A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kerja Sosial Perubatan
  6. /
  7. Kegagalan Buah Pinggang Dan...

Kegagalan Buah Pinggang Dan Kesan Terhadap Kehidupan Sosial Pesakit

End Stage Renal Failure (ESRF) merupakan kegagalan buah pinggang tahap akhir yang juga dikenali sebagai penyakit kerosakan buah pinggang yang kekal.

Pengenalan

End Stage Renal Failure (ESRF) merupakan kegagalan buah pinggang tahap akhir yang juga dikenali sebagai penyakit kerosakan buah pinggang yang kekal. Berhadapan dengan penyakit kronik bukanlah merupakan sesuatu yang mudah dan memerlukan proses transisi daripada proses diagnosa kepada proses rawatan dan seterusnya pengurusan diri. Ketidakupayaan, kebergantungan terhadap orang lain, dan stigma masyarakat, perubahan cara hidup,kos rawatan yang mana secara tidak langsung memberikan kesan kepada perjalanan rutin harian yang biasa dilakukan. Masalah ini akan memberikan kesan kepada aspek kerohanian, psikologikal, sosial dan keluarga dan seterusnya akan mempengaruhi fizikal, emosi dan pemikiran pesakit.

Menurut Yayasan Buah Pinggang Amerika (2005) mendefinisikan keadaan buah pinggang yang kronik hanya berada pada tahap 10% kapasiti normal. Penyakit ini berlaku apabila buah pinggang tidak lagi berupaya menapis bahan buangan secara normal.

Punca-Punca Penyakit Buah Pinggang

Sesiapa sahaja boleh mendapat penyakit buah pinggang tanpa mengira umur. Walaubagaimanapun, terdapat sesetengah orang mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding yang lain bergantung sekiranya mempunyai faktor-faktor yang berikut :

  1. Penyakit kencing manis
  2. Penyakit tekanan darah tinggi
  3. Mempunyai sejarah keluarga penghidap masalah buah pinggang
  4. Are Older (tua sebelum usia) / menampakkan seseorang sebelum usia sebenar

Tanda-Tanda Awal Mengalami Masalah Buah Pinggang

Kebanyakkan orang tidak mengalami simptom yang teruk sehingga mengalami kerosakan buah pinggang yang teruk. Walau bagaimanapun, tanda-tanda awal tersebut dapat diperhatikan sekiranya mengalami situasi berikut:

  1. Merasa keletihan dan tidak bertenaga.
  2. Mudah hilang fokus.
  3. Hilang selera makan.
  4. Mengalami masalah tidur.
  5. Mengalami kekejangan otot pada waktu malam.
  6. Mengalami bengkak pada kaki dan sendi.
  7. Mengalami bengkak di sekeliling mata terutama pada waktu pagi.
  8. Mempunyai kulit yang kering dan gatal.
  9. Membuang air kecil yang kerap terutama pada waktu malam.

Kesan Terhadap Pesakit Kegagalan Buah Pinggang

Pesakit kegagalan buah pinggang didapati mempunyai kualiti hidup yang rendah dan kurang memuaskan disebabkan oleh pesakit tidak dapat berfungsi secara normal dalam melaksanakan aktiviti harian mereka. Keadaan ini berlaku oleh kerana perubahan-perubahan yang berlaku disebabkan oleh penyakit dan rawatan yang perlu dijalani. Perubahan yang dialami merangkumi empat aspek utama iaitu aspek emosi dan fizikal, sosial serta sosioekonomi. Kesan yang besar dapat dilihat dalam perubahan gaya hidup dan kualiti hidup pesakit. Perubahan-perubahan ini juga telah memberikan limitasi terhadap pesakit untuk berfungsi secara normal dalam keluarga dan masyarakat.

Perubahan yang ketara dapat dilihat daripada segi emosi apabila pesakit apabila disahkan menghidap penyakit kronik. Perubahan ini bukan hanya terjadi terhadap pesakit kegagalan buah pinggang tetapi juga terjadi kepada semua penghidap penyakit kronik yang lain. Perubahan ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor iaitu tahap penerimaan terhadap penyakit, sokongan keluarga dan kewangan. Pada tahap awal pesakit disahkan menghidap masalah kegagalan buah pinggang ini dimana pesakit akan mudah marah, cepat putus asa dan mudah menyalahkan keadaan. Kebimbangan pesakit terhadap kesembuhan dan lain-lain perkara penting bagi beliau membuatkan pesakit kemurungan. Perubahan daripada segi seksual membuatkan pesakit merasa rendah diri dan merasa tidak dihargai. Hal ini jelas berlaku terhadap pesakit dan membuatkan pesakit lebih cenderung untuk menyendiri. Perasaan mudah marah, rasa tidak dihargai, tidak berguna dan lain-lain perasaan negative lebih mudah mempengaruhi pesakit. Disamping itu juga perubahan fizikal yang lain mendatangkan rendah diri di kalangan pesakit. Secara tidak langsung, keadaan ini memberikan tekanan kepada pesakit. Pesakit yang mengalami tekanan didapati lebih sukar dirawat berbanding pesakit yang normal mengikut kajian terdahulu yang telah dijalankan.

Pesakit kegagalan buah pinggang ini juga dapat dilihat perubahan daripada segi fizikal. Pesakit akan mempunyai berat badan yang rendah akibat penurunan berat badan yang mendadak. Kemerosotan berat badan secara mendadak ini juga banyak dipengaruhi oleh ketiadaan selera makan dan kawalan bagi pengambilan air oleh pesakit. Perubahan ini dapat dlihat melalui kesan pada kulit pesakit. Kulit pesakit akan kelihatan sedikit kekeringan, berwarna sedikit kehitaman dan gatal-gatal. Kesan daripada penyakit juga menyebabkan pesakit menjadi mudah letih dan memerlukan rehat yang banyak.

Perubahan yang berlaku dari segi emosi dan fizikal ini menjadikan pesakit kurang keyakinan diri, memerlukan rehat yang banyak serta perlu mengikuti rawatan yang berkala dan mengambil masa yang lama. Keadaan ini menyebabkan aktiviti sosial pesakit dengan masyarakat terbatas dan banyak menghabiskan masa di rumah. Walaubagaimana pun, pesakit juga memerlukan aktiviti luar rumah bagi memberikan udara yang segar serta beriadah.

Memandangkan pesakit memerlukan rawatan yang berkala dan mengambil masa yang panjang bagi setiap sesi rawatan menyebabkan pesakit mengalami masalah sosioekonomi. Pesakit perlu mengambil cuti sakit yang lama mahupun terpaksa berhenti kerja kerana perlu menumpukan masa kepada rawatan yang perlu dijalani. Hakikat ini menyebabkan pesakit dan keluarga tidak mempunyai sumber kewangan bagi menampung kos rawatan serta perbelanjaan keluarga. Perbelanjaan yang tinggi setiap bulan bagi menampung kos rawatan serta lain-lain kos memberikan tekanan yang mana boleh menyebabkan pesakit enggan untuk meneruskan rawatan.

Kefungsian Sosial Pesakit

Limitasi dan kesan-kesan perubahan yang berlaku dalam diri pesakit menyebabkan kefungsian sosial pesakit terjejas. Keadaan fizikal pesakit yang mudah letih, perlu menjalani rawatan yang berkala serta perubahan daripada segi emosi dan perubahan gayahidup mempengaruhi kebolehfungsian pesakit. Peranan sebagai sumber pencari nafkah utama bagi keluarga ataupun suri rumah sepenuh masa tidak lagi dapat dilakukan. Peranan ini perlu diambil alih oleh ahli keluarga atau orang lain yang berkenaan bagi memastikan kesinambungan peranan dapat diteruskan. Peranan pesakit yang lain diambil alih oleh individu lain memandangkan pesakit tidak mampu lagi untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. Namun demikian, terdapat pesakit-pesakit kegagalan buah pinggang yang menjalani rawatan dialysis masih mampu untuk melaksanakan tanggungjawab dan memainkan peranan dengan baik dalam keluarga. Terdapat dikalangan pesakit-pesakit dalam usia muda dapat memainkan peranan dalam keluarga dan masyarakat. Pesakit-pesakit yang mempunyai motivasi yang tinggi serta menjalani rawatan secara tetap juga didapati masih mampu melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.

Walaubagaimana pun, pesakit kegagalan buah pinggang ini dilihat memerlukan peranan yang dimainkan oleh individu lain bagi membantu memberikan semangat dan motivasi untuk membentuk semangat yang baru. Peranan yang dimainkan ini dilihat menjadi faktor penting sebagai pemangkin bagi pesakit untuk terus bangkit melawan penyakit dan menjalani rawatan yang diperlukan. Sokongan daripada segi emosi dan kewangan menjadi elemen penting bagi memastikan pesakit mempunyai motivasi dan semangat seterusnya dapat menjalani rawatan dengan sebaiknya. Keluarga, masyarakat mahupun agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan merupakan kekuatan untuk pesakit bagi mendapat kekuatan dan semangat. Ahli keluarga merupakan individu paling rapat dengan pesakit dan mempunyai peranan yang paling penting dalam membantu pesakit. Sokongan emosi dan spiritual dari segi kerohanian merupakan aspek utama dalam membantu pesakit. Ahli keluarga perlu lebih cekal dan terus memberikan semangat untuk pesakit terus berjuang melawan penyakit yang dihadapi. Peranan dan tanggungjawab pesakit sebelum ini juga boleh diambil oleh ahli keluarga untuk memberikan ruang kepada pesakit menumpukan perhatian terhadap rawatan beliau.

Peranan Pegawai Kerja Sosial Perubatan juga dilihat penting dalam membantu pesakit kegagalan buah pinggang. Bantuan daripada segi kaunseling dan khidmat nasihat diberikan bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh keluarga dan waris. Bantuan yang diberikan tidak hanya terbatas dengan sokongan emosi sahaja. Pegawai kerja sosial perubatan juga memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi urusan pesakit. Urusan permohonan bantuan kewangan juga diuruskan oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan bagi memastikan rawatan pesakit berjalan dengan lancar. Permohonan dibuat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan Pusat Agihan Zakat bagi tujuan bantuan kewangan. Kos rawatan dialisis pesakit yang perlu ditanggung juga dibantu melalui agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, pesakit kegagalan buah pinggang ini secara tidak langsung akan mengalami gangguan emosi seperti kemurungan dan tekanan perasaan. Perubahan yang berlaku ini mempengaruhi kebolehfungsian pesakit dalam keluarga dan masyarakat. Sokongan dan peranan yang dimainkan oleh ahli keluarga, masyarakat dan pelbagai agensi memberikan impaks yang positif kepada pesakit.

Rujukan

  1. www.nkf.org.my
  2. www.lifeoption.com
  3. www.nature.com
  4. www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3130152
Semakan Akhir : 16 Oktober 2017
Penulis : Tn. Ahmad Shaifol Nizam Bin Husin
Akreditor : Tn. YM Ku Abdul Halip Bin Hj. Ku Yaakob

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,100,135

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-05 09:12:40
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia