Home > Warga Emas > Pendekatan dari Segi Gejala > Kehilangan Selera Makan Dalam Kalangan Warga Emas

Kehilangan Selera Makan Dalam Kalangan Warga Emas

Pengenalan

Kehilangan selera makan bermaksud kehilangan keinginan untuk makan dan biasanya berkaitan dengan pengurangan pengambilan makanan. Kehilangan selera makan mungkin diakibatkan oleh pelbagai jenis penyakit. Walau bagaimanapun, ramai doktor tidak menilai status pemakanan warga emas secara rutin atau merawat punca kehilangan selera makan dengan sepatutnya. Ini boleh memudaratkan warga emas kerana masalah kekurangan zat makanan dan penyusutan otot boleh mempengaruhi kualiti hidup seharian mereka.

Punca-punca

Kehilangan selera makan merupakan masalah kesihatan yang penting bagi warga emas, Terdapat pelbagai punca yang boleh mengakibatkan kejadian ini termasuk:

  1. Masalah perubatan seperti kanser, penyakit paru-paru kronik, kegagalan jantung kronik, kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan hati kronik, penyakit sendi kronik (seperti Rheumatoid Arthritis) dan penyakit AIDS

  2. Masalah psikologi seperti kemurungan, nyanyuk, keresahan yang memberi kesan tekanan perasaan yang menyebabkan kehilangan selera makan.

  3. Masalah sosial seperti kemiskinan, pengasingan atau kesunyian

  4. Masalah pergigian seperti gigi yang rosak dan gigi palsu yang tidak sesuai yang menyebabkan pemilihan makanan yang terhad.

  5. Faktor berkaitan kesan sampingan ubat-ubatan menyebabkan mereka tidak dapat menikmati rasa makanan yang sebenar dan ini secara tidak langsung akan mengurangkan selera makan.

  6. Masalah pembedahan seperti masalah menelan dan usus tersumbat

  7. Sebab-sebab lain seperti berasa loya, muntah, kesakitan yang berterusan dan perubahan deria rasa

Komplikasi

Bagi warga emas, kehilangan selera makan boleh membawa kesan seperti di bawah :

  •  kekurangan zat makanan dan berkaitan dengan penurunan fungsi otot

  • , pengurangan kepadatan tulang,

  • daya pertahanan badan terjejas,

  • kurang darah,

  •  pengurangan fungsi kognitif,

  • luka yang lambat sembuh,

  •  kualiti hidup terjejas

  • meningkatkan kejadian morbiditi dan kematian.

Rawatan dan Pencegahan

Kehilangan selera makan dan kekurangan status pemakanan yang berkaitan merupakan tanda klinikal yang perlu dinilai secara rutin pada semua warga emas yang berisiko. Langkah pencegahan dan rawatan yang berkesan perlu dilaksanakan pada peringkat awal dan penglibatan pasukan pelbagai disiplin perlu untuk melambatkan perkembangan penyakit dan meningkatkan fungsi dan kualiti hidup pesakit pada keseluruhannya.

Bagaimana cara untuk meningkatkan selera makan di kalangan warga emas?

Penjaga warga emas merupakan individu yang penting dalam membantu mempertingkat selera makan di kalangan warga emas. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diamalkan :-

  • Sediakan makan kegemaran mereka dan jika berpeluang senaraikan beberapa makanan untuk memberi peluang mereka memilih makan yang dikehendaki.

  • Hidangkan makanan dalam hidangan yang kecil.

  • Cuba menyediakan kepelbagaian resepi setiap hari . Keadaan ini secara tidak langsung akan memeberi peluang kepada mereka untuk menikmati menu  yang berbeza serta menambahkan selera.

  • Gunakan pelbagai perencah seperti  perencah asli untuk membangkitkan selera mereka.

  • Cuba untuk menyediakan makanan mengikut kessesuaian supaya ia dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka seperti, menyediakan makanan dalam potongan yang kecil sekirannya mereka mempunyai masalah menguyah makanan.

  • Memastikan mereka minum jumlah air yang mencukupi.

  • Memberi sokongan pada mereka dengan menjaga mereka dengan penuh kasih sayang, mengambil berat dan sentiasa memberi sokongan. Jangan biarkan mempersaikan segala keperluan dan harapan mereka.

Semakan Akhir : 20 Jun 2014
Penulis : Dr. Ho Bee Kiau
Penyemak : Dr. Juriati bt Ismail