic: Diseases and ConditionsHigh Blood Pressure (Hypertension). Retrieve from http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/high-blood-pressure/basics/coping-support/con-20019580
  5. National Prescribing Service: Taking medicines for high blood pressure. Retrieve from http://www.nps.org.au/publications/consumer/medicines-talk/2009/medicinestalk-no-32-summer-2009/taking-medicines-for-high-blood-pressure
  6. Portal MyHealth. Antihipertensif. Retrieve from http://myhealth.moh.gov.my/index.php/my/component/content/article/57-fakta-ubat/410-antihipertensif
  7. Portal MyHealth. Kepatuhan Kepada Ubat Anda. Retrieve from http://myhealth.moh.gov.my/index.php/my/ubat-a-anda/umum/kepatuhan-kepada-ubat-anda
  8. WebMD: An Overview of High Blood Pressure Treatment. Retrieve from http://www.webmd.com/hypertension-high-blood-pressure/guide/hypertension-treatment-overview

 

Artikel Berkaitan

ATT Vaccine

Introduction Tetanus is a disease caused by neurotoxin producing bacteria

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 219,226,454

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-03-19 11:55:02
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia