A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kelemumur

Kelemumur lazimnya dikenali sebagai dandruff

Kelemumur lazimnya dikenali sebagai dandruff dalam Bahasa Inggeris. Dalam bidang perubatan, kelumumur dipanggil seborrheic dermatitis. Kelemumur boleh dihidapi oleh semua peringkat umur tetapi lazimnya bermula dari remaja. Pesakit-pesakit yang mengalami masalah otak seperti Parkinson’s disease, polio dan lumpuh; dan pesakit dengan masalah pertahanan badan seperti jangkitan HIV boleh menghidapi masalah kelemumur yang lebih teruk.

Punca sebenar masalah kelemumur masih tidak diketahui. Pada masa kini, teori utama punca kelemumur adalah disebabkan oleh sejenis kulat yang dikenali sebagai Malassezia.

Gejala/Tanda

Kelemumur boleh dilihat membentuk kuping-kuping pada bahagian kepala. Bagi kebanyakan pesakit, kuping-kuping yang terjatuh pada bahagian bahu merupakan masalah utama. Bagi sesetengah pesakit pula, rasa gatal pada kulit kepala merupakan masalah utama mereka. Kelemumur tidak menyebabkan keguguran rambut seperti yang dipercayai oleh orang ramai. Keguguran rambut berlaku jika pesakit mencabut rambut mereka disebabkan kegatalan.

Kelemumur yang teruk boleh menyebabkan kemerahan pada kulit kepala. Di samping itu, kemerahan dan kupingan kulit dapat dikesan pada bahagian kening, sebelah hidung (nasolabial folds), pertengahan dada dan belakang dada.

Pada bayi, seborrheic dermatitis boleh menyebabkan kupingan keras pada bahagian kepala dan dikenali sebagai cradle cap. Ia juga menyebabkan kemerahan pada leher, ketiak and celah kelangkang.

Komplikasi

Kegatalan dan kupingan berlebihan pada kepala menyebabkan rasa malu dan kurang keyakinan diri.

Rawatan

Masalah kelemumur tidak dapat sembuh sepenuhnya tetapi boleh dirawat.

Pesakit dengan masalah kelemumur boleh mencuci rambut dan kepala mereka dengan syampu kelemumur. Syampu kelemumur yang lazim digunakan mengandungi selenium sulphide (contoh:  Selsun) dan ketoconazole (contoh: Nizoral). Syampu-syampu ini mengandungi ubat antikulat yang dapat mengawal populasi Malassezia pada kepala pesakit. Kupingan yang keras boleh dikawal dengan menyapu ubat keratolytics seperti salicylic acid.

Kelemumur yang menyebabkan kemerahan pada bahagian kepala, muka, dada dan belakang badan dapat dirawat dengan krim steroid dan antikulat.

Pesakit kelemumur mesti memahami bahawa penyakit tersebut hanya dapat dikawal.

Pencegahan

Stres dan oklusi bahagian kepala boleh menyebabkan masalah kelemumur bertambah teruk. Pesakit perlu mengurangkan tahap stres dan elakkan daripada memakai penutup yang ketat pada kepala seperti topi ketat untuk mengelakkan penyakit ini daripada bertambah teruk. Pesakit juga perlu menggunakan syampu selalu untuk mengawal penyakit tersebut. Namun begitu, penggunaan syampu antikulat untuk jangka masa bertahun-tahun tidak digalakkan.

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Felix Yap Boon Bin
Akreditor : Datin Dr. Asmah bt. Johar
Penyemak : Dr. Nazatul Shima bt. Abd Rahim

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,414,394

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia