A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kenapa Anak Saya Sengau?

Sengau adalah kualiti suara yang terhasil apabila pengaliran udara yang berlebihan keluar melalui rongga hidung semasa bercakap.

Sengau adalah kualiti suara yang terhasil apabila pengaliran udara yang berlebihan keluar melalui rongga hidung (nasal cavity) semasa bercakap. Masalah ini boleh berlaku apabila terdapat klef (sumbing). Ia juga boleh berlaku apabila anak tekak (uvula) yang berada di hujung lelangit lembut tidak berfungsi dengan baik ketika proses pertuturan berlaku.

Proses Pertuturan

Lelangit (palate) mulut boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu lelangit keras dan lelangit lembut. Lelangit lembut ini bersambung dengan uvula. Semasa pertuturan yang normal uvula akan terangkat ke atas bagi menutup ruang ke rongga hidung.

Hampir kesemua bunyi-bunyi pertuturan terhasil dengan pengaliran udara di rongga mulut, hanya beberapa bunyi sahaja yang dihasilkan melalui pergeluaran udara melalui hidung iaitu bunyi-bunyi nasal. Bunyi-bunyi nasal adalah bunyi /m/, /n/, /ng/ dan /ny/. Ketika bunyi-bunyi nasal dihasilkan, uvula berada dalam keadaan rehat dan tidak terangkat.

Punca Sengau

  • Klef Lelangit Keras Dan Lembut

    • Kanak-kanak dengan klef lelangit merupakan individu berisiko tinggi untuk mempunyai masalah sengau. Klef lelangit menyebabkan udara keluar melalui rongga hidung. Kanak-kanak yang mempunyai klef lelangit lembut berisiko tinggi untuk mempunyai masalah ketidakfungsian uvula atau ketidak lengkapan uvula, uvula pendek berbanding orang biasa.

    Masalah Saraf

    • Pergerakkan uvula dikawal oleh saraf. Masalah saraf (seperti kanak-kanak cerebral palsi atau kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak) boleh menyebabkan ketidakfungsian uvula. Uvula tidak terangkat ketika proses pertuturan terjadi.

  • Masalah Pendengaran

    • Saringan pendengaran perlu dilakukan pada kanak-kanak yang mempunyai masalah sengau. Kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran juga berisiko tinggi untuk mempunyai masalah sengau. Masalah pendengaran menyebabkan bunyi-bunyi mereka dengar berbeza berbanding orang biasa.

Pengesanan Masalah Sengau

Pengesanan masalah sengau dilakukan oleh Patologis Pertuturan dan Bahasa dengan menilai sampel pertuturan. Kanak-kanak yang mempunyai masalah sengau tidak menghasilkan bunyi-bunyi oral (konsonant dan vowel) dengan baik hanya bunyi-bunyi nasal yang dihasilkan dengan baik.

Selain itu, pengesanan boleh dilakukan dengan meletakkan cermin kecil di bawah lubang hidung kanak-kanak ketika menghasilkan bunyi-bunyi oral. Jika kanak-kanak mempunyai masalah sengau, kabus akan terhasil pada cermin ketika menghasilkan bunyi-bunyi oral.

Penilaian endoskopi juga boleh dilakukan di mana doktor memasukkan kamera kecil melalui lubang hidung ke rongga hidung untuk melihat pergerakkan lelangit lembut dan uvula ketika menghasilkan bunyi-bunyi pertuturan.

Rawatan

Antara rawatan yang dijalankan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah sengau adalah seperti berikut:

Pembedahan

  • Pembedahan bagi menutup klef lelangit keras atau lembut. Penutupan klef ini mampu mengurangkan sengau.

Prosthesis Pertuturan

  • Prosthesis (alat bantu) pertuturan dibuat oleh pakar pergigian (orthodontist) untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah sengau yang disebabkan oleh klef lelangit. Prosthesis pertuturan ini dipakai pada lelangit.

Terapi Pertuturan

  • Terapi pertuturan membantu menguatkan otot-otot lelangit lembut dengan senaman khas untuk meningkatkan pengaliran udara ke rongga mulut dan meningkatkan kejelasan pertuturan.

  • Selain itu, antara cadangan teknik-teknik untuk mengurangkan masalah sengau adalah:

    • Auditory feedback : Kanak-kanak dilatih mendengar pertuturan normal dan pertuturan nasal. Kemudian mereka dilatih mendengar pertuturan menggunakan “tiub mendengar”. Tiub ini diletakkan di lubang hidung dan satu hujung lagi diletakkan di telinga. Bunyi pertuturan nasal boleh didengari melalui kaedah ini. Mereka  kemudian dilatih untuk mengubah cara sebutan sesuatu pertuturan bagi  mengurangkan kualiti sengau yang dihasilkan.

    • Visual feedback : Kanak-kanak dilatih mengurangkan kualiti sengau dengan tiub yang diletakkan pada lubang hidung dan kualiti sengau diukur menggunakan alat sensitif kepada tekanan udara. Apabila bunyi nasal dihasilkan, kanak-kanak dapat melihat perubahan kepada alat itu dengan jelas. Kemudian kanak-kanak dilatih mengawal pertuturan mereka bagi mengurangkan kualiti sengau.

    • Teknik Cul De SacI : Kanak-kanak dilatih untuk picit hidung bagi mengurangkan pengaliran udara keluar melalui hidung ketika bunyi oral dihasilkan. Kanak-kanak dilatih untuk merasai udara keluar melalui rongga mulut berbanding rongga hidung. Kemudian kanak-kanak dilatih untuk menyebut perkataan itu kembali tanpa memicit hidung.

    • Senaman : Senaman meniup seperti meniup lilin, meniup tisu, menggunakan straw minuman atau meniup bola ping pong boleh membantu menggalakkan udara keluar melalui rongga mulut.

Rujukan

  1. Kummer, Ann W., 2002, Speech Therapy for Cleft Palate or Velopharyngeal Dysfunction (VPD). Retrieved September 1, 2012 fromhttp://arslpedconsultant.com/documents/velopharyngeal%20dysfunction%201.pdf.

  2. Serres, D. L. Hypernasality – Velopharyngeal Insufficiency(n.d); Retrieved September 5, 2012 from http://www.entcolumbia.org/hypernas.html.

  3. Kummer, Ann W., 2005, Speech Therapy for Characteristics Of Velopharyngeal Dysfunction (VPD);Retrieved September 1, 2012 from http://www.superduperinc.com/handouts/pdf/96_velopharyngeal.pdf

  4. Hypernasality Speech (n.d); Retrieved August 28, 2012 from http://en.wikipedia.org/wiki/Hypernasal_speech.

  5. Hypernasality Program(n.d);Retrieved August 28, 2012 from http://childrensnyp.org/mschony/otolaryngology-hypernasality.html.

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Nurul Fatehah bt. Ismail
Akreditor : Ernie Heliza bt. Yusof
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

Cirit-Birit

Cirit-birit selalunya terjadi dikalangan kanak-kanak. Biasanya ia akan sembuh dengan sendirinya tanpa menyebabkan komplikasi-komplikasi lain

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,384,688

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia