A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kehausan Gigi

Kehausan gigi berpunca daripada pelbagai faktor atau keadaan yang mengakibatkan kehilangan lapisan enamel dan dentin gigi.

Pernahkah anda terfikir mengapa gigi anda sensitif (ngilu), kelihatan pendek dan tidak menarik? Berkemungkinan anda mengalami masalah kehausan gigi yang tidak normal (abnormal). Apakah sebenarnya kehausan gigi? Anda pasti inginkan informasi mengenai kehausan gigi. Kami ada informasi itu untuk anda.

Apakah Kehausan Gigi?

Kehausan gigi berpunca daripada pelbagai faktor atau keadaan yang mengakibatkan kehilangan lapisan enamel dan dentin gigi. Kehausan gigi yang berlaku dalam keadaan biasa dinamakan kehausan gigi fisiologikal. Tetapi sekiranya kehausan gigi berlaku melampaui keadaan biasa, keadaan ini dinamakan kehausan gigi patologikal atau abnormal. Kehausan gigi yang abnormal menyebabkan kehilangan lapisan enamel (lapisan paling luar yang melindungi gigi dan struktur paling keras dalam badan); lapisan dentin (lapisan kedua yang agak lembut) dan tisu pulpa yang mengandungi saraf serta salur darah. Kadang kala agak sukar untuk menentukan jenis kehausan gigi yang terjadi kerana pelbagai jenis kehausan gigi boleh berlaku serentak. Individu pada semua peringkat umur boleh terdedah kepada keadaan seperti ini.

gigi haus plak

Komplikasi

Masalah-masalah ekoran kejadian kehausan gigi:

  • Gigi hipersensitif (terlalu ngilu)
  • Tanda dan gejala tisu pulpa (keradangan pulpa)
  • Gangguan kunyahan
  • Masalah kosmetik (terjejas paras rupa)

Epidemiologi

Kehausan gigi adalah masalah klinikal yang telah dikenal pasti kewujudannya. Di Eropah, hakisan gigi adalah penyumbang utama kepada kehausan gigi patologikal, (Bartlett,2005). Kajian di kalangan pelajar sekolah menengah di Kota Bharu, Kelantan mendapati kesemua 16 sampel mengalami masalah kehausan gigi dan 1/5 daripada mereka mengalami kehausan gigi yang abnormal. ( Saerah, Ismail, Naing & Ismai, 2006)

Jenis-Jenis Kehausan Gigi

Terdapat 3 jenis kehausan gigi. Walau bagaimanapun, setiap jenis kehausan gigi jarang berlaku secara berasingan (Ibbetson & Eden, 1999) dan sering kali menyebabkan pesakit mendapatkan khidmat rawatan daripada doktor pergigian.

  1. Lelasan
  2. Atrisi
  3. Hakisan
  1. Apa itu Lelasan?

    Lelasan adalah kehilangan lapisan enamel dan dentin melalui proses mekanikal abnormal melibatkan benda asing (selain gigi) yang bersentuhan secara berterusan dengan permukaan gigi.

    Apakah penyebab lelasan?

    • Tabiat kebersihan mulut
      • Memberus/memflos gigi secara keterlaluan
      • Kesan bahan pelelas dalam ubat gigi
    • Tabiat diri sendiri
      • Menggigit objek keras seperti pen,pin rambut, paip dan sebagainya
    • Pendedahan kepada bahan pelelas semasa bekerja dan di persekitaran tempat kerja

    Bagaimanakah rupa lelasan?

    • Biasa terbentuk di leher gigi
    • Dimensi lebar tetapi cetek
    • Gigi yang selalu terlibat ialah taring dan premolar (geraham kecil)
  2. Apa itu Atrisi?

    Atrisi ialah kehilangan lapisan enamel dan dentin yang disebabkan oleh sentuhan langsung gigi ke gigi dan tiada penglibatan objek asing.Mengacip/mengisar dan mengetam gigi adalah 2 punca utama atrisi.

    Bagaimanakah rupa Atrisi?

    • Permukaan kunyah menjadi leper dan rata.
    • Kehilangan lapisan enamel dan dentin berlaku pada kadar dan bentuk yang sama dengan gigi-gigi kekal yang bersentuhan rapat.
    • Permukaan berkilau pada tampalan amalgam yang bersentuhan.
    • Fraktur (patah) kuspa/puncak gigi atau restorasi mungkin terjadi.
  3. Apa itu hakisan?

    Hakisan gigi adalah kehilangan lapisan enamel dan dentin yang disebabkan oleh kehadiran bahan berasid dan tidak melibatkan bakteria.

    Punca Asid

    • Asid Ektrinsik/Luaran
      • Melalui proses penghadaman. Contohnya: makanan berasid, minuman berkarbonat, ubat-ubatan. Kekerapan dan cara pengambilan makanan dan minuman berasid lebih berperanan menentukan tahap hakisan gigi berbanding kuantiti pengambilan.
      • Persekitaran tempat kerja- pencuci bateri sanitasi, minuman ringan, pembuatan, penyaduran (plating), galvanising, pembungkusan bahan berasid, pembuatan kaca kristal dan sebagainya.
    • Intrinsik/asid dalaman- asid terhasil daripada regurgitasi (memuntahkan) kandungan (perut) gastrik; keadaan yang menyebabkan sentuhan secara terus dengan permukaan gigi seperti di kalangan pengidap bullimia, anorexia nervosa, ketagihan alkohol kronik, alahan mengandung (morning sickness) dan refluks gastrik.


    Bagaimanakah rupa hakisan?

    • Gigi menjadi kekuningan.
    • Gigi bersinar dan licin.
    • Kehilangan ciri-ciri permukaan enamel di kalangan kanak-kanak.
    • Gigi menjadi pendek.
    • Tampalan lebih menonjol daripada permukaan gigi sekelilingnya.
    • Permukaan kunyah gigi cekung (lekuk) dan licin.
    • Gigi sensitif (ngilu).

Peranan asid dalam hakisan gigi

Kebanyakan daripada sajian makanan di zaman moden ini mengandungi asid. Telah dibuktikan secara saintifik (Strassler,Drisko & Alexander,2008) bahawa asid pada pH 5.5 atau lebih rendah nilainya berupaya melembutkan struktur lapisan enamel dalam masa beberapa minit. Juga telah dibuktikan bahawa cara pengambilan makanan dan minuman berasid lebih berpotensi mengakibatkan kehausan gigi berbanding kuantiti yang diambil. Pelbagai makanan dan minuman berasid yang berhubung kait dengan hakisan gigi:

  • Minuman ringan
  • Minuman pemberi tenaga
  • Minuman sukan
  • Alkohol/wain
  • Jus buah-buahan
  • Minuman berkarbonat
  • Jeruk

Apa yang harus saya lakukan untuk mengurangkan hakisan gigi? (Lussi & Hellwig, 2006)

  • Tidak memberus gigi serta-merta selepas makan atau minum sajian berasid atau selepas muntah (bagi mengelakkan hakisan asid)
  • Tidak memberus gigi sejurus sebelum makan (makanan yang berpotensi menghakis) kerana pelikel perolehan (lapisan filem nipis yang tidak berwarna pada permukaan gigi) boleh bertindak sebagai pelindung kepada hakisan.
  • Kurangkan pendedahan kepada asid melalui pengurangan kekerapan dan masa sentuhan langsung dengan asid (waktu makan utama sahaja).
  • Elakkan makanan dan minuman berasid sebelum masuk tidur pada waktu malam.
  • Elakkan daripada menghirup, menyimpan dan menyapu minuman berasid di dalam mulut.
  • Bila minum, gunakan penyedut minuman untuk meminimumkan sentuhan minuman dengan permukaan gigi.
  • Gunakan berus gigi lembut dan ubat gigi berfluorida yang rendah kandungan bahan pelelasnya.
  • Kunyah gula-gula getah atau lozeng bebas gula untuk merangsang pengaliran air liur yang berupaya melemahkan asid.

Rawatan

Rawatan pergigian berbeza-beza bergantung kepada diagnosis kes individual ( lelasan, atrisi, hakisan). Secara amnya, rawatan melibatkan:

  • Pencegahan dan pemantauan
  • Modifikasi diet dan tabiat
  • Terapi splin
  • Terapi bahan kimia ( fluorida, CCP-ACP, bahan pengap dentin)
  • Restorasi (seperti resin komposit,korona)

Untuk keterangan lanjut, sila berhubung dengan doktor gigi di klinik pergigian kerajaan yang berdekatan untuk mendapatkan nasihat.

Rujukan

  1. Bartlett D.W. (2005). The role of erosion in tooth wear: aetiology, prevention and management. International Dental Journal. 55. 277-284
  2. Ibbetson R. & Eder A. (1999). Tooth surface loss: Editor’s introduction. British Dental Journal. 186. 60
  3. Lussi A, ed. (2006). Dental Erosion: From Diagnosis to Therapy. Basel, Switzerland: Karger; 2006: Whitford GM. Monographs in Oral Science;vol 20.
  4. Lussi A. (2006). Erosive toothwear: a multifactorial condition of growing concern and increasing knowledge. In: Lussi A, ed. (2006). Dental Erosion: From Diagnosis to Therapy. Basel, Switzerland: Karger; 1-8.
  5. Lussi A. & Hellwig E.(2006). Risk assessment and preventative measures. In: Lussi A, ed. (2006) Dental Erosion: From Diagnosis to Therapy. Basel, Switzerland: Karger;:190-199.
  6. Saerah N.B, Ismail N.M., Naing L. & Ismail A.R. (2006). Prevalence of tooth wear among 16-year-old secondary school children in Kota Bharu Kelantan. Archives of Orofacial Sciences. 1. 21-28
  7. Strassler H.E., Drisko C.L. & Alexander D.C. (2008). Dentin hypersensitivity: its inter-relationship to gingival recession and acid erosion. Inside Dentistry. 29(5 Special Issue):3-4.
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Rosenani bt. Mohd Noordin
Akreditor : Dr. Chua Meei Jinn
Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,690,569

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia